Sabda Rasulullah SAW:
“Dan daripada Abi Hurairah RA
katanya aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda sesungguhnya seawal manusia
yang dibicarakan pada hari kiamat kelak terhadapnya ialah seorang yang mati
syahid, lalu dibawa dengannya dan diperkenal kepadanya akan nikmat maka dia
mengenalinya.
Allah berfirman kepadanya:
“Apakah yang telah kamu amalkan
padanya”
Katanya:
“Aku berperang kerana
Kamu sehingga aku mati syahid.”
Tuhan berfirman:
“Kamu bohong, kamu
berperang supaya dikata orang kamu berani maka sesungguhnya kamu dikata orang
berani.”
Kemudian dia diseret di atas
mukanya sehingga dicampak ke dalam neraka.
Dan seorang yang belajar ilmu dan
mengajarnya dan membaca Quran lalu dibawa bersamanya amalnya maka diperkenal
akan nikmatnya maka dia mengenalinya.
Allah berfirman kepadanya:
“Apakah yang kamu telah amalkan
padanya.”
Dia berkata:
“Aku belajar ilmu dan
mengajarnya dan saya membaca Quran kerana kamu.”
Tuhan berfirman:
“Kamu bohong. Kamu
mengajar supaya dikata orang kamu alim dan kamu membaca Quran supaya dikata
orang qari, pandai membaca Quran, maka sesungguhnya telah diperkatakan begitu.”
Lalu diseret di atas
mukanya sehingga dicampak ke dalam neraka.
Dan seorang yang Allah kurniakan
padanya rezeki yang banyak dan menyumbangkan berbagai-bagai harta lalu dibawa
bersama dengannya maka diperkenalkan kepadanya akan nikmatnya maka dia
mengenalinya.
Lalu Tuhan berfirman:
“Apakah yang kamu amalkan
padanya.”
Dia berkata:
“Tidakkah Kamu tinggalkan kepada
aku harta kekayaan dan aku belanjakan harta aku kerananya.”
Tuhan berfirman:
“Kamu bohong, kamu
melakukan supaya dikata orang kamu pemurah maka sesungguhnya telah dikatakan
begitu.”
Lalu diperintah
dengannya dan diseret di atas mukanya sehingga dicampak di dalam neraka. (Hadis
riwayat Muslim).
Hadis ini menyatakan
setiap amal ibadat mestilah ikhlas kerana Allah Ta’ala.
Niat adalah khilaf di
kalangan ulamak. Mereka khilaf bila patut hadir niat. Ada ulamak dalam mazhab Syafie
mengatakan niat itu mesti dilakukan beserta dengan perbuatan seperti niat
sembahyang kecuali ibadat puasa yang boleh diniatkan waktu malam.
Ada ulamak mengatakan niat tidak
semestinya berserta dengan perbuatan walaupun dalam ibadat sembahyang. Dan
inilah pendapatan kebanyakan ulamak.
Amalan-amalan biasa
tidak diperlukan niat. Contohnya sedekah sunat, menolong orang secara sunat dan sebagainya.
Walaupun amalan-amalan ini tidak diwajibkan niat tetapi disuruhkan ikhlas
kepada Allah SWT.
Jangan melakukan amalan
kerana riak, iaitu menunjuk-nunjuk kepada orang, bukan kerana Allah SWT.
Hadis ini menunjukkan contoh
bagaimana seseorang yang melakukan amalan yang sangat besar fadilatnya.
1. Berjihad.
Berjihad sangat besar fadilatnya.
Sumbangannya sangat besar. Pahalanya berganda dengan amalan lain. Terutamanya
mereka yang mati syahid kerana berjihad. Namun demikian mestilah niatnya kerana
Allah SWT.
Nabi SAW pernah ditanya:
“Ya Rasulullah ada orang berjuang
bertujuan supaya dia dilihat seorang yang berani atau bila menyumbang fi
sabilillah supaya dilihat seorang pemurah atau berjuang kerana kaum atau bangsa,
siapa yang berjuang fi sabilillah?”
Jawab nabi SAW:
“Mereka berjuang supaya kalimah
Allah itu tinggi. Makna kalimah Allah ialah LAILAHA ILLALLAH iaitu agama Allah
tinggi mengatasi segala ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman lain, supaya
agama-Nya memerintah di atas muka bumi dan semua ajaran lain tunduk di
bawahnya.”
Mereka berjuang supaya Islam
berdaulat iaitu memerintah. Hukum Allah mengatasi hukum-hukum lain. Jika
berjuang untuk tujuan lain daripada Allah tidak akan diterima.
2. Menuntut ilmu.
Menuntut ilmu adalah
sebahagian daripada jihad. Mengajar ilmu adalah fadilat yang sangat
besar. Menuntut dan mengajar ilmu pun dikehendaki ikhlas. Barangsiapa
yang menuntut dan mengajar ilmu bukan kerana Allah Ta’ala maka amalannya tidak
diterima.
3 Bersedekah.
Mereka yang bersedekah, yang
menyumbangkan harta walaupun berjuta-juta jika sumbangannya tidak kerana Allah
Ta’ala maka pahala tidak diberi oleh Allah Ta’ala.
Perkara ini dikenali
dengan syirik khafi, iaitu di dalam hati. Walaupun syirik ini tidak
membatalkan iman, tidak menyebabkan seseorang menjadi kafir tetapi syirik ini
boleh membatalkan pahala amalannya.
Oleh kerana itu kita
disuruh bukan sahaja mempelajari ilmu aqidah, kita disuruh mempelajari juga
hukum syariat bagaimana hendak beramal pada zahirnya dan kita juga disuruh
mempelajari ilmu akhlak atau ilmu tasawuf yang berkait dengan keikhlasan hati.
Ketiga-tiga ilmu itu
kena dipelajari. Ini merupakan tiga perkara yang tidak boleh dipisahkan di
dalam agama Islam. Sekiranya seseorang itu batal imannya walaupun amalannya
ikhlas maka amalannya ditolak.
Barangsiapa yang beramal dengan
amalan yang tidak menepati rukunnya maka amalannya ditolak. Tetapi jika kerana
jahilnya maka dimaafkan sementara, dan berdosa kerana
tidak belajar. Dia wajib belajar fardu a’in iaitu amalan-amalan yang
zahir dalam ilmu fekah.
Barangsiapa yang
aqidahnya elok dan amalannya menepati rukun tetapi hati tidak betul, tidak
ikhlas kerana Allah Ta’ala maka amalannnya tidak mendapat pahala.
Ketiga-tiga perkara ini menjadi
perkara yang amat penting di dalam agama Islam. Inilah perkara yang ditanya
oleh malaikat Jibril kepada nabi SAW iaitulah:
Apa dia Islam nabi jawab
Apa dia iman nabi jawab
Apa dia ihsan nabi jawab
Islam itu ialah amalan yang zahir
yang dilakukan oleh anggota kita. Iman itu ialah kepercayaan yang ada di dalam
hati dan ihsan ialah perangai yang ada di dalam hati kita.
Ini menjadi ilmu-ilmu
Islam yang mesti kita belajar. Tidak boleh belajar sebahagian sahaja dan tidak
belajar yang lain.
KULIAH YT
No comments:
Post a Comment