Apa yang ramai faham,
sunnah ialah semua yang dibawa oleh Nabi SAW merangkumi kata-kata, perbuatan,
perakuan, termasuklah sifat, penampilan dan gaya hidupnya.
Sebenarnya, sunnah
berasal dari perkataan bahasa arab (سنة). Taarif sunnah berbeza mengikut bidang ilmu. Sunnah mengikut
taarif Usul Fiqh adalah apa jua yang datang dari Rasulullah SAW selain al-Quran
samada kata, perbuatan atau perakuan. Masyarakat awam Malaysia juga memahami
inilah sunnah yang dimaksudkan.
Apa yang harus difahami,
bukan semua perkara dari Nabi SAW diiktiraf sebagai sunnah syarak yang perlu
diikut. Bahkan ada perbuatan baginda SAW yang haram diikut seperti perbuatan
yang dikhususkan oleh Allah untuk baginda sahaja contohnya berkahwin lebih dari
empat dan berpuasa wisal.
Ada juga perbuatan yang harus
iaitu tidak dikira sebagai sunnah seperti perbuatan baginda sebagai seorang
manusia normal makan, minum, tidur. Namun ia boleh menjadi sunnah apabila
Rasulullah memperkenalkan cara yang khusus dalam melakukan perkara di atas
seperti makan dengan tangan kanan, tidur mengiring dan seumpamanya.
Perbuatan baginda yang
mengikut adat dan peredaran semasa juga tidak dikira sunnah seperti pemakaian
jubah, capal, menaiki unta, menggunakan pedang dan seumpamanya. Namun sekiranya
mencontohi segala cara hidup Nabi SAW itu dengan tujuan melahirkan kecintaan
terhadapnya tetap beroleh pahala bergantung kepada kesesuaian semasa.
Makna sunnah yang tidak
difahami dengan betul boleh menyebabkan kita melakukan sesuatu yang salah atas
nama sunnah. Ini akan menyebabkan orang memandang serong terhadap Islam
seolah-olah Islam agama yang mundur dan tidak sesuai dengan keadaan semasa.
Kita juga akan menganggap mereka yang tidak melakukan perkara tersebut seolah
meninggalkan sunnah dan tercela.
Sunnah terbesar peninggalan
Rasulullah SAW adalah menyebarkan Islam. Inilah jua tugas utama baginda berada
ke bumi. Tanpa peranan besar ini, mungkin baginda tidak akan diwujudkan. Sunnah
inilah yang lebih utama ditumpukan dan dihidupkan.
No comments:
Post a Comment