Ramadan melatih kita menjadi insan yang
prihatin
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd
وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ.
" ..
Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan
Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah (dengan takbir dan tahmid) kerana
mendapat pertunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur (Surah Al-Baqarah:185).
Alhamdulillah marilah kita panjatkan syukur kepada Allah SWT
kerana telah menganugerahkan Ramadan yang sangat bermakna kepada kita semua.
Semoga Ramadan kali ini menjadi Ramadan terbaik dalam hidup kita dengan
menatijahkan taqwa.
Ramadan adalah bulan yang penuh seribu hikmah, membina diri
menjadi insan yang benar-benar bersifat hamba yang taat dan patuh sepenuhnya
kepada perintah Allah SWT.
Ramadan juga melatih kita agar menjadi insan yang prihatin
terhadap masyarakat terutama golongan lemah yang memerlukan pembelaan dan
bantuan.
Ramadan juga adalah bulan mujahadah yang mendidik jiwa setiap
insan muslim bukan sekadar membina jati diri taqwa di peringkat individu,
bahkan mujahadah membela nasib Ummah dan agama Islam sebagai agama yang
diturunkan oleh Allah SWT.
Aidilfitri 1437H sekali lagi disambut dalam keadaan Umat Islam
sangat lemah. Banyak tanah air umat Islam sedang dilanda perpecahan dan
peperangan saudara. Negara-negara umat Islam jauh ketinggalan dari segala sudut
berbanding Negara-negara bukan Islam.
Keadaan ini berlaku kerana jauhnya Ummah daripada petunjuk Allah
SWT. Semoga Aidilfitri kali ini memberikan sinar harapan yang gemilang buat
seluruh Ummah.
Kepada seluruh umat Islam, “Selamat Menyambut Aidilfitri” dengan
semangat kemenangan dan semangat taqwa yang telah berjaya dibina disepanjang
“Tarbiah Ramadan”.
Kepada seluruh ahli PAS, raikanlah Aidilfitri kali ini dengan
semangat membara untuk terus bekerja sekuat daya untuk menegakkan Agama Allah
SWT di persada negara.
“Beristiqamah Hingga Kemenangan”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
No comments:
Post a Comment