Sejarah
Penubuhannya
Islamic Representative Council (IRC) atau dalam bahasa Melayunya, Majlis Syura Muslimin (MSM)[1] adalah satu kumpulan dakwah di kalangan para pelajar Malaysia yang ditubuhkan di United Kingdom (UK) pada awal tahun 70-an, bergerak cergas sehingga ke hari ini.[2] Ada pendapat yang mengatakan ianya diasaskan di Brighton, England oleh para pelajar Malaysia yang dihantar ke sana atas biasiswa Kerajaan Perskutuan.[3]
Gerakan IRC amat rahsia sifatnya. Sistem yang diamalkan di dalam IRC amat rigid, tetapi berdisiplin tinggi, mempunyai manhaj tarbiyyah usrah yang tersusun lengkap dengan sukatan dan peringkatnya,[4] amat menekankan aspek tarbiyyah di kalangan ahli, dikawal sepenuhnya oleh naqib dan pimpinannya, bergerak secara yang amat halus dan teliti dan rata-ratanya dianggotai oleh kalangan intelektual yang “bijak dari segi pencapaian akademiknya”.[5]
Islamic Representative Council (IRC) atau dalam bahasa Melayunya, Majlis Syura Muslimin (MSM)[1] adalah satu kumpulan dakwah di kalangan para pelajar Malaysia yang ditubuhkan di United Kingdom (UK) pada awal tahun 70-an, bergerak cergas sehingga ke hari ini.[2] Ada pendapat yang mengatakan ianya diasaskan di Brighton, England oleh para pelajar Malaysia yang dihantar ke sana atas biasiswa Kerajaan Perskutuan.[3]
Gerakan IRC amat rahsia sifatnya. Sistem yang diamalkan di dalam IRC amat rigid, tetapi berdisiplin tinggi, mempunyai manhaj tarbiyyah usrah yang tersusun lengkap dengan sukatan dan peringkatnya,[4] amat menekankan aspek tarbiyyah di kalangan ahli, dikawal sepenuhnya oleh naqib dan pimpinannya, bergerak secara yang amat halus dan teliti dan rata-ratanya dianggotai oleh kalangan intelektual yang “bijak dari segi pencapaian akademiknya”.[5]
Menurut seorang pengkaji sosial, IRC pada mulanya dipimpin oleh barisan
intelektual dan pelopor gerakan Islam di Indonesia yang secara kebetulan juga
belajar di UK terutamanya Ir. Imaduddin Abdul Rahim[6] yang
mendapat pendedahan gerakan Islam dari Ikhwanul Muslimin, Mesir dan Jami’at
Islami, Pakistan.[7] Pada
awal tahun 70-an, Kerajaan Malaysia melaksanakan program memberikan biasiswa
kepada ramai pelajar lepasan MCE/SPM dan HSC/STP untuk melanjutkan pelajaran ke
luar negeri. UK adalah destinasi yang favourite di kalangan Malaysians.
Di Malaysia sendiri, Institut Teknologi Kebangsaan – ITK (kini Universiti
Teknologi Malaysia – UTM) menjadi base kepada IRC apabila graduan yang
telah belajar di UK itu (kebanyakannya mengambil jurusan kejuruteraan, sains
gunaan dan berkaitan), pulang sebagai pensyarah dan mengajar di ITK. Hubungan
ITK dengan Institut Teknologi Bandung (ITB) di Indonesia menjadi akrab.
Demikianlah, semakin tahun semakin ramai pelajar Malaysia dihantar ke luar
negara, semakin meluas fikrah IRC mula tersebar UK, Australia, di Amerika
Syarikat (umpamanya di Terra Houte, Houston yang merupakan “Kampung
Malaysia” di Amerika!) malah di Mesir dan Jordan. Pimpinan-pimpinan tertinggi al-ikhwan
(‘Alami) sering berkunjung ke UK, USA, Australia, Mesir dan Jordan dan para
pelajar Malaysia didedahkan secara langsung kepada pengalaman mereka dalam
dakwah.[8]
Semua ini adalah pengalaman yang amat baru bagi pelajar kita di luar
negeri. Berbanding dengan rakan-rakan mereka yang menuntut di dalam universiti
tempatan yang hanya mendapat tarbiyyah daripada kalangan ustaz-ustaz
tempatan, peluang berjumpa, berbincang dan bergaul dengan barisan pimpinan al-Ikhwan
dan Jami’at Islami dirasakan amat luar biasa dan memberikan kekuatan
baru kepada para pelajar Malaysia. IRC sering menyebut bahawa kini mereka
“mempunyai pakar rujuk yang benar-benar harakiyyah sifatnya” malah
adalah yang tidak segan-segan mengatakan bahawa “mereka telah diterima masuk
oleh Ikhwan ke dalam Tanzim ‘Alami”.[9]
ABIM dan PAS
di Malaysia
Bagaimanapun di Malaysia sudah wujud Gerakan Islam bernama ABIM di peringkat
persatuan bukan politik dan PAS sebagai parti politik. Semua pimpinan IRC
ketika itu seperti Prof. Abang Abdullah, Zaid Kamaruddin, Mustafa Abdul Kader,
Abdul Jalil Hassan, Azman Hussin, Ariffin (Said?), Ahmad Tarmidzi, Dzulkifli
Muhammad, Saari Sungip (Abu ‘Urwah), Dr. Abdul Rahim Gouse, Dr. Mohd Hatta
Shahrom dan sebagainya amat memahami bahawa mewujudkan satu Jamaah lagi di
Malaysia apabila mereka pulang adalah tidak syar’iyy dari segi prinsip
jamaah Islam malah bertentangan dengan kaedah gerakan Islam. Hendak duduk di
dalam ABIM, mereka tidak sebulu dan sehaluan. Untuk melibatkan diri dalam
politik, tarbiyyah dan fikrah mereka menghalang mereka daripada
berbuat demikian, lagipun seperti yang sering mereka hujjahkan
ketika itu: “PAS tidak mempunyai tarbiyyah dan ustaz-ustaz dalam PAS tidak
mendapat tarbiyyah harakiyyah daripada kalangan al-Ikhwan Mesir dan oleh itu,
memasuki siasah apatah lagi PAS, adalah “tidak betul” dan PAS perlu dijauhi”.[10]
Pada awal 80-an IRC mengambil sikap “tidak menterjemahkan identiti diri” mereka
di dalam masyarakat. Namun usrah-usrah IRC wujud terutama di kampus-kampus
universiti tempatan secara sulit dan rahsia. Ketika itu sudah ramai tenaga IRC
pulang ke tanah air selaku pensyarah terutama di UM, UKM, UPM, ITM dan UTM.
Manakala terdapat juga beberapa orang tenaga ustaz yang mendapat didikan di
Mesir yang memberikan sumbangan tertutup kepada mahasiswa kampus seperti Ustaz
Darus Senawi di UM, Ustaz Zawawi Ali di Kolej Islam Kelang, Ustaz Alias Othman
di UM, Ustaz Kamil Abdul Majid di UM dan sebagainya.[11]
Dalam perbincangan-perbincangan tertutup di peringkat tertinggi IRC,
rupa-rupanya ada usaha-usaha sulit untuk membenarkan figure-figure IRC
tertentu untuk memasuki medan dakwah secara terbuka terutama PAS.[12] Maka
saudara Mustafa Abdul Kader yang bergerak aktif dalam Pemuda dan PAS Shah
Alam dan Selangor menjadi test case IRC yang pertama. Ketika itu,
ABIM sudah tidak mendapat tempat dan PAS menjadi tumpuan. Mustafa Abdul Kader
diberi kepercayaan sehingga menduduki EXCO Pemuda PAS Pusat dan juga EXCO
PAS Selangor. Kemudian lebih ramai bekas IRC”[13] memasuki
PAS termasuklah YB Khalid Samad[14] yang
kemudiannnya diikuti oleh lainnya, yang paling menonjol kini ada YB Dr.
Dzulkifli Ahmad (Abu Iman), AJK PAS Pusat. Sumbangan bekas IRC dalam PAS
memang ada kesannya. Pimpinan PAS terutamanya Ustaz Fadhil Mohd Noor dan Ustaz
Abdul Hadi Awang sangat terbuka dalam kes IRC masuk PAS. Pintu PAS dibuka
seluas-luasnya kepada mereka. Kritikan orang-orang IRC di luar dan dalam
negara diterima baik oleh PAS dalam rangkaian semangat “IRC menegur kita
untuk sama-sama membina PAS” dan kini “keluarga Jamaah Islam semakin
luas”.
Bagaimanapun pada tahun 1985 sudah kedengaran suara-suara dari kalangan Pemuda
PAS bahawa anggota IRC dalam PAS “bawa fikrah IRC dalam PAS dan secara
diam-diam mengutuk PAS di luar”. Semakin banyak bukti diperolehi untuk
dikemukakan kepada Dewan ‘Ulamak dan Dewan Harian PAS bahawa barangkali masanya
sudah tiba bagi PAS untuk mengkaji sejauh mana peranan bekas IRC dalam PAS.
Pertembungan terbuka mula berlaku. Tetapi di peringkat pimpinan tertinggi
PAS Pusat, masih tiada apa masalah. Malah, Ustaz Abdul Hadi Awang
(kini YB Tuan Guru Dato' Seri) menulis kata pengantar siri buku Risalah
Usrah oleh Abu ‘Urwah (YB Saari Sungip). Buku yang dianggap teks utama
usrah IRC itu menjadi bahan usrah utama di dalam kampus-kampus
sehinggakan terdengar cerita buku yang sama digunakan juga oleh para mahasiswa
Malaysia di Universiti al-Azhar dan universiti lain di Timur Tengah![15]
Suatu ketika dulu, Dr. Daeng Sanusi Daeng Mariok dan Dr. Abdul Aziz Hanafi
adalah di antara pimpinan PAS yang bermati-matian mempertahankan IRC dalam PAS
manakala Ustaz Nakhaie dan Ustaz Harun Taib di antara yang paling kuat
menentang fikrah IRC ketika itu. Satu perkara yang menarik ialah pimpinan
tertinggi PAS masih memberikan ruang kepada IRC sehinggalah PAS Shah Alam
mengemukakan dokumen-dokumen penting membuktikan penglibatan IRC dalam beberapa
strategi PAS menyebabkan PAS mengambil tindakan tegas memecat Mustafa Abdul
Kader dan kemudiannya Ustaz Alias Othman mengundur diri.
Pada bulan Mac 1990 satu perkembangan menarik berlaku dalam IRC. IRC yang sudah
tidak mendapat tempat dalam ABIM dan PAS mula mengorak langkah drastik
dengan mengusulkan supaya ahli Jamaah dibenarkan memasuki UMNO.[16] Usul itu
dengarnya ditolak. IRC kembali seperti biasa tetapi retak dalam IRC sudah
semakin rancak. Sebenarnya retakan dalam fikrah IRC pertama kalinya
bermula di UK pada akhir tahun tujuh puluhan lagi apabila ada kalangan yang
ingin menubuhkan Suara Islam yang kemudian dijelmakan sebagai "Parti
Negara Islam" apabila kembali ke tanah air, ada yang ingin masuk ke dalam
ABIM dan PAS manakala ada yang ingin kekal secara rahsia di Malaysia. Sudah
mula tidak sepakat sejak dari peringkat itu lagi.
IRC, JIM dan
IKRAM
Pada tahun 1991 sekali lagi IRC bergolak. Kali ini ada usul di kalangan mereka
untuk menzahirkan IRC di mata masyarakat dengan Pertubuhan Jamaah Islah
Malaysia (JIM). Usul diterima majoriti dan Presiden JIM pertama
adalah Abu ‘Urwah (Saari Sungip)[17] sehingga tahun 1999 di mana Prof. Madya Dr.
Mohd Hatta Shahrom (ketika itu) mengambil tempat sebagai Presiden. Pada tahun
1999 juga ramai pimpinan JIM menganggotai KeAdilan, di antaranya ialah Sahari
Bahari (bekas Naib Presiden JIM) yang menjadi EXCO Pemuda KeAdilan. Hj. Saari
Sungip menjadi calon KeAdilan dalam Pilihanraya 29 November 1999 tetapi tewas
di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, tetapi kini menjadi ADUN PAS Hulu
Kelang.
IRC sekali lagi bergolak pada tahun 2009 apabila kepimpinannya yang berada
dalam HIS mencadangkan penubuhan IKRAM pada 22 Oktober 2009. Mengikut
kalangan tertentu IKRAM diwujudkan bagi menggabungkan tenaga semua ikhwahnya
yang pernah mendapat pendedahan tarbiyyah IRC di luar negara tetapi
kini terlibat dalam pelbagai jemaah; ada yang dengan JIM, ada yang
dengan ISMA[18] dan ada yang dengan HALUAN.[19] Demi
menggabungkan semua kenalan seniors yang masing-masing membawa uslub
yang berbeza, IKRAM dilahirkan.[20] Namun
JIM, HALUAN dan ISMA tetap berasingan. Pada Disember 2011,
dalam PPN JIM ke-21, Zaid Kamaruddin mengisytiharkan dalam Muktamar
berkenaan bahawa JIM akan dibubarkan dan diserapkan ke dalam IKRAM
sepenuhnya, yakni tanpa ISMA dan HALUAN.
Sebab utama pembubaran JIM, penubuhan IKRAM dan seumpamanya hanya diketahui
oleh pimpinan yang duduk di dalam Tanzim IRC secara rahsia. JIM,
IKRAM dan seumpamanya adalah wajihah (front organization) terbuka
dalam masyarakat umum sebagaimana yang dirangkumkan dalam masterplan dan
grand design IRC sejak tahun 70-an lagi. Bahawa JIM, IKRAM adalah
IRC dan daripada kumpulan yang sama tidak dapat dinafikan lagi kerana dalam
Muktamar JIM yang terakhir baru-baru ini apabila Presiden JIM terakhir ada
menyebutkan bahawa....
"Ramai pengasas JIM merupakan bekas pelajar di luar negara."
"Kita berhimpun membina Jamaah di kalangan umat Islam setempat bagi
menyempurnakan tanggungjawab bersama.
Kemudian kita bina jamaah
yang menyatukan pelajar Islam
dari Malaysia, IRC, Islamic Representative
Council pada bulan April
1974."
"Kita kembali ke Malaysia pada pertengahan 1970-an.
Terusmenggerakkan usaha dakwah dan tarbiah terutamanya di kampus-kampus. JIM hanya
ditubuhkan pada 27 Julai 1990......IKRAM ditubuhkan pada 22 Oktober 2009."
Penutup
Demikianlah secara ringkas peranan yang dimainkan oleh IRC dalam medan dakwah
di Malaysia yang turut mengalami pasang surutnya. IRC sendiri telah mengalami
banyak perpecahan di kalangan ahli dan penyokongnya: dari IRC kepada Suara
Islam di UK dan berlanjutan hingga ke Malaysia, kemudian menjadi IRC di
Malaysia, memasuki ABIM dan PAS dan bersendiri di bawah JIM. Mereka tubuhkan
pula IKRAM pada tahun 2009 dan pada bulan Disember 2011 ini membubarkan JIM dan
berbondong-bondong memasuki IKRAM pula. Esok-esok nanti entah apa
pula……UMNO? Tidak mustahil kerana kertas kerja asas sudah ada sejak awal 1990
lagi......
Demikianlah secara ringkas penglibatan IRC dalam medan dakwah di Malaysia yang
sempat kita bentangkan berdasarkan pengalaman bersama-sama mereka untuk
penilaian para pembaca. Kita tidak mengulas kesannya ke atas PAS dan ABIM
di sini kerana memberikan peluang kepada para pembaca yang budiman
membuatnya. Kita bentangkan fakta-fakta sahaja. Selamat mengulas
dan berikanlah ulasan yang berfakta dengan penuh adab berdasarkan pengalaman
masing-masing ....
Wallahu a’lam bissawab.
Akhukum
fi'Llah,
Kamal Izzuddin Abdullah
[1]Ada pelbagai pendapat tentang bagaimana nama IRC atau MSM ini mula
diperkenalkan. Pendapat yang diterima umum ialah kefahaman bahawa mewujudkan
sebuah gerakan Islam di luar negeri tidak praktikal kerana medan sebenar adalah
di Malaysia. Mereka tidak boleh tubuhkan gerakan Islam di Malaysia kerana
mereka masih belajar dan berada di luar Malaysia. Akhirnya, solution
terbaik adalah dengan mengadakan sebuah "Syura" yang disepakati.
Mereka tidak mahu bergabung dengan badan-badan sedia ada di luar negara sebab
tidak sealiran fikrah dengan mereka.
[2]Zainah Anwar
yang buat pertama kalinya dalam sejarah IRC, telah berjaya menemubual ramai
pimpinan IRC dan menerbitkan kajian Ijazah Sarjana Politiknya dalam bentuk
sebuah buku kecil tetapi penuh makna berjudul, Kebangkitan Islam di
Kalangan Pelajar, Kuala Lumpur: Pelanduk Publications, 1990.
[3]Zaid Kamarudin dalam Ucapan Dasar perasmian Jemaah Islah Malaysia (JIM) pada
bulan Dismber 2011 telah dengan jelas menyatakan JIM mempunyai pengalaman
selama lebih 30 tahun bermula dari April 1974 di England secara tak langsung
mengaitkan JIM dengan IRC.
[4]Kita harus
mengakui bahawa IRC berjaya menyusun manhaj usrah yang sangat kemas dan
amat pratikal digunakan di peringkat mahasiswa universiti. Inilah yang
menjadikan ia berjaya menarik semakin ramai mahasiswa universiti pada akhir
70-an sehingga pertengahan 80-an. Asas model tarbiyyah yang digunakan
adalah berdasarkan al-Ikhwanul Muslimimun, Mesir.
[5] Ini adalah
ciri-ciri umum yang terdapat dalam sistem IRC. Memang tidak dapat
dinafikan bahawa IRC mampu mengumpul tenaga-tenaga du’at yang
sedemikian, sama ada di dalam mahupun di luar negara. Itulah kelebihan
IRC. Dengan dokumen usrah yang tertib dan mantap, IRC berjaya menambat hati
para pelajar Malaysia di luar negara berbanding dengan pengaruh ABIM dan
PAS. Tenaga-tenaga profesionalnya yang gigih ditambah dengan sokongan
du'at dari Mesir dan Jordan yang berlatarbelakangkan gerakan al-Ikhwanul
Muslimun, ternyata IRC adalah satu force yang boleh membawa kesan
yang agak besar di Malaysia.
[6]Pak Ir.
Imaduddin Abdul Rahim sangat berpengaruh di kalangan pelajar IRCdan hal ini
didedahkan sendiri oleh salah seorang senior bekas IRC, “Ayah Hasan Firdaus”
berjudul, Gerakan Islam – Satu Sejarah dan Pengalaman, Bandar Baru
Bangi: Madrasah Muttaqin, 1989, hal. 4.
[7]Lihat Zainah
Anwar, op. cit.
[8]Umpamanya
sila lihat bahan-bahan Tamrin Pimpinan Winter Gathering IRC pada
tahun 1982-1985 di UK.
[9]Dakwaan ini
kuat kedengaran tetapi dinafikan sekers-kerasnya oleh pimpinan IRC apabila
ditemui.
[10]Dakwaan ini
amat kuat kedengaran dari tahun pertengahan tahun 70-an sehingga awal 80-an dan
angin perubahan amat kuat bertiup di kampus-kampus universiti tempatan. Mengikut
sdr. Fauzi (bukan nama sebenar) yang pernah memimpin pelajar pada hujung 70-an
sehingga awal 80-an di sebuah universiti tempatan, ditambah dengan faktor
Anwar memasuki UMNO, hujjah-hujjah IRC bahawa sistem tarbiyyah ABIM semakin
gagal mendapat tempat. Di UM, UKM, UTM, UPM dan ITM, ramai mahasiswa yang
pro-ABIM mula mendekati ustaz dan pensyarah yang pro-IRC. Bagaimanapun terdapat
ramai juga yang mendekati PAS sebagai alternatif kepada ABIM yang dilihat
menghampiri UMNO bahkan sudah ada gelarab untuk ABIM yang berbaik dengan
UMNO ketika itu – ABINO”!
[11]Perkara ini
tidak menjadi rahsia lagi kerana ia kini sudah menjadi makluman umum.
Sebahagian besar daripada mereka bergerak di dalam ABIM seperti Ustaz Zawawi
Ali (kini Dr.) dan Ustaz Darus Senawi. Bagaimanapun pendirian Ustaz Alias
Othman amat berlainan sekali. Beliau hanya pernah dijemput menduduki Lujnah
Tarbiyyah PAS Pusat atas jemputan Ustaz Abdul Hadi Awang tetapi kemudiannya
keluar kerana beberapa masalah yang timbul antara PAS dengan IRC. PAS
mendapati bahawa Ustaz Alias dan kalangan lain dalam PAS hanya sebelah kaki
sahaja manakala sebelah kaki lagi masih kekal dalam IRC.
[12]Keputusan
ini adalah berdasarkan konsep “Harakiyyah Islamiyyah Syumuliyyah” (HIS) IRC di
mana IRC menganggap PAS dan ABIM adalah front organization yang boleh “IRC
ketengahkan kepada masyarakat”. Perkara ini tercatat dalam dokumen
blueprint IRC yang disedarkan dalam Summer dan Winter Gatherings
peringkat pimpinan Nuqaba' mereka yang diadakan secara tertutup di luar
negara. Maklumat-maklumat terperingkat ini mula dipecahkan oleh kalangan
bekas IRC yang kemudian menolak konsep IRC apabila mula menyelami gerakan ABIM
dan PAS apabila kembali ke tanah air. Nama-nama mereka masih kita
rahsiakan di peringkat ini atas sebab-sebab tertentu.
[13] Sdr.
Mustafa Abdul Kader mengakui bahawa beliau mempunyai ramai kawan dalam IRC
tetapi menafikan bahawa beliau masih duduk dalam tanzim IRC. Bagaimanpun
akhirnya rahsia itu terbongkar juga.
[14]Ketika di UK
sdr. Khalid Samad aktif dalam IRC tetapi kemudian broke off dan
mengasaskan Suara Islam di UK. Khalid yang rebellious in nature
ini memang tidak berubah sejak zaman pelajarnya, dari "sebelum mengenal
Islam" sehingga kini dalam barisan kepimpinan PAS Pusat. Bacalah
temuramah menarik dengan beliau (atas nama samaran) dalam Zainah Anwar,
Kebangkitan Islam di Kalangan Pelajar, Kuala Lumpur: Pelanduk Publications,
1984.
[15]Perkara ini
hampir tidak dapat dipercayai lebih-lebih lagi memikirkan bahawa sepatutnya
para pelajar jurusan agama di Timur Tengah membaca teks-teks asal dalam bahasa
Arab dan merujuk kepada guru-guru yang dipercayai.
[16]Dengan
takdir Allah, kertas kerja berjudul “Usul Pendekatan Terhadap UMNO” bertarikh
28 Februari 1990 diperolehi dan pecah tembelang IRC kepada PAS. Kini IRC ridak
boleh berdolak dalih lagi malah berasa malu terhadap PAS. Bagaimanapun masih
terdapat ahli IRC yang cuba meyakinkan pimpinan PAS bahawa usul itu dibawa
sesetengah ahli IRC yang ingin berpolitik dan tidak mewakili keseluruhan fikrah
IRC. Kertas kerja ini masih dianggap rahsia oleh IRC/JIM. Dalam pertemuan
pimpinan PAS dengan pimpinan Ikhwan di London pada tahun 1991, perkara ini
telah diutarakan. Menurut wakil Ikhwan, Syaikh Mustafa Masyhur dikatakan telah
menulis surat peribadinya kepada Ustaz Fadhil Mohd Noor dan Syaikh Mustafa
Masyhur mengatakan pandangannya bahawa PAS mesti disokong oleh IRC di
Malaysia dalam pilihanraya dan dakwah. Malangnya surat yang dikirimkan
melalui Prof. Khurshid Ahmad dari London itu tidak sampai ke tangan PAS. Ia
hilang apabila berakhir ke tangan ABIM! PAS mengetahuinya melalui pertemuan
sulit dengan Dr. Azzam Tamimi (wakil Ikhwan dan Hamas UK) semasa berkunjung di
London. Dua orang yang tahu akan perkara ini kini berada di barisan AJK
PAS Pusat.
[17]Ironinya
pula dalam tanzim JIM ini, Ustaz Alias Othman yang terkenal sebagai
pakar rujuk IRC sejak pertengahan 70-an hingga tertubuhnya JIM, tidak menjadi
Presiden JIM , tetapi hanya pernah memegang jawatan Timbalan Presiden JIM.
Perkara ini pernah ditanyakan kepadanya. Jawapannya: “strategi dalam
dakwah, syaikh”.
[18]IRC Mesir yang mendaftarkan diri sebagai NGO atas nama "Ikatan
Muslimin Malaysia (ISMA)." Kini ISMA turut dikembangkan di luar negara
sebagai ISMA Jordan, New Zealand, Eropah, Jepun, Korea, India.
[19]Merupakan serpihan daripada IRC UK didaftarkan pada tahun 1988 sebagai
sebuah NGO atas nama "Petubuhan Himpunan Lepasan Institusi-Institusi
Pengajian Tinggi Malaysia." Mempunyai perspektif yang sedikit
berlainan daripada modus operandi JIM dan ISMA.
[20]Ada kalangan exIRC yang ditemui menyebut tidak mustahil pada masa akan
datang, IKRAM akan menjadi political front yang baru dalam perspektif
dakwah di Malaysia. Menurut Ghazali (bukan nama sebenar), penubuhan IKRAM
itu sendiri selain daripada percubaan untuk tujuan wehdah, ia juga berperanan
sebagai NGO Islamik alternatif kepada yang sedia ada dan barangkali akan
mengikut langkah Parti PKS Indonesia yang juga mempunyai persamaan ciri-cirinya
dengan IKRAM yang mengambil model al-Ikhwanul Muslimin. Asas manhaj
tarbiyyah harakiyyah yang dipegang oleh kalangan pengasas seniors
IRC adalah model al-Ikhwan dan sebagaimana berlaku perpecahan dalam fikrah
al-Ikhwan sejak penubuhannhya oleh al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna
sehingga kini, begitulah yang berlaku kepada IRC sejak penubuhannya pada tahun
1974 sehingga menjadi IKRAM, JIM, HALUAN dan ISMA di Malaysia.
No comments:
Post a Comment