Thursday, February 23, 2017

*ULAMA MENGHARAMKAN PERLEMBAGAAN TATAR YANG MENCAMPUR ADUKKAN AJARAN ISLAM DAN AGAMA LAIN*

PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK
Tatar ialah satu kaum yang tinggal di Asia Tengah. Salah seorang rajanya bernama Gengis Khan. Mereka adalah kaum yang ganas dan suka berperang. Pengajian di sekolah-sekolah mereka adalah tentang ilmu peperangan seperti naik kuda, memanah, bergusti dan seumpamanya.

Tatar bercita-cita untuk menakluk dunia. Mereka keluar dari negerinya dan bermula dengan menyerang China, India, tanah Arab hingga ke sempadan benua Afrika.
Setelah Gengis Khan meninggal, kepimpinan Tatar diteruskan oleh anak-anak Gengis iaitu Kublai Khan dan Hulagu Khan. Kublai Khan menyerang empayar China dan juga India hingga jatuh. Hulagu pula masuk ke Baghdad menyerang pusat pemerintahan Islam di bawah khilafah Abasiyah.

Oleh kerana khalifah pada waktu itu leka dibuai hawa nafsu, tenggelam dengan harta dan perempuan, membiarkan maksiat berleluasa, tidak pedulikan pertahanan negara, maka Baghdad lumpuh diserang Tatar. Berjuta-juta umat Islam mati dibunuh. Darah mengalir merata-rata tempat sehingga Baghdad bertukar menjadi kolam darah. Bau mayat tidak hilang dalam tempoh empat tahun lamanya.

Dalam tempoh penaklukan Tatar, kaum itu telah menggubal satu perlembagaan yang dinamakan Yassa. Ia adalah hasil campuran agama Islam, Kristian dan Yahudi. Menjadikan hukum-hakam bercampur aduk antara halal dan haram.
Ulama-ulama pada waktu itu, antaranya Ibnu Kathir menyebut dalam tafsirnya bahawa haram kepada umat Islam menerima perlembagaan ini walaupun terdapat sebahagian ajaran Islam di dalamnya. Bahkan kalau percaya kepada perlembagaan tersebut, boleh murtad dan jatuh kafir.

Ini yang kita perlu faham. Tolak hukum-hakam al-Quran dan percaya kepada undang-undang lain boleh kafir walaupun masih solat, puasa, haji dan sebagainya. Ulama-ulama pada waktu itu memberi fatwa dengan sangat berani, tegas mempertahankan kesucian Islam.

Setelah menjatuhkan Baghdad, Hulagu masuk menakluk Syria, kemudian ke Palestin dan bersedia untuk menyerang Mesir. Mesir waktu itu diperintah oleh kerajaan Mamalik daripada keturunan hamba abdi. Mereka bercadang untuk memungut cukai dari rakyat bagi melawan Tatar. Namun Imam an-Nawawi dari Syria berfatwa bahawa haram memungut fatwa selagi perbendaharaan negara masih ada. Begitu juga fatwa daripada Izzuddin bin Abdul Salam yang digelar sebagai Sultanul Ulama (Ulama yang menguasai sultan), mengharamkan cukai dikutip selagi mana harta-harta dalam istana, termasuk diri raja sendiri dijual untuk mempertahankan negara. Akhirnya kerajaan akur dan tidak memungut cukai.

Tidak lama selepas itu berlakulah peperangan Ain Jalut antara umat Islam Mesir dipimpin oleh Raja Zahir Baybars dengan tentera Tatar pimpinan Hulagu. Ain Jalut merupakan sebuah wilayah di Palestin. Umat Islam berjuang dengan membawa slogan "Wa Islamah", bermakna "demi Islam", "selamatkan Islam", kerana Islam dalam bahaya.

Allah mentakdirkan kemenangan berpihak kepada Islam. Peristiwa itu telah mengejutkan dunia seluruhnya. Bagaimana Tatar yang mampu mengalahkan China, India dan hampir memerangi Eropah, tiba-tiba kalah dengan kerajaan Islam Mamalik yang berasal dari kumpulan hamba abdi.

Bukan itu sahaja, sebahagian besar tentera Tatar akhirnya memeluk Islam. Kebanyakan mereka adalah dari tentera yang asal menakluk tanah arab, dan sebahagian yang masuk ke India.

Masjid Rusila
20 Jumadal Ula 1438
17 Februari 2017

_(Alang Ibn Shukrimun)_

No comments:

Post a Comment