Wednesday, February 22, 2017

KEJAYAAN UNIK H355

Objektif utama penganjuran H355 tentu sekali bagi menunjukkan sokongan terhadap RUU355 yang menjadi polemik hangat politik tanahair ketika ini. Ia bertujuan memberi signal kepada para ahli parlimen muslim untuk menyokong RUU ini. Justeru kejayaan sebenar H355 adalah apabila parlimen berjaya meluluskannya dalam sidang akan datang.
Namun di sebalik itu, H355 telah berjaya mencipta banyak kejayaan sampingan yang tidak kurang besarnya kepada tanahair. Untuk tidak memberatkan pembaca, saya ringkaskan ianya kepada 12 sahaja dan dibahagikan kepada dua bahagian:

*_BAHAGIAN PERTAMA_*:

1. KEJAYAAN MENGANJUR HIMPUNAN SEMATA-MATA ATAS NAMA ISLAM
Melalui H355, PAS berjaya memainkan peranan yang sejak sekian lama diperjuangkannya iaitu membangkitkan kesedaran ummah tentang Islam. H355 sangat berbeza dengan himpunan-himpunan lain sebelum ini samada dalam atau luar negara. Walaupun ada himpunan yang turut dianjur oleh gerakan Islam lain seperti PAS di luar sana, tetapi himpunan tersebut tidak semata-mata atas sentimen agama.
Kebanyakannya himpunan atau demonstrasi lain menumpang sentimen kemanusiaan, penindasan atau penyelewengan untuk menarik peserta. Baik himpunan revolusi, Palestin, menentang penjajah atau sebagainya, semuanya itu memiliki nilai moraliti yang dikongsi bersama tanpa mengira batas agama.
Berbeza dengan H355, ianya mutlak atas nama Islam. Ia tidak ada kena mengena dengan soal penindasan, penyelewengan dan seumpamanya. Walaupun ada wakil BN yang berucap di pentas H355, tetapi imej penyelewengan dan kekejaman BN tidak memberi kesan signifikan terhadap kehadiran peserta.
Ini menunjukkan peserta benar-benar hadir atas sentimen pembelaan agama. Mereka hadir kerana faham. Inilah kejayaan unik PAS yang tidak ada dalam sejarah mana-mana bangsa.

2. KEJAYAAN MENUNJUKKAN HIMPUNAN PALING SISTEMATIK DAN PROFESIONAL

Sebuah lagi kejayaan unik buat PAS adalah berjaya menunjukkan contoh sebuah perhimpunan tanpa yang teratur, aman, bersih dan harmoni tanpa provokasi pra-matang. Dengan penyelarasan yang sangat baik antara sekretariat himpunan dengan pihak keselamatan dan DBKL, himpunan ini sangat berbeza dari himpunan anjuran pihak-pihak lain.
Berbanding dengan himpunan gergasi seperti GST dan beberapa siri Bersih anjuran pihak lain, himpunan kali ini sangat harmoni bermula dari peringkat perbincangan lagi. Tiada sebarang kontroversi yang timbul. Syarat ‘tuan tanah’ dipatuhi, rundingan dilakukan secara profesional tanpa melibatkan media sebagai pencetus propaganda mempengaruhi pertimbangan pihak berwajib.
Ia boleh dianggap satu kejayaan bagi menjadikan hujah selepas ini bahawa perhimpunan atau demokrasi tidaklah semestinya berakhir dengan kerugian. Ia juga boleh mematahkan pendapat agamawan yang mengharamkan demonstrasi atas alasan huru-hara.

3. KEJAYAAN KHUSUS BUAT JABATAN AMAL

Pujian wajar diberikan kepada Jabatan Amal Malaysia. Merekalah tulang belakang H355. Banyak kerja-kerja jentera kerajaan dipermudahkan oleh mereka. Baik dari kawalan lalu lintas, parkir kenderaan, bantuan kecemasan hinggalah mengawal provokasi yang cuba dicetuskan. Tindakan pantas menangkap seorang lelaki yang membakar bendera DAP perlu dibanggakan. Selain Jabatan Amal, tiada pihak yang dilihat memainkan peranan sebegini selain pihak polis dalam mana-mana himpunan.

Kalau saya tidak tersilap, belum ada gerakan Islam atau parti politik lain yang memiliki sebuah organisasi unik seperti Jabatan Amal. Tanpa gaji, tanpa keuntungan politik, tanpa kemasyhuran dan tanpa sebarang ganjaran, PAS berjaya menghimpunkan ribuan sukarelawan ikhlas seluruh negara melakukan kerja-kerja amal kerana Allah. H355 berjaya menunjukkan kepada dunia seluruhnya, organisasi di bawah PAS ini adalah entiti yang sangat berkaliber.

Berdasarkan prestasi yang semakin baik, Jabatan Amal wajar diberikan anugerah merit oleh pihak keselamatan negara. Mereka juga boleh diangkat sebagai sukarelawan keselamatan rasmi yang diberikan kepercayaan oleh pihak polis seperti skuad Rela. Sekiranya ada pihak lain mahu meminta permit menganjurkan sebarang himpunan, pihak polis boleh mengsyaratkan agar penganjur melantik Ja
batan Amal sebagai pengawal keselamatan.

4. KEJAYAAN MENARIK SOKONGAN RAKYAT TANPA PEMBANGKANG LAIN.

Kejayaan seterusnya adalah membuktikan kepada semua kumpulan pembangkang lain, PAS mampu berdiri di atas kaki sendiri. Ratusan ribu yang hadir mampu menutup pengkritik yang mengatakan PAS bakal tenggelam dari arus politik negara jika tidak bersama blok Pakatan Harapan.
Ini sekaligus membuktikan idea PAS membentuk blok politik ketiga bukan sebuah retorik. Penyertaan beberapa parti kecil dan ratusan NGO bersama blok Gagasan Sejahtera sudah cukup untuk membuktikan PAS memahami tuntutan sebilangan besar rakyat Malaysia.
Hakikat yang tidak dapat dinafikan, PAS memiliki kekuatan sendiri dan tidak perlu menumpang pihak lain. Perkara ini sememangnya sudah dapat dikesan awal oleh parti politik lain samada pemerintah mahupun pembangkang. Kerana itulah Umno terus mencari peluang bekerjasama dengan PAS. PH dan sekutu yang sebelum ini mendabik dada kesombongan menyisihkan PAS, kini sanggup berlutut dan cium kaki demi mengharap PAS bersama.

5. KEJAYAAN SENI KERJASAMA DENGAN KERAJAAN

Kejayaan seterusnya adalah mengambil peluang dari kerjasama dengan kerajaan. Walaupun ramai pihak mengecam sikap PAS yang tidak ‘lawan cacang’ kerajaan, tetapi PAS tidak mempedulikannya. Dalam isu RUU355, ramai berkata PAS telah ditipu Umno. Dakwa mereka, Umno tidak ikhlas menyokong RUU355. Umno hanya gunakan isu ini untuk selamatkan diri yang sudah kelemasan. Kalau betul Umno ikhlas, sudah lama mereka lakukan kerana PAS sudah membawa perkara ini di Parlimen sejak sekian lama.
Tidak dinafikan ada munasabah semua pandangan itu. Tetapi PAS bijak menggunakan peluang yang terhidang untuk mencapai matlamat perjuangan dan dalam masa yang sama tidak merugikan imej politik. Kalau benar Umno hanya berlakon untuk mengembalikan sokongan, mereka telah tersilap langkah kerana yang naik nama dalam isu RUU355 dan juga H355 adalah PAS dan bukannya Umno. Mereka cuma menyebabkan ahli Umno sendiri yang tertarik kepada PAS, tanpa ahli PAS atau non-partisan lain tertarik dengan mereka.
Sama juga seperti isu Rohingya. Umno melalui jentera kerajaan mengambil peluang semaksima mungkin untuk membuktikan mereka juara isu ini. Tetapi kajian terbaru Merdeka Center menunjukkan majoriti responden selain dari bersetuju dengan kerjasama tanpa mengira batas politik dalam isu ini, mereka juga bersetuju tindakan Umno hanya bersifat politik.

6. KEJAYAAN MENGEPALAI ISU

PAS sebagai sebuah parti politik bukan kerajaan. Tetapi mampu menganjurkan sebuah himpunan dengan melibatkan tokoh tertinggi kerajaan seperti Menteri dan Mufti selain bekas-bekas menteri, wakil rakyat serta pegawai kerajaan berpangkat JUSA. Turut hadir adalah tokoh-tokoh dari NGO-NGO berpengaruh negara seperti para ayahanda Pekida dan Perkasa.
Perkara ini adalah satu lakaran kejayaan ke arah kematangan politik negara. PAS membuktikan bahawa walaupun dikategorikan sebagai pembangkang, tetapi mampu membawa budaya politik yang sangat matang sebaris kemajuan politik negara-negara maju. Berdiri di atas satu tujuan, PAS berjaya membuang sentimen lain yang menyebabkan perpecahan. Bukti BPMS bukanlah gagasan bersifat retorik.

Kejayaan H355 turut menjadi indikator bahawa PAS mampu mencipta, mengepalai dan mengawal keinginan rakyat. Umum mengetahui sejak dari awal, RUU355 adalah dicetuskan oleh PAS sendirian. Walaupun tanpa sokongan media arus perdana dan turut mendapat tentangan dari portal siber terkemuka, PAS tetap berjaya mengetengahkan idea mereka di persada negara.

Bersambung ke bahagian 2..

_(Alang Ibn Shukrimun)_

No comments:

Post a Comment