Bersempena
dengan kedatangan Aidilfitri yang mulia yang bakal menjelma, umat Islam
hendaklah memohon kepada Allah supaya bulan Syawal ini dimulai dengan keamanan,
keimanan serta apa jua yang disukai dan diredhaiNya.
Selain itu, umat Islam seharusnya
memohon supaya Allah menjadikan Hari Raya ini sebagai pembawa berita gembira,
iaitu kebaikan dan keberkatan kepada mereka, serta menjadikan Hari Raya juga
sebagai peringatan kepada musuh umat Islam.
Hari Raya seumpama tempat perhentian untuk
berehat dalam perjalanan atau kawasan rehat yang mempunyai air dan pokok di
tengah padang pasir.
Sejak zaman dahulu lagi, masyarakat telah
mengadakan suatu sambutan untuk menyambut perayaan dengan bergembira dan
berseronok.
Islam juga mengiktiraf hari
perayaan, bahkan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha merupakan hari raya dalam
agama Islam.
Allah telah menghubungkan hari raya dengan
kewajipan dan ibadat sebagaimana sambutan Aidilfitri mempunyai hubungan dengan
kewajipan puasa yang mana Hari Raya ini merupakan hari pelepasan daripada
puasa.
Dalam sebuah hadis, Nabi SAW bersabda:
“Bagi seorang muslim dua kegembiraan baginya,
ketika dia berbuka puasa, dia bergembira dengan berbuka itu. Dan ketika bertemu
dengan Tuhannya, dia bergembira dengan puasa yang ditunaikannya.”
Terdapat dua maksud bergembira dengan berbuka
puasa, yang pertama seseorang muslim itu bergembira dengan berbuka puasa pada
waktu terbenamnya matahari setiap hari ketika berkumandang azan maghrib, ini
ialah kegembiraan fitrah semulajadi.
Kegembiraan fitrah ini justeru selepas masuk
waktu berbuka, umat Islam dibenarkan melakukan apa yang dilarang pada siang
hari seperti makan, minum dan lain-lain perkara yang membatalkan puasa.
Nabi SAW bersabda lagi:
“Hilang sudah dahaga, kerongkong telah basah,
moga-moga pahala menjadi suatu kepastian dengan izin Allah.”
Sementara kegembiraan beragama pula
ialah kejayaan melakukan ketaatan.
Kegembiraan ini dirasai pada akhir Ramadhan
dan ia merupakan kegembiraan yang total kerana telah diberi petunjuk melakukan
ketaatan kepada Allah dan menunaikan kewajipan di bulan Ramadhan.
“Katakanlah (wahai Muhammad): kedatangan
Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya,
maka dengan isi kandungan Al-Quran itu hendaknya mereka bersukacita (bukan
dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan
(dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)”.
Oleh itu, umat Islam dapat melihat dalam
kalangan mereka wajah-wajah orang yang berpuasa berseri-seri pada Hari Raya,
tertawa dan bersuka ria.
Sambutan Hari Raya umat Islam
berlegar antara dua tujuan, iaitu tujuan rabbani dan tujuan insani.
Tujuan rabbani bermaksud seseorang
muslim tidak melupakan Tuhannya walaupun pada Hari Raya.
Hari Raya tidak wajar disambut semata-mata
dengan nafsu sahaja, bahkan Hari Raya dimulai dengan bertakbir, solat sunat
Hari Raya dan mendekatkan diri kepada Allah.
Lantaran itu, Hari Raya bukanlah bermakna
bebas daripada perkara ibadat dan ketaatan hingga boleh melakukan apa sahaja,
walaupun dari sudut tujuan insani, kebiasaannya Hari Raya disambut dengan
kegembiraan, keseronokan, bersuka-ria, menyanyi, memakai baju baru dan
bersilaturrahim.
Di samping itu, Islam juga mensyariatkan
zakat fitrah pada Hari Raya Aidilfitri.
Nabi SAW mewajibkan kepada orang dewasa dan
kanak-kanak, orang merdeka dan hamba serta lelaki dan perempuan untuk mengeluarkan
zakat fitrah.
Zakat fitrah yang ditunaikan merupakan
penyucian bagi orang yang berpuasa daripada perkara sia-sia dan merupakan
rezeki kepada orang miskin.
Nabi SAW bersabda:
“Berilah mereka kecukupan agar mereka
terhindar daripada berkeliling ke sana ke mari (meminta-minta) pada hari ini”.
Justeru, penuhilah keperluan mereka supaya
mereka tidak perlu meminta-minta.
Santunilah mereka dan bertanyalah akan khabar
mereka.
Keluarkanlah zakat agar mereka turut merasa
gembira pada Hari Raya dan tidak merasakan Hari Raya hanya untuk orang yang
berkemampuan sahaja.
Hari raya sepatutnya tidak menjadi suatu
bencana untuk golongan fakir miskin.
Apatah lagi, apabila mereka melihat
kanak-kanak lain memakai baju baru, tetapi anak mereka hanya memakai baju lama
yang lusuh, mereka melihat orang lain memakan makanan yang lazat dan enak,
namun mereka terpaksa berlapar, yang menyebabkan Hari Raya menjadi suram dan
penuh kesedihan.
Oleh yang demikian, terserlah hikmah dan
keindahan Islam yang mensyariatkan zakat fitrah bagi memenuhi hajat golongan
miskin dan yang memerlukan pada Hari Raya.
(Petikan Tazkirah Sheikh Doktor Yusuf
Al-Qaradhawi pada 7 Ogos 2013)
No comments:
Post a Comment