Wednesday, December 14, 2016

RAMALAN AHLI NUJUM BOHONG



Sabda Rasulullah SAW:

“Dan daripada Aisyah RA katanya orang ramai bertanyakan Rasulullah SAW berkenaan dengan tukang tilik. Maka sabdanya mereka itu tidak memberi satu kenyataan yang betul pun.

Lalu mereka berkata wahai Rasulullah kadang-kadang didapati benar apa yang diramalkan itu.

Maka sabda Rasulullah SAW: itu adalah sedikit kalimah yang betul yang diambil oleh jin yang membisikkan pada telinga ahli nujum lalu bercampur-campur bersama dengannya seratus pembohongan.”

Satu betul seratus pembohongan. Betul itu pun secara kebetulan. Pada hakikatnya adalah bohong dan jangan percaya. Walaupun yang diramal itu betul, tetapi bohong juga kerana itu daripada Allah Ta’ala, bukan daripada dia.

Mengikut hadis riwayat Bukhari daripada Aisyah RA.

Bahawasanya dia pernah dengar Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya malaikat turun di dalam kumpulan-kumpulan awan lalu mereka menyebut berkenaan dengan apa yang ditentukan oleh Allah di langit mengikut kadarnya maka syaitan-syaitan itu pun mencuri pendengaran lalu dia mendengar dan memberitahu sedikit yang didengar kepada ahli-ahli nujum maka mereka melakukan pembohongan bersama dengan seratus pembohongan yang ada di sisi mereka.”

Ini menunjukkan ramalan-ramalan ahli nujum adalah bohong. Kalau betul pun bohong juga dan jangan percaya kerana tidak menepati sepenuhnya. Tidak ada benar sedikit pun pada ahli nujum walaupun yang diramalkan kena, bohong dan tidak boleh percaya.

Ini jelas menunjukkan percaya kepada ahli nujum adalah dosa besar.

Sabda Rasulullah SAW:

“Dan daripada Sofiah binti Abi Ubait yang menerima daripada salah seorang isteri nabi SAW yang menerimanya daripada nabi SAW sabdanya:

‘Sesiapa yang menemui ahli ramalan lalu bertanya sesuatu daripadanya maka dia mempercayainya TIDAK DITERIMA SEMBAHYANGNYA SELAMA EMPAT PULUH HARI.” (Riwayat Muslim).

Seseorang bertemu dengan ahli nujum bertanya tentang ramalan dan dia percaya sama ada ramalan menepati atau pun tidak maka tuhan tidak menerima pahala sembahyangnya empat puluh hari.

Di sisi ulamak tidak diwajibkan kodar sembahyangnya, tetapi pahala kosong.

Menemui ahli nujum itu adalah dosa besar dan kena bertaubat dengan taubat nasuha. Menyesal di atas perbuatannya dan berazam tidak akan melakukan lagi dosa itu.

Mengikut satu riwayat lain isteri nabi itu ialah Habsah binti Umar RA.

Hadis ini menunjukkan bahawa haram mendapat khidmat ahli nujum, haram minta tolong ahli nujum, haram berjumpa dengan ahli nujum dan tanya tentang ramalannya. Tambahan lagi boleh membatalkan amal yang solih.

Ini menunjukkan betapa besarnya dosa nujum dan bertanya ahli nujum. Jika bertanya besar dosanya, beramal dengan nujum lagi besar dosanya. Jika menghalalkan atau mempercayaianya pula menjadi murtad, keluar daripada agama Islam.

Mengapa jadi begitu?

Kerana perkara akan datang yang diberitahu oleh ahli nujum itu adalah hak Allah Ta’ala. Perkara akan datang adalah perkara ghaib. Tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Allah. Nabi-nabi dan rasul-rasul pun tidak mengetahuinya. Nabi mengetahui perkara yang akan datang setelah diberitahu oleh Allah.

Sebagai contoh nabi diberitahu sahabat ini masuk syurga dan sahabat ini mati syahid, tuhan memberitahu kerajaan Rome dan Farsi akan tumbang. Apa yang tuhan beritahu maka nabi tahu. Apa yang tuhan tidak memberitahu maka nabi tidak tahu.

Ahli nujum ini bila tuhan memberitahu ke dia?

Dia agaknya sembahyang pun tidak. Sembahyangnya pun tidak menjadi apa-apa kerana dia merampas ilmu yang tidak layak baginya.

Inilah sebabnya nujum satu dosa yang besar.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment