Showing posts with label PUSAKA. Show all posts
Showing posts with label PUSAKA. Show all posts

Wednesday, November 23, 2016

7 WANITA BERTANYA, SEORANG LELAKI MENJAWAB



Sekumpulan wanita sedang berhimpun berbincang tentang pelbagai permasalahan. Secara tanpa disedari, timbul persoalan dari setiap wanita itu mengenai kekurangan pada wanita yang dirasakan sukar dan tidak adil. Setiap dari seorang mereka menyuarakan persoalan masing-masing.
 
Keluhan wanita pertama:

"Aduh, situ tutup, sini tutup, semua nak kena tutup. Susah la macam ini. Apa fasal laki-laki mudah saja? Tak pakai baju pun tak mengapa. Perempuan auratnya kiri kanan atas bawah depan belakang."

Keluhan wanita kedua:

"Kenapalah kita para isteri ini nak keluar kena minta izin dari suami pulak? Padahal suami nak keluar ke mana-mana pun, tak bari tahu kami tidak mengapa."

Keluhan wanita ketiga:

"Jika kita ikut faraid (pembahagian harta pusaka mengikut Islam), ikut surah al-Nisa dalam hal pusaka, rugilah kita. Sebab bahagian harta pusaka perempuan lagi sikit rasanya berbanding harta yang anak lelaki dapat. Itukah keadilan?"

Keluhan wanita keempat:

"Kenapa Allah jadikan wanita mengandung dan rasa sakitnya nak melahirkan anak? Suami kita senang saja, masa buat anak cari kita. Masa nak beranak, kita yang tanggung sendiri!"

Keluhan wanita kelima:

"Islam kata kita perempuan wajib taat pada suami, tetapi ada Islam cakap suami perlu taat pada isterinya? Mana keadilan pada kaum hawa?"

Keluhan wanita keenam:

"Bila nak cerai je, suami yang boleh jatuhkan talak. Kenapa isteri tak boleh ceraikan suaminya? Kenapa?"

Keluhan wanita ketujuh:

"Wanita tidak boleh nak beribadat macam lelaki, sebab ada haid dan nifas, tidak boleh nak solat dan puasa. Ingat kita perempuan ni suka ke tak solat dan puasa? Dahlah lepas tu kena ganti pulak."

Kemudian datanglah seorang lelaki kepada mereka lalu bertanya, mengapa mereka mengomel tentang kejadian wanita dan kekurangan-kekurangan tersebut. Setelah disoal dengan soalan-soalan di atas, lelaki itu lantas memandang setiap wanita itu sambil tersenyum, seraya menjawab setiap satu daripadanya.

Pada wanita pertama, lelaki itu menjawab:

"Cik adik, Islam lah yang mengangkat aurat wanita. Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang paling aman dan terbaik, kan? Emas dan permata pun tak sanggup kita nak letak terdedah di tepi laluan lalu lalang, sebaliknya kita simpan di rumah atau dalam peti selamat kan? 

Jika anda letakkan perhiasan tadi di kalangan orang, agaknya apa akan jadi dengan barang perhiasan tadi? Lelaki, yang utama hanyalah bawah pusat ke lutut, tapi anda? Saya tidak dapat melihat kulit anda pun kecuali muka dan tangan! Mahalnya harga anda untuk seorang lelaki."

Pada wanita kedua, lelaki itu menjawab:

"Memang, isteri perlu taat pada suami. Tetapi, bagaimana pula lelaki? Seorang suami perlu wajib taat juga kepada ibunya tiga kali lebih utama dari ayahnya, walaupun dia sudah berkeluarga. Isteri pula tidak perlu lagi. Taatnya hanya pada suami. Kenapa anda perlu taat pada suami? Kerana suami andalah yang menanggung SEMUA dosa yang anda lakukan."

Pada wanita ketiga, lelaki itu menjawab:

"Benar wanita menerima warisan pusaka sedikit berbanding lelaki, tetapi harta itu menjadi hak mutlak untuk wanita itu dan dia berhak lakukan apa saja yang dia mahu. Tak perlu dikongsi dengan sesiapa walaupun suami. Lelaki pula, dia perlu membahagikan harta pusaka itu kepada isteri dan anak-anaknya. Kalau isteri dia ramai, anak dia ramai, harta pulak secebis, tak merasalah dia."

Pada wanita keempat, lelaki itu menjawab:

"Tahniah dan terima kasih kepada wanita kerana dapat mengandung dan melahirkan. Setiap kali anda begitu, anda akan didoakan oleh sekalian makhluk dan malaikat. Subhanallah, beruntungnya anda!! Andaikan anda meninggal pula masa beranak tu, percayalah, itu mati syahid dan ganjarannya syurga!!"

Pada wanita kelima, lelaki itu menjawab:

"Akhirat nanti, saya dan lelaki lain di dunia ini akan diminta bertanggungjawab ke atas empat orang wanita. Mereka ialah isteri saya, ibu saya, anak perempuan saya dan adik perempuan saya. Tahu apa maksudnya? Maknanya, anda nanti di akhirat akan dibantu oleh empat lelaki. Siapa mereka? Mereka ialah suami anda, ayah anda, anak
lelaki anda dan adik lelaki/abang anda."

Pada wanita keenam, lelaki itu menjawab:

"Nak beribadat macam lelaki beribadat? Agaknya kenapa Rasulullah SAW lebih suka wanita beribadat di rumah saja berbanding di masjid? Kami lelaki perlu beribadat siang malam untuk mendapat syurga. Anda sebagai wanita boleh masuk sebarang pintu syurga yang anda sukai, tanpa perlu susah payah. Ya, dah lah syurga, ada pilihan pula, hanya dengan empat cara. Solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan taat pada suami anda. Itu saja."

Pada wanita ketujuh, lelaki itu menjawab:

"Saya, seorang lelaki wajib berjihad fisabilillah. Anda, seorang wanita jika taat akan suaminya, dan menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah, maka anda akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi berjihad fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata. Itu janji Allah pada kamu."

Kemudian lelaki itu bertanya mereka pula:

"Sebenarnya, apa lagi yang awak mahu, wahai kaum hawa?"
Wanita-wanita tadi menangis dan salah seorangnya berkata, "Masya Allah, sayangnya Allah pada wanita, namun kami sendiri yang mengheret diri ke neraka yang mana ramainya kaum kami berbanding kaum lelaki!"

Allah yang menciptakan kita, maka sudah pasti Dia yang Maha Mengetahui pada manusia, sehingga segala hukum-Nya, malah peraturan-Nya, tentulah yang terbaik bagi manusia dibandingkan dengan segala peraturan yang dicipta manusia.

"Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu; Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”  (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Friday, October 14, 2016

TUDUH-MENUDUH ATAU LEBEL-MELEBEL


Dalam kuliah, ceramah, seminar  atau dalam muktamar,  kata-kata kesat, tuduh-menuduh atau lebel-melebel kadang-kadang dikeluarkan sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja.

Kata-kata dianggap kesat dan lebel-melebel seperti broker, barua, munafik, pelahap, pengedar pil kuda, luput tarikh  dan jahil. 

Soalannya adakah kata-kata kesat dan lebel-melebel diizinkan oleh syarak?. Kalau diizinkan adakah dalam semua kontek atau keadaan? Sepatutnya kita menyoal mengapa kata-kata itu dikeluarkan.

Dalam keadaan normal kata-kata manis dan kata-kata indah digunakan. Dalam keadaan luar biasa segala-galanya boleh berlaku dan diizinkan. Mengikut kajian dalam perjuangan khususnya politik adalah lebih baik banyak menyerang daripada mendiamkan diri.

Ambulan yang membawa pesakit kritikal membunyi sairen supaya semua memberi laluan, dipandu dengan laju tanpa mengira trafik light hijau atau merah untuk menyelamatkan nyawa pesakit. 

Dalam keadaan kecemasan penumpang kapal terbang diarah keluar mengikut pintu kecemasan dan lupa bagasi masing-masing. Keselamatan nyawa lebih penting.
Bila air banjir melepasi paras bahaya penghuni diarah pindah. Apatah lagi bila air mencecah bumbung rumah. 

Dalam keadaan dharurat, tidak ada makanan lain dan kalau tidak makan mati maka daging babi yang haram itu boleh dimakan. 

Kita wajib mempertahankan anak isteri daripada diperkosa. Kalau mati kerana mempertahankan anak isteri dan harta benda adalah mati syahid. 

Dalam keadaan aman kita bertindak secara aman, tetapi kalau musuh sudah masuk dalam negara, jihad menjadi wajib ain.

Apa pula nasnya:

1. Nabi Musa berkata kepada Firaun “Celaka kamu Firaun” – Al-Quran.

Tidakkah perkataan celaka itu kesat dan merupakan lebel diberi kepada Firaun. Kata-kata itu dilapazkan dalam majlis pertarungan sehir antara nabi Musa dan ahli sehir Firaun. Majlis itu dihadiri oleh Firaun dan pembesarnya serta orang ramai. Keadaan itu adalah keadaan kritikal bagi nabi Musa, bukan keadaan biasa.

2. Nabi Muhamad SAW berkata kepada seorang pemuda musyrikin “ Kalau kamu pergi ke Madinah aku pancung kepala kamu” Mengapa nabi berkata demikian?  Pemuda itu menerajang kepala nabi ketika sedang sujud menyebabkan batal sembahyang. Satu keadaan yang amat luar biasa.

3. Nabi berkata kepada Abu Zar “Wahai Abu Zar, kamu masih ada lagi perangai jahiliah” Nabi berkata dan melebel perangai jahiliah kerana Abu Zar menghina anak seorang hamba abdi.

4. Saidina Umar berkata kepada Hatib, seorang sahabat,  “Ya Rasulullah biar saya pancung kepala si munafik ini” Lebel munafik diucapkan oleh Saidina Umar kerana sahabat itu telah membocor rahsia peperangan. Membocor rahsia peperangan boleh dihukum bunuh tetapi nabi tidak bertindak kerana sahabat itu ahli Badar.

5. Saidina Abu Bakar berkata kepada seorang Yahudi “Kalau rasulullah tidak ada perjanjian dengan kaum kamu nescaya aku tampar kamu” Mengapa Saidina Abu Bakar yang terkenal dengan sikap sabar dan lembut berkata begitu kesat?  Kerana si Yahudi itu menghina nabi Muhamad SAW.

6. Saidina Abu Bakar berkata kepada Saidina Umar “Masa jahiliah bapak samseng, bila masuk Islam penakut” Lebel bapak samseng terhadap Saidina Umar kerana menunjukkan kelemahan menghadapi tentera Rom yang akan menyerang Madinah. Suatu keadaan kritikal kerana tentera Rom ramai.

7. Saidina Ali membakar orang Yahudi yang membuat salah secara hidup-hidup. Satu tindakan luar biasa yang bercanggah dengan syariat Islam. Itu sahaja cara untuk menggerun orang-orang Yahudi yang degil. Selepas tindakan itu negara menjadi aman. Saidina Ali ialah salah seorang empat sahabat yang dijamin syurga.

8. Nabi mengarahkan menukar kiblat daripad Baitul Mukaddis kepada Ka’abah, Mekah apabila ayat Quran diturunkan mengenai perpindahan itu. Orang Yahudi mengambil peluang menghentam agama Islam. Mereka berkata “Agama bentuk apa, bertukar-tukar kiblat, sekali mengadap ke sini dan sekali mengadap ke sana” 

Di peringkat awal Islam, Baitul Mukaddis adalah kiblat orang Islam. Bila berkiblatkan Baitul Mukaddis mereka berkata “ Mengapa ikut kiblat kita, agama bentuk apa, patut ada kiblat sendiri” 

Ubah kiblat mereka kritik dan tidak ubah kiblat pun mereka kata juga. Itulah sikap orang Yahudi dan sikap demikian ada zaman kita ini.

Agama bukan akal. Kalau agama akal, orang perempuan yang sifat fizikal lebih lemah daripada orang lelaki sepatutnya pembahagian pusaka orang perempuan dapat dua bahagian dan orang lelaki dapat satu bahagian. 
Sembahyang lebih afdal daripada puasa. Kalau agama itu akal, orang perempuan yang suci daripada haid sepatutnya qadar sembahyang dan puasa Ramadan tidak payah qadar.

Kita dilarang memperolak-olakan syurga dan neraka serta hukum hakam Allah, dilarang menyakiti hati nabi dan ulamak soleh yang berada dalam perjuangan yang benar. 

Mengkritik ulamak dan perjuangan di atas landasan yang benar, secara membabi-buta boleh merugikan kita dan akan menerima padahnya di akhirat kelak.

-  KULIAH TAFSIR YT