Syirik kecil yang
dinamakan syirik khafi yakni tersembunyi iaitu sebarang kepercayaan, perbuatan
atau perkataan yang menyalah anggap terhadap kekuasaan, undang-undang atau
peraturan Allah SWT.
Diantaranya ialah riak iaitu apabila seseorang itu membanyakkan amalan
apabila di hadapan manusia dan apabila tidak ada manusia berlainan pula
caranya.
Syirik ini tidak
menyebabkan seseorang itu menjadi kafir tetapi boleh menghapus pahala amalan.
Pahala amalannya ditolak oleh Allah SWT.
Ada hadis-hadis yang
menyatakan boleh menyebabkan seseorang itu dimasukkan ke dalam neraka dengan
sebab amalan itu ditolak oleh Allah SWT dan tidak boleh menolak dosa-dosa yang
ditimbang bersama dengannya. Ini dinamakan syirik kecil atau syirik asyrar dan
disebut juga dengan syirik khafi.
Syirik yang tersembunyi di dalam hati iaitulah sebarang perkataan, kepercayaan
dan perbuatan yang boleh menyalah anggap terhadap keesaan Allah SWT.
Diantaranya ialah mengerjakan amal dengan riak. Riak dengan makna
menunjuk-nunjuk kepada orang, bukan kerana Allah Ta’ala.
Sembahyang, puasa, haji
dan umrah hendak tunjuk kepada orang. Kadang-kadang diberitahu pula puasa
sekian banyak dan buat umrah sekian banyak.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Sesungguhnya
yang sangat-sangat aku takuti menimpa kamu ialah syirik kecil.”
Lalu sahabat bertanya:
“Apa dia syirik kecil itu ya
Rasulullah?”
Rasulullah SAW bersabda:
“Ialah
riak yakni menunjuk-nunjuk.”
Allah berfirman pada hari kiamat
apabila manusia datang dengan amal masing-masing:
“Pergilah kamu kepada mereka yang
kamu tunjuk-tunjukkan amal kamu kepada mereka di dunia dahulu, kemudian
lihatlah adakah kamu dapati sebarang balasan di sisi mereka.” (Riwayat Abu
Daud)
Hadis ini menunjukkan nabi SAW
sangat bimbang seseorang di kalangan umatnya masuk dalam dirinya syirik yang
tersembunyi (syirik kecil).
Apabila para sahabat RA bertanya:
“Apakah syirik yang tersembunyi
itu wahai Rasulullah.”
Jawab nabi SAW:
“Riak iaitu mengerjakan
amal kerana hendak tunjuk kepada orang.”
Pada hari kiamat Allah akan
menolak amalannya dan tuhan menyuruh bawa amalan kepada orang yang
ditunjuk-tunjuk masa atas dunia dulu.
Ada hadis yang lebih panjang lagi
yang disebut di dalam kitab-kitab hadis. Menurut hadis itu orang yang terawal
dihisab pada hari kiamat ialah orang alim, orang yang berjihad dan orang yang
menderma.
Ditanya seorang alim apa yang dibuat atas dunia dulu.
Lalu si alim itu menjawab:
“Ya tuhan ku di dunia dulu Engkau
memberi ilmu kepada aku dan aku mengajar orang.”
Tuhan kata:
“Ya Aku tahu kamu banyak ilmu dan
mengajar orang, tetapi kamu mengajar orang supaya dikata alim, bukan kerana
Aku.”
Lalu alim itu diheret ke neraka
Dipanggil orang yang berjihad dan ditanya apa yang dibuat masa atas dunia
dulu.
Orang berjihad itu menjawab:
“Ya tuhan ku di dunia aku
berjihad untuk menegakkan agama Kamu.”
Tuhan berkata:
“Benar dan Aku tahu kamu berjuang.
Tetapi tujuan kamu berjihad supaya orang kata kamu berani bukan kerana Aku.”
Maka pejuang itu dibawa
ke neraka
Kemudian ditanya orang yang
menderma apa dibuat semasa atas dunia dahulu.
Penderma itu menjawab:
“Ya tuhan ku atas dunia dahulu
Engkau memberi aku harta kekayaan lalu aku menderma dan menolong orang susah.”
Tuhan berkata:
“Ya Aku tahu kamu banyak harta
dan menderma tetapi kamu menyumbang supaya dikata orang
kamu pemurah.”
Penderma itu pu diheret
ke neraka
Ini disebut dalam hadis yang sohih
Perbincangan mengenai syirik
kecil ini ialah perbincangan ilmu tasawuf. Jika
mahu belajar tasawuf belajar bab ini dengan cara mendalam. Jangan belajar tasawuf
untuk dapat perkara-perkara pelik, benda-benda keramat dan sebagainya.
Belajar tasawuf supaya
amalan kita ikhlas kerana Allah Ta’ala. Jangan belajar termasuk zikir yang
tidak ada dalam hadis dan tidak ada dalam Quran. Masa berzikir pula disuruh
hadhir tok sheikh yang mengajar nampak di depan. Ini kerja karut dan
menyebabkan syirik.
Dalam satu hadis tiga perkara
ditanya oleh malaikat Jibril kepada nabi SAW:
“Saidina Umar berkata sedang kami
duduk bersama nabi SAW tiba-tiba muncul seseorang lelaki yang tidak dikenali
yang berpakaian putih bersih terus masuk dan duduk terlalu dekat dengan nabi
lalu bertanya:
“Wahai Muhamad apa dia Islam?”
Jawab nabi:
“Islam itu ialah engkau mengaku
ikrar dengan lidah tidak ada tuhan sebenar melainkan Allah, engkau mendirikan
sembahyang, menunaikan zakat, berpuasa Ramadhan dan mengerjakan haji sekiranya
mampu.”
Lalu dia berkata:
“Betul! Betul!”
Saidina Umar hairan mengapa bila
nabi jawab dia berkata betul seolah-olah dia sudah mengetahui jawapannya. Jika
sudah tahu mengapa bertanya.
Dia bertanya lagi:
“Apa dia iman?”
Nabi menjawab:
“Iman itu ialah engkau percaya
kepada Allah, malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya, kitab-kitab-Nya, hari akhirat dan
percaya kodar takdir daripada Allah.”
Lelaki berkata:
“Ya! Benar! Benar.”
Dia bertanya lagi:
“Apa dia ihsan?”
Nabi kata:
“Engkau menyembah Allah,
beribadat kepada Allah seolah-seolah nampak Allah Ta’ala kerana terlalu
khusyuk, bukan nampak bercokoh, tetapi seolah-olah begitu, maknanya bersungguh
mengadap Allah Ta’ala atau pun merasakan Allah melihat kamu.”
Bermakna beribadat
dengan terlalu khusyuk kepada Allah Ta’ala, dengan ikhlas. Inilah perbincangan
ilmu tasawuf.
Islam berkait dengan
syariat iaitu hukum feqah. Iman berkait dengan hukum aqidah iaitu kepercayaan
hati dan ihsan berkait dengan hati iaitu perbincangan ilmu tasawuf.
Perbincangan ilmu tasawuf tidak
boleh melarat. Ratib kuat sampai seolah-olah runtuh surau. Berdoa dan menyeru
tuhan hendaklah dengan tadarruk dan perlahan kecuali sesuatu keadaan.
Azan boleh dengan suara
kuat dan ketika berdepan dengan musuh bolehlah menguatkan suara untuk
menggerunkan musuh.
Ini duduk dalam satu tempat
sesama sendiri meratib kuat. Bererti sudah lari daripada kaedah-kaedah syarak,
kaedah-kaedah nas Quran dan hadis nabi SAW.
Semua ilmu berkait dengan Quran.
Jadi perbincangan tasawuf berkait dengan hati. Beribadat kepada Allah Ta’ala
dengan ikhlas, tiada riak, tidak ujud, dan seumpamanya serta syukur dan sabar.
Disebut akhlak-akhlak mulia yang
batin dan dosa-dosa yang batin adalah perbincangan ilmu tasawuf yang perlu
diberi penekanan.
Jangan duduk berkira
zikir sebanyak ini akhirnya boleh nampak sesuatu. Ini adalah karut dan rosak.
Kita kena balik kepada nas yang dinyatakan oleh Quran dan hadis nabi SAW kerana
semua ilmu Islam dirujuk kepada Quran dan hadis nabi SAW.
Jibril bertanya nabi SAW:
“Bila kiamat.”
Nabi kata:
“Orang bertanya lebih tahu
daripada orang yang ditanya.”
Jibril bertanya lagi:
“Apa dia tanda-tanda hampir
kiamat.”
Nabi jawab:
“Engkau akan melihat
hamba-hamba melahirkan ibunya yakni anak memperhambakan ibunya, engkau akan
melihat gembala-gembala kambing, gembala-gembala unta dan gembala-gembala lembu
di padang pasir yang berkaki ayam memakai pakaian bercumpang camping, tiba-tiba
menjadi kaya raya berlomba-lomba mendirikan bangunan-bangunan yang tinggi.”
Hari ini Dhubai membuat bangunan
tinggi, Qatar hendak membuat bangunan tinggi dan Saudi pun hendak membuat
bangunan tinggi. Mereka ini dulu bangsat, bila kaya hendak membuat bangunan
tinggi sedangkan ada orang lapar di Sumalia dan di sana sini ada orang miskin
dan orang yang tiada rumah kediaman.
Buat bangunan tinggi, biliknya
kosong, jadi buat semata-mata kerana kemegahan.
Lelaki itu terus pergi dan
hilang. Nabi memberitahu kepada Saidina Umar itulah dia malaikat Jibril yang
datang mengajar agama Islam.
Jadi hadis itu
menunjukkan perbincangan ilmu tasawuf diantaranya ialah beribadat kepada Allah
dengan hati yang ikhlas kerana Allah SWT.
Di sinilah kitab-kitab
feqah menyebut niat sembahyang sahaja aku sembahyang Zohor kerana Allah Ta’ala
dan niat puasa sahaja aku puasa kerana Allah Ta’ala. Tetapi jika kerana orang
dinamakan riak.
Riak tuhan kata sifat
orang munafik. Kita beriman sungguh tetapi jika riak ada sifat munafik. Maka
kena buang sifat itu.
Firman Allah Ta’ala suratul Nisa
ayat 142:
“Sesungguhnya orang-orang munafik
itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura
beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu
daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik).
Mereka pula apabila berdiri
hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak
(memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka
orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan
sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).”
Itu sifat orang munafik. Orang
munafik ini menipu Allah padahal dia menipu dirinya sendiri. Diantaranya bila
mendirikan sembahyang dalam keadaan malas tujuannya kerana hendak menunjuk
kepada orang.
Orang-orang yang
menunjuk-nunjukkan sembahyangnya, ibadatnya dan apa sahaja kerjanya berdiri
dengan malas dengan tujuan menunjuk-nunjuk di depan manusia dan tidak menyebut
nama Allah melainkan sedikit sahaja.
Bila membuat kebajikan
mengisytihar kepada orang dengan tujuan menunjuk-nunjuk. Ini sifat munafik.
Tuhan menyebut dalam
Quran orang ikhlas kerana Allah Ta’ala tidak menunjuk-nunjuk amalannya kepada
orang. Contoh yang disebut dalam Quran ialah nabi Sulaiman AH.
Raja Balqis datang
menyerah diri kepada nabi Sulaiman setelah menerima surat dan bala tenteranya
tidak mampu melawan tentera nabi Sulaiman. Ketika berada di atas lantai istana
nabi Sulaiman yang diperbuat daripada kaca, dia mengangkat kainnya kerana
berfikir lantai itu kolam air.
Apa nabi Sulaiman kata?
“Ini ialah kelebihan
tuhan aku untuk menguji aku sama ada aku syukur atau aku kufur. Berlainan
dengan Firaun.”
Apa ucapan Firaun, raja kafir
yang sangat zalim?
“Tidakkah aku yang
menjadi kerajaan negeri Mesir ini. Sungai dan tali air yang masuk dalam negeri
Mesir ini aku yang buat, kamu tidak tahu ke?”
Ucapan Firaun
menunjukkan riak yang termasuk dalam sifat-sifat munafik disebut dalam Quran.
Allah SWT mengingatkan
hambanya supaya menjauhkan daripada sebarang syirik dalam mengerjakan amal yang
solih.
KULIAH YT
No comments:
Post a Comment