Monday, December 12, 2016

PERJANJIAN HALFUL FUDUL



Mengapa kumpulan Islam boleh menyokong atau bekerjasama dengan bukan Islam termasuklah NGO bukan Islam.

Pernah berlaku di zaman nabi SAW bila kerajaan Islam didirikan di Madinah, Islam sudah berkuasa dan memerintah. Nabi hendak memberitahu kepada sahabatnya betapa orang Islam boleh bekerjasama dengan bukan Islam dalam perkara yang baik.

Nabi bersabda:

“Aku pernah melihat semasa aku remaja dibawa oleh bapa saudara aku di Mekah termasuklah Abu Lahab yang paling kuat sekali menentang Islam, Abu Talib dan lain-lain dan termasuklah Abu Jahal yang hadir sama dalam majlis itu di rumah Abdullah bin Junaan.

Abdullah bin Junaan ialah seorang pemimpin musyrikin Mekah sebelum nabi dilantik menjadi rasul.

Mereka berjumpa di rumah Abdullah bin Junaan untuk memeteraikan satu perjanjian dan persefahaman yang dikenali dengan Halful Fudul iaitu perjanjian untuk membela orang kena zalim dan menentang kezaliman.

Ceritanya apabila seorang pengunjung Mekah kerana Mekah dikunjungi oleh masyarakat luar sebelum kedatangan Islam walaupun mereka kafir. Mekah diiktiraf sebagai negeri yang aman. Bila masuk Mekah tidak boleh diganggu.

Tiba-tiba seorang asing yang datang ke Mekah telah ditipu dan dianiaya. Lalu dia berucap dengan suara yang kuat:

“Adakah sesiapa yang boleh menolong aku, aku telah dianiaya dan telah dizalimi.”

Akibatnya ada kalangan pemimpin Mekah yang berasa malu, seorang luar dizalimi dan tidak ada siapa yang hendak membelanya.

Lalu mereka menganjurkan pertemuan di rumah Abdullah bin Junaan yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin musyrikin dan membuat keputusan untuk membela orang yang kena zalim, menentang orang zalim secara bersefakat.

Persefahaman ini dikenali dengan Halful Fudul.

Nabi menyebut:

“Sekiranya Halful Fudul ini dibawa di zaman Islam nescaya aku menyertainya.”

Ini adalah nas yang terang.

Ada pula orang membuat kenyataan segala yang baik dalam agama lain kita boleh ikut. Sebenarnya segala yang baik dalam agama lain sudah ada dalam agama Islam.

Islam ialah agama nabi Adam, manusia pertama dan tidak ada manusia sebelum nabi Adam AS. Islam ialah agama nabi Ibrahim dan Ibrahim ialah bapa kepada semua nabi dan rasul.

Agama-agama lain sama ada agama samawi, agama Yahudi, Kristian ataupun agama bukan samawi, agama Hidu dan Budha adalah agama yang wujud kemudian daripada Islam.

Walaupun agama ini menyeleweng masih ada asas yang mereka terima ialah mereka percaya ada tuhan yang menguasai alam. Bahkan ada kalangan bukan Islam menyebut Allah macam kita orang Islam juga. Cuma mereka melantik tuhan-tuhan lain daripada Allah.

Ada yang menerima konsep perkahwinan antara lelaki dan perempuan. Mereka juga wajib taat kepada kedua ibu-bapa. Ini adalah saki baki fitrah Islam yang dibawa oleh nabi Adam AS.

Apa yang baik dalam agama lain secara kebetulan dan sudah ada dalam agama Islam.

Jadi kita boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang dianggap sebagai satu kebijaksanaan.

Nabi SAW bersabda:

“Kebijaksanaan adalah barang tercicir kepunyaan orang-orang beriman, mana sahaja dijumpai mesti dipungut.”

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment