Monday, December 12, 2016

BERAMAL DENGAN ISLAM SEMUANYA



Malaikat Jibril AS datang mengadap nabi SAW dengan rupa manusia untuk mengajar para sahabat mengenai agama Islam.

Dalam hadis terkenal yang disebut dalam kitab Hadis Empat Puluh dikarang oleh imam Nawawi RA yang diriwayatkan oleh Saidina Umar ibni al-Khattab RA:

“Saidina Umar berkata sedang kami duduk bersama dengan nabi SAW tiba-tiba datang seorang lelaki yang terlalu putih pakaiannya, yang terlalu hitam rambutnya, yang cantik rupanya, yang tidak ada tanda-tanda datang dari jauh, menandakan datang dari dekat, muncul dan terus menghampiri nabi SAW sehingga berlaga lutut meletak tangan di atas dua pahanya dan bertanya:

Wahai Muhamad! Beritahu aku apa dia Islam.

Nabi SAW menjawab, Islam itu ialah engkau mengaku dengan lidah dan percaya dengan hati bahawa tiada tuhan sebenar melainkan Allah dan Muhamad ialah Rasulullah, engkau mendirikan sembahyang, engkau berpuasa Ramadan, engkau menunaikan zakat dan engkau menunaikan haji ke baitullah di Mekah sekiranya mampu.

Tiba-tiba lelaki itu berkata: Betul, betul.

Saidina Umar berkata kami hairan dia membetul jawapan nabi SAW. Dia bertanya seolah-olah dia sudah tahu, kalau dia tahu mengapa dia bertanya.

Dia bertanya lagi: Wahai Muhamad! Apa dia iman.

Jawab nabi SAW: iman itu ialah engkau percaya kepada Allah, percaya kepada kitab-nya, rasul-nya, hari akhirat dan percaya Qadar takdir daripada Allah SWT.

Lelaki itu berkata: Betul, betul.

Dia bertanya lagi: Wahai Muhamad! Apa dia ihsan.

Jawab nabi SAW: Ihsan itu engkau menyembah Allah dengan hati yang khusuk seolah-olah engkau melihat Allah atau engkau merasakan Allah melihat kamu.

Lelaki itu berkata: Betul, betul.

Dia bertanya lagi: Wahai Muhamad! Beritahu aku bila berlakunya kiamat.

Jawab nabi SAW: Bukankan orang bertanya lebih tahu daripada orang yang ditanya. Kiamat itu dalam ilmu Allah. Kamu tidak tahu dan aku pun tidak tahu.

Lelaki itu bertanya lagi: Apakah tanda hampirnya kiamat menandakan dunia akan musnah.

Jawab nabi SAW: Apabila anak-anak memperhambakan ibunya, orang-orang miskin seperti gembala kambing yang tidak lengkap pakaiannya dan berkaki ayam, tiba-tiba berlomba-lomba mendirikan bangunan-bangunan tinggi.

Lelaki itu kemudian berundur dan menghilangkan diri. Kami tergamam.

Nabi SAW bertanya: Wahai Umar! Adakah engkau tahu siapa yang bertanya.

Umar berkata: Allah dan rasul lebih tahu.

Jawab nabi SAW: Itulah malaikat Jibril yang datang untuk mengajar kamu berkenaan dengan agama.”

Hadis ini membahagikan Islam kepada tiga bahagian:

1. Islam

2. Iman

3. Ihsan

Disebut dalam hadis ini rukun-rukun iman, rukun-rukun Islam dan rukun-rukun ihsan

Di atas rukun-rukun inilah dibina agama Islam.

Islam dimaksudkan dengan amalan-amalan zahir. Iman ialah kepercayaan di dalam hati. Ihsan ialah akhlak yang membersih ruh seseorang.

Berdasarkan kepada pembahagian itu para ulamak membahagikan ilmu Islam dengan tiga bahagian itu ilmu fekah, ilmu usuludin dan ilmu tasawur

Ilmu fekah membicarakan perkara-perkara yang zahir iaitu hukum-hakam Islam. Ilmu usuludin membicarakan berkenaan iman dan ilmu tasawuf membicarakan tentang akhlak iaitu ikhlas hubungan dengan Allah. Ini adalah tiga cabang dalam agama Islam yang merupakan fitrah (sifat semula jadi) manusia. Semula jadi manusia tidak boleh memisahkan ketiga-tiga perkara ini.

Allah Ta’ala menurunkan agama Islam yang sempurna merangkumi tiga perkara ini. Barangsiapa yang memotong-motong, mengambil sebahagian dan meninggal sebahagian yang lain; mengambil fekah sahaja tanpa ilmu lain punah. Mengambil ilmu fekah tanpa ilmu lain punah. Mengambil ilmu tasauh tanpa ilmu lain punah.

Ulamak mengatakan:

“Barangsiapa yang berfekah tanpa tasawuf (akhlak) dia fasik dan barangsiap yang BERTASAWUF tanpa FEKAH dia KAFIR kerana memisahkan agama Islam.”

Agama Islam mestilah merangkumi semua perkara dan inilah yang diamal oleh nabi SAW. Tidak ada pemisahan di dalam agama Islam ini.

Abdullah bin Salam RA, seorang ulamak Yahudi masuk Islam bersama kawan-kawannya. Dia menemui nabi SAW untuk minta izin membaca kitab Taurah pada tiap-tiap malam Sabtu. Hanya membaca sahaja bukannya beramal dengan hukum-hukumnya.

Lalu Jibril menurunkan ayat bermaksud:

“Wahai orang-orang beriman masuklah kamu ke dalam Islam semuanya, jangan kamu ikut langkah-langkah syaitan kerana syaitan itu musuh yang nyata kepada kamu.”

Ini bermakna kita hendaklah beramal dengan semua agama Islam sebagaimana yang diamal oleh nabi SAW. Barangsiapa yang beramal sebahagian daripadanya bererti ikut syaitan.

Nabi kita Muhamad SAW telah menegakkan agama Islam sehingga mendirikan negara yang berdaulat. Disambung oleh para sahabat dan tabi’i.

Negara yang berdaulat itu berjaya dicapai dengan luasnya. Di sebelah timur ialah alam Melayu, di barat sampai ke negeri Sepanyul, Eropah dan hampir hendak masuk Peranchis.  Di utara sampai ke Rusia dan di selatan pula sampai ke Afrika tengah.

Islam melahirkan pemimpin-pemimpin yang memerintah negara, melahirkan ulamak-ulamak terbilang yang bukan sahaja alim dalam ilmu agama termasuklah mengislamkan ilmu dunia. Ilmu sains dan teknologi diislamkan.

Orang Islam menguasai dunia menjadi kuasa besar yang hebat sehinggalah kerajaan Islam memakan usia. Allah menjadikan kerajaan memakan umur seperti manusia juga.

Pusingan umur manusia; masa kanak-kanak, masa remaja, masa pemuda, masa dewasa, masa tua, nyanyuk dan kemudian mati.

Ibni Khaldum mengatakan dalam kitabnya al-Mukhaddimah, kerajaan di atas dunia sama ada kerajaan Islam atau kerajaan kafir mengalami pusingan.

Kerajaan nabi SAW, bila nabi wafat, naik khulafat al-Rasyidin. Selesai khulafat al-Rasyidin naik kerajaan Amawiah, kemudian naik kerajaan Abasiah dan akhirnya kerajaan Uthmaniah. Selepas kerajaan Uthmaniah tiada lagi kerajaan Islam yang mewakili kuasa besar dunia.

Apa yang tinggal ialah agama Islam dan kumpulan Islam. Kumpulan Islam inilah yang memperjuangkan Islam di negeri masing-masing. Kumpulan ini mesti ada.

Ulamak-ulamak Islam negeri Arab menubuhkan Ikhwanul Muslimin. Di India mereka menubuhkan Jemaat Islami, di Turki ditubuhkan Jemaatan Nur. Bila diharamkan Jemaatan Nur ulamak menubuhkan kumpulan Islam lain.

Di Malaysia ditubuhkan syarikat Islam tahun 1924 setelah Haji Umar Said menubuh Syarikat Islam di Indonesia tahun 1908 untuk menentang penjajah Belanda dan menentang penyebar-penyebar agama Kristian serta menyebar dakwah agama Islam.

Di Tanah Melayu ditubuhkan cawangan Syarikat Islam di Basrah, Pahang tahun 1924 oleh Tuan Guru Abdul Rahman Limbung. Setelah pertubuhan ini diharamkan oleh British, ditubuh pula Hisbul Muslimin tahun 1948 di Semanggul.

Hisbul Muslimin juga diharamkan dan tahun 1951 ditubuhkan Persatuan Islam Semalaya (PAS)

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment