Wednesday, December 14, 2016

HARGA ANJING, PELACURAN DAN SIHIR



Sabda Rasulullah SAW:

“Dan daripada Abi Mas’ud bin Badri RA bahawa Rasulullah SAW telah melarang secara haram daripada mengambil harga anjing, belanja pelacuran dan habuan ahli nujum.”

Kerja itu haram duit habuan pun haram. Dalam masalah harga anjing terdapat kekhilafan di kalangan ulamak.

Di sisi mazhab Syafie, mazhab Hambali dan mazhab yang seperti dengannya mengatakan bahawa tidak boleh menjual anjing sekali-kali. Tidak boleh menjual binatang-binatang yang diharamkan termasuk beruk.

Di sisi mazhab Hanafi dan mazhab sependapat dengannya boleh dijual binatang sekiranya ada manfaat. Jual beruk untuk memanjat kelapa, jual anjing untuk menjaga rumah dan memburu binatang diizinkan oleh syarak.

Ini berdasarkan kepada makhasit syariah (tujuan syariat) kerana nabi dan para sahabatnya mengguna keldai untuk mengangkut barang-barang sedangkan keldai diharamkan memakan dagingnya.

Ini menunjukkan bahawa kita boleh mengambil faedah daripada manfaat binatang-binatang itu walaupun binatang itu najis.

Menjual baja yang najis tetapi boleh digunakan untuk pertanian diizinkan oleh syarak.

Dalam bab anjing ada kekhilafan tetapi dalam bab pelacuran dan harga daripada nujum tidak ada kekhilafan. Ia adalah haram dengan sefakat para ulamak.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment