Monday, December 19, 2016

BINTANG 12



Firman Allah Ta’ala surah an-Nahl ayat 105:

“Sebenarnya yang tergamak berdusta itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, dan mereka itu ialah orang-orang yang bertabiat berdusta.”

Dalam ayat ini Allah Ta’ala gambarkan ada kelompak manusia yang sanggup berdusta dan mereke membohongi ayat-ayat Allah SWT dan mereka bertabiat berdusta.

Apa yang tertarik dalam ayat itu ialah Allah Ta’ala memulakan dengan “sesungguhnya orang tergamak mengadakan pembohongan”

Siapakah golongan ini?

Allah Ta’ala menyebut mereka tidak beriman kerana mereka tidak memperdulikan ciptaan-ciptaan Allah.

Mereka ini Allah Ta’ala menyebut golongan penipu, pembohong dan dalam ayat 106 surah an-Nahl Allah Ta’ala menyebut mereka ialah golongan yang tidak percaya kepada Allah dan tidak percaya kepada ketentuan Allah selepas mereka beriman.

Oleh itu jika kita hendak mengaitkan tentang ‘Bintang 12’ golongan ini tidak mempercayai nilai-nilai sunnatullah pada ciptaan alam semesta ini. Mereka lupa Allah cipta alam ini tidak dicipta mengikut hawa nafsu seseorang kerana jika ciptaan alam ini seperti pergerakan bulan, bintang dan sebagainya, mengikut hawa nafsu seseorang nescaya rosak alam ini.

Sekarang ramai manusia dalam suasana moden ini mencari petunjuk daripada ramalan untung nasib, percaya kepada nujum dan sebagainya. Makin maju masyarakat makin teruk keadaannya.

Di Jepun dan Korea sebagai contoh, kepercayaan kepada astrolok iaitu orang yang pandai membaca Fong Suwei dan sebagainya adalah menjadi suatu pegangan kuat mereka. Apabila hendak memulakan sesuatu perkara itulah yang dirujuk terlebih dahulu.

Ahli-ahli astrolok ini pandai meramalkan masa depan menerusi pergerakan alam ini yang Allah Ta’ala menyebut kamu jangan membaca alam ini mengikut hawa nafsu kamu, tetapi kamu kena baca mengikut sunnatullah.

Allah Ta’ala menyebut dalam surah Fathil ayat 43:

“Dan kamu tidak akan melihat banyak sangat perubahan pada pergerakan alam ini melainkan sunnatullah.”

Inilah yang pernah berlaku kepada nabi SAW. Nabi pernah berdakwah di tengah-tengah masyarakat Arab yang sangat percaya kepada ramalan mengenai bintang-bintang.

Ada tiga golongan yang besar di zaman nabi SAW

1. Golongan kahin atau kuhan yang mampu meramal peristiwa-peristiwa ghaib di masa akan datang.

2. Golongan ar-Rab iaitu kumpulan yang mampu meramal barang-barang hilang dan mengetahui pula siapa pencurinya.

3. Golongan munajjim yang meramal berdasarkan pergerakan bintang-bintang di langit.

Ketiga-tiga golongan ini perlu dihadapi oleh nabi SAW dan perlu diajak mereka ini kembali kepada ajaran yang sebenar. Bahkan nabi disuruh meramal bagaimana masa depan orang Arab dan pelbagai lagi.

Jawapan nabi dirakamkan dalam al-‘Arab ayat 188:

Katakanlah:

"Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan.

Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman".

Pernah nabi SAW didatangi oleh beberapa orang dan bertanya:

“Ya Muhamad dalam tangan kami ada apa.”

Lalu nabi SAW menjawab:

“Saya bukan tukang ramal. Semua tukang ramal akan dimasukkan ke dalam neraka.”

Oleh itu kita kena hati-hati. Walaupun kadang-kadang bermula dari suka-suka tetapi lama kelamaan jadi percaya lalu kita meletakkan setiap tindak tanduk kita mesti berdasarkan ramalan bintang-bintang itu.

Astrologi dan astronomi bunyinya hampir sama tetapi maksudnya jauh berbeza.

Ilmu astrologi ialah ilmu yang mengkaji tentang pergerakan atau perjalanan benda-benda langit ataupun seisi langit seperti matahari, bulan, bintang, planet-planet dan sebagainya.

Orang yang mengkaji ilmu ini percaya bahawa pergerakan ini memberi kesan dan pengaruh kepada kehidupan manusia. Ia juga untuk meramal masa depan berdasarkan kepada letaknya dan geraknya sekumpulan benda-benda langit.

Jika dikira apa benda yang mereka nampak di alam cakrawala itu seperti satu bentuk binatang atau pun satu bentuk benda yang mereka namakan sebagai horoskop.

Ilmu astrologi juga ialah ilmu untuk meramal karaktor dan juga keberuntungan manusia. Dengan mengetahui ilmu astrologi mereka mengatakan bahawa mereka boleh meramalkan harapan dan persahabatan. Mereka boleh meramalkan keberuntungan dan juga kerugian hidup dan mereka boleh juga meramalkan kematian dan kehidupan.

Ilmu astronomi atau apa yang disebut ilmu falaq iaitu sesuatu yang beredar. Ilmu ini ialah satu ilmu sain tabii yang mengkaji tentang perjalanan alam cakrawala tetapi ilmu ini fungsinya berlainan dengan fungsi ilmu astrologi.

Ilmu astronomi ini untuk kita melihat waktu solat, kita hendak mengetahui tarikh untuk berpuasa, hendak mengetahui tarikh hari raya dan hendak mengetahui arah kiblat. Jadi ini merupakan dua bidang ilmu yang sangat jauh berbeza walaupun bunyinya hampir sama.

Dari perspektif agama jelas bahawa ilmu astrologi ini tidak diiktiraf oleh al-Quran. Tidak ada mana-mana ayat al-Quran pun mengiktiraf ilmu untuk meramal nasib berasaskan apa yang ada di langit.

Jadi jika kita tahu tarikh lahir orang, kita tahu dari mana dia lahir, kita tahu jampinya dan kita padam pula dengan tarikh lahirnya dan jantinanya serta kita padamkan pula dengan bentuk rias bintang di langit maka kita kata orang ini umurnya tidak panjang.

Ini menyedihkan bila dia lahir menjadi orang sihat dan kaya raya tiba-tiba bila melihat bintang mengatakan tidak panjang umur.

Dalam surah Yasin ayat 40:

“(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.”

Ini yang disebut sebagai ilmu falaq atau pun ilmu astronomi. Dengan dua cabang ilmu ini kita boleh melihat kekuasaan Allah terdapat dalam dua-dua ilmu ini. Jika ilmu itu digunakan dengan cara yang betul dan dengan tujuan yang tepat mengikut syarak maka sudah tentulah apa yang kita lakukan tidak bertentangan dengan agama.

Oleh itu sudah tentu Allah mengarah supaya memerhatikan segala penciptaannya pada waktu siang dan waktu malam tetapi bukan untuk kita menduakan kuasanya.

Dari sudut sejarah, astrologi dikatakan berasal dari Misopotamia iaitu di daratan antara sungai Digris dan sungai Irfan yang merupakan daerah asal orang-orang Babilon iaitu di sebelah tenggara Iraq.

Jadi ilmu astrologi ini berkembang sejak zaman Babilon iaitu kira-kira 2 ribu tahun sebelum masihi lagi.

Secara bertahap demi bertahap kepercayaan dan amalan ini semakin berkembang dan perkembangan ini bila sampai kepada satu tahap yang dikenali dengan ramalan zodiak iaitu horoskop, satu bukti perkembangan sejarah astrologi bermula dari 2 ribu tahun sebelum masihi lagi.

Oleh itu berkenaan dengan horoskop atau dalam perbincangan kita ialah bintang 12, ramalan yang menunjukkan kedudukan relatif objek-objek di langit seperti hari, bulan, planet dan seumpamanya.

Dalam bahasa Unani Horoskop itu bermaksud melihat jam iaitu untuk memperolehi horoskop seseorang atau pun hendak mengetahui tempat, hari, tarikh lahir dan sebagainya akan dikira dalam kiraan melihat jam itu.

Segala tarikh pula akan jatuh pada salah satu daripada 12 lambang-lambang Zodiak. Dalam kontek umat Islam kita merenung sejenak kerana 12 zodiak yang kita suka-suka selalu bila melihatnya, tidak sesuai langsung dengan peribadi muslim.

Dari sudut sejarah:

1. Bintang bernama Capricorn, ini untuk orang yang lahir kononnya antara 21 Disember dan 20 Januari. Menurut metos Unani Capricorn berlambang kambing. Kambing ini pernah memberi air kepada dewa Zius iaitu dewa yang tertinggi sekali bagi bangsa Unani.

Untuk mengenang jasa-jasa kambing ini, kambing dijadikan bintang lalu bercahayalah di langit. Ini mengarut, kerana untuk melihat kambing tidak perlu lihat bintang di langit.

2. Aquarius – 21 Januari hingga 21 Februari.

Lambangnya seorang pemuda gagah yang sedang menuang air dari tempayan yang besar. Menurut sejarah dia adalah pemuda bernama Gani Nedes iaitu seorang khadam yang paling setia dengan dewa Zius.

Sebagai mengenang jasa dia juga dilantik menjadi bintang di langit. Ini juga karut.

3. Pisces – 22 Februari hingga 21 Mac.

Ini berlambangkan dengan dua ekor ikan yang telah berjasa membawa dewi Venus iaitu dewi kecantikan dan dewi Emas iaitu dewi perang ke sungai Ifrat kerana semata-mata dikejar oleh orang jahat.

Untuk mengenang jasa kedua-dua ekor ikan ini dilantik menjadi bintang.

4. Aries – 22 Mac hingga 20 April.

Ini dilambangkan dengan seekor biri-biri. Ini bukan sembarang biri-biri tetapi biri-biri berbulu emas yang dikurbankan kepada dewa tertinggi sebagai persembahan dan dewa Zius memang suka menerima biri-biri itu juga dilantik menjadi bintang.

5. Taurus – 21 April hingga 21 Mei.

Ini dilambangkan dengan seekor lembu jantan. Taurus berasal dari kalimat Taura yang bererti lembu jantan yang merupakan jelmaan dari dewa Zius. Dewa Zius ini suka berkahwin ramai. Jadi dia terpikat dengan puteri-puteri di Eropah lalu dia menjelma jadi seekor lembu supaya dia dapat menawan hati puteri-puteri Eropah.

Lalu lembu itu dikekalkan menjadi bintang di langit.

6. Gemini – 22 Mei hingga 21 Jun.

Dilambangkan dengan sepasang anak kembar dan mereka adalah putera kepada dewa Zius. Anak kembar bernama Kastol dan Polig.

7. Cancer - 22 Jun hingga 22 Julai. Ini dilambangkan dengan dua ketam

8. Leo – 23 Julai hingga 22 Ogos.

Dilambang dengan singa sebab Herculis berlawan dengan singa dan lawan dengan ular yang jadi ketam. Akhirnya ketam dan singa ini menjadi bintang.

9. Virgo – 23 Ogos hingga 22 September. Ini dilambangkan dengan puteri cantik.

10. Libra – 23 September hingga 23 Oktober. Dilambangkan dengan neraca timbangan.

11. Scorpio – 24 Oktober hingga 21 November. Lambangnya ialah kala jengking kerana dahulu putera Zius membunuh kala jengking. Lalu kala jengking menjadi bintang.

12. Sagitarius – 22 November hingga 21 Disember. Ini dilambangkan dengan kuda yang berkepalakan manusia.

Jadi mari kita fikir sesuai atau tidak orang Islam percaya kepada bintang-bintang yang karut marut ini. Fikir fikirlah.

Ada kalangan kita mungkin pernah terbaca waktu remaja dahulu tentang ramalan bintang yang disebut di dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah. Pada hari ini ramalan bintang dihantar setiap hari melalui SMS, facebook, Wasap dan sebagainya.

Mengapa pagi-pagi lagi kita hendak handfone ada mesej tertulis mengenai ramalan bintang kita pada hari itu. Jika bukan kerana kepercayaan atau bukan kerana terkesan pada diri sendiri untuk kita meneruskan kehidupan pada hari itu maka sudah pasti kita tidak akan menerima mesej begitu rupa.

Jika kita tidak yakin dengan ramalan bintang sudah pasti kita tidak akan baca pun majalah-majalah hiburan atau pun akhbar-akhbar yang menulis mengenai ramalan ini.

Kadang-kadang pada mesin penimbang berat, selepas menimbang dikeluarkan berat badan dan dikeluarkan pula satu kad menyatakan umur tidak panjang, cinta tidak kesampaian, rezeki tersempit dan sebagainya.

Jadi bila membaca ramalan-ramalan timbul perasaan sedih, hilang semangat dan seumpamanya. Sebagai contoh bintang Scorpio ramalannya berbunyi pekerjaannya pada minggu sentiasa tertangguh.

Jadi pada minggu ini apabila membuat kerja mesti tertangguh. Oleh itu secara saikologi apa kerja pun dia tidak mahu dubuat minggu ini kerana bintangnya berkata demikian. Lebih baik dia buat benda lain.

Mengenai asmara pula ramalan berkata anda berasa jemu. Jadi, ini membuat dia ada masalah pada masa itu kerana dia patah semangat.

Dari segi kewangan pula rezeki diperolehi tidak sebanding dengan usaha yang anda lakukan. Akibatnya dia akan membuat kerja kerana rezeki dapat sedikit.

Dari mana datang kepercayaan karut marut ini kalau tidak kerana ramalan bintang.

Dari segi saikologi, orang mempercayai zodiak ini menyebabkan dia menyerahkan untung nasibnya kepada sesuatu yang khayalan dan berbentuk sangkaan. Peringkat awalnya mungkin suka-suka tetapi kadang-kadang kebetulan betul.

Apabila betul maka dia pun mula menaruh kepercayaan lagi dan lagi. Akibatnya dia terus percaya kepada perkara karut marut.

Hari ini semua maklumat boleh didapati di hujung jari menyebabkan dia pandai membuat ramalan masa depan. Oleh itu setiap orang perlu menyedari bahawa segala ramalan itu tidak benar sekali pun menepati dengan ramalan.

Mempercayai kepada ramalan bintang 12 sangat bercanggah dengan syarak kerana mencampuri ilmu Allah dan hendaklah dielakkan.

Dalam ilmu orang Melayu ada yang berkaitan dengan ramalan ini. Apa yang berbeza orang-orang tua tidak melihat sesuatu yang berlaku itu berdasarkan kepada pergerakan bintang, tetapi berdasarkan petanda-petanda alam.

Sebagai contoh, mereka yang duduk di kampung bila melihat air sungai berbuih di hilir, itu tanda banjir akan berlaku. Bila melihat air laut putih bersih, itu tanda ombak besar akan datang. Ini semua petanda-petanda alam yang mungkin berbeza dengan ramalan bintang dua belas.

Orang tua-tua dahulu ada juga apabila hendak kahwin memilih tarikh 1, 2, 3 dan 4. Satu ialah tanah, dua air, tiga api dan empat angin. Jangan memilih tarikh tiga dan empat kerana mungkin bergaduh. Itu berdasarkan kepada pengalaman.

Apa yang kita khuatir ialah kita terlalu percaya kepada sesuatu ramalan itu. Bila ada kecurian sebagai contoh, pergi menemui penenun nasib lalu diberitahu kecurian dilakukan oleh sianu dan sianu. Ini boleh berlaku fitnah dalam masyarakat.

Orang yang melakukan ramalan dan memohon untuk diramal nabi memberikan pelbagai ancaman. Antaranya ialah:

“Sesiapa yang pergi berjumpa dengan orang yang membuat ramalan dan mempercayai ramalan itu maka orang ini telah engkar terhadap apa yang telah diberikan wahyu oleh Allah kepada nabi Muhamad SAW.” (Riwayat Abu Daud, Tarmizi dan lain-lain)

Dalam hadis lain:

Sesiapa berjumpa dengan tukang tilik dan bertanya sesuatu perkara dan mempercayainya, sembahyangnya tidak diterima selama 40 hari.”

Sesuatu berlaku ada kaitan dengan izin Allah. Kalau Allah izin maka jadi dan sebaliknya jika Allah tidak izin maka tidak berlaku.

Oleh itu perkara-perkara ramalan perlu diberi perhatian keran dia memberi kesan kepada aqidah.

Ilmu meramal bintang ini merupakan satu ilmu nujum atau ilmu meramal perbintangan. Ilmu nujum ini berkait dengan sihir. Pengamalnya mengetahui perkara ghaib kerana ada sesuatu selain dari kuasa Allah yang menyebabkan dia tahu. Sedangkan tidak ada kuasa yang lebih besar daripada kuasa Allah SWT.

Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Sesiapa yang mempelajari ilmu nujum bermakan dia telah mempelajari cabang daripada ilmu sihir dan apabila bertambah ilmu nujum bertambahlah ilmu sihirnya.”

Jadi, asalnya sedikit sahaja ilmu sihir tetapi apabila dipelajari ilmu nujum maka ilmu sihir akan bertambah.

Dalam hadis riwayat Ahmad dengan sanat Hasan ini:

“Hampirnya ilmu nujum dan ilmu sihir ini kerana ilmu nujum sebahagian daripada sihir.”

Kedua-duanya tidak dibenarkan oleh syarak.

Bila disebut tentang ramalan bintang membawa maksud seseorang itu mengetahui sesuatu yang ghaib dan tidak diketaui oleh orang lain.

Inilah yang dikatakan secara langsung atau tidak langsung bahawa dia percaya ada zat selain Allah yang mengetahui perkara yang ghaib ini. Padahal Allah telah tegaskan dalam al-Quran bahawa tidak ada kuasa yang mengetahui perkara ghaib melainkan Allah SWT.

Dalam ayat yang lain pula Allah menegaskan:

“Tidak seseorang pun yang mengetahui apa yang akan berlaku esok.”

Yang mengetahui bila hendak diturunkan hujan, mengetahui di mana seseorang itu akan mati hanya Allah SWT. Tidak ada kuasa lain melainkan kuasa Allah SWT.

Jadi ramalan bintang juga merupakan satu ramalan perdukunan.

Oleh itu orang berjumpa dengan dukun yang membuat ramalan sama ada dia percaya atau tidak maka solatnya tidak diterima 40 hari.

Walaupun tidak percaya tetapi kenapa jumpa juga. Seolah-olah kita membelek majalah atau akhbar kita tengak zodiak dan kita baca seolah-olah kita menemui peramal. Kita percaya atau pun tidak itu masalah lain.

Yusuf al-Qadawi ada mengulas tentang hukum membaca ramalan bintang ini. Jika seseorang itu membaca zodiak maka hukumnya adalah haram dan solatnya tidak diterima selama 40 hari walaupun dia tidak membenarkan ramalan itu.

Mengikut Yusuf Qadawi lagi jika dia membaca zodiak kemudian dia membenarkan pula ramalan itu maka dikatakan kufur terhadap ajaran Muhamad SAW.

Jika dia membaca zodiak tujuannya semata-mata untuk membantah dan untuk engkar sifat atau pun amalan syirik ini maka hukum dituntut bahkan menjadi wajib untuk memberi pengajaran kepada orang lain.

Jadi ramalan bintang patut dijauhi sama sekali kerana bercanggah dengan Islam.        

Kepada yang belum pernah cuba untuk meramal nasib menggunakan horoskop atau melihat tapak tangan dan seumpamanya adalah lebih baik jangan buat. Cuba pun jangan walaupun untuk suka-suka sebab nabi menyebut:

“Sesiapa yang berjumpa tukang nujum walaupun dia tidak percaya, tetapi oleh sebab dia pergi maka sembahyangnya tidak diterima oleh Allah selama 40 hari.”

Walaupun ramalan dibuat horoskop itu betul, bukan betul tetapi secara kebetulan. Tetapi jangan pula ramalan cuaca pun takut hendak tengak. Maksud ramalan di sini ialah bersifat untung nasib.

Apa yang sudah berlaku dan akan berlaku adalah sesuatu yang sudah ditakdirkan oleh Allah Ta’ala 50 ribu tahun sebelum diciptakan langit dan bumi ini.

Jadi kita sebagai manusia mesti berusaha supaya sedaya upaya untuk mendapat semua hal yang baik. Jika kita sentiasa bergantung kepada ramalan dan nasib sudah tentu kita menjadi orang yang malas dan ingatlah bahawa semua yang Allah tentukan kepada kita adalah baik meskipun di mata kita buruk.

Moga-moga dengan perbincangan ini, kita dapat mengelakkan kita daripada terjebak ramalan bintang yang sangat besar dosanya di sisi Allah SWT.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment