Tuesday, December 13, 2016

NABI SULAIMAN MENGHARAMKAN SIHIR



Bila nabi Sulaiman AS wafat syaitan dan iblis berjumpa dengan manusia untuk menggali di bawah singgahsana nabi Sulaiman atau tempat berhampiran bagi mendapat peti yang dikatakan di dalamnya ada ilmu-ilmu hikmat.

Bila berjaya digali, peti itu diambil, dibuka dan didapati di dalamnya ada ilmu-ilmu sihir yang diharam oleh nabi Sulaiman AS. Lalu jin kafir mengatakan nabi Sulaiman beramal dengan ilmu yang ada dalam kitab ini.

Mereka menuduh nabi Sulaiman mempunyai ilmu sihir. Tuduhan ini masuk dalam kepala ulamak-ulamak jahat orang Yahudi dan mengikut sama menyebar.

Ada riwayat mengatakan bila nabi Sulaiman wafat mereka yang menanam peti menyebar berita nabi Sulaiman beramal dengan ilmu sihir. Nabi Sulaiman dapat menguasai jin, binatang dan burung kerana beramal dengan ilmu sihir yang diambil daripada peti itu.

Ada kalangan ahli sihir di zaman umat Muhamad SAW yang bersahabat dengan iblis dan syaitan menggunakan ayat-ayat Quran. Mereka ini membuang Quran dalam tandas, membuang Quran ditempat najis, mereka membalut kaki dengan Quran kemudian berjalan atau pun menulis ayat Quran dengan darah haid dan nifas.

Bila dipuja datanglah iblis dan syaitan yang sanggup memberi apa yang yang diminta dan Allah Ta’ala mungkin izinkan. Mereka yang melakukan perkara itu menjadi murtad.

Termasuk juga sihir yang menggunakan bahan-bahan kimia dan berlaku benda-benda ganjil dan menyakitkan. Dalam perkara ini ada ulamak mengatakan tidak menjadi kafir hanya dosa besar. Sekiranya menghalalkannya jadi kafir juga. Ini adalah pendapat mazhab Hanafi.

Tidak ada khilaf di kalangan ulamak jika sekiranya dalam ilmu sihir itu terdapat perkara-perkara kufur seperti memuja jin yang kafir atau pun melakukan kerja-kerja syirik sebagai contoh meletakkan sifat Allah pada diri.

Ada ahli sihir mengatakan dia tua sehari daripada tuhan padahal ayah dia tua daripadanya. Mereka yang terlibat hendaklah dijatuhkan hukuman mati kerana murtad. Perkara ini menjadi perbincangan dalam kitab fekah.

Jenayah sihir ini ada dalam kitab-kitab fekah Islam dan tidak ada dalam undang-undang barat kerana undang-undang barat tidak percaya kepada perkara ghaib. Golongan muktazilah juga tidak percaya kepada hal-hal seperti ini.

Terdapat di kalangan Yahudi mengatakan ilmu sihir diajar juga oleh Jibril dan Mikail. Mungkin mereka mengambil daripada kisah Samiri. Nabi Musa AS semasa bayi dipelihara oleh Firaun. Musa Simiri yang disembunyikan oleh ibunya di dalam gua dipelihara oleh Jibril.

Musa yang dipelihara oleh Firaun menjadi nabi dan rasul tetapi Musa yang dipelihara oleh Jibril dikenali dengan Musa Samiri menjadi kafir.

Jibril yang merupakan dirinya sebagai seorang lelaki menaiki kuda apabila datang membawa makanan kepada Musa Samiri. Musa Samiri mengambil debu bekas tapak kaki kuda, disimpan untuk dijadikan hikmat.

Apabila debu itu diletakkan pada patung lembu yang dibuat daripada emas, lalu patung itu mengeluarkan suara. Dengan alasan ini ada kalangan orang Yahudi mengatakan malaikat juga membawa sihir.

Al-Quran diturunkan kepada nabi SAW untuk membersihkan nabi Sulaiman AS.

Allah Ta’ala berfirman:

“Mereka membelakangkan kitab Allah dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak syaitan dalam masa pemerintahan nabi Sulaiman padahal nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, tetapi puak-puak syaitan itulah yang kafir dengan amalan sihir.”

Ayat ini menjadi dalil kepada ulamak-ulamak yang mengatakan bahawa semua ilmu sihir adalah kufur. Barangsiapa yang mengajar ilmu sihir, belajar ilmu sihir dan beramal dengan ilmu sihir menjadi kufur dan keluar daripada agama Islam.

Kita jangan mengambil mudah perkara sihir ini. Ada hadis yang memasukkan ilmu sihir dalam dosa yang sangat besar.

Sabda Rasulullah SAW:

“Jauhlah kamu daripada tujuh dosa besar.”

Lalu ditanya:

“Apa dia wahai Rasulullah?”

Sabda Rasulullah SAW:

“Iaitulah pertama syirik, kedua sihir, ketiga membunuh orang dengan cara tidak sebenar, keempat memakan riba, kelima memakan harta anak yatim, keenam mnenuduh perempuan yang tidak bersalah dengan zina dan ketujuh lari bila berdepan dengan musuh yang kafir di medan perang.”

Salah satu daripada dosa besar ialah sihir yang dibilangkan oleh nabi SAW.

Kita memohon kepada Allah SWT agar dijauhi daripada ilmu sihir

KULIAH TAFSIR YT


No comments:

Post a Comment