Wednesday, March 8, 2017

Catatan Khas: Tuan Guru Presiden PAS Berbahas, Dewan Parlimen Berubah Bagaikan Dewan Kuliah Universiti- PARLIMEN 2016

1. Pada tepat jam 12.00 tengah hari tadi, giliran Ahli Parlimen Marang, YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang membahaskan Titah Diraja. Saya tidak menyangka suasana perbahasan menjadi begitu menarik dan mengasyikkan. Sesiapa yang berada di dalam Dewan mahupun menonton secara langsung pasti berasa teruja kerana suasana Dewan yang biasanya gamat dengan pertelingkahan dan bertikam lidah berubah menjadi diskusi ilmiah bagaikan dalam dewan kuliah universiti.

2. Asalnya masa yang diperuntukkan hanya 30 minit tetapi atas budibicara Dato' Timbalan Speaker, Tuan Guru Presiden dibenarkan untuk berbahas selama 1 jam kerana ramai Ahli Parlimen lain daripada BN mahupun Pembangkang yang berminat bangun membuat pencelahan. Mereka bertanya dengan penuh adab tatasusila bahkan ada Ahli Parlimen DAP yang memanggil nama "Tuan Guru" sedangkan kebiasaannya sesama Ahli Parlimen akan memanggil " Yang Berhormat (nama kawasan yang diwakili). Ada Ahli Parlimen BN yang bangun bertanya memulakan dengan lafaz "Subhanallah, Tabarakallah" kerana beliau begitu tertarik dengan isi perbahasan Tuan Guru Presiden.

3. Antara kelainan yang dapat saya perhatikan dalam perbahasan kali ini, Tuan Guru Presiden berucap tanpa teks, hanya sesekali merujuk catatan isi penting, ia membuatkan suasana yang lebih santai, spontan, banyak eye-contact dan gerakan tangan.

4. Di awal ucapan, beliau menyebut perbahasan akan menyentuh 2 perkara yang terkandung dalam Titah Diraja iaitu:
a) Sokongan Yang di-Pertuan Agong terhadap segala inisiatif bagi mendaulatkan Islam sebagai agama persekutuan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah.
b) Seruan Yang di-Pertuan Agong agar hentikan berpolitik untuk kepentingan sempit.

5. Berikut adalah intipati utama ucapan perbahasan beliau:
- Seruan transformasi yang diwar-warkan oleh kerajaan perlulah mengikut petunjuk di dalam Al Quran.
Transformasi positif sepertimana dalam ayat 11, Surah Ar Ra'du, yang bermaksud "Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubahnya sendiri"
- Pembangunan insan akan dapat membangunkan negara dan ummat, Allah memulakan Islam di bumi Mekah yang kering, tidak ada apa-apa hasil,
lalu manusia dibangunkan dengan ilmu, akhlak, dan jatidiri.

- Kita kembali kepada Perlembagaan yang diasaskan oleh mereka generasi awal samada di pihak kerajaan dan pembangkang yang sama-sama memperjuangkan kemerdekaan walaupun berbeza dasar dan pendekatan politik. Suruhanjaya Reid telah menetapkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam sebagai Agama Persekutuan, manakala agama lain bebas diamalkan, dan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, dan hak bahasa ibunda masing-masing.

- Yang di-Pertuan Agong menyeru agar mendaulatkan Islam sebagai agama persekutuan. Apabila hendak mendaulatkan Islam, perlulah berpandu kepada agama Islam yang disebut dalam Al Quran iaitu Ad Din dan kaffah (sempurna) sifatnya. Kita jangan terpengaruh dengan takrif agama mengikut Bahasa Inggeris, penjajah kita dan juga yang terkandung dalam Kitab Bible. Tuan Guru memetik :

"Jesus said to them, “Render to Caesar the things that are Caesar’s, and to God the things that are God’s.” ( Mark 12:17) 
Ia menunjukkan pemisahan agama dan politik sedangkan Islam agama yang berdaulat. Islam menentang diktator dan teokrasi.
Ayat Quran menyebut mengenai adanya pemerintah yang berlagak bagaikan Tuhan samada bernama raja seperti Firaun dan Namrud, ataupun Al Malak (pemimpin-pemimpin).
[Pencelahan oleh YB DAP Bukit Mertajam- mohon penjelasan lanjut berkenaan tafsiran Bible yang dibaca oleh Tuan Guru]

- Tuan Guru menceritakan tentang sejarah dalam agama Kristian yang menindas golongan ilmuan, manakala golongan agamawan bersekongkol dengan pemerintah, merebut kuasa melalui pengutipan cukai pengampunan dosa. Apabila Tamadun Islam mula mempengaruhi Barat maka lahirlah ideologi Sekularisme yang memisahkan agama daripada politik.

- Apa yang dibawa ke negara ini oleh penjajah British bukanlah ajaran asal Kristian tetapi ajaran yang sudah dipinda bagi menyekat kuasa agama Islam dengan merampas kuasa Raja-Raja. Agama dihadkan kepada sekadar nikah-cerai, pembahagian harta-pusaka, dan wakaf. Kuasa tanah, pentadbiran, dan kerakyatan diambil oleh British. Selepas merdeka, pemikiran British ini patutlah dibuang.

- Usaha pemerkasaan Mahkamah Syariah amatlah dialukan. Apa yang ada hari ini, Mahkamah Syariah lebih rendah daripada Mahkamah Majistret padahal kita sebut Islam adalah Agama Persekutuan. Bagaimana Mahkamah Syariah lebih rendah daripada Mahkamah di daerah-daerah.?

Saranan Yang di-Pertuan Agong agar Mahkamah Syariah diperkasakan amatlah disokong dan dilalukan.
[Pencelahan oleh YB PKR Bukit Katil yang mencadangkan agar Hakim Mahkamah Syariah dilantik oleh Suruhanjaya sepertimana Hakim Mahkamah Sivil, agar mereka bukan sekadar penjawat awam biasa]

- Tuan Guru bersetuju cadangan itu tetapi mahukan aspek yang lebih luas iaitu kadar hukuman. Kuasa hukuman sepatutnya lebih tinggi dan sebolehnya menepati syariat yang sepenuhnya. Dalam hal ini, penganut bukan Islam jangan bimbang kerana wujudnya jaminan dalam Islam iaitu tidak ada paksaan untuk memeluk Islam. Ayat Quran juga menyebut mengenai larangan meroboh rumah ibadah agama lain. Lihatlah di Mesir, masih ada gereja yang dimiliki oleh Kristian Ortodok Koptik yang ada sebelum Islam. di Iran ada rumah api yang dimiliki oleh penganut agama Majusi, di Indonesia alam Melayu ini masih ada candi Borobudur. Ini menunjukkan kebebasan beragama yang dijamin oleh Islam.

- Dalam aspek pelaksanaan undang-undang, orang Islam tertakluk kepada undang-undang Islam tetapi hal ehwal umum seperti trafik jalanraya, undang-undang tetap sama untuk semua yang Islam dan bukan Islam. Contohnya, tidak boleh dibuat lampu hijau untuk orang Islam boleh jalan manakala yang bukan Islam kena berhenti, pasti huru-hara di jalanraya.
[Pencelahan oleh YB BN Rompin yang berpandangan soal 

pendekatan kita apabila menyebut pemerkasaan Mahkamah Syariah berbanding penekanan Hudud boleh membuatkan orang bukan Islam tidaklah terkejut sangat yang cuba memahami Islam]

- Tuan Guru Presiden menjelaskan dalam Islam adanya undang-undang perlembagaan, perdagangan, keluarga, jenayah, antarabangsa, semuanya ada dalam Islam. Seringkali golongan orientalis menggunakan Hudud sebagai senjata menyerang Islam, hukum potong tangan dijadikan hujjah menakutkan orang bukan Islam.

- Pernah berlaku satu Dialog pada tahun 1971,di antara Vatican City (wakil Barat) dan pemikir Islam yang dianjurkan di Vatican dan Riyadh. Isu potong tangan ini timbul, mereka menyangka apabila ada sejumlah 70,000 pencuri maka kesemuanya dipotong tangan. Mereka tidak sedar bahawa undang-undang Islam sifatnya mendidik, bukan menghukum. Hukuman yang hendak dijatuhkan sangat ketat termasuk ciri hakim, saksi, penjenayah, kadar curian, hubungan pencuri dan mangsa. Mengikut Islam, hakim perlu cari jalan membebaskan pesalah kerana Islam menggalakkan pengampunan dan bertaubat. Apa yang penting undang-undang ini mendidik, bagi menggerunkan penjenayah dan semua orang. Apa yang hendak ditakutkan jika kita tidak mencuri..? Lihat di Arab Saudi adanya keamanan, kedai boleh ditutup hanya dengan kain tanpa kunci yang kukuh mahupun jaga yang gagah perkasa. Inilah kehebatan undang-undang.

- Hukuman sebatan dalam Islam bersifat tidak mencederakan tetapi memalukan pesalah. Hukuman tidak boleh pecah kulit, bukan macam dalam penjara hari ini yang menggunakan rotan yang kuat sehingga tercabut kulit dari isi. Dalam sirah ada seorang tua yang kurus melakukan kesalahan, dijatuhkan hukuman 100 sebatan, orang bertanya kepada Nabi, bagaimana hendak dilaksanakan hukuman ini.? Nabi menjawab, ambil 100 ranting, pukul 1 kali sahaja di khalayak ramai. 
 
Inilah keindahan hukum Islam, janganlah percaya seperti dalam filem yang ingin memburukkan imej Islam.

[Pencelahan oleh YB PKR Penampang yang berpandangan tidak setuju undang-undang agama diperluaskan lagi penguatkuasaannya kerana itu syarat asal kemasukan Sabah ke dalam Malaysia dahulu]
- Tuan Guru Presiden menjawab dalam Perlembagaan Malaysia adanya sistem Federalisme yang memberikan hak agama adalah kuasa kerajaan negeri, maka terpulanglah kepada Kerajaan Negeri masing-masing, Beliau mengimbau kembali sejarah Islam. adanya pemerintahan yang begitu luas daripada India sehinggalah ke Sepanyol di Barat yang turut mengamalkan federalisme, zaman itu tiada lagi internet dan telefon. Raja Najasyi, pemerintah Habsyah yang baru memeluk Islam berhadapan dengan paderi Kristian yang tidak bersetuju dengan beliau, Hudud ditangguhkan berasaskan realiti masyarakat di situ. Ini adalah keanjalan yang ada dalam pelaksanaan Syariat Islam.

*Timbalan Speaker memaklumkan ramai yang berminat dengan perbahasan YB Marang, 
 
[Pencelahan oleh YB BN Bagan Serai yang menyatakan beliau begitu tertarik mendengar penjelasan mengenai undang-undang Islam yang diterangkan oleh Tuan Guru Presiden, beliau meminta pendapat perlukah diubah undang-undang bagi mencegah jenayah dadah yang masih belum dapat ditangani sehingga sekarang.?]

- Tuan Guru Presiden menerangkan adanya 3 bahagian dalam undang-undang Islam iaitu Qisos (hal kecederaan), Hudud (hal moral), dan Ta'zir (hal yang tiada dalam Hudud dan Qisos). Dadah termasuk dalam Ta'zir yang tertakluk kepada budibicara pemerintah. Undang-undang Islam adanya aspek ruh spiritual, ini tidak ada pada undang-undang Barat. Makna spiritual ini ialah seseorang itu percaya bahawa sekiranya dia tidak dihukum di dunia, dia tetap tidak dapat lari daripada hukuman di Akhirat. Sebab itu dalam sejarah Islam, ada pesalah datang serah diri mengaku salah kerana adanya aspek spiritual dalam diri ini. Perbincangan lanjut diperlukan dalam hal ini, kerana masa yang ada sekarang singkat dan bukannya dalam kelas kuliah undang-undang.
[Pencelahan sekali lagi oleh YB BN Rompin bangun 

mencadangkan agar Perlembagaan sediaada tidak dipinda tetapi Mahkamah Syariah yang perlu diperkasa.]

- Tuan Guru Presiden menjawab ada perkara yang beliau setuju dan ada yang beliau tidak setuju. Islam sebagai agama persekutuan tidak perlu dipinda, tetapi undang-undang lain boleh dipinda seiring dengan perkembangan semasa. Semenjak beliau berada di Parlimen pada tahun 1990 lagi, sudah banyak kali pindaan Perlembagaan dibuat. Ini menunjukkan kita boleh fleksibel, tidak perlu jumud dalam semua perkara. 
 
Contohnya, hukuman gantung sampai mati yang menggunakan tali. Islam menetapkan hukuman bunuh perlu dilaksana tetapi bukan menyeksakan. Hukuman mati tetap perlu ada, cuma kaedah yang berbeza. Dalam Islam adanya perkara Tsawabit (yang sudah tetap, tidak boleh berubah) dan Mutaghaiyyirat (yang boleh berubah mengikut perkembangan.

[Pencelahan oleh YB BN Julau yang bertanya berkenaan berita dalam media bahawa Tuan Guru Presiden mendakwa orang Islam ditawarkan wang oleh gerakan Missionary untuk memeluk agama Kristian]

- Tuan Guru Presiden menjelaskan beliau mendapat maklumat berkenaan wujudnya aktiviti sedemikian seperti di negara Afrika. Dalam Islam pun ada, iaitu wang zakat untuk menggalakkan orang masuk Islam, dalam Kristian pun ada, itu hal agama mereka. Apa yang lebih penting ialah menjaga keharmonian, sebab itu dalam Islam menggalakkan dialog antara satu sama lain bagi berhujjah dengan tidak menimbulkan ketegangan. 
 
Biar kita berbeza pendapat, jangan berpecah.
[Pencelahan sekali lagi oleh YB BN Julau yang berpandangan tidak 
boleh orang yang dihormati dan bergelar Tuan Guru membuat dakwaan sebegitu terhadap agama Kristian]

- Tuan Guru Presiden berkata terserah kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan membuat tindakan selanjutnya. Beliau memetik kata-kata Imam Al Ghazali,"agama asas kehidupan manusia, kuasa pemerintahan adalah pengawas, perkara yang tidak ada asas akan runtuh."

Apabila kita tidak mengikut agama, maka akan runtuh kehidupan. Usah percaya dengan Islamophobia, yang mengatakan Islam agama pengganas sedangkan Kristian juga ada pengganas sepertimana di Ireland,pengganas dalam agama Hindu juga ada di India, 2 PM India dibunuh oleh penganut Hindu. Jangan dituduh Islam sahaja. 
Sebenarnya, Islam menentang keganasan, menggalakkan hubungan yang baik sesama insan. Islam melarang membunuh kucing, dan boleh memperoleh pahala apabila memberi minum anjing yang dahaga, bagaimana mungkin Islam membenarkan manusia dibunuh sesuka hati.?

- Seterusnya, Tuan Guru Presiden membahaskan betapa pentingnya memartabatkan Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan, bahasa perantara kaum. Bahasa adalah naluri fitrah manusia, yang menjadi medium komunikasi, dan mencari ilmu. Bagi mengilmukan sesuatu bangsa maka perlulah dipelajari dalam bahasa ibunda masing-masing, yang menjadi jiwa bangsa. Mengapa ilmu asas pun hendak dipelajari dengan menggunakan bahasa asing.? Solat itu dalam Bahasa Arab tetapi kita belajar solat dalam Bahasa Melayu. 
 
Mengapa kita tinggalkan bahasa kita sendiri untuk belajar Sains.? Hal ini menyebabkan kaum Bumiputera ketinggalan. 
Kita cuba lihat di peringkat antabangsa, ketua-ketua negara asing berucap di PBB dalam bahasa ibunda sendiri.

*Timbalan Speaker menggesa YB Marang membahaskan mengenai isi kedua Titah Diraja berkenaan hentikan berpolitik untuk kepentingan sempit.

Beliau turut memberi izin YB Marang berbahas sehingga jam 1.00 petang.

- Tuan Guru Presiden menjelaskan kita tidak boleh berhenti daripada politik kerana ia adalah sebahagian kehidupan manusia. Namun, yang masalahnya apabila berpolitik melampau, sehingga meninggalkan akhlak, perangai yang baik. Ini tidak elok. Seruan ini kepada semua, tidak dituju kepada pihak tertentu. 
Lantas, Tuan Guru Presiden memetik kata-kata Saidina Abu Bakar As Siddiq dilantik sebagai Khalifah Ketua Negara, "wahai tuan-tuan, saya telah dipilih menjadi pemimpin kamu, saya bukan orang yang terbaik. Kalau saya baik, tolonglah saya, jika saya tidak baik, perbetulkanlah saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat."

Ini menunjukkan budaya memecat pemimpin tidak digalakkan dalam Islam, kita perlu sabar dan memperbetulkan pemimpin.
- Lihat pada Arab Spring, apa yang jadi.? Musim bunga yang tidak berbuah sehingga berlaku campurtangan asing dalam negara yang menghuru-harakan negara. 
 
Walaupun saya tidak setuju dengan kerajaan, tetapi kita sabar. 
PAS menyertai arena politik tanah air sejak sebelum merdeka sehingga ke hari ini, parti-parti lain banyak yang baru ditubuhkan kemudian. Kita sabar, kita menang, kita kalah, kita rebah, kita bangun, kita banyak kerusi, kita tiada kerusi langsung, kita tidak kisah, yang penting jangan mengacau rakyat. Ini yang perlu kita jaga betul-betul. (bunyi tepukan sokongan daripada Ahli Dewan). 
Saya tidak mengampu sesiapa, orang hendak sokong, sokonglah, yang tidak mahu, tidak mengapa.

6. Tuan Guru Presiden menamatkan ucapan beliau pada jam 12.50 tengah hari. Sesungguhnya, suasana ucapan perbahasan beliau tadi begitu menarik kerana wujud perbincangan dua hala secara ilmiah dan penuh adab. Tuan Guru Presiden dengan berani menyampaikan mesej dakwah Islam secara hikmah dan tegas berprinsip kepada sekalian Ahli Dewan samada yang beragama Islam dan bukan Islam.

7. Sejurus Tuan Guru Presiden menamatkan ucapan, sempat mengiringi beliau ke kereta sambil mengucapkan tahniah atas ucapan yang begitu menarik. Beliau memaklumkan tidak dapat meneruskan ucapan sehingga jam 1.00 petang kerana tekak sudah kering. Beliau bertolak pulang ke Pejabat Agung PAS bagi meneruskan tugasan untuk mpengerusikan mesyuarat parti pula.

Catatan oleh,
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS

Monday, March 6, 2017

KERAJAAN ADA AJAL DAN SILIH BERGANTI - 1/6



Firman Allah Ta’ala surah al-Imran (surah 3) ayat 26:

قُلِ اللّٰهُمَّ مٰلِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِى الْمُلْكَ مَنْ تَشَآءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَآءُ  ۖ   وَتُعِزُّ مَنْ تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَآءُ  ؕ  بِيَدِكَ الْخَيْرُ  ؕ  اِنَّكَ عَلٰى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."
(QS. Ali 'Imran 3:26)

Ayat itu menjadi wirid sembahyang kerana diulangi bacaannya tiap-tiap lepas sembahyang oleh imam-imam di dalam masjid atau pun sembahyang di rumah. Ayat ini diajar oleh nabi SAW maka kita ikut nabi SAW berwirid selepas sembahyang. Ayat ini berkait dengan pemerintahan.
Allah Ta’ala menyatakan Dia mempunyai pemerintahan. Dia memberi kepada sesiapa dan menarik daripada sesiapa. Pemerintahan dalam bahasa Melayu, dalam bahasa Arab al-Mulk dan dalam bahasa Inggeris politik. Jadi baca ayat politik lepas sembahyang. Ayat ini mengingatkan kita bahawa kuasa yang mutlak, yang tidak boleh dipertikaikan dan yang kekal selama-lamanya adalah kerajaan Allah SWT.
Kerajaan-kerajaan yang ada di atas dunia semenjak nabi Adam sehingga hari kiamat, sama ada kerajaan itu adil atau kerajaan zalim semuanya tidak kekal. Masyarakat yang dipimpin oleh nabi 
Adam AS, tiba ajal semuanya habis.

Kerajaan nabi Yusuf AS yang berkuasa dalam bidang pertanian dan sumber negara ada ajalnya dan tinggal cerita sahaja.
Kerajaan nabi Daud AS yang menjadi ketua negara tamat ceritanya.
Kerajaan nabi Sulaiman AS yang memerintah negara paling besar dalam sejarah manusia, kerajaan yang Allah SWT tidak memberi kepada orang lain sehingga hari kiamat. Nabi Sulaiman memerintah manusia, jin, binatang, burung-burung yang terbang di udara, diberi mukjizat menguasai bahasa binatang. Walaupun kuasa kerajaan hebat tamat ceritanya.

Kerajaan Zulkurnain, kerajaan yang adil, raja yang adil tamat juga riwayatnya.
Kerajaan Thaulut, kerajaan Islam yang memerintah Bani Israil, tamat riwayatnya.
Kerajaan nabi kita Muhamad SAW, diwafatkan nabi, disambung oleh khulafat ar-Rasyidin selesai riwayatnya. Kerajaan Umar Abdul Aziz yang adil itu memerintah dua tahun sahaja.
Begitu juga kerajaan-kerajaan kafir, kerajaan Namruq dan kerajaan Firaun yang disebut dalam Quran selesai riwayatnya.
Kerajaan komunis Russia, satu kuasa besar di zaman kita tumbang dan habis riwayatnya.
Kerajaan macam ajal manusia, tidak selama-selamanya. Kerajaan-kerajaan ini ada ajal dan tempuhnya. Jangan kita fikir kerajaan yang ada sekarang kekal sampai kiamat.

Kenapa Allah SWT membuat silih berganti?

Dalam ayat wirid yang kita baca itu Allah SWT memberi kepada sesiapa dan Allah SWT  menarik daripada sesiapa.
Kerajaan adalah ujian dunia. Umur kita, kesihatan kita, harta-benda kita adalah ujian. Allah Ta’ala memberi harta kepada orang baik dan Allah Ta’ala memberi harta kepada orang jahat.Begitulah politik, adalah ujian daripada Allah. Jangan kita perlekehkan.

Quran menyebut Allah SWT akan menyoal berkenaan dengan politik, bukan sahaja mengenai sembahyang, puasa, zakat dan sebagainya. Allah Ta’ala akan memanggil pemimpin-pemimpin sama ada sultan, raja, maharaja, presiden, perdana menterI atau wakil rakyat untuk dibicarakan. Macam ibu-bapa dipanggil oleh Allah Ta’ala dan dibicarakan bagaimana anak-anak dididik.
Firman Allah Ta’ala surah Sajadah (surah 32) ayat 24 dan 25:

Allah SWT berfirman:

 وَ جَعَلْنَا مِنْهُمْ اَئِمَّةً يَّهْدُوْنَ بِاَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوْا  ؕ  وَ كَانُوْا بِاٰيٰتِنَا يُوْقِنُوْنَ
"
Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami. (QS.As-Sajdah 32:24)."

Allah SWT berfirman:

اِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَفْصِلُ  بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ فِيْمَا كَانُوْا فِيْهِ يَخْتَلِفُوْنَ
"
(Pertentangan di antara satu golongan dengan yang lain itu) sesungguhnya Tuhanmu sahajalah yang akan memutuskan hukum-Nya di antara mereka pada hari kiamat, mengenai apa yang mereka berselisihan padanya (QS.As-Sajdah 32:25)

Jangan kita fikir bila dapat RM50 atau RM500 maka selesailah. Tidak selesai kerana akan dibicara di akhirat kelak. Mengundi adalah politik, memilih pemimpin dan seterusnya memilih kerajaan yang memerintah

Firman Allah Ta’ala: “Ingatlah pada hari kiamat kelak Kami panggil tiap-tiap manusia dan pemimpin yang dipilih, pemimpin yang dia ikut di atas dunia, dan suratan amal bukan sahaja suratan amal berkait dengan berniaga, bercakap, bercocok tanam, termasuklah pemimpin yang dipilih. Barangsiapa yang mengambil suratan amal dengan tangan kanan mereka tidak dizalimi, barangsiapa yang buta mata hatinya di dunia, di akhirat lebih sesat dan lebih buta lagi.”

Jadi masalah negara satu masalah yang besar. Islam mengajar memilih pemimpin yang tahu dosa dan pahala. Rakyat kena belajar tahu dosa dan pahala. Masa depan umat mesti ditadbir dengan cara politik yang betul.
 
Dalam negara yang mengamalkan demokrasi yang sihat rakyat diberi peluang menjadi hakim melalui pilihan raya. Jika kerajaan membuat salah rakyat menghukum dengan menjatuhkannya dalam pilihan raya, pilih kerajaan lain pula. Pilihan raya dalam sistem demokrasi diambil oleh orang barat setelah mereka belajar daripada orang Islam.

Sebelum belajar daripada orang Islam, mereka tidak tahu hendak buat. Di England bila rajanya zalim, rakyat berarak mengangkat senjata, tangkap raja, tangkap menteri lalu disembelihnya dan memilih pemimpin yang lain pula. Perkara ini berlaku di Peranchis, Revolusi Peranchis, berlaku di Rusia zaman Zal, berlaku di Amerika dan berlaku di mana-mana, sehinggalah mereka belajar daripada kitab fekah politik yang ditulis oleh ulamak-ulamak Islam.

Apa yang menjadi masalah kita belajar fekah sembahyang, belajar fekah haji, fekah puasa, fekah munakahat, fekah politik kita tidak belajar. Dalam fekah Islam ada fekah politik.
Allah Ta’ala menyebut dalam al-Quran maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya kamu menunaikan amanah dengan menyerahkan amanah kepada orang yang boleh melaksanakan amanah itu dan apabila kamu menghukum, memerintah, mentadbir, mengurus di kalangan manusia semuanya (tanpa mengira agama dan bangsa) hendaklah berlaku adil. Sesungguhnya Allah menyuruh kamu dengan ajaran yang sebaik-baiknya. Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
Allah Ta’ala tahu semua dan akan dibicarakan pada hari kiamat. “Wahai orang-orang beriman taatilah Allah dan taatilah rasul dan ulil amri (pemimpin yang memerintah dan para ulamak). Sekiranya kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara maka kembalilah kepada Allah (Quran) dan kepada rasul (hadis nabi SAW), jika kamu sungguh-sungguh beriman kepada Allah dan hari akhirat itulah penyelesaian yang sebaik-baiknya.”

Nabi kita Muhamad SAW mengajar bagaimana memerintah negara. Apabila nabi tidak diizinkan memerintah di Mekah nabi SAW berhijrah ke Madinah. Orang Madinah menerima nabi SAW dan nabi mendirikan kerajaan Islam. Nabi mengajak orang Muhajirin yang berhijrah dan orang Ansar yang masuk Islam dan mengajak orang-orang yang bukan Islam dan orang munafik duduk di dalam negara yang didirikan.

Di Madinah Allah Ta’ala menurunkan ayat-ayat yang dikumpulkan dalam surah al-Madiniah. Ayat-ayat ini berkait dengan urusan kehidupan, politik, ekonomi, pentadbiran, jenayah, undang-undang perang, undang-undang antarabangsa semuanya ada dalam Quran.
Jadi nabi mengajar bagaimana hendak mentadbir negara mengikut perintah Allah. Rakyat tidak boleh menyembah ketua negara macam menyembah tuhan. Jika ketua negara membuat salah rakyat kena tegur. Jika tetap berdegil, pecat dan ganti orang lain.

Bila nabi SAW sudah wafat, para sahabat bermesyuarat untuk memilih pengganti nabi SAW. Ada tiga calon yang dicadangkan. Pertama Saidina Abu Bakar dicadang oleh muhajirin. Kedua, Saat bin Ubadah calon daripda kalangan Ansar, penduduk Madinah. Ketiga Alin bin Talib, calon daripada anak-beranak nabi SAW. Akhirnya mereka memilih Abu Bakar menjadi khalifah dan semua bersetuju.

Bila Abu Bakar menjadi khalifah, dia naik atas mimbar dan menyampaikan ucapan politik dalam masjid, “Wahai tuan-tuan semua yang hadir, saya telah dipilih menjadi pemimpin kamu, saya bukan orang yang terbaik, ada lagi orang yang lebih baik daripada saya. Jika sekiranya saya baik betul tolong saya, sekiranya saya terpesong perbetulkan saya. Benar adalah amanah bohong adalah khianat. Orang kuat dizalimi adalah lemah di sisi saya, saya mengambil hak yang dirampas daripada orang yang lemah dan orang yang lemah adalah kuat di sisi saya, saya akan membela dia. Tiada sesuatu kaum yang meninggalkan jihad untuk menegakkan Islam melainkan Allah akan menghinakan kaum itu.”

Mana-mana kaum orang Islam, bangsa apa sekalipun jika tidak berjuang menegakkan Islam, bangsa itu akan menjadi hina. Orang Arab pun menjadi hina jika tidak menegakkan Islam. Melayu pun menjadi hina kalau tinggal menegakkan Islam. Apa sahaja kaum yang menerima Islam kemudian tidak berjihad untuk meninggikan Islam kaum itu menjadi hina.

“Taat kepada saya selagi saya mentaati Allah dan rasul. Sekiranya saya tidak mentaati Allah dan rasul jangan taat kepada saya.” Itu ucapan Abu Bakar.
Bila Saidina Abu Bakar mati, naik Saidina Umar memberi ucapan yang sama, Saidina Uthman memberi ucapan yang sama dan Saidina Ali memberi ucapan yang sama. Pemimpin-pemimpin yang adil dalam kerajaan Islam memberi ucapan yang sama dan ulamak-ulamak kita menulis di dalam kitab-kitab fekah mereka.

Orang Eropah tidak tahu bagaimana hendak memerintah negara melainakan setelah mengkaji kitab-kitab fekah Islam. Ada kumpulan cerdik-pandai orang Eropah dinamakan orientalis yang kerjanya mengkaji kitab-kitab Islam. Mereka mengkaji kitab-kitab sains dan teknologi, kitab-kitab perubatan, kitab pertanian, kitab haiwan, kitab politik tetapi tidak masuk Islam. Antaranya apa yang dinamakan demokrasi. 

Demokrasi asalnya satu sistem pemerintahan yang diamalkan di Greek. Demokrasi dalam bahasa Greek ‘demosratus’ bermakna kuasa rakyat. Rakyat ada kuasa untuk memilih dan menghukum kerajaan. Pada awalnya demostratus ini diamal di Greek, bila kerajaannya mengumpul orang-orang kenamaan, orang kampung, petani, orang miskin, hamba orang dan orang-orang perempuan tidak ada hak. Mereka tidak boleh membuat perubahan melalui cara demokrasi yang diajar di Greek melainkan setelah mereka membaca dan mengkaji kitab-kitab fekah Islam. Lalu diubah amalan demokrasi kepada pilihan raya yang diberi kepada rakyat. 

Rakyat diberitahu tiga tahun atau lima tahun lagi akan diadakan pilihan raya. Diberi hak kepada media menyiarkan hujah pemimpin-pemimpin parti politik. Kesalahan pemimpin didedahkan dan semua rakyat boleh mendapat maklumat yang sebenar. Oleh itu rakyat akan menghukum dalam pilihan raya. 

KULIAH YT