Tuesday, January 10, 2017

CONTOH KEADILAN KERAJAAN ISLAM



 Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Dan daripada Hisyam bin Hakim bin Hizam RA bahawa dia lalu ke negeri Syam dan melihat beberapa orang yang merupakan para petani bukan Islam telah dijemar di tengah panas dan dicurah di atas kepala mereka minyak lalu dia (Hisyam) bertanya apa ini?

Diberitahu kepadanya mereka itu dihukum kerana tidak membayar cukai tanah dan mengikut riwayat ditahan kerana tidak membayar jiziah (cukai diri). Lalu Hisyam berkata: “Aku bersaksi demi sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, sesungguhnya Allah menghalang orang yang mengazab manusia di dunia ini.”

Lalu dia masuk bertemu dengan gobenor Syam dan bercakap kepadanya dan menyuruh membebaskan orang yang dihukum itu. Maka dibebaskan mereka itu.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini menunjukkan keadilan Islam di zaman pemerintahan Islam. Bukan sahaja adil kepada orang Islam termasuklah orang-orang bukan Islam yang tidak menjadi rakyat. Di zaman Saidina Umar Ibni Khattab RA setelah kerajaan Islam berkembang selepas kejatuhan kerajaan Farsi dan Rome, ramailah para petani di kebun-kebun dan ladang-ladang dan ramai juga para peniaga Islam dan bukan Islam.


Orang Islam dikenakan zakat fitrah dan yang harta dikenakan zakat harta, zakat emas dan perak, zakat pertanian dan zakat perniagaan. Bagi orang bukan Islam yang menjadi rakyat, Saidina Umar mengarahkan supaya menyambung apa yang dibuat oleh nabi SAW iaitulah mengenakan jiziah (bayaran cukai keselamatan). Mereka membayar jiziah dan kerajaan Islam wajib menjaga keselamatan mereka. Mereka tidak boleh dizalimi.

Orang Islam dikenakan zakat pertanian dan orang bukan Islam dikenakan kharaj (cukai daripada hasil pertanian mereka). Para ulamak membahagikan kepada kharaj mukhasamah dan kharaj wazipah.
Mukhasamah ialah diambil beberapa peratus daripada hasil pendapatan kebunnya mengikut kebijaksanaan kerajaan. Wazipaf ialah mengikut jenis tanah pertanian. Tanah anggur berbeza dengan tanah gandum. Oleh itu nilaian daripada hasil tanah adalah berbeza.

Orang Islam dikenakan zakat perniagaan dan orang bukan Islam dikenakan usyur. Usyur ialah cukai perniagaan yang dibayar oleh orang-orang bukan Islam.

Abu Yusuf, seorang alim dalam mazhab Hanafi mengatakan bahawa diambil juga perniaan babi orang bukan Islam. Mazhab Syafie kata tidak boleh. Abu Yusuf kata boleh tetapi wang hendaklah diasingkan dan diberi untuk khidmat orang-orang bukan Islam sahaja.


Hadis ini menceritakan adanya orang bukan Islam lambat bayar cukai. Akibatnya gobenor Syam mengambil tindakan terhadap mereka. Mereka ditahan dan dijemur di tengah panas. Untuk menjadi lebih panas mereka disiram minyak atas kepala mereka.

Apabila Hisyam melihat orang kena jemur di tengah panas diberitahu kerana mereka tidak membayar cukai. Lalu Hisyam berkata aku naik saksi demi sesungguhnya nabi SAW bersabda Allah Ta’ala akan mengazab orang yang mengazab manusia pada hari kiamat.

Hisyam masuk menemui gobenor Syam dan memberi apa yang diucapkan oleh nabi SAW. Janga menyiksa orang secara ini walaupun dia tidak membayar cukai. Carilah hukuman lain. Gobernor Syam membebaskan mereka itu.

Amalan-amalan sebeginilah menyebabkan orang-orang kafir masuk Islam. Berjuta orang kafir masuk Islam. Orang Farsi masuk Islam, orang Syam masuk Islam, orang Mesir masuk Islam, orang Sudan masuk Islam, orang Algeria, Maghribi dan Libya masuk Islam.

Mereka ini asalnya bukan orang Arab. Apabila masuk Islam mereka belajar Islam, belajar bahasa Arab dan bercakap Arab. Mereka lupa bahasa asal mereka dan seterusnya mengaku mereka juga adalah orang Arab. Islam yang mengarabkan mereka, menjadikan bahasa dan budaya mereka.

Pengaruh Islam memberi kesan kepada rakyat yang diperintah atau dimasuk oleh Islam. Di Farsi bahasanya ditulis dengan huruf Arab. Di India orang India menulis bahasa Urdu dengan huruf Arab. Di Malaysia dan Indonesia orang Melayu dan orang Indonesia serta orang Kemboja menulis bahasanya dengan huruf Arab.

Kebanyakan orang bukan Islam meninggalkan agama mereka dan menjadi orang Islam. Cuma tinggal sedikit sahaja yang tidak masuk Islam menandakan ada juga baki untuk menjadi bukti Islam tidak memaksa orang masuk Islam. Mereka masuk Islam dengan rela hati apabila mereka melihat pemerintahan Islam adalah pemerintahan yang adil dan baik.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment