Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran:
|
"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu
hingga kamu mengikut agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk
Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikut
kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi
menjadi pelindung dan penolong bagimu." (Surah Al-Baqarah: ayat 120)
"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu
hingga kamu mengikut agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk
Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikut
kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi
menjadi pelindung dan penolong bagimu." (Surah Al-Baqarah: ayat 120)
Sebaik sahaja gagalnya rampasan kuasa di Turki oleh segelintir
tentera yang mengaturnya, keseluruhan negara barat, termasuk negara Islam yang
berada di bawah ketiaknya yang busuk itu membuat kenyataan menyokong kerajaan
Turki yang dipilih secara demokrasi, dengan peringatan supaya menghormati
undang-undang dan hak asasi manusia, termasuk tidak menjatuhkan hukuman bunuh
terhadap mereka yang nyata terlibat dengan rampasan kuasa yang telah terkorban
dibunuh dan cedera ditembak.
Beberapa minggu dan bulan sebelum rampasan kuasa, beberapa media
barat menyiarkan penulisan yang menyatakan kebimbangan dan keraguan terhadap
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang dianggap melakukan perubahan yang
dikira ancaman dan bahaya oleh mereka khususnya kembali kepada Islam dan
mengubah kiblat politiknya dalam hubungan antarabangsa.
(merujuk kepada Foreign Afairs 30 Mei, Foreign Policy 15 Jun, New
Yorks Times 5 Julai)
Perlu diketahui senario dahulu yang diulang lakonannya, betapa
kuasa besar barat yang berjaya menumbangkan kerajaan Uthmaniyyah di awal abad
yang lalu, setelah berjaya mengkhadamkan pemerintah umat Islam yang berpeluang
mendapat kerusi berkuasa memerintah negara tanpa hala tuju Islamnya, di samping
Kerajaan Uthmaniyyah yang sangat uzur itu berjaya ditumbangkan, sehingga tanah
air umat Islam dijajah, dipecah dan diperintah, rakyatnya diabdikan, hartanya
rompak.
Setelah berjaya meletakkan Kamal Atartuk yang ditabalkan sebagai
"Bapa Turki" moden dengan menyingkirkan Islam dan melanyaknya
habis-habisan, sehingga dimasukkan ke dalam buku teks di seluruh negara jajahan
termasuk negara kita supaya mengagungkan Kamal Atarturk.
Kamal Atartuk seorang ketua tentera diktator disanjung oleh barat
sebagai seorang yang paling demokrasi dengan perlindungan istimewa melalui
perlembagaan Turki yang dipilih anggotanya secara pilihan raya bebas dan demokratik,
telah meletakkan di dalam perlembagaan Turki, prinsip dan konsep sekularisme
yang mengharamkan politik Islam dengan apa cara sekalipun.
Sesiapa sahaja pemimpin yang hanya mencuba untuk memasukkan agenda
Islam dalam kerajaannya mewajibkan tentera mengambil alih kuasa dengan
perlindungan perlembagaan, inilah demokrasi ala Turki. Maka, sesiapa yang mahu
memakai jenama Erdogan di Malaysia mesti membaca dan memahaminya.
Di awal tahun 50-an, Ali Adnan Menderes, seorang tokoh ilmuan
Turki (peguam) keluar daripada Parti Kamal Atarturk (Parti Republik Rakyat) dan
menubuhkan Parti Demokrat berdasarkan sekularisme mengikut undang-undang Turki.
Parti ini mencapai majoriti besar dalam Pilihanraya Umum 1954 dan
Adnan dilantik menjadi Perdana Menteri, beliau berjaya meningkatkan ekonomi
Turki dalam aspek pertanian sehingga menjadi negara pengeksport pertanian besar
ke pasaran Eropah, dengan mendapat sokongan besar daripada rakyat.
Tiba-tiba tentera dipimpin oleh General Jamal Jorsel merampas
kuasa Adnan bersama Menteri Luar Potin Rusydi Zoghlo dan Menteri Kewangan Hasan
Pulatkan dijatuhkan hukuman bunuh, kerana dituduh mengheret Turki kepada Islam.
Semua negara barat berdiam diri apabila Islam menjadi mangsanya.
Selepasnya, muncul pula Profesor Najmuddin Erbakan tokoh
jurutera, pencipta jentera berat di Jerman, khususnya menggunakan diesel.
Beliau pulang ke Turki pada tahun 1960, sehingga berjaya melahirkan 300 orang
pakar jentera dan Turki dapat mengeluarkan 30,000 buah jentera diesel setahun,
menjadikannya tokoh yang sangat dihormati di Turki.
Seterusnya, beliau masuk ke alam politik menubuhkan Parti
Kebangsaan Turki. Selepas sembilan bulan parti ini diharamkan kerana amaran
panglima tentera General Muhsin Batur disebabkan lantangnya bersuara Islam.
Tahun 1972, Profesor Erbakan menubuhkan Parti Selamat Negara dan
berkerjasama dengan Parti Artaturk, sehingga dilantik menjadi Timbalan Perdana
Menteri, sehingga juga berjaya mengheret Turki menyerang Cyprus bagi
menyelamatkan umat Islam yang dibunuh oleh Kristian Ortodok Greece dan
memulihkan hubungan Turki dengan negara Islam, serta berjaya mengharamkan
Pertubuhan Fremasson yang mendukung perjuangan yahudi, seterusnya menyokong
perjuangan Rakyat Palestin. Akhirnya, Jeneral Kanan Ivreen merampas kuasa
kerana menyelamatkan sekularisme Turki. Profesor Erbakan ditahan dan diharamkan
berpolitik.
Ketika beliau masih dikenakan tahanan rumah pada tahun 1983, saya
berkesempatan berkunjung ke rumahnya dan mengenali Profesor Erbakan, selepasnya
terjalin hubungan yang sangat akrab dan sering kali mengajak saya mengiringinya
dalam lawatan antarabangsa.
Pada tahun 1992, Profesor Erbakan yang masih diharamkan berpolitik
menubuhkan Parti Refah (kemakmuran) dengan dipimpin oleh Profesor Ahmad Tekdal.
Pada tahun 1996, Parti Refah mencapai kemenangan bersama Parti
Toreliq Qawim (Jalan Betul). Kerjasama yang mencapai kemenangan menubuhkan
Kerajaan Campuran, akhirnya Profesor Erbakan dilantik menjadi Perdana Menteri.
Beliau mengambil langkah menubuhkan D-8, iaitu gabungan lapan buah
negara umat Islam bersama Iran, Mesir, Pakistan, Nigeria, Indonesia, Malaysia
dan Bangladesh. Mewujudkan kerjasama ekonomi dan lain-lain.
Adapun Recep Tayyip Erdogan berjaya menang sebagai Datuk Bandar
Istanbul, dan akhirnya tentera memaksa Profesor Erbakan meletakkan jawatan dan
Parti Refah diharamkan juga, akibatnya juga Profesor Erbakan dan beberapa
pemimpin termasuk Erdogan dipenjarakan. Setelah dibebaskan, Profesor Arbakan
tidak dibenarkan berpolitik sehingga meninggal dunia pada 27 Februari 2011.
Pengikut tegar Profesor Erbakan menubuhkan Parti Saadat dengan
meneruskan pendekatannya. Adapun Recep Tayyip Erdogan dan Abdullah Gol
menubuhkan Parti Adalat dengan dasar yang lebih ekstrem berterus-terang
sekularnya sehingga mengadakan perjanjian tidak melaksanakan Islam di hadapan
para jeneral tentera, meneruskan hubungan dengan Israel dan barat, sehingga
memenuhi segala syarat untuk menjadi anggota Kesatuan Eropah (EU) namun tidak
diluluskan juga.
Langkah yang dimarahi oleh gurunya Profesor Erbakan, namun Erdogan
memekakkan telinga terhadap gurunya tanpa menjawab. Langkah Erdogan membebaskan
dakwah dan kegiatan masjid, serta berterus-terang menyokong Palestin, dalam
masa yang sama mencipta keadaan memulihkan hubungan dengan Israel, sehingga
mendedahkan diri kepada kritikan yang keras daripada dalam dan luar, tetapi
tidak mendapat kepercayaan barat dan sekutu-sekutunya.
Bahkan, polisi barat mengepung Turki terlibat dengan krisis negara
jirannya, dan sekutu barat menguatkan ancaman pemberontak komunis Kurdis, dan
mencipta tembakan Turki ke arah pesawat Rusia dan lain-lain.
Barang kali kerana Erdogan dan rakan-rakan yang akrab dengannya
tetap bersolat dan beramal dengan cara hidup seorang Islam, isteri-isteri
mereka berjilbab dalam majlis rasmi pun tetap menjadi teguran yang keras
daripada golongan sekular, walaupun di atas konsep demokrasi dan hak-hak asasi
manusia terhadap masing-masing.
Akhirnya merobekkan topeng barat yang menipu dan berpura-pura
terhadap umat Islam di sepanjang masa, menunjukkan prejudis, oportunis,
"double-standard", hasad dan lain-lain sifat lagi yang sangat negatif
terhadap Islam, walaupun Islam dan penganutnya sangat berbudi dan berbahasa
terhadap mereka, sejak zaman keemasan tamadun Islam sehinggalah zaman menjadi
sasaran kezaliman mereka, dengan penjajahan, perhambaan, sehinggalah dijadikan
mangsa pembunuhan perebutan kuasa dan ujian senjata.
Umat Islam terus menjadi sasaran fitnah kerana agamanya.
Demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan yang sebenar, keadilan yang saksama
hanya ungkapan manis yang tidak dirasa kalau berbau Islam sahaja. Semua
kemenangan parti yang berteraskan Islam atau ada tanda-tanda menuju ke arah
Islam tanpa mengira bangsa dan mazhab tetap dinafikan.
Sejarah kemenangan Masyumi di Indonesia di tahun 50-an diguling
dan diharamkan, kemenangan Mujahidin Afghanistan menghalau Soviet
dikacaubilaukan sehingga mencetuskan huru-hara yang tidak padam sehingga kini,
begitu juga kemenangan Parti Islam FIS di Algeria hanya dalam pilihan raya
Majlis Perbandaran dirampas kuasa dan diharamkan secara terbuka, menjatuhkan
Presiden Mursi di Mesir dengan dramanya yang tersendiri, sikap barat terhadap
Revolusi Islam bermazhab Syiah di Iran juga dipulau dengan fatwa negara barat
sehingga menyekat segala usahanya menyatukan umat menentang Israel dan
lain-lain.
Kini giliran Turki dengan pendekatan Erdogan yang dinafikan
Islamnya secara undang-undang yang merumitkan, dilakukan rampasan kuasa tentera
yang diulang senarionya tiba-tiba menemui kagagalan. Sebaik sahaja beritanya
tersebar, dapat disaksikan betapa negara penjajah dan sekutunya menunggu dan
lihat siapa yang menang.
Kecuali Mesir yang menyokong rampasan kuasa gagal itu secara
berani kerana mengikut sunnahnya, sehingga lebih ke hadapan daripada Israel
yang membisu.
Semua negara barat terkini mendesak supaya Turki menghormati
undang-undang tidak menjatuhkan hukuman mati oleh mahkamahnya nanti ke atas
mereka yang nyata terlibat dalam rampasan kuasa yang gagal itu, sedangkan
mereka boleh melakukan pembunuhan kerana perbezaan warna kulit membunuh
beramai-ramai menyerang Afghanistan dan Iraq kerana khabar angin adanya senjata
merbahaya atau adanya seorang sahaja yang diburu seperti Osama bin Laden,
Saddam Hussin, Muammar Ghadafi atau Ayatullah Khomeini dan sebagainya,
sebaliknya melindungi Salman Rusydi dan rakan-rakannya tanpa mahkamah dan bukti
yang kukuh.
Mereka juga memejam mata terhadap pembunuhan rakyat Palestin,
Rohingya dan terakhirnya hukuman mati ke atas para pemimpin Jamaat Islami di
Bangladesh kerana kesalahan tidak menyokong perpecahannya daripada Pakistan
setelah berlalunya masa lebih empat puluh tahun.
Perlu diperkenalkan tiga tokoh yang menggagalkan rampasan kuasa
Turki, mereka bersama Erdogan, mereka ialah, Perdana Menterinya Binali
Yildirim, Pemangku Penglima tentera yang memimpin operasi menentang
pemberontakan, Jeneral Omet Dawardar dan Ketua Perisikan, Jeneral Dr Hakan
Fidan.
Kali ini diharapkan jeratnya tidak mengena, laksana ayamnya
terlepas, tangan berbau najis.
Benarlah firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 109:
"Banyak di antara ahli kitab menginginkan sekiranya mereka
dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, kerana rasa
dengki dalam diri mereka, setelah kebenaran jelas bagi mereka. Maka maafkanlah
dan biarkanlah mereka, sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Sesungguhnya
Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu."
"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
No comments:
Post a Comment