Wednesday, December 14, 2016

JAMPI DENGAN AYAT QURAN



Disebut dalam hadis, nabi mengatakan 70 ribu umatnya masuk syurga tanpa hisab.

Lalu al-Kasyah berkata: “Termasuk saya wahai Rasulullah.”

Rasulullah menjawab: “Ya! Termasuk kamu.”

Seorang sahabat pula berkata:

“Saya termasuk atau tidak?”

Rasulullah berkata:

“Al-Kasyah mendahului kamu. Seorang sahaja boleh diberi dalam majlis ini.”

Kemudian para sabahat berfikir siapa yang masuk syurga dengan tiada hisab. Adakah mereka yang tidak pernah minum arak, tidak pernah menyembah berhala dan tidak pernah membuat maksiat semasa jahiliah dulu sehingga masuk Islam.

Bila nabi datang nabi bertanya:

“Bincang apa?”

Para sahabat berkata:

“Kami berbincang siapa dia masuk syurga tanpa hisab.”

Lalu nabi berkata:

“Mereka itu ialah mereka yang bertawakkal kepada Allah, yang tidak menjampi, yang tidak percaya kepada jampi, yang tidak menggunakan tangkal azimat.”

Jampi dan tangkal azimat dimaksudkan ialah yang karut marut. Ada ulamak membenarkan jampi dengan ayat-ayat Quran kerana sabit dengan hadis-hadis sahih bahawa nabi SAW menjampi untuk orang lain dan juga untuk dirinya sendiri.

Aisyah mengatakan bila sakit nabi membaca 3 kul (surah ak-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas) dan bermacam-macam lagi doa yang dibaca oleh nabi yang masyhur dalam kitab-kitab hadis.

Ada orang hilang akal datang mengadap nabi, nabi pun membaca al-Quran lalu sembuh dengan izin Allah dan dibenarkan oleh syarak.

Ada orang sakit nabi membuat isyarat pukul dengan kain serban dan pergi, pergi nabi kata. Lalu pesakit sembuh.  Kita guna upih pinang atau daun kelapa. Yang penting jangan menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain.

Jampi dengan ayat Quran, jampi dengan doa-doa dan dengan al-Asma al-Husna diizinkan oleh syarak.

Allah Ta’ala berfirman maksudnya:

“Dan kami turunkan al-Quran itu apa yang menyembuhkan daripada penyakit.”

Sama ada penyakit iman, penyakit akhlak dan penyakit pada tubuh badan yang dikenali rawatan ruhani.

Seorang ulamak bernama Ibni Qayim telah menulis satu kitab mengenai perubatan nabi. Nabi berubat pesakit dengan ayat-ayat Quran dan dengan bahan-bahan dan mengizinkan para sahabatnya menggunakan pelbagai bahan untuk perubatan.

Bahan-bahan yang suci dan tidak najis. Tidak boleh berubat dengan bahan yang najis kecuali dalam keadaan dharurat. Jika tidak guna bahan najis boleh jadi mati, barulah boleh berubat dengan bahan najis. Tetapi berubat dengan cara syirik tidak ada dharurat. Memuja jin, memuja iblis dilarang keras dan tidak ada dharurat sama sekali.

Kita kena sedar berubat dengan cara diizinkan oleh Allah Ta’ala, mengikut hukum syarak, menggunakan ayat Quran, hadis dan doa-doa diberi pahala oleh Allah SWT.

Berubat secara Islam boleh jadi lambat sembuh dan berubat ikut syaitan mungkin cepat sembuh kerana ditolong oleh syaitan. Tetapi berubat ikut syaitan berdosa besar.

Kita perlu tahu kadang-kadang Allah Ta’ala memberi rahmat kepada orang beriman dengan sakit. Sebelum mati disakitkan dulu kerana Allah Ta’ala hendak menghilangkan dosanya. Bila mati dia mati dalam keadaan bersih daripada dosa. Atau pun dosanya sudah hilang tetapi sakit juga kerana tuhan hendak memberi pahala.

Disebut dalam hadis, nabi bila sakit berkali ganda lebih daripada orang lain. Ini adalah kerana tuhan hendak mengangkat murtabat nabi, bukan kerana dosanya.

Oleh itu jika berubat tidak sembuh kita kena sabar. Walau lama mana pun sakit kena sabar. Dengan sifat sabar kita diberi pahala oleh Allah Ta’ala.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment