Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti
tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail dan beberapa malaikat yang lain.
Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan
akhirnya nyawanya sendiri.
Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya
"Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?"
Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan
keagunganNya "Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.
"Ini menunjukkan kebesaran dan keagungan-Nya sebagai tuhan
yang Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.
Selepas 40 tahun, malaikat
Israfil a.s. dihidupkan semula, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2,
lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar
(umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.
Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz Zanbi" yang berada di
hujung tulang belakang mereka.
Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari
biji benih.
Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina.
Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut
dan bimbang tentang nasib dan masa depan yang akan mereka hadapi kelak.
Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh
yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar.
Bergeraklah mereka menggunakan
tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang
amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa).
Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap
manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
Setelah semua makhluk
dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam
kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.
Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat,
lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT.
Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan
suaranya yang menakutkan.
Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda.
Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka.
Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik
di hari kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai
menjadi kering.
Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh
mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan
masing-masing.
Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.
Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang
mukmin sahaja.
Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya.
Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya.
Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum
dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari
embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.
Semua makhluk berada
bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
ⅰ- Pemimpin yang adil.
ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya
dengan masjid.
ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak
dengan berkata "Aku takut pada Allah".
ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang
ramai).
ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air
matanya kerana takutkan Allah.
Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua
manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka
terdengar suara
"pergilah berjumpa dengan para Nabi".
Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan
manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka
gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan
dengan Allah SWT.
Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi
Ibrahim a.s , Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti
Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW.
Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1,000 tahun
perjalanan.
Lalu berdoalah
baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.
Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga
menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun.
Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8
malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil
bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga 'Arasy itu tiba dibumi.
'Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung
bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 malaikat yang
besar dan gagah.
Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu
bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya.
Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.
Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang
dipikul oleh 4 malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari 'Arasy
umpama cincin ditengah padang.
Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan
istana.
Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut.
Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab
amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa
silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab.
Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib
dan 'Atid / Kiraman Katibin.
Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir dan munafik beratur bersama pemimpin mereka yang
zalim.
Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.
Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat.
Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara
pertumpahan darah.
Apabila tiba giliran
seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu
diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan
dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.
Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca
Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2
daun.
Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk
menimbang dosa.
Acara ini disaksikan oleh
Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut
masing-masing dihisab.
Perkara pertama yang diminta
ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang
bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.
Ketika dihisab, mulut manusia
akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada
dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta'ala dengan Maha
Bijaksana.
Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai
untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah
seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.
Syafaat Nabi Muhammad SAW di
akhirat :
ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan
mempercepatkan hisab.
ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari
neraka.
(Semua syafaat ini tertakluk
kepada keizinan Allah SWT.)
Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin
oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka.
Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan
mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.
Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat.
Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya
neraka.
Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh
dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan
dimudahkan menyeberanginya.
Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15,000 tahun. 5,000 tahun menaik, 5,000 tahun mendatar dan 5,000
tahun menurun.
Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin,
menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya
disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke
dalamnya.
Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap
makhluk yang lalu.
Setiap 1,000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang berjaya
melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.
Rujukan:
Kitab Aqidatun Najin
karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al-Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.
No comments:
Post a Comment