Friday, December 16, 2016

MEMBERI KETAATAN MUTLAK



Memberi ketaatan secara mutlak kepada sesiapa sahaja yang mengadakan undang-undang lain daripada undang-undang Allah, hukum syariat yang tidak diizinkan oleh Allah.

Menghalalkan sesuatu dan mengharamkannya menurut ciptaan manusia. Maka termasuk dalam syirik ini ialah orang-orang Yahudi dan Nasarani kerana memberi hak kepada pendita-pendita dan paderi-paderi di dalam menentukan hukum-hukum.

Termasuk di dalamnya ajaran komunis, di samping mereka menafikan adanya tuhan mereka juga mengadakan parti-parti komunis sebagai tuhan dan menganggap pemimpin-pemimpin parti mempunyai kuasa dalam perkara hukum dan peraturan di dalam masyarakatnya.

Termasuk di dalamnya juga ideologi-ideologi yakni fahaman-fahaman yang lain diletakkan di zaman ini sebagai aqidah baru dalam kehidupan manusia.

Apa yang membimbangkan ialah pengaruhnya menjalar di dalam masyarakat yang anggotanya mengaku sebagai orang Islam tetapi memberi kuasa kepada orang perseorangan atau golongan-golongan tertentu meluluskan hukum-hukum dan undang-undang dan peraturan-peraturan yang dianggap mengatasi al-Quran dan hadis nabi SAW atau setaraf dengannya.

Diantara syirik ialah memberi ketaatan mutlak iaitu tidak berbelah bagi sama ada betul atau pun salah kepada undang-undang dan peraturan-peraturan yang dibuat oleh manusia sehingga dianggap setaraf dengan undang-undang Allah Ta’ala atau pun lebih baik daripada undang-undang Allah Ta’ala. Ini adalah syirik yang besar dan boleh membatalkan dua kalimah syahadat yang diucapkan.

Orang-orang Yahudi dan Kristian dianggap kafir walaupun mereka percaya kepada Allah Ta’ala.

Diantara sebab mereka dianggap kafir ialah kerana mereka memakai hukum-hukum dan peraturan yang dibuat oleh paderi-paderi dan pendita-pendita mereka yang bercanggah dengan hukum yang ada dalam Taurah dan Injil. Padahal Taurah dan Injil diturunkan kepada nabi Musa dan nabi Isa ISTW.

Setelah dua orang rasul ini wafat paderi-paderi mereka meminda hukum dan peraturan. Yang halal diharamkan dan yang haram dihalalkan. Ini menyebabkan Yahudi dan Kristian menjadi kafir.
  
Termasuklah juga ideologi-ideologi komunis, kapitalis, dan apa sahaja fahaman-fahaman yang dibawa oleh parti-parti politik yang dianggap fahaman-fahaman ini setaraf dengan syariat Islam sehingga menolak syariat Allah SWT. Ini menyebabkan syirik yang besar.

Firman Allah Ta’ala suratul Taubah ayat 31 bermaksud:

“Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli ugama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.”

Ayat ini dibaca oleh nabi SAW kepada Adi bin Hatim RA, seorang paderi Kristian yang belum lagi masuk Islam ketika itu. Abangnya seorang wanita yang dibebaskan dari tawanan perang oleh nabi SAW kerana sifat pemurah ayahnya, Hatim membujuk Adi supaya mengadap Rasulullah SAW.

Adi ketika mengadap Rasulullah SAW memakai solib daripada emas di lehernya menunjukkan dia seorang yang kuat berpegang dengan agama Kristian. Apabila melihat solib emas di leher Adi nabi SAW terus membaca ayat di atas.

Jawab Adi bin Hatim kami orang-orang Kristian tidak menyembah paderi-paderi dan pendita-pendita, kami juga menyembah Allah.”

Jawab nabi SAW:

“Kamu telah memakai hukum hakam yang dibuat oleh paderi-paderi kamu yang halal diharamkan dan yang haram dihalalkan. Itu maknanya kamu telah menjadikan paderi-paderi tuhan-tuhan yang lain daripada Allah.”

Adi tidak dapat menjawab dan akhirnya masuk Islam setelah mendengar penjelasan Rasulullah SAW.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment