Saturday, January 7, 2017

KEMANISAN ZAKAT


Dalam rukun Islam ada satu tuntutan ke atas umat Islam yang disebut ibadah zakat. Zakat bermaksud bersih, suci, berkat dan subur. Menurut pengertian istilah ialah orang-orang yang mempunyai harta, maka wajib dikeluarkan harta-harta tertentu dan diberikan kepada golongan yang tertentu mengikut syarat-syarat yang tertentu.

Apabila Allah SWT memfardukan kepada orang-orang Islam supaya mengeluarkan harta yang tertentu itu untuk diberikan kepada golongan-golongan yang berhak menerima zakat. Ini bererti ada sesuatu hikmah dan kelebihan kepada mereka yang mempunyai harta. Jadi zakat yang dikeluarkan itu mempunyai kesan disebut kemanisan berzakat.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Abillah sebahagian daripada orang yang kaya dikenali sebagai nafkah wajib iaitu zakat untuk membersihkan diri mereka daripada dosa dan untuk menyucikan akhlak-akhlak yang keji.”

Ayat itu menunjukkan zakat bertujuan membersihkan harta daripada dosa dan untuk membersihkan jiwa mereka daripada jiwa yang kotor seperti penyakit bakhil dan kedekut. Orang kaya biasanya mempunyai sifat tomak haloba dalam keadaan berterusan, maka Allah meletakkan ibadat zakat supaya mereka dapat membersihkan diri mereka daripada sifat yang keji. Mudah-mudahan mereka tidak menjadi orang yang bakhil dan tomak haloba.

Rasulullah SAW apabila berdepan orang-orang fakir dan miskin baginda meraikan mereka dan di masjid baginda SAW bersama dengan orang miskin.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW maksudnya: “Barangsiapa yang mencitai orang-orang fakir dan miskin bermakan dia berakhlak dengan akhlak nabi. Barangsiapa yang membenci bermakna mereka berakhlak dengan akhlak Firaun.”

Apabila zakat dikeluarkan bermakna wujud kemanisan kerana mereka telah membantu orang-orang fakir dan miskin dan mereka yang berhak menerima zakat. Oleh itu orang-orang yang berhak menerima zakat dapatlah meringankan sedekit daripada kesusahan. Dengan bantuan zakat ini mudah-mudahan mereka berusaha bersungguh-sungguh dan menjadi golongan yang mengeluarkan zakat pula. Jadi kemanisan berlaku kepada orang yang membayar dan kepada orang yang menerima zakat.

Kewajipan berzakat bukan sahaja kepada orang lelaki tetapi juga kepada wanita. Allah Ta’ala mewajibkan ke atas wanita yang menyimpan emas dan perak. Emas dan perak yang dimiliki melebihi nisab wajib dikeluarkan zakat.

Firman Allah Ta’ala bermaksud: “Wahai orang-orang beriman nafkahkanlah kamu harta yang datang daripada usaha kamu yang baik-baik, kemudian daripada hasil bumi ini sama ada daripada pertanian dan sebagainya maka wajib ke atas kamu mengeluarkan zakat.”

Bagi orang Islam ada zakat fitrah, ada zakat pertanian, ada zakat perniagaan, ada zakat emas dan perak, ada zakat simpanan dan ada zakat pendapatan atau gaji. Bagi orang bukan Islam dikenakan kharaj.

Orang yang mengeluarkan zakat akan diberi oleh Allah berbagai-bagai ganjaran dalam syurga. Ini semua disebut kemanisan. Jika iman ada kemanisan, ibadat zakat pun ada kemanisan. Begitu juga dalam keadaan kita menjadi hamba kepada Allah SWT bila kita sempurnakan rukun Islam yang lima kita diiktirafkan oleh Allah SWT menjadi hamba yang sudah bertaqwa kepada Allah SWT.

Antara kemanisan berzakat itu ialah ada keberkatan dalam kehidupan. Perniagaan kita perniagaan yang maju, ada pertanian yang subur dan ada penternakan yang membiak. Ini bermakna semuanya ini Allah tentukan kepada mereka yang mempunyai harta.

Bagi kita yang bersyukur Allah berfirman (surah Ibrahim ayat 7) maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab Ku amatlah keras".

Ayat itu menunjukkan bagi mereka yang bersyukur Allah akan tambahkan nikmat mereka dan bagi mereka yang engkar menunaikan zakat akan menerima azab yang pedih.

Oleh itu marilah kita bersama-sama menuju kepada ketaqwaan kepada Allah SWT semoga kita mendapat kemanisan orang yang melakukan ibadah. Para sahabat bila nabi SAW menyebut kefarduan zakat mereka ikhlas dalam agama. Ibadat zakat mewujudkan kemanisan bagi orang yang mengeluar dan menerima zakat.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment