Firman Allah s.w.t.: “Telah zahirlah keburukan di darat dan laut dengan sebab apa yang telah diusahakan oleh tangan manusia sendiri, supaya dirasakan kepada mereka sebahagian daripada perbuatan mereka, mudah - mudahan mereka kembali kepada kebenaran” (Ar-Rum: 41)
1. Sebenarnya, pengertian
Globalisasi (al-‘Awlamah) adalah hampir sama dengan nilai Kesejagatan
(al-‘Alamiyyah) yang dibawa oleh Islam, sebagaimana disebutkan dengan jelas
dalam Al-Quran: “Dan tiadalah Kami mengutus kamu melainkan untuk (menjadi)
rahmat bagi semesta alam” (Al-Anbiya’: 107).
2. Namun, globalisasi dalam gambaran yang sangat ketara pada hari ini bererti
membaratkan dunia (Westernisation) atau mengamerikakan dunia (Americanisation),
dengan tujuan untuk menguasai dunia di bawah satu ungkapan yang lunak iaitu
Globalisasi bagi menjayakan agenda pemaksaan pengaruh Amerika dan Eropah ke
seluruh dunia.
3. Kini dunia hanya mengenali dua pendekatan ideologi ekonomi,
sama ada dalam satu negara atau antara negara, iaitu samada Liberal Kapitalisma atau Sosialisma.
Abad yang lalu kita menyaksikan keruntuhan ideologi sosialisma,
sehingga kuasa besar yang mendukungnya paling ekstrem seperti China dan Rusia
serta negara ikutannya melakukan pembaharuan kepada ekonomi bebas yang didukung
oleh Liberal Kapitalisma, sehingga yang dikatakan tabir besi dahulu sudah tidak
ada lagi, kerana semuanya sudah bergerak kepasaran bebas dalam aspek ekonomi.
4. Kini kita menyaksikan tanda-tanda kegagalan liberal kapitalisma dengan krisis ekonomi dunia yang kita
juga ikut menumpang dan terpalit. Maka diciptakan gagasan baru bernama TPPA,
yang arkiteknya ialah Amerika, yang tidak boleh diberi keyakinan dapat
menyelamatkan ekonomi dunia, bahkan menjadi salah satu punca masalah.
Kalau kita menumpang bahtera ini kita akan bersama melakukan
kesilapan yang sama dan tenggelam bersama.
5. Kita sama sama mengikuti ucapan Presiden Obama ketika menjelaskan kepentingan TPPA kepada ekonomi Amerika. Jelasnya, TPPA akan menjadi penyelamat kepada ekonomi Amerika dengan menjadikan peraturan perdagangan yang mereka tulis sebagai terma yang dipaksakan ke atas Negara anggota blok TPPA bagi membantu Amerika berdepan dengan perkembangan mendadak ekonomi negara besar China.
6. Ini dapat dilihat berdasarkan negara anggota TPPA yang
merentasi beberapa benua bermula dari lautan Hindi ke Pasifik dan turut
melibatkan negara anggota Asean seperti Malaysia, Singapura dan Brunei. TPPA
ingin mengukuhkan geopolitik dan pengaruh Amerika di Asia Pasifik dan Laut
China Selatan.
Lebih-lebih lagi, kedudukan Malaysia yang strategik amat penting
untuk Amerika menguasai sebahagian Selat Melaka dan kawasan tertentu di Laut
China Selatan.
7. TPPA adalah gagasan perdagangan berkonsepkan Liberal Kapitalisma
yang diketuai oleh barat yang pernah menjajah dengan gabungan kuasa ekonomi,
politik dan ketenteraan yang pernah membawa penderitaan ke seluruh pelusuk
dunia.
TPPA adalah pembaharuan daripada Syarikat Hindia British dan Belanda
yang pernah menakluk rantau ini, menjajah tanahair, memperhambakan rakyat, dan
mengangkut hasil buminya.
8. Hujah ini dikuatkan apabila merujuk kepada artikel 25.7
Perjanjian TPP menyebut negara anggota TPPA perlu lebih telus dan bertukar-tukar maklumat negara.
Kita kena sedar ini satu bahaya besar terhadap keselamatan negara
dan membuka ruang kepada ancaman kuasa asing. Sejauh manakah Kerajaan Malaysia
mampu mengawal maklumat negara dari diserahkan kepada negara luar secara
‘halal’ sedangkan negara anggota terpaksa akur dengan langkah perundangan?
Benarlah TPPA akan membuka ruang kepada kuasa asing mencampuri
urusan dalaman negara dan menjajah negara bermula
dengan penguasaan ekonomi.
9. Ideologi Liberal
Kapitalisma masih menjadi ideologi yang dianut, maka perjanjian yang
dimeteraikan oleh gagasan ini tetap berkonsepkan ekonomi bebas yang tidak
beriman dan budiman, kerana konsep ekonomi bebas walau pun berpakat, tetap
berpandukan siapa cepat dia dapat, di atas nama menggalakkan kemajuan ekonomi.
10. Di samping itu,
Langkah Perlindungan Sementara yang diperuntukkan hanya untuk tempoh maksima 3
tahun sahaja. Selepas tamat tempoh itu, tiada lagi perlindungan dibenarkan
untuk melindungi industri tempatan dan pampasan mestilah dibayar kepada pihak
yang terjejas. Kesan daripada Perjanjian TPP
ini boleh membunuh industri tempatan.
11. Pakatan ini, kita yang diajak, serta dengan draf perjanjian
yang disediakan, bermakna kita berpijak di atas asas landasan yang dibina oleh
mereka yang mengajak, dengan syarat-syarat dan tawaran yang mungkin sangat
menarik hasilnya pada zahir.
Tetapi dalam perlumbaan berkonsepkan liberalisma ekonomi, sudah
tentu lapangannya lebih berpihak kepada mereka, kita hanya sekadar menumpang
kelajuan kenderaannya yang lebih besar dan canggih jenteranya, lebih laju
perjalanannnya dan sudah pasti kita bukan pemandunya yang asasi, apabila aset
mereka lebih besar, modal mereka lebih besar, pasaran mereka lebih besar.
12. Ini terbukti apabila tidak semena-mena, dalam tempoh dua
tahun selepas perjanjian berat sebelah ini ditandatangani, kita terpaksa
meminda tidak kurang daripada 26 akta dan beberapa pekeliling atau aturan
kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri, supaya mematuhi segala peraturan
yang terkandung dalam TPPA (patuh-TPPA).
Inilah satu bentuk penjajahan undang-undang dan ekonomi yang
berselindung di balik tirai pemulihan demokrasi dan keterbukaan ekonomi, yang
wajib kita selaku Ahli Dewan Rakyat mempertahankan kedaulatan negara tercinta
ini.
13. Ya ! , kita akan mendapat
limpahan ekonomi yang kaya raya dengan sebab menumpang, tetapi percayalah
bahawa kita laksana kolam kecil yang membekalkan air untuk kolam tasik yang
besar melaut , akan menjadikan air kita surut kering, kalau disedut, atau
apabila dibuka tanpa sempadan air pasang tasiknya boleh menggelamkan kita
sehingga mati lemas.
14. Segala-galanya berlaku nampaknya mudah di atas kertas,
kerana Amerika yang menjadi arkitek utama perjanjian ini menjanjikan gagasan
ekonomi alaf baru, berbeza dengan yang berlaku selama ini, kerana dikatakan
sangat membantu negara anggota.
Pihak kita pula terus berkempen bahawa syarikat-syarikat tempatan
akan menembusi pasaran antara bangsa. Kebenarannya, percayalah bahawa ianya
akan bergantung kepada kemampuan kita berlumba dan bertanding dengan
syarikat-syarikat gergasi, kerana sifat perlumbaan adalah konsep ekonomi
liberal kapitalisma, ditambah pula dengan tidak ada akhlak.
15. Malangnya lagi, Malaysia sudah tidak lagi boleh menentukan
dasar cukai dan duti, walaupun untuk kepentingan sendiri. Merujuk kepada
perjanjian TPP, hanya diperlukan 2 negara asing untuk memohon supaya duti
Malaysia dikurangkan dan Malaysia mesti akur dan patuh.
Malaysia juga harus memberikan layanan kepada pelabur asing setara
dengan layanan yang diberikan kepada pelabur rakyat Malaysia, sama rata dan
tiada pilih kasih.
16. Malah, hasil analisa
pihak Price Waterhouse Coopers (PWC), konsultan yang dilantik kerajaan bagi
menjalankan kajian kos dan manfaat ekonomi terhadap Malaysia mendapati kesan
TPPA kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia tidaklah terlalu signifikan – hanya menyumbang
kenaikan 1.1% KDNK dan kenaikan 0.9% eksport negara pada 2027, satu lonjakan
yang sangat rendah dan tidak signifikan kepada ekonomi negara yang perlu
berkembang pada kadar 5%-7% setahun.
17. Di samping itu,
kajian PWC mendapati tiga sektor yang bakal mendapat kesan negatif adalah
industri yang menghadapi persaingan yang lebih sengit pasca-TPPA seperti minyak
& gas, minyak sawit, dan pembinaan, di mana sektor ini merupakan penyumbang
utama kepada ekonomi negara dan dikuasai syarikat Bumiputera.
18. Manakala, tiga sektor
yang bakal mendapat manfaat pasaran terbuka di bawah TPPA kelak adalah
perniagaan yang berorientasikan eksport seperti tekstil, komponen automotif,
dan elektrikal & elektronik, di mana sektor ini kebanyakannya dikuasai
firma Amerika Syarikat dan Eropah.
19. Semua syarat-syarat perjanjian adalah ditulis oleh mereka untuk
mendapat persetujuan kita, walaupun kita boleh tidak bersetuju, tetapi tentu
sahaja perundingan yang sebegitu besar jangkauannya itu mempunyai agenda
tersembunyi oleh kuasa besar.
Kerisauan ini adalah berasas apabila meneliti perjanjian TPP
yang menyebut tentang satu entiti Penyelesaian Pertikaian Negara-Pelabur (ISDS)
akan memberi kesan dan membuka lebih ruang untuk Kerajaan Malaysia disaman
dengan alasan “keadilan dan kesamarataan”.
20. Langkah-langkah perundangan yang terpaksa diakur oleh kerajaan
Malaysia apabila TPPA dilaksanakan juga adalah bercanggah dengan prinsip
perundangan antarabangsa yang sepatutnya bersifat sukarela dan atas dasar
kontrak moral. Ditambah pula, ianya nanti akan dikawal oleh undang-undang
perdagangan antara bangsa dan mahkamahnya adalah laksana sarang labah-labah.
Akhirnya hanya dapat menghukum syarikat syarikat kecil dari
negara kecil seperti kita. Apakah jaminan negara besar yang menjadi anggota
boleh mematuhinya dan bersedia diambil tindakkan undang-undang yang adil ?.
21. Adalah lebih berhikmah
kita membina gagasan ‘Masyarakat Madani Global’ bersama negara serantau (Agenda
1-Asean) dan sesama negara Islam (Agenda 1-Ummah) dengan konsep kita yang adil
dan saksama. Kita bina kekuatan sendiri terlebih dahulu dengan sumber kita,
kemudian boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja di seluruh pelusuk dunia,
timur dan barat, bukan sahaja terikat dengan pintu TPPA bahkan lebih banyak
pintu yang boleh dimasuki dan dibuka tanpa ikatan dengan sesiapa.
22. Adalah lebih baik
diperkenalkan konsep Islam kepada dunia, setelah kegagalan sosialisma dan tanda kelemahan liberal
kapitalisma. Di antaranya ialah penyakit muamalah riba, senjata zionis yang
sedang meruntuhkan ekonomi Amerika sendiri. Inilah Firman Allah :
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan
tinggalkanlah saki baki riba, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh
itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu),
maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya,
(akibatnya kamu tidak menemui selamat).
Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok
asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada
sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. (Al-Baqarah: 278-279)
23. Inilah kerja Tabung
Kewangan Antara Bangsa (IMF) yang dibayangi Zionis dan inilah juga urusan
institusi kewangan yang memangkin TPPA bersama Amerika. Maka TPPA adalah ibarat
menjadikan negara anggotanya laksana tongkat untuk berdepan dengan krisis
ekonomi dan berdepan dengan gagasan kuasa besar ekonomi yang baru iaitu China,
Rusia dan kumpulannya dalam gagasannya, bukan untuk berpakat secara saksama dan
adil.
24. Sepatutnya kerajaan
kita menunaikan yang wajib terlebih dahulu daripada sumber sendiri, iaitu
mengolah hasil bumi kita dengan baik, dan bumiputera yang menjadi sumber
manusia terbesar, tetapi masih terkebelakang kerana program pembangunan manusia
yang salah, sehingga kaum bumiputera masih ketinggalan, walaupun sudah merdeka
lebih daripada setengah abad.
25. TPPA tidak mampu menjadikan sumber kita untuk kemajuan kita
sendiri, tetapi lebih menjadi khadam atau abdi sekali lagi kepada pihak yang
lebih besar dalan konsep ekonomi liberal ini.
Pembahagian kelas masyarakat dalam negara kapitalis juga menjadi
acuan dalam masyarakat antara Negara. Mereka sudah membahagikan kepada Kumpulan
Negara maju dan kumpulan yang dinamakan sedang membangun, dalam konsep kapitalis
tetap meneruskan sumber kekayaan berpusing di kalangan yang kaya dan maju
sahaja. Al Quran menyebut :
“Supaya harta itu tidak
hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.” (Al-Hasyr: 7)
26. Sepatutnya negara
bekas tanah jajahan ini sedar dan insaf, betapa peranan yang zalim daripada
negara bekas penajah, sejak zaman mereka memerintah kita secara langsung,
sehinggalah selepas dikatakan kita sudah merdeka dan diletakkan di dalam bakul
bekas jajahan dengan berbagai nama yang disenaraikan dalam negara sedang
membangun yang tidak diizinkan bangun sendiri.
27. Bersamalah kita
selaku Ahli Dewan Rakyat yang bertanggungjawab ke atas kepentingan negara,
menghalang sebarang bentuk campurtangan asing dalam menentukan urusan politik
dan ekonomi tanahair, dengan menolak usul penyertaan Malaysia ke dalam
Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik ini, demi masa depan negara dan generasi
akan datang.
28. Saya sangat yakin akan
kemampuan kita untuk berdiri di atas kaki sendiri, dan begitu optimis terhadap
kebolehan yang ada di kalangan generasi muda negara, untuk mencorak kejayaan di
abad ini dan melakar kecemerlangan di masa akan datang, mengikut acuan dan
kebijaksanaan kita sendiri.
UCAPAN AHLI PARLIMEN MARANG
DALAM SIDANG KHAS DEWAN RAKYAT
26 - 27 JANUARI 2016
No comments:
Post a Comment