Apa yang ramai faham, maqasid syariat
adalah tujuan sebenar ajaran Islam. Ia berpaksi kepada lima tunjang yang
disebut sebagai doruriyat al-khams iaitu menjaga; akidah, nyawa, akal,
maruah/keturunan dan harta. Maka segala perkara yang difikirkan menjaga
kelima-lima perkara di atas adalah selari dengan kehendak Allah dan syariatnya.
Sebenarnya, maqasid
syariat berasal dari perkataan bahasa arab (مقاصد الشريعة). Ia merupakan salah satu
diantara aliran usul fiqh. Ilmu ini diasaskan oleh Imam as-Syatibi melalui
karyanya al-Muafaqat. Imam Syatibi mengeluarkan doruriyat al-Khams hasil dari
kajiannya terhadap satu persatu hukum syarak yang terdapat dalam sumber utama
hukum Islam iaitu al-Quran dan Hadis.
Apa yang harus difahami,
Maqasid Syariah diperkenalkan bertujuan untuk dijadikan benchmark kepada
ijtihad-ijtihad baru dalam perkara yang tidak terdapat dalam sumber-sumber di
atas. Maqasid Syariah boleh diibaratkan sebagai apa yang Allah inginkan
disebalik setiap larangan dan suruhanNya. Ia bukan sama sekali untuk mewujudkan
sistem dan peraturan baru yang bercanggah dengan sumber diatas. Bukan jua
menjadikan maqasid syariah sebagai sumber baru menggantikan diatas.
Salah faham yang berlaku hari
ini adalah apabila sesetengah pihak menjadikan doruriyat al-Khams itu sebagai
sumber hukum. Lalu mereka sesuka hati membuat apa-apa tindakan dan peraturan
yang difikirkan menepati doruriyat itu, sehingga mengabaikan hukum sebenar yang
telah Allah tetapkan.
Contohnya dalam bab
menangani masalah ekonomi, Sumber hukum Islam telah menetapkan zakat dan
cukai-cukai seperti Jizyah, Kharraj dan Usyur. Jika dikaji dan dibangunkan satu
persatu, semuanya tidak lari dari menjaga doruriyat al-Khams terutama harta.
Tetapi golongan yang hanya menjadikan maqasid sebagai sumber tidak
memperkasakan zakat seperti yang diajar oleh Islam sebaliknya mencari sistem
lain kemudian memberi alasan sistem tersebut bertepatan dengan doruriyat al-Khams.
Begitu juga dengan masalah jenayah. Sumber hukum Islam mensyariatkan
Hudud, Qisas dan Takzir demi menjaga kelima-lima maqasid yang disebutkan.
Tetapi golongan yang menjadikan maqasid sebagai sumber menolak Hudud, Qisas dan
Takzir lalu menganggap undang-undang ciptaan manusia lebih menepati maqasid
syariat. Mereka seolah-olah faham apa kehendak Allah lebih daripada Allah
sendiri.
No comments:
Post a Comment