Monday, December 12, 2016

ZAMAN KETIADAAN KERAJAAN ISLAM



Kita perlu menyedari satu kewajipan yang besar dalam agama Islam ialah kewajipan mendirikan kerajaan yang adil dengan syariat Allah SWT. Kewajipan ini telah dilupa oleh sebilangan besar umat Islam.

Sebagaimana disebut oleh hadis Rasulullah SAW:

“Tali yang disimpulkan untuk mengikat ajaran Islam dirongkai satu demi satu. Apabila satu simpulan dirongkai manusia akan bertaburan lalu berpegang kepada simpulan yang masih ada. Simpulan yang pertama dirombak ialah simpulan yang berkait dengan hukum, khusus berkait pemerintahan negara, dan yang akhir dirombak ialah sembahyang.”

Hari ini kita berada di zaman ketiadaan pemerintahan Islam dan dilupakan oleh umat Islam. Namun demikian cahaya Islam tidak boleh dipadamkan sama sekali. Akan ada kumpulan yang bangkit meneruskan ubur yang membawa cahaya kepada umat supaya rukun Islam yang dinafikan itu dilaksanakan.

Betapa besarnya kewajipan mendirikan pemerintahan Islam ini nabi kita Muhamad SAW terpaksa berhijrah ke Madinah dan menolak segala tawaran yang diberikan kepadanya oleh pemimpin-pemimpin musyrikin Mekah.

Tawaran menjadi raja, tawaran menjadi pemimpin dan tawaran harta kekayaan ditolak kerana tidak mengizinkan rukun Islam yang adil dilaksanakan. Akhirnya nabi Muhamad SAW menawarkan kepada kabilah-kabilah Arab yang bersedia untuk menyerahkan tanah air mereka dan diri mereka menjadi tapak untuk ditegakkan pemerintahan Islam.

Semua kabilah Arab takut atau pun mahu janji jaminan kebendaan dan kesenangan terlebih dahulu. Dengan pertolongan Allah kabilah Aus dan Khazraj yang datang dari Madinah menerima tawaran menjadi orang Islam dan menyerahkan tanah air mereka untuk didirikan sebuah pemerintahan Islam.
       
Pemerintahan Islam mempunyai objektif, maksud dan tujuan tersendiri.

1. Orang bukan Islam diajak masuk Islam dan tidak dipaksa mereka masuk Islam

2. Wajib menegak keadilan bagi semua manusia.

Bagi menegakkan negara yang seperti ini nabi Muhamad SAW telah mewujudkan kumpulan Islam yang dipersaudarakan dengan persaudaraan Islam, bukan persaudaraan kebangsaan.

Walaupun pada awalnya mengumpulkan keluarga dan kabilahnya untuk membina kekuatan tetapi tidak cukup dengan mengumpul bangsa sahaja, hendakalah diwujudkan satu perpaduan yang tersendiri di dalam negara iaitulah perpaduan Islam yang mengandungi dua keadaan:

1. Perpaduan di kalangan orang Islam

2. Perpaduan di kalangan manusia termasuk orang-orang bukan Islam.

Dalam perpaduan pertama nabi Muhamad SAW telah mewujudkan perpaduan di kalangan muhajirin dan ansar. Orang-orang yang datang berhijrah ke Madinah sama ada yang berasal dari Mekah merupakan kumpulan yang ramai atau pun daripada kabilah-kabilah lain dipersaudarakan dengan golongan ansar, penduduk asal Madinah.

Nabi Muhamad memasukkan sama Salmanul Farisi yang mewakili Farsi dan bukan Arab, Suhi bin Rumi yang mewakili Rome dan bukan Arab dan Bilal bin Robah yang mewakili Afrika dan bukan Arab.

Kemudian diajak orang-orang Yahudi yang bukan Islam supaya bertahaluf (bersefahaman) iaitulah di kalangan orang-orang bukan Islam yang mempunyai hati kecil tidak bersetuju dengan kezaliman walaupun tidak masuk Islam.

Mereka digabungkan dengan masyarakat yang mendirikan negara Islam. Setelah diwujudkan masyarakat yang disatukan ini tegaklah sebuah negara yang adil sebagaimana

Firman Allah Ta’ala bermaksud:

“Wahai orang-orang beriman jadilah kamu orang yang bangun berdiri kerana Allah, menjadi saksi-saksi yang menegakkan ‘adil’ dan janganlah sebab kamu bermusuh dengan sesuatu kaum lalu kamu tidak berlaku adil terhadap kaum itu,

sesungguhnya adil itu lebih hampir kepada taqwa dan bertaqwalah kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan apa yang kamu kerjakan.”

Inilah yang menakutkan kabilah-kabilah Arab dan kuasa-kuasa besar dunia kerana kumpulan kabilah-kabilah Arab dan kuasa-kuasa besar dunia penuh dengan kezaliman. Oleh itu nabi Muhamad SAW terpaksa berdepan dengan kabilah-kabilah Arab dan melakukan gerakan memerdekakan Mekah.

Mengapa tidak dimulakan perjuangan itu bagi menentang Farsi dan Rome. Farsi menjajah timor semenanjung Arab dan Rome menjajah barat semenanjung Arab.

Mengapa tidak dikumpulkan kabilah-kabilah Arab di atas nama nasionalisma Arab bagi menentang penjajah Farsi dan Rome?

Tetapi dimulakan dengan perpaduan Islam dan perpaduan manusia. Jelas betapa perjuangan menentang kezaliman kerana kezalimanlah yang memecah belah manusia. Keadilan mesti ditegakkan kerana keadilan yang menyatukan manusia.

Nabi Muhamad SAW mengharamkan asabiah walaupun asabiah itu kecintaan dan kasih kepada bangsa dan keluarga. Tidak menjadi kesalahan sayang kepada bangsa dan sayang kepada keluarga. Islam mewajibkan hubungan silatul rahim dan memutuskan hubungan silatul rahim adalah haram dan dosa besar.

Tetapi mempertahankan kaum dan keluarga yang zalim adalah sesuatu yang sangat diharamkan.     

Dalam sebuah hadis sabda nabi SAW bermaksud:

“Bukan dari kalangan kita orang mengajak kepada jalan asabiah, bukan dari kalangan kita orang berjuang di atas dasar asabiah, bukan dari kalangan kita orang yang mati di atas dasar asabiah.”

Lalu para sahabat bertanya:

“Apakah asabiah itu wahai Rasulullah?”

Jawab Rasulullah SAW:

“Asabiah itu ialah engkau menolong kaum kamu walaupun dia zalim.”

Oleh kerana mereka kaum kita, kita menolongnya walaupun mereka zalim. Inilah asabiah yang diharamkan.

Inilah dasar dan konsep Islam yang diajar oleh nabi kita Muhamad SAW. Inilah kekuatan kepada negara yang ditegakkan. Di atas dasar ini nabi Muhamad SAW memerdekakan Mekah.

Mekah tidak dijajah oleh Inggeris, tidak dijajah oleh Peranchis, tidak dijajah oleh China dan tidak dijajah oleh India, Mekah dijajah oleh pemimpin jahiliah qurais, keluarga nabi SAW sendiri yang penuh dengan kemungkaran dan kezaliman.

Setelah kabilah jahiliah Arab dikalahkan dan Mekah dimerdekakan berduyun-duyun orang Arab masuk Islam. Dengan ini Islam menjadi kekuatan kepada bangsa Arab bukan kebangsaan Arab.

Khalifah Umar Ibni Khattab RA dijemput menyaksikan kejatuhan Baditul Maqdis daripada Kerajaan Bizantin. Bila tiba di Baitul Maqdis Saidina Umar berucap dengan ucapan yang masyhur:

“Kita adalah umat yang diberi kemuliaan, kehebatan dan kekuatan dengan Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan, kehebatan dan kekuatan lain daripada Islam maka kita akan menerima hukuman penghinaan daripada Allah.”

Kejatuhan Islam daripada tangan orang Arab apabila orang Arab berpegang dengan nasionalisma Arab, Turki dengan kebangsaan Turki dan India dengan kebangsaan India menyebabkan tanah air umat Islam dipecah-pecahkan.

Orang Arab ingin mengambalikan kekuatan mereka berdasarkan kebangsaan Arab dengan menubuhkan ‘Lega Arab’ sehingga hari ini bangsa Arab yang jumlahnya hampir dua ratus juta tidak mampu berdepan dengan Israil yang jumlah rakyatnya lima enam juta orang.

Nasionalisma Arab tidak memberi kemulian kepada orang Arab. Arab mesti diselamatkan dengan Islam.

Manusia mesti diselamatkan dengan Islam sahaja. Ini yang kita hendak diperkenalkan dalam tanah air kita.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment