Monday, December 12, 2016

SEMUA KERAJAAN TIDAK KEKAL



Firman Allah Ta’ala surah al-Imran ayat 26 bermaksud:

“Katakanlah wahai tuhan yang memiliki kerajaan, Engkau memberi kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabutkan kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki,

Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan engkau hinakan orang yang engkau kehendaki, di tangan Engkaulah segala kebajikan, sesungguhnya Engkau maha berkuasa atas segala sesuatu.”

Ayat ini menyatakan bahawa Allah menjadi raja memerintah segala raja-raja yang ada di dalam alam ini sama ada raja Islam ataupun kafir, adil ataupun zalim. Semua kerajaan itu diberi oleh Allah Ta’ala dan kerajaan-kerajaan itu tidak kekal selama-lamanya. Kerajaan yang kekal hanya kerajaan Allah Ta’ala sahaja.

Allah Ta’ala memberi kerajaan kepada nabi Daud AS dan diberi kepada anaknya nabi Sulaiman AS yang memerintah kerajaan yang besar menguasi jin, manusia dan binatang-binatang termasuk burung yang terbang di udara.

Allah Ta’ala memberi kerajaan juga kepada nabi Muhamad SAW. Allah Ta’ala memberi kerajaan kepada Zulkurnain yang disebut dalam Quran yang memerintah dunia.

Dalam masa yang sama Allah Ta’ala memberi kerajaan kepada Namruk dan Firaun yang zalim. Allah Ta’ala memberi kerajaan kepada orang zalim yang ada pada hari ini. Mereka melakukan kezaliman dan bila habis tempuh Allah Ta’ala tamatkan kerajaan itu.

Kerajaan Namruk dan Firaun yang zalim itu ditamatkan dan Allah Ta’ala kekalkan kisahnya dalam Quran. Kerajaan nabi Daud, nabi Sulaiman dan Zulkurnain yang memerintah secara Islam ditamatkan riwayatnya dan dinyatakn dalam Quran.

Kerajaan nabi Muhamad dan kerajaan khalifah ar-Rasyidin ditamatkan riwayatnya dan dapat dibaca dalam kitab-kitab dikarang oleh ulamak.

Kenapa Allah jadikan kerajaan itu silih berganti?

Allah Ta’ala hendak menguji manusia mana satu kerajaan yang hendak disokong. Manusia boleh menyokong mana-mana kerajaan yang mereka suka, kerajaan zalim atau kerajaan adil. Di hari kiamat mereka akan dibicarakan di hadapan Allah Ta’ala.

Allah Ta’ala menyebut dalam Quran kerajaan adil mendapat pahala yang sangat besar dan disebut dalam hadis kerajaan adil mendapat naungan pada hari kiamat kelak. Kerajaan zalim dan termasuk penyokong-penyokongnya masuk neraka.

“Pada hari dibalik-balikkan muka-muka mereka dalam neraka lalu mereka berkata alangkah baiknya masa atas dunia dulu aku taatlah Allah dan taatkan rasul dan mereka berkata wahai Tuhan kami! Sebenarnya kami ikut pemimpin-pemimpin kami dan mereka telah menyesatkan kami atas dunia dulu.”

Ayat Quran ini menyatakan bahawa kerajaan zalim dan menyokong-penyokongnya masuk neraka serta dibalik-balikkan sebagaimana orang menggoreng ikan dalam kuali.

Mereka yang bersama petunjuk mendapat rahmat daripada Allah Ta’ala.

“Dan Kami jadikan di kalangan bani Israil itu pemimpin-pemimpin yang mendapat petunjuk daripada Allah Ta’ala, mereka sabar menghadapi ujian dan mereka dengan petunjuk Allah Ta’ala.”

Disebut dalam Quran pemimpin yang mendapat petunjuk dan pemimpin yang sesat dan celaka.
Allah Ta’ala memberi peluang atas dunia ini sebagaimana Allah Ta’ala beri kepada seseorang kaya atau miskin. Orang Islam ada yang kaya raya dan orang kafir pun ada yang kaya. Ada orang kaya yang baik dan ada yang jahat.

Dunia adalah tempat ujian dan semuanya berada di dalam milik dan kekuasaan Allah Ta’ala.

Inilah hikmat mengapa kita membaca ayat Quran ini menjadi wirid lepas sembahyang. Imam membaca wirid diikuti oleh makmum tetapi tidak mengerti apa-apa.

Mereka yang membaca, faham dan berdoa dengan khusuk dapat petunjuk daripada Allah Ta’ala. Merek yang membaca tetapi tidak faham, lepas sembahyang ikut mereka yang zalim maka punah ranah dan tidak mendapat petunjuk.

Firman Allah Ta’ala surah Yasin ayat 83 maksudnya:

“Maka Maha Suci Allah yang di tangan-Nya Kekuasaan atas segala sesuatu dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan.”

Ayat ini menyatakan bahawa Almalik adalah nama Allah Ta’ala. Semua alam berada di bawah kekuasaan Allah Ta’ala dan semua mereka akan dipanggil balik pada hari kiamat.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment