Saturday, December 17, 2016

DIIN LAIN DARI ISLAM TIDAK DITERIMA ALLAH SWT


“Barangsiapa yang mencari agama selain dari agama Islam maka dia tidak diterima Allah SWT.”

Perkataan Diin bukan sahaja bermakna agama tetapi apa sahaja peraturan Allah. Diin termasuk peraturan menutup aurat, peraturan makan minum, peraturan berkait dengan jenayah, berkait dengan jual beli, berkait dengan peperangan, berkait dengan perdamaian dan bukan sahaja peraturan sembahyang dan lain-lain.

Sesiapa yang mencari ajaran, Diin iaitu cara hidup yang lain daripada Islam sama ada dalam perkara ibadat, perkara politik, ekonomi dan lain-lain ditolak oleh Allah SWT kerana semuanya diajar oleh nabi-nabi ASTS yang berakhir dengan nabi Muhamad SAW.


Semua nabi dilantik oleh Allah Ta’ala. Nabi-nabi bukan sahaja menjadi imam sembahyang, nabi-nabi juga menjadi imam negara, menjadi qadi, menjadi hakim, menjadi imam perang, menjadi perunding untuk perdamaian dan nabi-nabi juga menjadi pemimpin umat dalam semua perkara.

Islam merangkumi semua perkara yang dinyatakan oleh Allah SWT. Beranikah kita mengatakan Allah Ta’ala tidak tahu politik, Allah Ta’ala tidak tahu ekonomi, Allah Ta’ala tidak tahu undang-undang antarabangsa atau sebagainya. 

Perkara yang berkait dengan membersih najis pun diajar oleh Allah Ta’ala dan perkara berkait dengan pakaian diajar oleh Allah Ta’ala. Pakaian mesti menutup aurat. Warna pakaian tidak menjadi masalah, yang wajib ialah menuntup aurat dan pakaian membezakan antara lelaki dan perempuan.

Sekiranya kita menafikan, kita mengatakan tutup aurat tidak wajib samalah dengan kita kata sembahyang tidak wajib. Orang yang mengatakan sembahyang tidak wajib jadi kafir dan orang mengatakan menutup aurat tidak wajib jadi kafir.

Jika dia tidak sembahyang tetapi dia tidak mengatakan sembahyang tidak wajib, tidak sembahyang kerana malas sahaja, maka Islamnya tidak batal. Dia berzina tetapi dia tetap mengatakan zina haram dan dosa besar maka tidak batal Islamnya.

Bila dia mengatakan menutup aurat tidak wajib, sembahyang tidak wajib, politik Islam tidak wajib, pemerintahan Islam tidak wajib, puasa tidak wajib, zakat tidak wajib, berzina tidak haram dan riba tidak haram maka batal Islamnya.

Sebagaimana kita tidak boleh sembahyang cara orang Hindu, cara orang Kristian dan seumpamanya, begitulah juga kita tidak boleh memerintah negara mengikut orang Kristian dan orang-orang agama lain. Kita wajib tunduk kepada Allah dalam semua urusan.

Barangsiapa yang mencari ajaran lain daripada Islam maka dia tidak diterima oleh Allah SWT.

Apa yang menjadi masalah sembahyang ikut Islam, puasa ikut Islam, zakat ikut Islam tetapi dalam urusan hidup ikut cara lain daripada Islam.

Firman Allah Ta’ala:

“Wahai orang-orang beriman masuklah kamu ke dalam agama Islam semuanya, jangan ikut langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata kepada kamu.”

Jadi jika ikut Islam separuh sahaja bermakna ikut syaitan. Ini dinyatakan oleh Allah. Dalam ayat yang lain Tuhan menyebut kepada golongan ahli kitab:

“Adakah kamu beriman dengan sebahagian kitab dan kamu kufur dengan sebahagian yang lain maka tiada balasan bagi mereka yang melakukan demikian melainkan kekecewaan hidup di dunia dan di akhirat dimasukkan ke dalam azab yang pedih. Allah Ta’ala tidak lalai dengan apa yang kamu kerjakan.”

Walaupun sebab turun ayat ini ditujukan kepada Bani Israil yang beramal dengan sebahagian daripada kitab Taurah dan sebahagian lagi tidak diamal. Dalam bab sembahyang orang Yahudi kuat sembahyang tetapi dalam bab riba, bab hudud dan bab qisas mereka tidak pakai kitab Taurah.

Maka Allah Ta’ala kata kamu kufur dengan sebahagian.

Bagaimana dengan orang Islam yang beriman dengan sebahagian Quran dan kufur dengan sebahagian Quran. Jawabnya sama dengan Bani Israil kerana ulamak mengatakan:

“Iktibar dan pengajaran diambil daripada lapaz yang umum bukan sebab yang khusus.”          
Para ulamak tafsir menghuraikan perkara ini dengan jelas. Barangsiapa di kalangan orang Islam yang menerima apa-apa peraturan yang lain daripada Islam serta mengingkar peraturan itu maka dia tidak Islam lagi walaupun dia mengaku sebagai orang Islam.

Tafsir al-Azhar yang ditulis oleh almarhum Pak Hamka dalam jilid yang ke-8 ada menerangkan berkenaan orang yang mempermain-mainkan agama. Dia mengaku sebagai orang Islam dan dalam masa yang sama dia menjadi komunis, menjadi nasionalis, menjadi sosialis dan menjadi pragmatis.

Ini adalah ideologi-ideologi moden yang direka oleh manusia di zaman moden. Dia mengatakan bahawa dia sudah Islam, sudah sembahyang, sudah puasa dan sudah haji padahal dalam perkara lain dia menerima cara yang lain daripada Islam.

Ayat ini menegaskan:

“Sesiapa yang mencari AJARAN yang lain daripada Islam nescaya tidak diterima oleh Allah Ta’ala.”

Ayat itu tidak menyebut agama tetapi AJARAN. Ini bermakna bukan sahaja ajaran sembahyang, puasa, zakat, haji, politik, perintah negeri, menutup aurat dan apa sahaja ajaran lain daripada Islam seperti kapitalisma, sosialisma, nasionalisma maka tidak diterima oleh Allah Ta’ala.

Sabda nabi SAW:

“Sesiapa yang mengadakan perkara baru dalam urusan agama padahal tidak ada kena mengena dengan Islam maka dia tidak diterima oleh Allah Ta’ala.”

Jalaludin Akhbar yang memerintah India membawa ajaran yang dinamakan Diin Ilahi tetapi dia membawa satu ajaran baru lain daripada Quran dan hadis. Maka ulamak-ulamak menolak ajaran ini.

Begitu juga dengan Qadiani yang menamakan ajarannya dengan Ahmadiah tetapi dia menganggap ada lagi nabi selepas nabi Muhamad SAW maka dianggap luar daripada agama Islam.

Begitulah orang-orang Monggul, orang-orang Tartar yang memerintah Baghdad membuat perlembagaan Yasya yang diambil daripada Islam, Yahudi, Kristian dan dengan akal fikiran mereka. Ulamak-ulamak menolaknya kerana bukan daripada Islam.

Islam liberal dan Islam hadhari juga bukan daripada Islam.

Mengapa bukan daripada Islam?

Kerana amal ma’ruf dan nahi mungkar tidak dilaksanakan sepenuhnya. Islam dilaksanakan sebahagian dan ditinggalkan sebahagian. Sebahagian Islam diamal dan sebahagian yang tidak Islam diamalkan juga. Dalam masa yang sama menolak syariat Allah Ta’ala.

Dalam perkara orang berminat dengan agama maka ditonjolkan agama. Dalam perkara orang tidak berminat dengan agama ditonjolkan hiburan-hiburan maksiat. Tahun baru Hijrah sambut dan tahun baru Kristian pun sambut. Dua-dua tahun baru sambut belaka.

Islam mengikut zaman, Islam mengikut tamadun. Betul Islam ada tamadun, tetapi Islam hendaklah memandu tamadun, bukan Islam hanyut bersama tamadun.

Hadharah bermakna kehadiran manusia dibandar memerlukan ilmu duniawi untuk mereka membuat kemajuan dan memodenkan penghidupan. Kemajuan dan memodenkan penghidupan mesti dipandu oleh Islam. Islam hadhari ialah Islam tidak memandu tamadun tetapi Islam dihanyutkan oleh tamadun. Ini satu ajaran yang salah.

Kita perlu tegas dalam mempertahan dan menegakkan Islam. Hari ini orang mempermain-mainkan Islam dengan mengatakan kena ikut kuasa barat kerana Amerika tidak membenarkan orang Islam melaksanakan syariat Islam. Jika ada golongan yang hendak mengadakan syariat Allah di mana sahaja maka akan dihapuskan

Mengapa Amerika tidak boleh meneriman Hamas walaupun menang dengan cara demokrasi. Tidak lain melainkan kerana Hamas hendak melaksanakan Islam. Syariat Islam akan dilaksana untuk orang Islam, judi, arak dan segala bentuk maksiat dihapuskan.

Kita hendak laksanakan syariat bagi orang Islam pun tidak boleh juga. Maka Islam yang dilaksanakan dalam dunia Islam hari ini ialah Islam yang dikehendaki oleh Amerika bukan Islam yang dikehendaki oleh Allah SWT. Inilah Islam liberal, Islam yang dikehendaki oleh Amerika.

Kita orang Islam tidak perlu takut kepada Amerika kerana diajar apabila sembahyang kita menyebut ALLAHU AKBAR, masa azan pun ALLAHU AKBAR.

Makna ALLAHU AKBAR ialah Allah yang maha besar. Lebih besar daripada segala-galanya. Jika kita mati dibunuh sekali pun kita percaya ada kehidupan di alam lain iaitu alam akhirat.

Amerika duduk ugut siapa yang melawan, dia akan diambil tindakan dan hari ini ala-alat modern boleh mengesan di mana rumah kita melalui setelait dan boleh mengikut perjalanan kita melalui satelait.

Namun begitu, dia bukan tuhan. Ini adalah fitnah dajjal dan kita menghadapi ujiannya. Jika kita ikut dia selamat dan sebaliknya tidak selamat jika tidak ikutnya. Kita orang Islam jangan berganjak dengan Islam. Kalau kita berganjak daripada Islam jawabnya tidak selamat. Kita akan jadi hanyut dan lari daripada jalan benar.

Atas dunia kita sudah tergelincir dan di akhirat bila berjalan di atas syirat akan disangkut dengan pengait dan jatuh ke dalam neraka.

Jadi jika hendak selamat kita kena istiqamah dengan Islam. Apa yang boleh kita buat, kita buat dan apa yang tidak mampu buat kita hendaklah percaya dan kita berusaha untuk melakukaknya.

Sebagai contohnya, bagi orang sihat sembahyang semuanya boleh buat, haji dan zakat ada orang boleh buat dan ada orang tidak boleh buat kerana haji dan zakat bergantung kepada harta. Orang yang tidak ada harta tidak diwajibkan haji dan zakat ke atasnya. Tetapi haji dan zakat hukumnya tetap wajib.

Bila tidak mampu mengerjakan haji kerana tidak ada harta, jangan kita kata haji tidak wajib.

Begitulah dengan hukum-hukum syariat yang ada dalam Quran seperti undang-undang jenayah, undang-undang muamalat dan macam-macam undang-undang yang memerlukan kepada sebuah pemerintahan Islam, jika kita tidak mampu hendak membuat pemerintahan Islam kita jangan kata hukum tidak wajib.

Hukum tetap wajib dan kena ada azam dalam diri kita hendak tengak hukum itu dilaksanakan kerana kita percaya. Jangan daripada awal lagi kita mengatakan tidak dapat dilaksanakan zaman sekarang.

Jika kita bercakap begitu bermakna kita tidak yakin dengan kekuasaan Allah. Jadi kita hendaklah bergantung kepada Islam.

Bukan sahaja orang yang mencari agama lain daripada agama Islam tidak diterima di dunia dan pada hari akhirat kelak mereka termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi.

KULIAH TAFSIR


No comments:

Post a Comment