Thursday, December 15, 2016

KHURAFAT


Mengikut Khamus Dewan khurafat bermakna perkara-perkara karut, dogeng dan tahyul.

Khurafat perlu dijelas kerana masih ramai masyarakat Melayu kurang memahami tentang pengertian khurafat yang sebenarnya sehingga sebilangan kecil masyarakat Melayu masih terlibat secara langsung dengan perkara-perkara khurafat sama ada terpengaruh dengan budaya Melayu yang terikut-ikut sejak zaman berzaman atau mungkin kerana kejahilan.

Pengaruh khurafat ini lebih membimbangkan kerana ia melibatkan aqidah dan boleh membawa kepada syirik. Oleh itu penjelasan perlu diberi supaya masyarakat Islam faham dan seboleh-bolehnya menjauhkan daripada kepercayaan karut ini yang boleh menghapuskan amal ibadat dan iman.

Pada hari ini masih banyak perkara-perkara khurafat dilakukan. Walaupun telah diberitahu tetapi sukar untuk ditinggalkan kerana mungkin terpengaruh dengan budaya-budaya lama yang menjadi darah daging masyarakat Melayu.

Sebagai contohnya, seperti mempercayai sesuatu itu berkuasa. Mempercayai tempat-tempat berpuaka, tempat-tempat berkuasa atau ada penunggu. Bila seseorang itu hendak lalu di tempat yang ada penunggu dia minta izin dengan mengatakan:

“anak cucu hendak lalu Tok.”

Ini jelas ada kepercayaan karut kerana meminta perlindungan daripada makhluk yang kita tidak tahu siapa. Meminta perlindungan hanya kepada Allah sahaja.

Bila kita sembahyang kita baca doa iftitah bermaksud:

“Sesungguhnya solat aku dan segala amal ibadat aku, hidup aku dan mati aku adalah kerana Allah Ta’ala, tiada sekutu bagi Mu, itulah aku diperintahkan.”

Itulah pengakuan kita dengan Allah Ta’ala.

Beberapa jenis khurafat yang masih lagi dilakukan oleh masyarakat Islam:

1. Mempercayai sesuatu tempat, sesuatu benda atau sesuatu perkara itu mempunyai kuasa lantas kita minta perlindungan daripadanya atau meminta sesuatu daripadanya maka itu adalah perbuatan khurafat dan termasuk dalam syirik.

Ada masyarakat yang memuja kubur orang-orang alim atau wali dan meminta sesuatu daripada kubur itu kerana dianggap keramat. Ini adalah aktiviti khurafat dan syirik walaupun permohonan itu berjaya. Kejayaan bukan sebab kubur tetapi diizin oleh Allah.

2. Mempercayai kepada busut jantan (bukit kecil dibuat oleh anai-anai). Bila ada busut jantan maka di situ ada puaka. Jadi ramailah orang mencari busut jantan untuk memohon sesuatu.

Memohon sesuatu daripada busut adalah syirik kerana busut tidak mempunyai kuasa. Allah Ta’ala sahaja yang berkuasa maka segala permohonan mestilah kepada Allah Ta’ala, tidak kepada yang lain atau melalui perantaraannya.

3. Berjumpa dengan ahli nujum atau tukang tilik untuk melihat nasib sama ada dengan tapak tangan, menggunakan kertas atau menggunakan burung dan sebagainya. Jika kita percaya dengan cakap-cakapnya maka kita melakukan syirik kepada Allah Ta’ala.

Sabda Rasulullah SAW:

“Barangsiapa yang mendatangi tukang tilik lalu bertanya tentang nasibnya dan dia mempercayainya maka nabi kata Allah tidak terima amalannya selama empat puluh hari.”

Dalam masa empat puluh hari mungkin solat kita, puasa kita dan sedekah kita tidak diterima oleh Allah Ta’ala

4. Perbuatan menepung tawar.

Para ulamak mengatakan perbuatan menepung tawar bukan daripada agama kerana Rasulullah tidak pernah melakukan tepung tawar. Perkara ini ikutan daripada masyarakat Hindu purba. Jika melibatkan kepercayaan dan menepung tawar itu terkena ke atas manusia, kenderaan, mesin, perahu dan sebagainya maka ia dikatakan khurafat.

5. Perbuatan bersemah dengan menggunakan darah binatang. Apabila menyembelih binatang seperti lembu, kerbau, kambing dan sebagainya kerana untuk menghalau syaitan untuk tujuan pemujaan dan sebagainya. Perbuatan bersemah bertentangan dengan agama kerana terlibat dengan pemujaan makhluk halus.

Makhluk-makhluk ini bila dipuja dia akan berkawan dengan kita. Amat besar kesalahan bila seseorang bersahabat dengan jin.

6. Percaya kepada isyarat atau alamat-alamat tertentu.

Bila hendak memulakan perjalanan untuk tujuan tertentu tiba-tiba biawak melintas, maka perjalanan dibatalkan kerana mereka menganggap sial dan hajat tidak akan tercapai. Apa kena mengena biawak dengan perjalanannya.

Bila terdengar burung hantu berbunyi mereka percaya ada orang hendak mati. Ini juga kepercayaan karut. Ajal seseorang itu ditentukan oleh Allah bukan burung hantu.

Satu lagi kepercayaan kepada alamat ialah bila kenderaannya terlanggar kucing maka alamatnya kemalangan akan berlaku. Ini satu lagi kepercayaan karut kerana perkara ghaib adalah dalam ilmu Allah sahaja.

KULIAH YT

KHURAFAT – 4/4

7. Percaya kepada tangkal dan azimat yang dijampi dengan karut marut adalah amalan khurafat dan menjadi syirik jika percaya kepada tangkal dan azimat sebagaimana dia percaya kepada Allah.

8. Memandi bunga kepada kenderaan seperti motor, kereta dan sebagainya bertujuan supaya mengelak daripada kemalangan. Ini adalah khurafat dan syirik jika dia yakin perbuatan itu boleh mengelak kemalangan kerana dia memasuk campur qadak dan qadar.

9. Linggan perut untuk tujuan anak dalam kandungan selamat dilahirkan.

Jika dibuat dengan kaedah tidak diizinkan oleh syarak seperti berdoa dengan doa yang karut marut adalah khurafat.

Jika majlis dibuat dengan cara membaca Yasin, sembahyang hajat dan berdoa kepada Allah supaya selamat adalah dibolehkan.

10. Percaya kepada nombor tertentu. Nombor itu bertuah dan nombor ini sial. Ini juga khurafat dan boleh jadi syirik.

11. Mandi bunga untuk menghilangkan sial adalah khurafat.

Khurafat satu perkara besar dan boleh membawa kepada syirik. Untuk memahaminya kita perlu ada ilmu.

KULIAH YT

ZZ

No comments:

Post a Comment