Saturday, December 31, 2016

TAHALUF DENGAN BUKAN ISLAM DALAM POLITIK



Ada banyak cara tahaluh dengan bukan Islam sebagaimana yang disebut dalam kitab-kitab fekah. Ada tahaluf syiasi, ada muajaah, ada Syulus, ada Hudnah, ada Ta’awun dan ada Isti’anah. Ini semua adalah hubungan dengan orang bukan Islam dalam politik.

Kita pernah buat tahaluf dan Ta’awun. PAS pernah bertahaluf dengan UMNO tahun 1970. Kita istiqamah dengan dasar kita. Bila berlaku peristiwa 13 Mei, arwah Tun Razak, perdana menteri masa itu mengajak PAS masuk kerajaan.

Ekoran ajakan itu Dewan Ulamak bermesyuarat dan membuat muzakarah. Kita boleh masuk dengan syarat, dan dibuat muktamar khas. Dalam muktamar khas ini mengikut syarat-syarat yang dibuat oleh Dewan Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat sebanyak lapan syarat dan tiga syarat penting. Syarat penting ialah:

1. PAS dibenarkan untuk melaksanakan Islam dalam kerajaan.
2. PAS dibenarkan berdakwah, mengajar dan bersuara di Kementerian-kementerian dan Jabatan-jabatan Kerajaan dan pusat-pusat pengajian tinggi.
3. PAS dibenarkan membangkang kerajaan jika tidak bersetuju. PAS tidak terikat dengan disiplin parti Barisan Nasional. Mengikut kaedah Barisan Nasional Ahli Parlimen tidak boleh membangkang, jika bangkang akan dipecat daripada parti.

Akhirnya kita masuk kerajaan campuran tahun 1970. Tahun 1974 ditubuh Barisan Nasional.

Mula-mula kita minta hapuskan arak dan hapuskan majlis tari menari dalam majlis-majlis kerajaan kesan daripada penjajahan British masih ada. Belum apa-apa lagi ada seorang wakil rakyat PAS masa itu menari dan disiarkan dalam surat khabar. PAS mengambil keputusan memecat beliau daripada parti walaupun kehilangan satu kerusi parlimen.

Pemimpin UMNO masa itu berkata apa salah letak sedikit sahaja. Datuk Asri kata sedikit atau banyak tidak boleh. Jika ada arak pemimpin PAS akan pulau majlis itu. Kemudian dihapus arak dalam majlis dan dibuat bilik khas untuk orang bukan Islam. Akhirnya orang Islam yang minum arak dalam bilik itu malu kepada kita lalu dihapuskan sehingga hari ini.

Iklan arak dan iklan judi dalam TV diminta hapuskan. Kita minta radio dan TV ada azan tiap-tiap waktu sembahyang, ada azan sampai sekarang.

Bila sampai peringkat berbincang untuk melaksanakan syariat, hukum hudud dan enakmen maka mulalah berlaku pertembungan antara kita dengan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional pada masa itu.

Apa yang penting, pengaruh Islam masuk di kementerian-kementerian, masuk dalam Polis, masuk dalam Tentera, masuk di universiti-universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi. Orang pun mula membuka mata kepada Islam. Ini merisaukan pemimpin-pemimpin pada masa itu.

Kemudian berlakulah cara-cara dan helah-helah menyebabkan PAS dikeluarkan daripada Barisan Nasional tahun 1978 dengan mengambil kesempatan daripada kerisis Kelantan. Kerisis Kelantan ini hanya sebab diwujudkan untuk melayakkan PAS dikeluarkan. Sebab yang sebenar ialah kerana PAS berjaya memasukkan pengaruh Islam dalam jentera-jentera kerajaan.
 
Tahun 1990 PAS bertahaluf dengan Semangat 46. Semangat 46 bertahaluf dengan DAP tetapi PAS tidak bertahaluf dengan DAP. Hasilnya kita menang di Kelantan.

Bila menjadi pemerintah Kelantan kita gubal Undang-undang Jenayah Syariat – Qisas, Hudud dan Taqzir. Kita perkasakan undang-undang Islam. Kita membuat seminar, kita dakwah, kita dedah kepada orang bukan Islam dengan mengadakan dialog.

Tahun 1999 kita bertahaluf dengan Pakatan Rakyat terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat, DAP. Parti Rakyat dan PAS dengan nama Barisan Alternatif. Kita kekal dengan tujuan melaksanakan syariat selepas kita menang di Terengganu.

Masa itu DAP minta kita senyapkan perjuangan untuk menegakkan Islam dalam negara. Kita tidak senyap, tetap terus dengan perjuangan kita dan ini menyebabkan DAP keluar daripada Barisan Alternatif tahun 2000. Tahun 2004 DAP masuk semula.
 
Kali terakhir DAP menimbul masalah lagi bila kerajaan Kelantan mengadakan perundingan dengan kerajaan pusat. Ini hasil suara-suara Islam masuk dalam jabatan-jabatan kerajaan. Mereka yang muda masa itu menjadi ketua hakim sekarang, menjadi peguam negara, menjadi ketua dan pegawai polis sekarang, maka suara-suara Islam mula mendesak supaya melaksanakan Islam dalam diri kerajaan. Ini menyebabkan kerajaan pusat bersedia untuk berunding dengan Kelantan. Jadi dibenarkan kerajaan Kelantan berunding dengan kerajaan pusat.

Langkah pertama ialah meminda perkara 355 perlembagaan. 355 adalah Jadual ke-9 yang hanya mengizinkan mahkamah Syariat menghukum tidak lebih daripada tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan. Hukuman yang lebih rendah daripada mahkamah rendah. Hinanya mahkamah syariah.

Kita minta dipinda perkara 355 supaya mahkamah syariah boleh menghukum dengan hukum yang menepati hukum syariat. Pindaan ini memerlukan majoriti mudah, cuma lebih satu undi sahaja. Jika lebih satu undi dalam parlimen, Kelantan boleh melaksanakan undang-undang ini.

Ini menyebabkan DAP melenting. Bila DAP marah kita minta berjumpa dengan mereka. Diatur perjumpaan dengan DAP dan masa itu Karpal Sigh ada, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng ada. Kita PAS bertegas ini hak Islam, hak orang Islam bukan hak orang bukan Islam dan mereka tidak boleh ganggu.

Akhirnya DAP bersetuju membuat kenyataan bersama itu hak Kelantan. Adapun DAP tidak setuju itu adalah hak DAP. Hak Kelantan hendak melaksanakan syariat ini. DAP setuju dan mereka menandatangani surat. Datuk Sri Anwar, Lim Kiat Siang dan Tuan Guru Haji Hadi menandatangani surat itu.

Perkara ini disebar dalam akhbar-akhbar masa itu. Tiba-tiba bila sampai masa kemuncak kita hendak bawa di Kelantan dia membantah pula. DAP membuat satu langkah yang keras jika kita membawa juga undang-undang itu dia akan keluar daripada Pakatan Rakyat. PAS kata hendak keluar sila keluar. Kita tegas dengan pendirian kita.

Kedua DAP menentang gerakan dakwah di Sarawak. Di Sarawak ada kegiatan dakwah dan berjaya menarik orang bukan Islam, kaum bumiputra masuk Islam. DAP tidak senang dan pemimpinnya membuat kenyataan menentang pendakwah kita di Sarawak. Ini kurang ajar dan melampau batas terhadap orang Islam. DAP kena sedar hak orang Islam untuk berdakwah.

Kita ajak mereka berbahas mengenai Islam dan mengenai hukum hudud. Bahkan kita sudah berbincang dengan mereka dan di kalangan mereka mengatakan mereka sudah bersetuju hukum hudud tetapi mereka takut penyokong mereka tidak menyokong mereka.

Ada pula kalangan bukan Islam mengatakan mereka takut jika hukum hudud, qisas dan ta’zir dilaksanakan orang bukan Islam akan masuk Islam. Ini sebenarnya, takut kalau Islam dilaksanakan orang bukan Islam akan masuk Islam.

Kerajaan Parti PAP hendak berdialog dan presiden pergi ke Singapura. Masa dalam Malaysia parti DAP dan bila keluar daripada Malaysia jadi PAP. Lim Kuan Yieu datang ke Malaysia berjumpa dengan pimpinan tertinggi PAS. Kita berbincang jangan takut kepada Islam. Akhirnya dia menjemput Presiden ke Singapura bersyarah dan berdialog di Universiti Nanyang. Bersyarah 40 minit dan berdialog 40 minit.

Profesornya menyoal tentang hukum Islam dan presiden menjawab satu persatu. Presiden terang bagaimana hakimnya, saksinya bagaimana dan termasuklah hukum sebat dalam Islam. Sungguhpun begitu mereka menolak hukum syariat.

Itu DAP, memanglah mereka tidak bersetuju dengan hukum syariat. Tetapi yang menjadi masalah pemimpin dalam PAS bimbang DAP keluar daripada pakatan, takut lambat ke Putrajaya. Ini bukan cara perjuangan kita.

Perjuangan kita yang paling besar ialah mencari keredhaan Allah. Ada orang mempersendakan dalam facebook. Buat main-main tentang keredhaan Allah.

Nabi berkata:

“Barangsiapa mencari keredhaan Allah walaupun manusia marah Allah akan jadikan dia redha kepadanya dan Allah jadikan manusia redha kepadanya. Barangsiapa yang mencari keredhaan manusia walaupun dimurka oleh Allah, Allah Ta’ala murka dan Allah akan jadikan manusia akan marah kepadanya akhirnya.”

Ini yang diajar oleh nabi walaupun orang tidak bersetuju. Hendak kalah, kalahlah pilihan raya. Jika menang pilihan raya Allah Ta’ala tidak redha apa faedahnya. Keredhaan Allah Ta’ala sangat penting. Menang kita hendak dan keredhaan Allat Ta’ala pun kita hendak.

Macam-macam timbul, tidak sampai hati kerana sudah berkawan lama dengan DAP, malu kepada kawan.

Allah berkata:

“Katakanlah sekiranya ayah kamu, adik beradik kamu, anak isteri kamu keluaga kamu, perniagaan yang kamu takut rugi, rumah yang kamu hendak buat takut terbengkalai sehingga tidak berjihad kepada jalan Allah, tunggulah Allah Ta’ala akan membinasakan kamu.”

Dengan Quran dan hadis inilah kita pegang maka akan berjalan terus di atas thawabit, di atas perkara dasar dan kita boleh meraikan perkara yang boleh berubah. Yang berubah, boleh berubah dan yang tetap tidak beroleh berubah sekali-kali. Ini pendekatan yang kita ambil.

KJULIAH YT


No comments:

Post a Comment