Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping manusia. Boleh
dikatakan ia sebagai ‘kembar’ manusia. Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia
ini pasti ada Qarinnya sendiri. Rasulullah s.a.w sendiri tidak terkecuali. Cuma
bezanya, Qarin Rasulullah adalah Muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir.
Pada umumnya Qarin yang kafir ini kerjanya
mendorong dampingannya membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was, melalaikan
solat, berat nak baca Al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja sekuat tenaga
untuk menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan.
Firman Allah: “Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran
(Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan
baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan
itu (Qarin) temannya yang tidak renggang daripadanya.” (Az-Zukhruf 43:36)
Untuk mengimbangi usaha Qarin ini Allah utuskan
malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan.
Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana
yang lebih kuat. Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan
menjadikan pengaruh Qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca
“Bismillah” sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyak berzikir, membaca
Al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Tiada seorang pun
daripada kamu melainkan sudah diwakili bersamanya Qarin daripada jin dan
malaikat. Mereka bertanya: “Engkau juga ya Rasulullah?”
Sabdanya: “Ya aku juga ada, tetapi Allah telah
membantu aku sehingga Qarin itu dapat ku islamkan dan hanya menyuruh aku dalam
hal kebajikan sahaja.” (Hadith Riwayat Muslim dan Ahmad)
Aisyah r.a menceritakan bahawa pada suatu malam
Rasulullah s.a.w keluar dari rumahnya (Aisyah), lalu Aisyah berkata: “Aku
merasa cemburu.”
Tiba-tiba Baginda s.a.w berpatah balik dan
bertanya: “Wahai Aisyah apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?”
Aku berkata: “Bagaimana aku tidak cemburu orang
yang seumpama engkau ya Rasulullah.”
Sabda Baginda s.a.w: “Apakah engkau telah dikuasai
oleh syaitan?”
Aku bertanya: “Apakah aku ada syaitan?” Sabda Baginda s.a.w:
“Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin.”
Aku bertanya lagi: “Adakah engkau pun ada syaitan
ya Rasulullah?” Jawab Baginda: “Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku
telah masuk Islam.” (Hadith Riwayat Muslim)
Di dalam hadith lain Rasulullah s.a.w bersabda yang
bermaksud: “Aku dilebihkan daripada Nabi Adam a.s dengan dua perkara, iaitu
pertama syaitanku kafir lalu Allah menolong aku sehingga dia Islam.
Kedua, para
isteriku membantu akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan isterinya
membantu ia membuat kesalahan.” (Hadith Riwayat Baihaqi)
Ibn Muflih al-Muqaddasi menceritakan: Suatu ketika
syaitan yang mendampingi orang beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi
orang kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan yang
mengikuti orang kafir itu gemuk.
Maka ditanya mengapa engkau kurus, “Bagaimana
aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah dia berzikir, makan dia ingat
Allah, apabila minum pun begitu.”
Sebaliknya syaitan yang mengikuti orang kafir itu
pula berkata: “Aku sentiasa makan bersama dengannya dan begitu juga minum.”
Qarin akan berpisah dengan ‘kembarnya’ hanya
apabila manusia itu (kembarnya) meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan
di alam barzakh, sedangkan Qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah
panjang.
Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti
maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi Qarin
akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan
yang dilakukan manusia itu.
No comments:
Post a Comment