Friday, December 9, 2016

MINTA IZIN? POLISI SEJAK ZAMAN RASULULLAH


Beberapa hari sebelum tercetusnya peperangan Khandaq, Nabi telah memerintahkan setiap orang Islam untuk terlibat dalam kerja-kerja penggalian parit di sekeliling Madinah.

Oleh kerana projek tersebut sangat besar dan masa yang ada begitu suntuk, maka Nabi memerintahkan agar semua pengikutnya tidak meninggalkan kerja-kerja tersebut melainkan setelah mendapat keizinan dari Rasulullah SAW.

Maka para sahabat yang mempunyai urusan lain terlebih dahulu menghadap Rasulullah bagi meminta izin. Ada yang diizinkan, dan ada yang tidak. Yang diizinkan segera menyelesaikan urusan dan bergegas pulang melapor diri setelah selesai urusan mereka. Yang tidak diizinkan, akur dan terus kembali kepada tugas penggalian.

Namun orang-orang munafik tidak melapor diri kepada Rasulullah SAW. Mereka secara senyap-senyap keluar meninggalkan arahan baginda. Allah menjadikan hikmah polisi ini sebagai salah satu cara mendedahkan siapa orang-orang munafik di kalangan saf unat Islam.

Besarnya perkara ini untuk dijadikan pedoman sehingga Allah rekodkan dalam al-Quran. Bacalah firman Allah berikut:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَإِذَا كَانُوا مَعَهُ عَلَىٰ أَمْرٍ جَامِعٍ لَمْ يَذْهَبُوا حَتَّىٰ يَسْتَأْذِنُوهُ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَأْذِنُونَكَ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ۚ فَإِذَا اسْتَأْذَنُوكَ لِبَعْضِ شَأْنِهِمْ فَأْذَنْ لِمَنْ شِئْتَ مِنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمُ اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman ialah mereka yang beriman kepada Allah dan RasulNya, dan apabila mereka turut bersama-sama dengan Rasulullah dalam sesuatu perkara yang memerlukan perhimpunan ramai, tidaklah mereka meninggalkan majlis perhimpunan itu sebelum mereka meminta izin kepadanya.

Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (wahai Muhammad) itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Maka apabila meminta izin kepadamu untuk pergi menjalankan sesuatu urusan mereka, maka izinkanlah bagi sesiapa yang engkau kehendaki di antara mereka, dan mintalah ampun kepada Allah untuk mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

لَا تَجْعَلُوا دُعَاءَ الرَّسُولِ بَيْنَكُمْ كَدُعَاءِ بَعْضِكُمْ بَعْضًا ۚ قَدْ يَعْلَمُ اللَّهُ الَّذِينَ يَتَسَلَّلُونَ مِنْكُمْ لِوَاذًا ۚ فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَنْ تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu; sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang di antara kamu yang menarik diri ke luar secara berselindung dan bersembunyi. Oleh itu, hendaklah berjaga-jaga terhadap mereka itu, jangan sampai mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Surah al-Nur:62-63)

Menurut para muffasirin, perintah meminta izin ini bukan hanya kerana baginda seorang Rasul, tetapi juga kerana baginda seorang pemimpin umat Islam.

Justeru ayat ini turut memberikan kelebihan kepada pemimpin Islam untuk menetapkan syarat sebegitu apabila dirasakan perlu mengikut pertimbangan siasah syar'iyah.

Pasti ada pihak yang menganggap polisi sebegini jumud dan tidak lagi sesuai di zaman moden. Tetapi hakikatnya al-Quran dan segala isi kandungannya tidak pernah luput tarikhnya dan kekal relevan hingga ke hari kiamat. Maka, hanya orang beriman sahaja boleh menerima perkara ini.

Awas, tulisan ini hanya untuk mereka yang beriman.

(Alang Ibn Shukrimun)
 Z

No comments:

Post a Comment