Showing posts with label PENJAJAH. Show all posts
Showing posts with label PENJAJAH. Show all posts

Friday, December 16, 2016

MENYEMBUNYIKAN ILMU



Di kalangan orang Islam ada juga orang alim yang bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin yang zalim. Mereka menyembunyikan ilmu mereka, menyembunyikan ayat-ayat Quran yang mereka tahu menyebabkan orang ramai menjadi keliru.

Kepada mereka ini Ibni Kathir mengatakan perlu dibaca hadis nabi SAW:    

“Barangsiapa yang menyembunyikan sedikit daripada ilmu yang Tuhan berikan kepadanya, tidak memberitahu kepada orang, Tuhan akan simpalkan mulutnya dengan api neraka pada hari kiamat.”

Ini ditujukan kepada ulamak-ulamak Islam dan orang tahu agama tetapi tidak menyampai dengan sebenar sebagaimana yang ada dalam Quran dan hadis nabi SAW.

Hari ini orang Islam menghadapi ujian yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam terdiri daripada kuasa-kuasa besar dunia yang takut dengan kebangkitan Islam yang berlaku dalam dunia Islam pada hari ini.
                 
Oleh kerana mereka merasakan tidak berjaya menyekat kebangkitan Islam yang berlaku hari ini, kerana orang Islam hendak juga kepada Islam, lantas mereka mengemukakan Islam bentuk baru. Islam ini tidak ada amal ma’aruf dan nahi mungkar, Islam yang tidak melaksanakan kukum qisas dan hukum hudud.

Jadi orang murtad mesti dibiarkan kerana jika diganggu bercanggah dengan kebebasan beragama.

“Jika orang Islam murtad diambil tindakan maka bercanggah dengan hak asasi manusia dan hak asasi manusia termasuklah kebebasan beragama”, kata mereka.

Kita dapati kerajaan-kerajaan orang Islam hari ini membiarkan orang murtad kerana mengikut arahan kuasa-kuasa besar dunia. Akibatnya mereka mengambil kesempatan menyebarkan agama Kristian dan agama-agama lain daripada Islam dengan menggunakan wang, perempuan untuk dikahwinkan, rawatan dan menggunakan segala kesenangan dan kemewahan untuk menarik orang Islam masuk agama mereka.

Berita penangkapan pengembang agama Kristian dari Korea oleh golongan Taliban di Afganistan disiarkan seluruh dunia. Taliban telah membunuh dua orang pengembang agama Kristian yang dimasukkan ke Afganistan untuk menyebarkan agama Kristian.

Jika di Afganistan dan di Iraq, negeri yang bergolak masa itu mereka hantar pengembang agama Kristian maka bagaimana negeri orang Islam macam Malaysia yang tidak bergolak. Sudah tentulah mereka hantar lebih ramai lagi untuk menarik orang Islam menjadi murtad.

Menjadi murtad tidak semestinya masuk agama lain. Murtad boleh terjadi dengan mengingkar mana-mana hukum yang ada dalam Quran.

Ulamak-ulamak mestilah berani menerangkan perkara ini kerana ulamak-ulamak ialah pewaris nabi. Mereka adalah penyambung perjuangan nabi-nabi. Jika tidak menerangkan kepada orang ramai bermakna mereka khianat amanah yang diberi kepada mereka sebagai penyambung ajaran yang ditinggalkan oleh nabi-nabi ASTS.

Berbagai-bagai cara dibuat oleh penjajah untuk menipu orang Islam. Setelah gagal memisahkan orang Islam daripada agama Islam, mereka membawa Islam bentuk baru tetapi murtad dan maksiat dibiarkan. Hukum hudud dan hukum qisas tidak dilaksanakan walaupun berlaku banyak jenayah.

“Hukum hudud dan hukum qisas bercanggah dengan hak asasi manusia”, kata mereka. Hukum itu dikatakan keras walaupun jika dilaksanakan dapat mengatasi penjenayah yang menembak dan merompak orang di sana sini.

Ulamak-ulamak pula mendiamkan diri sedangkan mereka mengetahui Islam mesti didaulatkan supaya dapat melaksanakan hukum-hukum itu.

Tujuan Allah Ta’ala menurunkan al-Quran untuk menjadi petunjuk kepada orang Islam supaya orang Islam jangan jadi macam ulamak-ulamak Yahudi dan Nasrani.

Sekiranya ulamak-ulamak Islam berperangai menyembunyikan ilmu, menyembunyikan hukum dan tidak berani menerangkan kepada orang ramai perkara sebenar atau mendiamkan diri menjadi syaitan bisu sebagaimana kata Syeikh Ali bin Dakkab:

“Orang yang diam dalam perkara benar adalah syaitan bisu”

Ini satu ajaran yang tidak betul dan Allah Ta’ala melaknat ulamak-ulamak itu. Malaikat-malaikat di langit melaknat, binatang-binatang yang melata dibumi dan yang duduk dalam lubang, ikan-ikan yang duduk di laut dan burung-burung yang terbang di udara melaknat ulamak-ulamak yang menyembunyikan ilmunya.

Mereka dilaknat oleh semua yang melaknat disebut dalam suratul Baqarah:

“Sesunggunya mereka yang menyembunyikan keterangan-keterangan yang Kami nyatakan di dalam kitab lalu dia tidak menerangkan kepada manusia mereka itu ialah orang yang dilaknat, yang dikutuk oleh Allah dan dilaknat oleh semua yang melaknat iaitulah malaikat-malaikat dan makhluk-makhluk yang zahir dan yang ghaib.”

Semua melaknat ulamak-ulamak ini melainkan mereka yang bertaubat, dengan menerangkan dan membaiki semula.

Cara bertaubat ialah mereka tidak boleh duduk di rumah bertahjud, bersembahyang dan beristighfar sahaja tetapi mesti mengadakan ketiga-tiga perkara itu.

Mereka mesti turun di tengah-tengah gelanggang memberitahu orang ramai mereka silap kerana dia diam dalam perkara ini.

“Melainkan mereka yang bertaubat dan mengislahkan dan menerangkan.”

Tiga perkara mesti dilakukan baharulah taubatnya diterima.

“Mereka itulah mereka yang Aku terima taubat mereka dan Aku Maha menerima taubat lagi Maha Penyayang.”

Disebut dalam ayat yang lain dalam surah al-Baqarah:

“sesungguhnya mereka yang menyembunyikan perkara yang ada dalam kitab Allah (tidak menerangkan kepada manusia) tidaklah mereka makan hasil daripada mereka diam itu (mereka boleh banyak wang) tidaklah mereka makan melainkan api neraka

(mereka masukkan api neraka dalm perut mereka, mereka memakai pakaian api neraka, mereka naik kereta, kereta menjadi api neraka) pada hari kiamat kelak yang membakar mereka dan Allah tidak membersihkan mereka.”

Allah Ta’ala tidak membersihkan mereka dan tidak memandangkan mereka dengan pandangan rahmat dan mereka mendapat azab yang pedih pada hari kiamat kelak.

Banyak lagi ayat yang menerangkan tentang perkara tersebut. Bila dibaca dan dipelajari tafsir Quran maka bertemulah dengan ayat-ayat yang menyakitkan hati kepada mereka yang tidak menjalankan kewajipan terhadap agama Allah.
 
Firman Allah Ta’ala maksudnya:

“Jangan sekali-kali engkau menyangka wahai Muhamad SAW bahawa orang-orang yang bergembira dengan apa yang telah mereka lakukan itu dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang tidak mereka lakukan jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan terselamat dari seksa dan sebenarnya mereka akan memperolehi azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

Ayat ini berkait dengan mereka yang terdahulu iaitulah di kalangan ulamak-ulamak ahli kitab dan di kalangan ulamak jahat. Sudahlah mereka menyembunyikan ilmu, mereka sangat mengharapkan pujian orang padahal mereka tidak melakukan risalah menyambung amanah nabi-nabi ASTS untuk menegakkan Islam.

Mereka adalah pengkhianat dan tuhan kata kepada nabi SAW:

”Jangan engkau menyangka wahai Muhamad mereka ini berjaya lepas daripada azab neraka pada hari kiamat kelak.”

Walaupun di atas dunia mereka bijak dan boleh menipu, pada hari kiamat mereka tidak boleh menipu kerana mereka akan didedahkan oleh Allah Ta’ala.

Kadang-kadang Allah Ta’ala mendedahkan di atas dunia. Mereka tidak mendapat berkat dan pertolongan daripada Allah.

Mengikut satu kaul lain ayat ini berkait juga dengan golongan munafik. Golongan munafik ialah golongan yang menunjuk-nunjuk dia Islam padahal dia tidak Islam. Golongan ini sangat suka dipuji tetapi dalam masa yang sama dia menghancurkan Islam. Mereka ini tetap dilaknat oleh Allah Ta’ala.

KULIAH TAFSIR YT

Monday, December 12, 2016

KESAN KEJATUHAN KERAJAAN ISLAM OTHMANIAH



Penubuhan kumpulan Islam selepas kejatuhan kerajaan Othmaniah adalah untuk menyambung kerja-kerja Islam sebagaimana diajar oleh nabi Muhamad SAW. Kerja Islam yang lengkap bukan sahaja mengajar agama termasuklah mendirikan kerajaan Islam.

Penjajah sangat takut orang Islam balik semula untuk mendirikan kerajaan Islam. Sebelum kerajaan Othmaniah dijatuhkan, perjanjian Sheic Veco (menteri luar British dan Peranchis) telah dimeterai. Perjanjian ini dibuat untuk menjatuhkan kerajaan Uthmaniah.

Setelah dijatuhkan Kerajaan Othmaniah tahun 1924 negeri-negeri orang Islam dibahagi-bahagikan. Kemudian diikuti dengan perjanjian Bangkok dan perjanjian Betawi.

Perjanjian Bangkok antara British dengan Siam untuk membahagikan negeri Islam antara British dengan Siam. Petani, Yala dan Kawasan Selatan diserah kepada Siam, Tanah Melayu dan Borneo diberi kepada British.

Perjanjian Betawi antara Belanda dan British. Indonesia diserah ke Belanda dan Tanah Melayu untuk British.

Penjajah membahagi-bahagikan negeri Islam pada awalnya dengan tujuan untuk menghapuskan agama Islam. Mereka tidak sekali-kali berjaya menghapuskan agama Islam. Sebaliknya agama Islam berkembang. Walaupun tidak ada kerajaan Islam, ramai juga orang masuk Islam. Ini menakutkan penjajah.

Salah seorang pemimpin orientalis (orientalis ialah orang-orang barat bukan Islam yang belajar Islam dengan tujuan untuk melawan Islam) mengatakan bahawa di sana ada dua buah batu yang keras tidak boleh dipecah dengan alat-alat letupan moden.

Dua batu itu sangat merbahaya. Sekiranya Armada (kapal perang daripada negara Eropah) menghampiri batu ini kapal-kapal akan pecah.

Dua batu ini sebagai bandingan sahaja. Batu pertama Quran dan kedua Mekah. Selagi Quran dan Mekah masih ada mereka tidak boleh menghapuskan agama Islam.

Quran ialah kitab mukjizat yang dipelihara oleh Allah. Mekah adalah ka’abah orang Islam. Orang Islam mengerjakan haji setiap tahun. Mereka belajar di Mekah dan bertemu diantara satu sama lain.

Snook Oxranji, seorang orientalis Belanda yang masuk Islam memakai nama Abdul Ghafur belajar pondok di Sumatra. Dia pergi ke Mekah dan balik semula ke Belanda.

Di Belanda dia menulis beberapa makalah dan buku memberi pendapat antara lain mengatakan apa yang manakutkan dunia barat adanya ulamak-ulamak membawa doktrin politik untuk mendirikan semula kerajaan Islam.

Orang Islam terus menentang penjajah walaupun penjajah bersenjata moden. Orang Islam hanya bersenjatakan pedang, keris dan lembing tetapi tidak tunduk kepada penjajah. Penjajah akhirnya terpaksa berundur.

Sebelum berundur mereka membuat perancangan memberi kemerdekaan kepada anak-anak tempatan yang dididik dengan undang-undang dan cara hidup mereka. Negeri orang-orang Islam dimerdekakan.

Penjajah sudah balik meninggalkan undang-undang, peraturan dan cara hidup mereka untuk diamalkan dan negara Islam tidak dapat ditegakkan semula.

Orang-orang Islam boleh berulang alik ke masjid, boleh pergi haji, boleh membuat masjid dan sebagainya tetapi hendak mendirikan kerajaan Islam sebagaimana diperjuangkan oleh nabi Muhamad SAW dihalang dengan apa cara sekali pun.

KULIAH YT


Monday, November 28, 2016

PENGARUH SEKULARISMA KEPADA UMAT ISLAM


Ajaran atau fahaman ini telah dibawa masuk oleh penjajah ke dalam masyarakat Islam dengan mengambil kesempatan daripada penaklukan mereka ke atas negeri-negeri umat Islam dengan tujuan untuk mengikis aqidah Islamiah, syariat dan akhlaknya secara sedikit demi sedikit dengan menyebarkan fahaman-fahaman berikut:

Ajaran sesat yang dikenali dengan al-ilmaniah atau sekularisma dibawa masuk ke dalam negeri Islam oleh penjajah-penjajah asing seperti Inggeris, Peranchis, Belanda, Portugis dan lain-lain.

Apabila mereka berjaya menjatuhkan kerajaan Islam dan menakluk negeri-negeri umat Islam mereka akan berusaha sedaya upaya untuk memurtadkan umat Islam. Ajaran berkait dengan iman, syariat dan hukum akhlak akan dikikis.

Perkara ini disebut dalam al-Quran dalam banyak-banyak ayat. Antaranya firman Allah Ta’ala:

“Golongan ahli kitab itu terlalu ingin untuk memurtadkan kamu daripada agama kamu, kerana hasad dengki yang ada dalam hati-hati mereka setelah ternyata benarnya ajaran Islam yang dibawa oleh nabi Muhamad SAW.”

Firman Allah Ta’ala:

“Mereka itu yakni orang-orang kafir sentiasa memerangi kamu terus menerus sehinggalah kamu terpesong daripada agama kamu. Barangsiapa yang menyeleweng daripada agamanya yakni agama Islam lalu dia mati dalam keadaan kafir maka terhapuslan segala amalannya.”

Orang mati dalam keadaan kafir, amal ibadatnya dihapuskan dan berada dalam neraka selama-lamanya.

Usaha memurtadkan orang Islam dilakukan dengan beberapa cara. Antaranya mereka mengajak orang Islam masuk agama selain daripada agama Islam. Masuk apa sahaja agama asalkan tinggal agama Islam.

Perkara ini dilakukan dengan mendirikan sekolah-sekolah yang dinamakan Convent dan Methodist iaitulah sekolah-sekolah Inggeris di zaman penjajah. Di Indonesia sekolah Belanda, di Algeria, Morocco, Tunisia dan Syiria sekolah Peranchis.

Sekolah-sekolah ini dijadikan tempat mendidik anak-anak orang Islam supaya menjadi Kristian. Mereka yang lulus dari sekolah ini diberi jawatan yang tinggi di dalam masyarakat.

Ajaran di sekolah-sekolah Inggeris ini mengumpan orang-orang Islam supaya meninggalkan Islam sedikit demi sedikit seperti meninggalkan tulisan jawi, meninggalkan huruf Arab (huruf al-Quran) dan meninggalkan bahasa Arab di kalangan orang-orang Arab dan macam-macam cara lagi.

Bagaimana ajaran sekularisma mempengaruhi umat Islam:

1. Memisahkan Islam daripada politik dengan dakyah politik itu kotor sedangkan Islam itu bersih. Mereka membawa ajaran mengatakan ‘politik suku agama suku’, iaitu politik tidak ada hubungan dengan agama.

Apa makna politik?

Politik dalam bahasa Latin atau bahasa Inggeris dan orang barat menyebut politik dan menjadi bahasa Melayu. Bahasa Arab disebut dengan siasah.

Politik atau siasah maknanya ialah MENTADBIR dan MEMERINTAH NEGERI.

Mengikut agama Islam politik adalah sebahagian daripada ajaran Islam. Ini sabit dengan nas Quran dan nas hadis nabi SAW serta ijmak para ulamak. Yang lebih besar ialah ijmak para sahabat RA, bukan sembarangan ulamak tetapi ulamak sahabat, dan ulamak-ulamak tabi’in mengatakan politik adalah sebahagian daripada ajaran Islam.

Adapun dalil daripada al-Quranul Karim, antaranya firman Allah Ta’ala:

“Dan ingatlah ketika tuhan berfirman kepada malaikat sesungguhnya aku akan jadikan atas muka bumi ini khalifah.” 

Antara khalifah itu ialah politik. Allah Ta’ala isytiharkan semenjak nabi Adam AH hendak dicipta.

Firman Allah Ta’ala:

“Sesungguhnya kami telah menurunkan kepada mu wahai Muhamad SAW akan kitab al-Quran supaya engkau menghukum manusia dengan apa yang dinyatakan oleh Allah dan janganlah engkau menjadi penolong kepada orang-orang yang khianat.”

Allah Ta’ala memerintah nabi SAW supaya menghukum manusia dengan al-Quranul Karim. Diantara menghukum itu ialah MEMERINTAH dan memerlukan PEMERINTAHAN.

Banyak ayat Quran yang tidak boleh diamalkan melainkan kena ada politik (MENTADBIR & MEMERINTAH), kalau tidak ada pilitik tidak boleh diamalkan ayat-ayat ini.

Ayat yang berkait dengan hukum jenayah; berkait dengan Qisas, Hudud, jihad fi sabilillah dan berkait hubungan dengan orang-orang bukan Islam. Semua perkara ini tidak boleh diamal kalau tidak ada politik.

Kita tidak boleh sembahyang jika tidak ada wuduk. Maka mengambil wuduk untuk sembahyang adalah wajib. Jadi kita tidak boleh melaksanakan hukum-hukum ini melainkan dengan politik. Maka BERPOLITIK KERANA HENDAK MELAKSANAKAN HUKUM ALLAH ADALAH WAJIB.

Adapun sunah Rasulullah SAW ialah sunah ucapan dan sunah amalan. Sunah kauliah dan sunah amaliah. Sunah kauliah ialah sabda Rasulullah SAW:

“Dan adalah kaum Bani Israil yang menjadi pemimpin siasah mereka ialah nabi-nabi ASTS.” (Riwayat Bukhari)

Nabi kita Muhamad SAW telah berhijrah ke Madinah, mendirikan kerajaan Islam dan mengadakan perjanjian dengan orang bukan Islam yang duduk di Madinah. Ini adalah amalan-amalan politik yang WAJIB diamal oleh orang Islam sehingga hari kiamat.

Adapun ijmak, sepakat para ulamak, yang paling besar sepakat ialah ijmak para sahabat RA.

Apabila Rasulullah SAW wafat tiada ada siapa yang ganti Rasulullah SAW. Lalu para sahabat bermesyuarat di Saifah Bani Saidah sehingga sebilangan besar daripada para sahabat tidak hadir pada masa jenazah Rasulullah SAW dikebumikan.

Mereka bersembahyang sahaja dan lepas sembahyang terus pergi ke Saifah Bani Saidah. Mereka bermesyuarat untuk memilih siapakah yang patut menjadi ketua negara mengganti nabi SAW.

Kemudian mereka mencalonkan tiga orang. Kalangan ahlil bait mencalonkan Ali bin Abi Talib RA. Golongan Ansar mencalonkan Saat bin Ubadah RA dan kalangan muhajirin mencalonkan Abu Bakar RA.

Akhirnya mereka bersepakat memilih Abu Bakar menjadi khalifah. Tidak ada seorang sahabat pun yang ingkar dalam perkara ini. Ini adalah ijmak para sahabat kerana ia adalah nas daripada Quran dan hadis nabi SAW.

Adapun ajaran mengatakan politik tidak ada kena mengena dengan agama adalah ajaran yang masuk dalam agama Kristian yang termasuk dalam sekularisma. Sekularisma adalah ajaran salah dan barangsiapa yang ikut ajaran salah ini dengan pengetahuannya maka jadi MURTAD (keluar daripada agama Islam).

Nauzubillahi minzalik.

Kecuali mereka yang jahil dan dia kena belajar. Walaupun begitu dia berdosa besar dalam perkara ini.

Bila politik ditinggalkan maka berlakulah kemungkaran yang besar.

Penjajah telah menyebarkan ajaran sekularisma di kalangan umat Islam. Ini menjadi penyakit yang sangat merbahaya.

Daripada penyakit inilah orang Islam sanggup mengatakan hukum hudud tidak boleh pakai, hukum Islam tidak sesuai, hukum Islam ketinggalan zaman dan sebagainya.
Ini adalah berpunca daripada pemisahan agama dari politik.

Apabila kerajaan Uthmaniah jatuh, timbul Kamal Artartuk membawa ajaran ini maka Syeikh Mustafa Sabri, Saikul Islam kerajaan Uthmaniah menulis di dalam kitabnya ‘Pendirian Akal Para Ulamak’ menyatakan bahawa
MEMISAHKAN POLITIK DARIPADA AGAMA ISLAM ADALAH JALAN YANG PALING DEKAT UNTUK MENJADI MURTAD.

Mula-mula berdosa dan akhirnya menjadi murtad kerana hanyut dan menafikan hukum-hukum yang ada dalam Quran; hukum pencuri dipotong tangan, hukum orang murtad dan hukum peminum arak dikenakan hukuman hudud dan macam-macam hukum lagi.

Mula-mula tidak diamalkan kemudian bercakap hukum Islam tidak sesuai maka samalah dengan kita kata sembahyang tidak sesuai dan haji tidak sesuai. Itu adalah nas Quran yang tidak boleh dinafikan sekali-kali.

Ini semua adalah penyakit yang dibawa oleh penjajah dan orang Kristian menulis dalam kitab Injil Mata mengatakan bahawa apa yang berhubung dengan Allah itu hak Allah, apa yang berhubung dengan pemerintah itu hak pemerintah.

Pemerintahan adalah hak manusia tetapi agama adalah hak Allah Ta’ala. Allah Ta’ala tidak boleh campur dalam urusan pemerintahan.

Inilah makna memisahkan politik daripada agama. Ini adalah ‘sesat’ yang dibawa oleh sekularisma.

2. Menghalang perlaksanaan hukum-hukum syariat, undang-undang dan cara hidup Islam sepenuhnya dengan menyatakan ianya tidak perlu dan tidak sesuai di zaman sekarang. Cukuplah dengan urusan ibadat dan menjaga diri masing-masing.

Timbul fahaman yang menyatakan hukum syariat tidak perlu lagi diamalkan sekarang. Cukup dengan sembahyang, puasa dan haji. Lain-lain tidak perlu diamalkan sedangkan semua hukum disebut dalam al-Quran.

Hukum berkait dengan jenayah disebut dalam surah al-Maidah: “Wahai orang-orang beriman tunaikanlah akan akad-akad kamu.”

Apa dia akad-akad?

Biasa kita tahu akad nikah dan akad jual beli. Kita tidak tahu itu ialah ASYHADU ALLA ILAHA ILLALLAH WAASYDU ANNA MUHAMMADAN RASULULLAH. Itu adalah akad kita dengan Allah Ta’ala. Dimulakan dengan akad dua kalimah syahadah. Jadi tidak boleh bermain-main dalam perkara ini.

Bila dibaca lagi bertemu dengan ayat:

“Pencuri lelaki dan pencuri perempuan hendaklah dipotong tangan keduanya, hukuman cegahan daripada Allah.”

Baca lagi dan bertemu dengan ayat yang berkait dengan hukum merompak dan menyamun dan banyak lagi ayat-ayat lain berkait dengan hukum-hakam.

Surah al-Maidah ini dimulakan dengan janji kita dengan Allah Ta’ala untuk menunaikan akad-akad termasuk dua kalimah syahadat.

Suratul Nur ada ayat berkait dengan hudud, berkait dengan aurat, berkait dengan hubungan sesama manusia.

Permulaan suratul Nur: “Surah yang Kami telah turunkan dan Kami telah fardukan.”

Surah yang Kami turunkan dan Kami fardukan dan kalau dibaca surah ini bertemu dengan ayat-ayat berkait dengan pemerintahan. Bermakna memerlukan politik. Jika tidak ada politik tidak boleh dilaksanakan ayat-ayat ini.

Bagaimana ada cakap-cakap mengatakan politik kotor.

Politik orang kafir kotor. Politik Allah Ta’ala tidak kotor dan wajib orang Islam beramal dengannya. Tetapi ajaran sekularisma yang dibawa oleh penjajah membuang perkara-perkara ini.

Mereka menyuruh kita tinggalkan hukum-hukum Islam, suruh tinggal undang-undang Islam, kemudian menyuruh tinggal peraturan-peraturan Islam. Cukup dengan menjaga diri masing-masing dan tidak perlu kisah bab pemerintahan. Ini adalah ajaran yang diajar oleh penjajah.

Orang Palastin semenjak tahun empat puluhan sampai sekarang tidak berhenti berperang menjaga tanah air mereka. Masing-masing orang Kasymir, orang Afgan dan orang Sumalia tidak berhenti berjuang mempertahankan tanah air mereka.

Jika kita tidak berjuang mempertahankan tanah air akhirnya hilang maruah. Tidak ada maruah kita di hadapan Allah Ta’ala pada hari kiamat kalau kita tidak menjalankan maruah sebagai orang Islam yang diwajibkan oleh Allah dengan hukum-hukum jihad dan hukum-hukum lain.

Mengapa tidak berjuang?

Kerana dipengaruhi penyakit ‘politik suku agam suku’ yang dibawa oleh penjajah.

3. Melimparkan tuduhan dan fitnah terhadap Islam untuk mengeliru dan menakut-nakutkan orang kepada Islam.

Menyebarkan fitnah terhadap ajaran Islam. Islam ganas. Bila sebut Islam, ganas selalu. Kalau memakai kopiah ganas selalu. Jika menutup aurat ganas selalu. Berpakaian tidak senonoh tidak mengapa. Membuat maksiat dan percampuran bebas seperti binatang pun tidak mengapa.

Jika rajin ulang alik ke masjid, rajin belajar agama, rajin usrah akan diawas oleh golongan tertentu. Membuat maksiat tidak mengapa. Ini adalah fitnah terhadap Islam dan inilah yang disebar oleh penjajah.

4. Menggalakkan cara-cara hidup yang bercanggah dengan Islam seperti mendedahkan aurat, hidup bebas dan melakukan upacara-upacara yang bercanggah dengan kepentingan akhlak.

Membuat perkara-perkara yang bercanggah dengan Islam seperti mendedahkan aurat. Aurat ditutup masa sembahyang sahaja. Di luar sembahyang tidak menutup aurat.

Makna menutup aurat perlu difaham beberapa perkara:

1. Menutup anggota yang diwajibkan bagi orang lelaki dan orang perempuan.

2. Jangan memakai pakaian yang menjolok mata bagi orang perempuan. Tidak boleh memakai pakaian ketat yang menampakkan lembaga tubuh kerana hukumnya haram.

Sabda nabi SAW:

“Dua jenis ahli neraka yang aku tidak sempat tengak yang ada di akhir zaman. Pertama golongan manusia yang melakukan kezaliman yang memukul orang laksana ekor lembu, iaitulah golongan yang berkuasa.

Kedua orang perempuan memakai pakaian macam terlanjang atau memakai perhiasan yang menggoda orang kepada hawa nafsu, mereka menghiaskan rambut mereka laksana gah-gah unta mereka tidak dapat mencium bau syurga pada hari kiamat kelak, sesungguhnya bau syurga itu jarak bertahun-tahun perjalanan.”

Golongan perempuan semacam ini ahli nereka kata nabi.

Hidup bebas lelaki dengan perempuan. Di Mesir ada fatwa untuk orang lelaki bercampur gaul dengan orang perempuan. Untuk menghalalkannya boleh hisab buah dada wanita supaya menjadi adik beradik sesusu.

Seorang alim yang memberi fatwa dan berita itu disiarkan dalam akhbar Mesir. Dia telah dipanggil oleh universiti al-Azhar dan telah dipecat dan dibatalkan kedudukannya sebagai berijazah Azhar kerana memberi fatwa yang sangat jahat.

Melakukan upacara bercanggah dengan akhlak Islam. Membuat jamuan duduk selang seli dengan suami isteri kerana hendak berkenal-kenalan antara satu sama lain sedangkan ianya diharam oleh syarak,

5. Menyalah tafsirkan Islam, menyifatkannya dengan perkara-perkara yang tidak baik dan menganggap gerakan yang merosakkan Islam seperti dilakukan oleh Kamal Artatuk di Turki dan lain-lain sebagai pembaharuan dan pembawa kebaikan.

Orang yang benar-benar membawa Islam, berdakwah, mengajar, tazkirah dan berkhutbah Jumaat dianggap boleh merosakkan orang. Sebaliknya orang yang merosakkan Islam dianggap membawa pembaharuan seperti Kamal Artatuk dan lain-lain.

Khutbah mesti dikawal, mesti sebut mengenai pembangunan dan tidak boleh menyebut kisah akhirat banyak-banyak. Bab dunia jika tidak sebut orang akan kejar juga kerana sudah menjadi tabiat manusia mengejar dunia.

Bab dunia jika tidak diberitahu pun orang akan faham tetapi bab akhirat orang tidak faham jika tidak diberitahu.

6. Menghidupkan semula kesan-kesan sejarah jahiliah dan cara-caranya dengan berusaha supaya tidak dilupakan sejarah itu.

Di Mesir dihidupkan kesan-kesan Firaun. Kubur Firaun dibongkar semula dan mayatnya diletak dalam muzium. Sesetengah orang Mesir bangga dengan kemajuan yang dicapai kerana berjaya mengawit mayat sehingga hari ini.

Ada pula yang berbangga kerana orang Mesir mempunyai tamadun awal dan kitalah anak cucu Firaun.

Begitulah juga di India, di Turki, di Iran dan juga di tempat kita. Dihidupkan semula kesan-kesan sejarah walaupun sejarah jahiliah.

Sejarah Islam dilupakan kemudian dihidupkan cara-cara yang bukan Islam.Wayang kulit yang memuja hantu syaitan dihidupkan dan hiburan-hiburan di zaman jahiliah dihidupkan semula.

7. Menyalurkan fahaman sekularisma melalui pendidikan dan penyebaran am.

8. Menyebarkan ideologi-ideologi yang bukan Islam dalam masyarakat Islam. Disebarkan ideologi kapitalisma, sosialisma, nasionalisma, pragmatisma dan sebagainya kepada orang Islam supaya orang Islam berpegang kepada ideology ini. 

Orang Islam terpengaruh dengan dakyah ini kerana mereka merasakan perkara ini tidak kena mengena dengan agama islam.

Inilah cara mereka merosakkan umat Islam.

KULIAH YT