Saturday, January 7, 2017

HIKMAT ZAKAT



Zakat bukan sahaja zakat fitrah pada bulan Ramadan tetapi termasuk zakat harta, zakat pendapatan, zakat simpanan, zakat gaji, zakat emas dan perak, zakat perniagaan dan zakat pertanian.

Kebanyak ayat Quran yang turun hampir 30 tempat dalam Quran mengenai zakat harta. Hikmat kewajipan berzakat satu kewajipan yang sudah lama. Perkataan zakat disebut oleh nabi Isa AS iaitu ketika nabi Isa dilahirkan. Nabi Isa bila orang munuduh ibunya, Maryam dengan pelbagai tuduhan Allah Ta’ala memberi kelebihan kepadanya boleh bercakap ketika bayi.

Nabi Isa AS menyebut: “Allah SWT berpesan kepada saya supaya bersembahyang dan berzakat sehinggalah saya terus diberi kehidupan oleh Allah SWT iaitu hingga ke akhir hayat.”

Ini menunjukkan ibadat sembahyang dan zakat dua kefarduan yang sangat penting dalam kehidupan kita.

Hikmat zakat boleh dilihat daripada nas al-Quran dan hadis nabi SAW

1. Mengikut sebuah hadis nabi SAW: “Harta zakat diambil daripada orang kaya di kalangan kamu dan dikembalikan kepada golongan miskin di kalangan kamu.”

Jadi hikmat ibadat zakat ialah mendekatkan orang kaya dengan orang miskin supaya orang kaya tidak merasakan bahawa harta dimiliki kerana kebijaksanaannya tetapi mereka harus ingat mereka beroleh kekayaan kerana ada orang miskin yang berdoa dan mungkin ada hajat dalam hidup mereka. Pada masa yang sama akan timbul kasih sayang antara orang miskin dengan orang kaya. Orang miskin pula tidak rasa dengki kerana orang kaya sentiasa mengeluarkan zakat.

Alangkah indahnya jika orang kaya dan miskin hidup dalam keadaan harmoni kesan daripada ibadat zakat

2. Ibadat zakat melambangkan satu masyarakat yang makmur dan masyarakat beriman.

Allah SWT menyebut dalam satu ayat: “Orang-orang yang diberi kekuasaan di atas muka bumi, mereka mendirikan solat, mereka menunaikan zakat, mereka menyeru kepada perkara ma’ruf dan mencegah kemungkaran.”

Jadi masyarakat Islam yang sebenar mesti ada empat perkata. Mereka menjaga sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah perkara mungkar.

3. Berdasarkan satu ayat dalam surah At-Taubah: “Ambillah sebahagian daripada harta mereka itu sebagai zakat untuk membersihkan mereka, dan doalah kepada mereka supaya doa itu memberi ketenteraman kepada mereka.”

Pihak berkuasa hendaklah memungut zakat dan zakat ditunaikan untuk menyucikan harta mereka. Dalam waktu bekerja mungkin ada perkara subhat misalnya kita rehat terlalu lama tetapi gaji diambil seperti biasa. Jadi zakat dapat membersihkan harta dan harta menjadi berkat di sisi Allah SWT.

Zakat juga bertujuan untuk menyucikan hati kita. Proses membersih hati boleh dengan zikir, membaca Quran dan seumpamanya tetapi harta mesti disucikan dengan harta juga. Perasaan tamak haloba, penting diri dan lain-lain boleh dibersihkan dengan zakat. Jadi untuk membersihkan hati disamping berzikir dan membaca Quran zakat mesti ditunaikan.

Harta yang ada pada kita hakikatnya bukan harta kita tetapi milik Allah. Kita hanya pemegang amanahnya. Jika kita mati satu sen pun kita btidak awa bersama. Semua harta ditinggalkan kepada anak isteri dan kaum keluarga. Oleh kerana harta itu satu amanah kita hendaklah membelanjakan mengikut cara yang betul. Harta itu mestilah digunakan mengikut cara yang diperintah oleh Allah.

Cinta atau mencari harta tidak salah tetapi mestilah dalam ruang lingkup yang diizinkan oleh Allah SWT.

Bila membayar zakat kita dalam proses meraih lagi banyak rezeki daripada Allah SWT. Akal berkata bila keluarkan wang maka harta makin kurang. Tetapi dalam ibadat zakat dan sedekah lagi banyak kita keluarkan lagi bertambah keberkatan harta kita di sisi Allah SWT. Tidak ada orang jatuh muflis kerana berzakat. Tetapi sebaliknya ada yang menjadi muflis kerana bakhil, sombong dan tidak pernah tunai zakat.

Allah SWT telah berjanji: “Tidak akan berkurangan harta kerana zakat dan sedekah.”

Bila kita berzakat hati menjadi tenang, hati menjadi gembira dan hati menjadi dekat dengan Allah SWT.

Hikmat daripada ibadat zakat menyebabkan hubungan kita dengan Allah semakin baik. Bila buat kerana Allah maka kita akan rasa lazat beribadat.

Jadi bagi yang berkemampuan ibadat zakat hendaklah diteruskan hingga ke akhir hayat kita.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment