Saturday, December 17, 2016

JASA MESIR DALAM SEJARAH ISLAM



Firman Allah Ta’ala bermaksud:

“Dan tidaklah mereka itu membakar orang-orang beriman di dalam parit api yang dinyalakan melainkan kerana mereka itu menjadi orang-orang yang beriman kepada Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.”

Ramai kalangan kita tidak tahu kedudukan negeri Mesir, mengapa negeri Mesir menjadi perhatian seluruh dunia bukan sahaja hari ini bahkan semenjak zaman dahulu.

Mesir mempunyai kedudukan penting dari segi agama, dari segi politik dan ekonomi antarabangsa. Mesir menjadi perlawanan antara nabi-nabi dan raja-raja yang zalim semenjak zaman dahulu.

Mesir juga menjadi medan peperangan dunia semenjak zaman dahulu, semenjak zaman Iskandar Zulkurnain (Alexander The Great). Iskandar menawan Mesir kerana kedudukannya yang sangat penting dari segi hubungan antarabangsa.

Dalam hadis Israk dan Mikraj, setelah nabi kita Muhamad SAW dibawa melawat ke Baitul Makdis, dan masjid Aqsa, dibawa naik ke langit dan nabi SAW menceritakan bila sampai di Sidratil Muntaha, pokok yang sangat besar baginda melihat daripada umbi pokok Sidratil Muntaha terpancar empat buah sungai.

Dua buah sungai menuju ke syurga dan dua buah lagi menuju ke dunia. Sungai yang menuju ke dunia ialah sungai Nil di Mesir dan sungai Furad di Iraq.

Barangkali kita orang-orang Islam tidak mengetahui bagaimana orang-orang Yahudi yang telah berjaya merampas bumi Palastin menyatakan cita-cita mereka dan cita-cita ini ditulis dipintu kanisat (pintu parlimen Israil) ‘Negara Yahudi yang hendak dibentuk sempadannya daripada sungai Nil sehingga sungai Furad.’

Itu adalah cita-cita orang-orang Yahudi yang mungkin tidak ramai diketahui oleh orang-orang Islam.

Al-Quranul Karim mengesahkan Mesir dikunjungi oleh nabi-nabi ASTS. Mesir didatangi oleh Nabi Ibrahim AS, didatangi oleh nabi Yaakub dan keluarganya dan nabi Yusuf memerintah negeri Mesir.

Di Mesir juga lahir nabi Musa AS untuk menentang raja yang paling zalim dan paling jahat dalam sejarah dunia iaitulah Firaun. Raja zalim dan jahat ini mengaku dirinya tuhan, mengaku boleh memberi rezeki kepada rakyat.

Jika rakyat hendak kesenangan ikut Firaun. Maka Allah Ta’ala melahirkan nabi Musa dan Harun untuk menentang Firaun. Rakyat yang ikut nabi Musa disusahkan.

Di Mesir lahir nabi-nabi dan orang-orang soleh. Di Mesir juga lahir raja-raja yang zalim dan orang-orang yang jahat seperti Qarun, Haman dan berlakunya perlawanan.

Nabi SAW berpesan kepada sahabatnya dengan memberi wasiat sebelum wafat, nabi berkata,

“Apabila kamu pergi ke negeri Mesir ingat-ingat kamu hendaklah berlaku baik kepada rakyat negeri Mesir kerana aku ada hubungan silatul rahim dengan Mesir.”

Isteri nabi Ibrahim yang bernama Hajar ibu kepada nabi Ismail daripada negeri Mesir. Salah seorang isteri nabi SAW, Mariah al-Khibtiah daripada Mesir yang telah melahirkan anaknya bernama Ibrahim.

Apabila Saidina Umar menghantar Ammar bin ‘As ke Mesir, Saidina Umar berpesan supaya ingat baik-baik pesanan nabi SAW.

Dalam sejarah Islam Mesir telah memainkan peranan yang sangat penting menyelamatkan Islam:

1. Di zaman kerajaan Abasiah ketika berlaku kaum Tartar, bangsa yang ganas dari Asia Tengah, dipimpin oleh Hulako menyerang dan menakluk dunia, dipimpin oleh Gehis Khan yang menghantar Kublai Khan ke China dan menghantar Hulako ke sebelah barat.

Hulako telah menyerang Baghdad, pusat kerajaan Islam. Baghdad telah dimusnahkan. Kitab-kitab agama dibakar, ulamak-ulamak dibunuh dan berjuta-juta rakyat Baghdad mati. Baghdad menjadi kolam darah.

Kaum Tartar memaksa orang Islam murtad. Mereka menyerang Syiria dan berjaya menawan Syiria dan kemudian masuk ke Palastin. Dengan pertolongan Allah bala tentera Mesir telah berjaya mengalahkan Tartar dalam peperangan Injalut.

Satu peristiwa yang bersejarah, orang Mesir yang telah menyelamatkan Islam kerana mengalahkan Tartar dalam peperangan Injalut itu di Palastin. Bukan sahaja orang-orang Mesir telah berjaya mengalahkan kaum Tartar yang ganas dalam masa yang sama telah berjaya mengislamkan kaum Tartar.

Orang Tartar masuk Islam. Mereka berjaya mengislamkan kaum keluarga mereka di India yang seterusnya menubuhkan kerajaan Moghul di India dan berjaya menguasai Afganistan.

Jadi jasa Mesir sangat besar kerana berjaya mengalahkan kaum Tartar dan menyelamatkan Islam.

2. Tentera Solib, Kristian yang fanatik menyerang negeri-negeri Islam menakluk Palastin. Palastin yang ditakluk oleh Yahudi pada hari ini pernah ditakluk oleh tentera Solib daripada Jerman, Peranchis, England dan lain-lain.

Dalam peperangan Solib yang terkenal mereka menakluk Baitul Makdis hampir seratus tahun. Maka Allah melahirkan Solahudin al-Ayubi daripada bangsa Kuldis. Solahudin dihantar oleh bapa saudaranya Sultan Mahmud Zanki pergi ke Mesir menguasai kerajaan Fatiniah dan berjaya menghapuskan kerajaan Syiah Fatiniah.

Solahudin al-Ayubi berjaya menguasai Mesir dan dengan kekuatan Mesir yang digabungkan dengan Syiria berjaya membebaskan Baitul Makdis dan Palastin daripada tentera Solib. Mesir mempunyai jasa yang besar dalam sejarah Islam.

Di zaman Sultan Harunal Rasyid pernah dicadangkan untuk digalikan terusan Suiz. Sebelum Peranchis menggali terusan Suiz sudah ada cadangan orang Islam untuk menggalikan terusan itu.

Terusan Suiz sangat penting dalam dunia hari iaitu jalan air yang menghubungkan laut Lautan Hindi dan Laut Merah dengan lautan Medeteranian dan Lautan Pacifik.

Semua minyak, gas dan barang-barang perdagangan mesti lalu terusan Suiz. Tanpa terusan Suiz mereka terpaksa lalu ikut Afrika Selatan yang jaraknya ribuan batu.

Sebelum Peranchis menggali terusan Suiz, sudah ada cadangan untuk menggali di zaman Sultan Harunal Rasyid. Perdana Menteri masa itu Yahya bin Khalid al-Balmaki menasihatkan Sultan Harunal Rasyid supaya tidak menggali terusan Suiz.

Jika digali terusan Suiz tidak menjadi masalah masa orang Islam kuat. Masa orang Islam lemah Mesir akan ditawan oleh musuh dan merbahayakan Mekah, merbahayakan Madinah dan merbahayakan Baitul Makdis. Dengan itu Sultan Harunal Rasyid membatalkan rancangan untuk menggalikan terusan Suiz.

Apabila Peranchis menakluk Mesir terusan Suiz digali. Ini memudahkan perjalanan barat ke timur untuk menguasai negeri-negeri Teluk, menguasai Yaman Selatan, menguasai Benua India dan termasuklah mengukuhkan penguasaannya di Asia Tenggara oleh British dan Belanda di masa itu.

Terusan Suiz akhirnya menjadi penghubung yang paling penting dan menjadi rebutan kuasa-kuasa besar dunia.

Perang dunia pertama antara Jerman dan Turki di satu pihak; British, Peranchis dan negara-negara barat di satu pihak lain. Terusan Suiz, Mesir menjadi medan perang yang sengit kerana merebut terusan suiz.arunalH
arunal Ras


Apabila kerajaan Uthmaniah yang mempertahankan Palastin jatuh 1924, orang Inggeris membawa masuk orang Yahudi ke Palastin pada tahun 1948.

Ini hasil perjanjian antara Perdana Menteri British masa itu Lord Balfor dengan Theodor Hitler. Perjanjian dibuat sekiranya British dapat menguasai Mesir, menguasai negeri Arab dan Uthmaniah dijatuhkan maka kerajaan British berjanji akan memberi Palastin kepada orang Yahudi.

Pada masa perang dunia pertama Sultan Abdul Hamid didatangi pemimpin Yahudi menawarkan duit jumlah berjuta-juta paund, bukan juta ringgit untuk membayar hutang kerajaan Turki dan hendak merasuah berjuta paund.

Sultan Abdul Hamid kata:

“Tidak! Saya tidak akan khianat kepada Islam. Saya tidak akan khianat kepada datuk nenek saya, sultan-sultan Uthmaniah yang mempertahankan Islam.”

Yahudi dihalau dari istana.

Kerajaan Uthmaniah jatuh kerana orang Arab. Dengan kebangsaan Arab menolak orang Turki walaupun orang Turki Islam. Orang Arab bekerjasama dengan Inggeris menjatuhkan kerajaan Uthmaniah menyebabkan berlakunya perlaksanaan perjanjian Shiex Vecco.

Dengan perjanjian itu negeri-negeri Arab dibahagi-bahagikan di kalangan kuasa-kuasa penjajah. Syiria dan Lubnan dapat kepada Peranchis, Mesir dan Palastin diserah kepada British. Masa itulah berlaku penghijrahan orang Yahudi beramai-ramai ke Palastin.

Kerajaan Uthmaniah jatuh tahun 1924 dan tahun 1928 Hasan al-Bana menubuhkan Ikhwanul Muslimin untuk memperjuangkan Islam. Tahun 1948 diistiharkan penubuhan negara Yahudi yang dinamakan Israil.

Orang Arab menentang penubuhan negara Israil. Orang Arab menentang tetapi kerajaan Arab tidak menentang. Kerajaannya menjadi tali barut British, tali barut Peranchis, tali barut penjajah dan tali barut Yahudi.

Hasan al-Bana mengistiharkan jihad terhadap Palastin. Orang ramai datang mendaftarkan diri untuk berjihad di Palastin terutama orang Mesir.

Disebut dalam sebuah buku bagaimana seorang pemuda yang tinggal di pendalaman Mesir datang dengan mengheret kerbau bertemu dengan Hasan al-Bana dan berkata:

“Saya tidak ada wang, saya ada kerbau yang saya pelihara dan saya hendak derma kerbau saya dan bendak daftar diri menjadi mujahid untuk pergi ke Palastin. Hasan al-Bana menerima dan pemuda itu mendaftarkan diri.

Apa yang menarik ialah semua tentera Arab kalah melawan Yahudi kerana senjata buruk. Kerajaan Arab membeli senjata rasuah. Ada tentera mati kerana bila tembak acap kali senjata itu meletup sebab senjata buruk. Ini yang berlaku tahun 1948.

Tetapi mujahidin Ikhwanul Muslimin berjaya mengalahkan tentera Yahudi dan beberapa kampung dapat dibebaskan.

Malangnya kerajaan-kerajaan negeri Arab telah menerima keputusan Bangsa-bangsa Bersatu genjatan senjata dengan Israil dan Ikhwan berdamai dengan Yahudi dalam tahun 1948.

Dalam bulan Februari tahun 1949 Hasan al-Bana ditembak mati kerana terlibat dalam perang Palastin tahun 1948.

Ditembak mati oleh siapa?

Oleh polis Mesir yang kerajaannya menjadi tali barut British.

Tahun 1952 rakyat dan tentera Mesir menggulingkan Raja Faruk kerana menjadi tali barut British. Tentera Mesir mengajak Ikhwanul Muslimin sama-sama mengguling raja Faruk dan menubuhkan kerajaan repablik dengan kerjasama tentera dan Ikhwanul Muslimin.

Malangnya oleh kerana pengaruh Ikhwanul Muslim kuat kerana banyak kerja-kerja kebajikan dilakukan. Mereka membantu orang miskin, menolong orang susah dan mengumpul zakat menyebabkan pengaruhnya besar.

General-general tentera Mesir merasakan mereka tidak boleh mengatasi pengaruh Ikhwanul Muslimin lalu mereka membuat satu fitnah untuk mengharamkan Ikhwanul Muslimin.

Caranya ialah dengan mengadakan satu lakunan.

Dalam satu rapat umum Presiden Jamal Abdul Nasir memakai baju kalis peluru di Port Said. Ketika Jamal Abdul Nasir menyampaikan ucapan salah seorang polis rahsia Mesir melepaskan tembakan ke udara kononnya hendak membunuh Jamal Abdul Nasir.

Akibatnya orang ramai berkeliaran dan ada yang meniarap apabila mendengar tembakan itu. Presden yang sudah mengetahui bahawa itu lakunan pergi ke pembesar suara dan berucap:

“Sekiranya Jamal Abdul Nasir mati rakyat Mesir masih hidup”.

Orang ramai pun naik semangat kerana berfikir dalam hatinya bahawa presiden seorang hebat dan berani.

Surat khabar Mesir pula diarah menyiarkan orang Ikhwan akan membunuh presiden Jamal Abdul Nasir. Ini satu fitnah yang dilakukan untuk menghancurkan Ikhwanul Muslimin.

Seterusnya disembunyikan senjata-senjata di kebun-kebun milik pemimpin Ikhwanul Muslimin. Senjata yang telah disembunyikan itu diambil oleh polis untuk dijadikan hujah bahawa orang Ikhwan hendak merampas kuasa dan mengguling kerajaan menyebabkan ramai pemimpin Ikhwan di tahan dan sebahagian besar dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Abdul Kadir Audah, Yusuf Tala’at dan beberapa orang lagi dikenakan hukuman gantung sampai mati kerana difitnah kononnya Ikhwanul Muslimin hendak mengguling presiden Mesir masa itu. Ini kisah yang sangat menyayatkan hati.

Dengan takdir Allah Ta’ala selepas Jamal Abdul Nasir mati naik Anwar Sadat sebagai presiden Mesir. Anwar Sadat hendak menaikkan pengaruhnya mendedah semua sekali keburukan Jamal Abdul Nasir. Maka terbongkar rahsia lakunan fitnah terhadap Ikhwanul Muslimin.

Peristiwa di Port Said terdedah dan pembunuhan pemimpin Ikhwan yang sebenar ialah disebabkan fitnah dan bukan hendak mengguling presiden Jamal.

Ikhwanul Muslimin diharamkan dalam tahun lima puluhan. Walaupun diharamkan kerja-kerjanya berjalan terus. Ikhwanul Muslimin masih disayangi oleh rakyat Mesir.

Bila diumumkan demokrasi dan diadakan pilihan raya tiba-tiba parti Ikhwan menang besar kerusi parlimen. Kemenangan dibatalkan menyebabkan presiden Husni Mubarak digulingkan. Pilihan raya diadakan semula dan Ikhwan menang besar juga.

Rakyat Mesir menyokong Ikhwan. Bukan sahaja orang Islam menyokong Ikhwan termasuk juga orang Kristian Koftik.

Mengapa demikian?

Kerana orang Ikhwan suka menolong orang miskin, mereka bersih dan tidak rasuah. Mereka adalah ahli-ahli agama yang warak dan kuat berpegang dengan agama. Orang Mesir yang tidak sembahyang pun sokong Ikhwan. Semua perkara itu menyebabkan Ikhwan menang besar dalam pilihan raya.

Dalam pilihan raya presiden Mursi dari parti Ikhwan menang. Bila Mursi menang calon Ikhwan, Ikhwan adalah parti Islam dan dalam kepalanya bila Islam menang merbahaya. Maka kemenangan itu mesti dihapuskan.

Apa yang berlaku di Mesir merupakan satu kezaliman yang sangat dahsyat. Kita orang Islam tidak boleh biarkan kerana firman Allah Ta’ala:

“Jangan cenderung hati kepada orang zalim nanti disambar oleh api neraka.”

Alhamdulillah apa yang berlaku di Mesir mendapat perhatian seluruh dunia, bukan sahaja negeri Islam termusuklah negeri bukan Islam.

Kesatuan negeri-negeri Afrika membuat keputusan digantung keahlian Mesir kerana Mursi dipilih melalui pilihan raya yang sah.

Wakil kesatuan Eropah mengutuk rampasan kuasa di Mesir. Amerika pula dalam keadaan yang serba salah dan akhirnya terpaksa mengutuk juga kerana tentera mengambil alih dan menggulingkan Mursi.

Israil bersetuju tentera mengambil alih mengguling Mursi. Malangnya negeri yang ada Mekah dan Madinah, Saudi juga bersetuju dengan Israil. Negeri-negeri Teluk juga bersetuju dengan penggulingan itu.

Di Kuait, Dr Torik Suwaidan seorang tokoh Islam Kuwait menyatakan sokongan kepada Mursi dan mengutuk rampasan kuasa oleh tentera. Akibatnya beliau dipecat daripada jawatannya.

Jadi jangan kita fikir orang Arab semuanya elok. Ada Arab yang ikut Islam, ikut nabi dan ada Arab yang ikut Abu Jahal.

Di tempat lain pun begitu juga. Ada rakyatnya ikut Islam dan ada yang tidak ikut Islam.

Begitulah fitnah akhir zaman yang sedang kita hadapi pada hari ini. Apa yang berlaku dalam dunia sangat kelam kabut, sangat mengelirukan dan penuh dengan kezaliman dan pembunuhan.

Tetapi jangan kita rungsing apa yang berlaku ini telah diberitahu oleh nabi kita Muhamad SAW:

“Dunia akhir zaman akan berlaku fitnah dan selepas fitnah akan berlaku kemenangan kepada Islam.”

Apa yang berlaku hari ini adalah tanda-tanda kemenangan Islam. Seorang tokoh Islam mengatakan sebelum seorang ibu yang mengandung melahirkan anak, darah dahulu yang keluar baharu anak dilahirkan.

Dengan itu darah yang keluar di Mesir, di Syiria, di Palastin dan lain-lain tempat merupakan darah syuhadat untuk melahirkan kemenangan Islam.

Ini perlu kita sedar. Apa yang penting ialah kita perlu bersama dengan kumpulan Islam.

Nabi bersabda maksudnya:

“Kamu hendaklah bersama dengan kumpulan Islam dan pemimpin yang memperjuangkan Islam sehingga hari kiamat.”

Itu adalah pesanan nabi SAW. Kita hendaklah bersimpati dengan saudara kita yang tertindas di Palastin, di Mesir, di Ruhinya, di Banggalades dan di mana sahaja orang Islam ditekan dan ditindas kerana semua orang Islam adalah bersaudara.

Nabi SAW bersabda:

“Bandingan hubungan persaudaraan di kalangan orang-orang Islam samalah seperti anggota dalam satu tubuh, bila satu anggota sakit maka semua anggota akan berjaga dan demam.”

Jika seseorang ada iman apa yang berlaku terhadap orang Islam di mana-mana sekali pun maka dia akan terasa. Jika tidak terasa apa-apa menandakan orang itu tidak ada iman.

Alhamdulillah kita semua ada perasaan keislaman dan kita suburkan perasaan ini serta menyatakan simpati kita sekurang-kurangnya berdoa untuk mendapat keberkatan bersama-sama dengan mereka yang berjihad dan syahid di dalam perjuangan menegak agama Allah di mana-mana sahaja.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment