Tuesday, January 3, 2017

MARAH KERANA TIDAK DAPAT JAWATAN.

Jika dibaca sirah nabawiah, didapati ada satu peristiwa yang berlaku zaman nabi SAW di Madinah. Nabi SAW dalam kegiatan dakwahnya, bila melihat ada kelompok manusia baginda berhenti dan berdakwah mengajak orang masuk Islam.

Satu hari nabi SAW berhenti dan turun dari baghanya di depan sekelompok manusia. Abdullah bin Ubai, bapak munafik yang ada dalam kelompok itu tiba-tiba menutup mulutnya dengan serban memperli nabi kononnya bagha nabi itu kotor dan busuk.

Nabi tidak melayan dan terus berdakwah.

Lalu Abdullah bin Ubai kata:

“Wahai Muhamad tak usah ceramah sinilah, balik ceramah rumah mu dan aku akan pergi.”


Mendengar ucapan itu seorang sahabat minta izin Rasulullah untuk memancung kepala Abdullah bin Ubai. Nabi tidak izinkan. Sahabat itu mengajak nabi SAW ke rumahnya.

Di rumah sahabat itu memberitahu Rasulullah: “Sebelum Rasulullah datang kami hendak melantik Abdullah bin Ubai menjadi ketua kami di Madinah. Tetapi bila Rasulullah datang ke Madinah kami melantik Rasulullah dan tidak melantik dia. Itu sebabnya dia marah sangat.”
Rupanya marah kerana tidak mendapat jawatan, tidak boleh jadi ketua.

Di zaman kita berlaku keluar parti, marah kerana kalah pemilihan, tidak dapat jawatan.  Tidak dapat menerima keputusan mesyuarat. Macam-macam alasan direka untuk menyatakan kekalahannya tidak logik seperti menang ikut pintu belakang, kerana fitnahlah dan sebagainya.

Para perwakilan bukan lagi orang kampung yang memakai selipar Jepun, semuanya berpendidikan dan ramai bertaraf ijazah. Jadi tidak masuk akal para perwakilan boleh dipulas kepalanya.
Sebenarnya itu adalah ujian Allah SWT untuk menapis keikhlasan perjuangan. Mereka yang tidak ikhlas akan dicampak keluar.
Abdullah bin Ubai munafik sampai ke mati walaupun sembahyang di belakang nabi. Mengapa? Kerana tidak mendapat hidayah Allah SWT. Hidayah milik Allah. Allah akan beri hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki dan menarik balik hidayah daripada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment