Thursday, December 29, 2016

ISIS BAYANGAN MUSUH AL-MAHDI

Sabda Rasulullah SAW:

ولا تزال طائفة من أمتي يقاتلون على الحق ظاهرين إلى يوم القيامة قال: فينزل عيسى ابن مريم، صلى الله عليه وسلم، فيقول أميرهم: تعال صل لنا، فيقول: لا، إن بعضكم على بعض أمراء تكرمة الله هذه الأمة
 
Akan senantiasa ada satu kumpulan dari kalangan umatku yang terus berjuang di atas kebenaran, mereka zahir sehingga hari kiamat. Maka akan turun Nabi Isa dan ketika itu pemimpin kumpulan itu berkata: Silalah menjadi imam solat kami. Nabi Isa menjawab: tidak, bahkan sebahagian kamu menjadi pemimpin sebahagian kamu, sebagai memuliakan umat ini. [HR Muslim]

Hadis ini menunjukkan beberapa perkara. Antaranya menggambarkan bahawa perjuangan Islam tidak akan terpadam sekali-kali. Walaupun lemah, tetap ada golongan yang memperjuangkannya. Mustahil dihapuskan.

Setelah 100 tahun Baitul Maqdis jatuh ke tangan tentera Salib, Allah kembali memenangkan Islam di bawah pimpinan Salahuddin al-Ayyubi dari bangsa Kurdi. Pada tahun 1916, termeterai perjanjian Lousianne bagi membatalkan Khilafah Uthmaniah. Tahun ini genap 100 peristiwa itu. Kita tak tahu apa akan berlaku akan datang.

Dinyatakan juga dalam Hadis ini perihal pemimpin masa depan yang digelar al-Mahdi yakni yang beroleh petunjuk. Sunni dan Syiah semuanya percaya dan menunggu ketibaannya, cuma masing-masing berbeza dalam menentukan ciri-cirinya.

Imam al-Mahdi sendiri tidak tahu bahawa dia adalah bakal pemimpin. Beliau tidak mahu menjadi pemimpin sehingga melarikan diri. Tetapi ada kalangan umat Islam yang diberi ilham, mengetahui bahawa dialah al-Mahdi, lalu mencarinya, dan membawanya ke Masjidil Haram antara Kaabah dan Maqam Ibrahim.

Tatkala beliau bersandar di situ, umat Islam memberi baiah kepadanya. Akhirnya beliau menerima hakikat bauawa dia adalah imam al-Mahdi.

Bukan macam orang hari ini. Kalau ada yang sendiri-sendiri mengaku dia adalah al-Mahdi jangan percaya. Itu semua bohong. Imam Mahdi sebenar tidak akan mengaku.

Pada awalnya jumlah umat Islam yang memberi baiah cuma 313 orang, sama jumah dengan ahli badar. Ramai umat Islam tidak berani memberi baiah kepadanya. Sehingga muncul tentera al-Sufyaniyyin, yakni beruniform antara Iraq dan Syam bergerak untuk memerangi imam Mahdi, lalu di sana mereka ditelan bumi. Ketika itu barulah orang Islam percaya bahawa itulah Imam al-Mahdi yang sebenar.

Jangan pergi ke Syria! Yang nak sangat pergi berperang di Syria, nak jadi tentera tersebut pergilah. Ini adalah tanda besar tentang kemunculan imam mahdi, bila ada tentera mahu memerangi Mekah lalu bumi menelan mereka.

Selepas itu ramailah umat Islam pergi membaiah Imam al-Mahdi. Nabi pesan pergilah berbaiah walaupun merangkak di atas salji. Apa maknanya? Di Mekah tidak ada salji sekarang. Menunjukkan bahawa cuaca akan beralih. Iklim tanah arab akan bertukar kerana peralihan kutub. Tanah arab akan kembali subur. Ini disebut dalam hadis.

Masjid Rusila
2 Rabiul Awwal
2 Disember 2016
(Alang Ibn Shukrimun)

No comments:

Post a Comment