Thursday, February 9, 2017

CIRI KUMPULAN ISLAM SEBENAR

Sabda Rasulullah SAW:

ولا تزال طائفة من أمتي يقاتلون على الحق ظاهرين إلى يوم القيامة
 
Akan senantiasa ada satu kumpulan dari kalangan umatku yang terus berjuang di atas kebenaran, mereka zahir sehingga hari kiamat.[HR Muslim]

Hadis ini menunjukkan bahawa kumpulan manusia yang memperjuangkan Islam akan senantiasa ada di setiap zaman. Samada ianya dinamakan sebagai parti, kumpulan,  atau jemaah, ia membawa makna serupa saja. Yang penting ciri mereka adalah memperjuangkan Islam sebagaimana cara yang Nabi SAW tinggalkan. Nabi SAW sudah tiada, tetapi kumpulan yang meneruskan perjuangannya akan tetap ada sampai hari kiamat.

Sifat kumpulan ini dinyatakan oleh Allah SWT:

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
 
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
[Ali Imran:102]

Di dalam ayat ini menggariskan tiga sifat utama yang menjadi syarat wajib kumpulan Islam yang mewarisi perjuangan Nabi iaitu:

1. Berdakwah

2. Suruh Kebaikan

3. Cegah Kemungkaran

Ada kumpulan yang pilih dakwah sahaja, tidak mahu suruh dan cegah. Sebabnya mereka nak buat yang orang tak marah sahaja. Suruh dengan cegah ni boleh buat orang marah. Maka ini bukan sifat kumpulan Islam sebenar yang mewarisi perjuangan Nabi. Mereka kumpulan serpihan sahaja.

Walau bagaimanapun kita tidak boleh mencela kumpulan sebegini. Kita tidak bermusuh dengan mereka yang ambil pendekatan mengajar sahaja, dakwah buat kebajikan sahaja. Cuma kita perlu tahu kumpulan Islam sebenar ganti Nabi mesti ada tiga syarat di atas.

Kumpulan yang dimaksudkan ini akan tetap ada sampai hari kiamat. Samada menang atau kalah, kuat ataupun lemah, mereka tidak akan lenyap sekali-kali. Walau macam mana zalim sekalipun penindasan ke atas mereka, mereka tak peduli. Dipenjara mahupun dibunuh, mereka tetap bertahan sampai bila-bila.

Oleh sebab itu Allah jadikan agama Islam tidak mati. Tak akan padam cahaya Islam ini kerana orang yang memperjuangkan dan mempertahankannya akan tetap ada. Walaupun terpaksa berlapar dahaga, lemah, daif dan miskin, mereka tidak akan sekali-kali tunduk kepada musuh Islam.

Sehinggalah turun nabi Isa di akhir zaman. Pada waktu ini kumpulan tersebut dipimpin oleh Imam Mahdi. Mereka seramai 800 orang lelaki dan 400 orang wanita.

Masjid Rusila
21 Rabiul Akhir 1438
20 Januari 2017

_(Alang Ibn Shukrimun)_

No comments:

Post a Comment