Tuesday, November 29, 2016

PUAK KANAN



Firman Allah Ta’ala surah al-Waqiah ayat 27-40:

(27 )   Dan puak kanan, - alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu?
( 28 )   Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri.
( 29 )   Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya,
( 30 )   Dan naungan yang tetap terbentang,
( 31 )   Dan air yang sentiasa mengalir,
( 32 )   Serta buah-buahan yang banyak,
( 33 )   Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya,
( 34 )   Dan tempat-tempat tidur yang tertinggi keadaannya.
( 35 )   Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa,
( 36 )   Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh),
( 37 )   Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.
( 38 )   (Semuanya itu disediakan) bagi puak kanan;
( 39 )   Iaitu sebilangan besar dari orang-orang yang terdahulu,
( 40 )   Dan sebilangan besar dari orang-orang yang datang kemudian.

Asyhabul Yamin (puak kanan) ialah mereka yang mengambil suratan amal dengan tangan kanan kerana amal-amal kebajikan yang dibuat.

Ada orang mengambil suratan amal dengan tangan kiri. Dia tidak boleh ambil dengan tangan kanan walaupun dicubanya. Telah ditetapkan kanan atau kiri. Ini pada hari kiamat.

Mereka yang mengambil suratan amal dengan tangan kanan kerana banyak amal kebajikan yang dibuat dan mereka hampir dengan Allah Ta’ala.

“Mereka berada dalam pohon-pohon bedara yang tidak berduri.”

Mengikut satu riwayat seorang badwi pada suatu hari mengadap Rasulullah SAW dan berkata:

“Ya Rasulullah disebut dalam Quran ada pohon bedara dalam syurga. Pohon bedara yang tumbuh di padang pasir banyak duri.

Bagaimana pula pohon berduri ada dalam syurga wahai Rasulullah sedangkan dalam syurga tiada perkara yang menyakitkan.”

Jawab nabi SAW: “Pohon apa berduri dalam syurga.”

“Pohon bedara wahai Rasulullah.” Kata orang badwi.

Jawab Rasulullah SAW: “Tidakkah Allah Ta’ala menyebut pohon bedara yang tidak ada duri. Allah Ta’ala tumbuhkan pada tiap-tiap duri itu buah-buahan sebagai ganti pada duri. Buah-buahan itu lebat dan mengandungi 70 warna yang rasanya berbeza serta amat melazatkan.”

Warna berbeza dan rasanya berbeza serta sangat melazatkan serta tidak ada tandingan dan bandingan. Walaupun namanya pohon bedara tetapi tiada duri.

“Dan pisang-pisang yang tersusun buahnya.”

Dalam syurga ada buah pisang dan buahnya tersusun dan bertindih-tindan. Pisang tidak perlu dikoyak kulitnya kerana semuanya sedap. Tidak ada yang tidak sedap dalam syurga.

“Dan naungan yang berpanjangan.”

Tidak ada panas dalam syurga kerana dinaungi oleh pohon-pohon dalam syurga

Mengikut satu riwayat lain tempat yang tidak ada pohon pun dinaungi oleh Allah. Disebut dalam hadis:

“Dan di dalam syurga itu ada pohon yang naungannya perjalanan 100 tahun dengan tidak putus-putus.”

Dalam Quran menyebut: “Dan bayang berpanjangan.”

“Dan air yang dituang sentiasa mencurah-curah dengan tidak putus-putus bila dikehendaki air itu.”

Bila penghuni syurga hendak minum air, air itu dengan sendirinya masuk dalam bekas yang ditadah tanpa putus-putus.

“Dan banyak buah-buahan.”

Buah-buahan banyak dan berbagai jenis dalam syurga. Ada yang kita lihat dalam dunia dan ada yang kita tidak lihat dalam dunia. Buah-buahan yang dilihat dalam dunia, rupa sahaja sama tetapi saiz dan rasa tidak sama.

“Tidak bermusim.”

Buah-buahan atas dunia bermusim. Dalam syurga tidak ada musim sejuk dan musim panas. Semuanya menyeronakkan. Buah-buahannya tidak putus-putus.

“Dan tidak dilarang.”

Buah-buahan itu boleh dipetik bila-bila sahaja tidak ada halangan. Tidak ada duri, tidak ada pagar dan tidak ada sesiapa yang menghalangnya.

“Sebaik-baik sahaja dipetik buah itu tumbuh semula serta merta.”

Buah-buahan yang dipetik itu tumbuh semula di tempat yang sama. Ini adalah kekuasaan Allah Ta’ala.

“Dan hamparan yang tinggi (tempat tidur dan tempat duduk).”

Bila duduk, tempat tidur itu naik mengikut cetusan hati tanpa memakai remote dan selamat.

“Dan sesungguhnya kami ciptakan isteri-isteri dalam syurga dengan ciptaan yang indah, yang muda sebaya dan kami jadikan mereka anak-anak dara yang umurnya sebaya dan cinta kepada suami-suami mereka.”

Seorang perempuan tua mengadap nabi meminta nabi SAW berdoa untuknya masuk syurga. Nabi SAW bergurau mengatakan orang tua tidak boleh masuk syurga. Perempuan tua itu menangis lalu diberitahu dalam syurga tidak ada orang tua.

Orang masuk syurga Tuhan jadikan umur dalam lingkungan tiga puluhan.

Allah Ta’ala menjadikan penghuni syurga dengan ciptaan yang indah dan dijadikan mereka anak-anak dara.

Bila mendengar anak dara, Siti Aisyah berkata jika menjadi anak dara menyakitkan.

Nabi berkata: “Tidak ada sakit dalam syurga.”

Allah Ta’ala jadikan tidak ada kesusahan dalam syurga. Mengikut satu riwayat penghuni syurga lelaki dan perempuan sentiasa dalam umur 33 tahun. Allah Ta’ala jadikan muda selama-lamanya. Isteri-isteri sentiasa kasih kepada suami-suami mereka dan tidak kasih kepada orang lain.

Tidak ada marah, tiada dengki dan tidak sakit dalam syurga.

Mengikut riwayat Ibni Abas, umat terdahulu di kalangan umat Muhamad SAW dan yang kemudian di kalangan umat Muhamad SAW nabi bersabda:

“Mereka semua termasuk di kalangan umat-umat aku.”

Mengikut riwayat lain ahli syurga mengandungi 120 sof. 80 di kalangan umat Muhamad dan 40 di kalangan umat-umat lain.

Ini bermakna 2/3 daripada penghuni syurga adalah umat Muhamad SAW dan 1/3 lagi daripada umat lain kerana umat Muhamad lebih besar jumlah daripada umat lain.

Itulah kelebihan yang Allah Ta’ala beri kepada nabi SAW dan kepada umatnya. Oleh itu kita mestilah bersungguh menjadi umat Muhamad SAW.

KULIAH TAFSIR YT


ASYHABUL YAMIN (GOLONGAN KANAN)



Firman Allah Ta’ala Surah al-Waqiah ayat 15-40:
( 15 )   (Mereka duduk di dalam Syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata;
( 16 )   Sambil berbaring di atasnya dengan berhadap-hadapan.
( 17 )   Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka, -
( 18 )   Dengan membawa piala-piala minuman dan tekoh-tekoh serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir.
( 19 )   Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya.
( 20 )   Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih,
( 21 )   Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini.
( 22 )   Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya,
( 23 )   Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.
( 24 )   (Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah kerjakan.
( 25 )   Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa; -
( 26 )   Mereka hanya mendengar ucapan: " Selamat! Selamat! " (dari satu kepada yang lain).
( 27 )   Dan puak kanan, - alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu?
( 28 )   Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri.
( 29 )   Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya,
( 30 )   Dan naungan yang tetap terbentang,
( 31 )   Dan air yang sentiasa mengalir,
( 32 )   Serta buah-buahan yang banyak,
( 33 )   Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya,
( 34 )   Dan tempat-tempat tidur yang tertinggi keadaannya.
( 35 )   Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa,
( 36 )   Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh),
( 37 )   Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.
( 38 )   (Semuanya itu disediakan) bagi puak kanan;
( 39 )   Iaitu sebilangan besar dari orang-orang yang terdahulu,
( 40 )   Dan sebilangan besar dari orang-orang yang datang kemudian.

Ayat-ayat yang kita baca ini menyatakan mengenai penghuni syurga. Mereka yang beriman dan mengerjakan amal salih diantaranya golongan MUKARRABIN (sangat hampir di sisi Allah Ta’ala) dan ASYHABUL YAMIN (golongan kanan) yang dijanjikan nikmat oleh Allah SWT.

Antara nikmat yang diberi kepada golongan kanan yang mukarrabin ialah mereka berada di atas takhta yang dihiasi dengan hiasan-hiasan sangat menarik.

Mengikut Ibni Abas takhta (tempat duduk) dihiasi dengan emas dan mengikut Ikrimah dihiasi dengan permata-permata berbagai jenis. Itu adalah diantara nikmat yang ada dalam syurga.

“Tempat duduk yang sangat indah.”

“Mereka berada di atas tempat itu dalam keadaan berhadap diantara satu sama lain, berdepan dengan isteri-isteri dan kaum keluarga mereka serta berkasih sayang diantara satu sama lain.”

“Sentiasa datang mengunjungi mereka secara bertalu-talu bila diminta khidmat menjalankan tugas.”

“Anak-anak muda yang tidak mati selama-lamanya.”

Mengikut sesetengah ulamak anak muda terdiri daripada mereka yang tidak dilahirkan ke dunia.

Mengikut riwayat Ali bin Abi Talib dan al-Hasan al-Basri mereka ialah anak-anak orang yang beriman yang mati kecil.

Mengikut Salmanul Farisi mereka ialah kanak-kanak orang musyrikin yang mati. Mereka tidak dimasukkan ke dalam neraka dan menjadi pelayan-pelayan di dalam syurga.

Allah Ta’ala menyebut dalam syurga ada pelayan-pelayan lelaki yang muda selama-lamanya dan tidak mati sekali-kali.

“Dengan piala-piala yang diisi minuman, teko-teko dan gelas-gelas yang diletakkan di dalamnya arak (air buah-buahan) yang dialirkan daripada sungai-sungai yang tidak mabuk, tidak ada penyakit dan tidak menghilangkan akal.”

Arak dalam syurga bila diminum tidak hilang akal.

“Dan buah-buahan daripada apa yang mereka pilih.”

Berbagai-bagai buah-buahan dalam syurga. Apa yang kita lihat atas dunia ada dalam syurga. Rupa sahaja sama, rasanya tidak sama. Dan buah-buahan yang tidak pernah dilihat.

“Dan daging burung daripada apa yang mereka ingini.”

Ada macam-macam jenis burung dalam syurga. Daging-daging burung yang sedap rasanya. Disebut dalam hadis israk dan mikraj nabi SAW menyebut, dalam syurga ada burung-burung yang besar macam unta.

Lalu Saidina Abu Bakar bertanya: “Sedap ke makan?”

Mengikut riwayat lain Saidina Umar bertanya: “Sedap ke makan.”

Nabi menjawab: “Aku makan. Dijamukan kepada aku dan sangat lazat rasanya. Moga-moga engkau termasuk di dalam kalangan orang yang merasainya di dalam syurga itu.”

Disebut di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh as-Syaklabi daripada Abi Dardat RA bahawa nabi SAW bersabda:

“Sesungguhnya dalam syurga itu ada burung-burung laksana tengkak-tengkak unta menghulurkan lehernya, berkisar-kisar mengelilingi wali Allah,

lalu burung itu berkata wahai wali Allah aku dipelihara di bawah arasy, aku minum daripada air-air tasnim (air dalam syurga), makanlah aku ini kata burung itu,

maka sentiasalah dia berbangga kerana berada di hadapan orang yang baik, orang yang taat kepada Allah Ta’ala.

Lalu dimakan dan setelah dimakan tulang-tulangnya berkilauan sangat cantik. Tulang-tulang itu dikumpul dan dihidupkan semula, dan mencari makan di dalam syurga untuk dimakan lagi.”

Lalu Saidina Umar kata: “Wahai nabi Allah! Sedap ke burung itu?”

Nabi berkata: “Aku pernah makan dan memang lazat.”

Itulah nikmat dalam syurga dan banyak hadis mengenai syurga.
 
“Dan bidadari-bidadari yang cantik rupawan yang menjadi isteri ahli-ahli syurga disamping isteri-isteri mereka yang ada di atas dunia (kalau masuk syurga)”

Mengikut satu riwayat isteri di dunia dijadikan lebih cantik daripada bidadari lagi kerana bidadari tidak diuji dengan iman dan amal. Sedangkan perempuan atas dunia diuji dengan iman dan amal. Oleh itu murtabat mereka mengatasi bidadari dalam syurga.

“Seperti mutiara-mutiara yang diatur.”

Mutiara diatur yang kelihatan indah.

“Balasan terhadap apa yang mereka amalkan dalam kehidupan dunia dahulu.”

Itu semua ialah balasan yang Tuhan beri kepada ahli syurga kerana iman dan amal kebajikan yang dilakukan atas dunia. Balasan ini lebih besar daripada amalan yang kita lakukan.

Amalan yang kita lakukan tidak berpadanan dengan balasan yang diberi oleh Allah Ta’ala. Kita hendak membeli satu batu-bata mahligai dalam syurga dengan amalan kita sepanjang hayat pun tidak mampu.

Batu-bata mahligai dalam syurga adalah emas dan perak yang tidak boleh dinilai harganya. Tidak cukup hendak dibayar dengan amalan kebajikan kita atas dunia.

Syurga adalah kurnia Allah Ta’ala. Sabda nabi SAW:

“Perbetullah amal kamu dan hampirkanlah diri kamu kepada Allah. Sesungguhnya seseorang itu tidak selamat dengan jasa amalnya sahaja.”

Lalu sahabat bertanya: “Termasuk juga Rasulullah tidak dapat bayar dengan amal?”

Rasulullah menjawab: “Termasuk juga aku sendiri melainkan Allah Ta’ala mengurniakan rahmat dan pemberian daripadanya.”

Syurga adalah pemberian daripada Allah Ta’ala. Walaupun disebut balasan tetapi bukan bayaran.

Inilah sebabnya mereka yang hampir dengan Allah – nabi-nabi dan wali-walinya berasa terlalu sedikit amalan mereka di hadapan Allah yang kurnianya terlalu besar.

“Mereka tidak mendengar di dalam syurga itu perkara sia-sia dan perkara yang berdosa.”

Tidak ada yang sia-sia dan tidak ada yang bohong dalam syurga. Semuanya benar dan baik.

“Melainkan ucapan SALAMA SALAMA”

Salama salama ditafsirkan oleh ulamak ialah ucapan-ucapan yang baik, perkataan yang baik dan selamat sejahtera.

Ada ulamak mengatakan salama salama ialah mereka memberi salam diantara satu sama lain. ASSALAMU’ALAIKUM (selamat sejahtera ke atas kamu)

Umat zaman dahulu menyebut SALAM dan orang Yahudi menyebut SALUM. Kita kata AMIN dia kata AMIN juga tetapi iman mereka ditolak kerana melawan nabi Muhamad SAW. Ini menunjukkan ada persamaan diantara ajaran agama-agama samawi (agama langit).

Sesetengah ulamak mengatakan ‘salama salama’ ialah ucapan para malaikat di langit. Para malaikat berucap ‘salama salama’ (selamat sejahteralah kamu wahai penduduk-penduduk syurga).

KULIAH TAFSIR YT