Monday, December 12, 2016

SELAMAT DUNIA DAN AKHIRAT



Allah Ta’ala memberitahu kalau hendak selamat dunia dan hendak selamat hari akhirat serta mendapat syurga dan jauh daripada neraka, kena taat kepada Allah dan taat kepada Rasulullah SAW.

Perintah-perintah Allah ada dalam Quran. Cara beramal perintah Allah diajar oleh nabi Muhamad SAW dan ada dalam kitab-kitab hadis. Quran dan hadis dipelihara oleh Allah Ta’ala sehingga hari kiamat. Tidak ada siapa yang boleh tipu. Jika ada orang menipu, dia tetap tersungkur kerana Islam dipelihara oleh Allah Ta’ala.

Tanggungjawab kita ialah mengajak manusia supaya beramal dengan apa yang ditunjuk oleh Allah Ta’ala dalam Quran dan dengan apa yang diajar oleh nabi Muhamad SAW dalam hadis.

Allah Ta’ala menunjukkan kepada kita semua perkara. Bukan sahaja perkara ibadat, termasuk makan minum, politik (mentadbir dan memerintah negari) dan pemimpin yang patut kita pilih.

Nabi kita Muhamad SAW bukan sahaja mengajar sembahyang setelah mengajar mengucap dua kalimah syahadat, mengajar berpuasa, termasuklah mengajar berpolitik, memerintah negara. Rakyatnya ada orang Islam dan ada orang kafir.

Nabi Muhamad SAW mengajar memerintah negara dengan adil sebagaimana yang diajar Allah Ta’ala dalam Quran dan caranya diajar semua oleh nabi SAW.

Ulamak-ulamak dan pendakwah yang membawa Islam ke negeri kita ini, bukan sahaja membawa Islam sekadar mengucap, ajar sembahyang, membuat haji dan umrah termasuklah mengajar bagaimana memerintah negeri.

Negeri Terengganu ada batu bersurat yang disimpan dalam muzium negeri. Tulisan pada batu bersurat ini menyatakan Terengganu diperintah dengan Quran dan hadis nabi SAW. Begitu juga di Kedah, di Melaka, di Acheh, di Jawa dan lain-lain.

Apabila orang Islam leka dengan Islam mereka dijajah oleh penjajah British, Portugis, Belanda dan lain-lain.

Negara kita telah dirosakkan dengan peraturan Inggeris menyebabkan ulamak-ulamak dan pembesar negara bangkit melawan penjajah Inggeris. Di negeri Terengganu Sultan Zainal Abidin bangkit menentang kerana hendak menjaga negeri Terengganu dengan Islam.

Pada tahun 1900 negeri Terengganu telah menggubal undang-undang diri Negeri Terengganu yang menyatakan Terengganu ialah sebuah kerajaan yang melaksanakan Islam.

Bila Inggeris campur tangan orang Islam bangkit melawan. Di Terengganu Tok Guru Haji Abdul Rahman Limbong, di Melaka Datuk Dol Said, di Pahang Datuk Indera Gajah, Datuk Bahman, Di Kelantan Tok Janggut, Tok Lebai Haji Muhamad Hasan dan di Perak Datuk Maha Raja Lela.

Semua mereka ini menentang campur tangan Inggeris yang bukan Islam. Tetapi dukacita diajar kepada anak-anak sekolah penentangan kerana marah mengambil hasil tanah. Ini satu pembohongan.

Apabila Inggeris hendak memberi kemerdekaan Inggeris menyerah kepada pemimpin Melayu yang diajar supaya memerintah negeri mengikut cara mereka.

Perkara yang sama berlaku di negara Arab dan berlaku di Indonesia. Penjajah menyerah kemerdekaan kepada pemimpin-pemimpin negeri yang boleh meneruskan pemerintahan mengikut peraturan penjajah.

Untuk menyelamatkan Islam ditubuh parti-parti Islam. Di Indonesia parti Masumi, di negeri Arab parti Ikhwan Muslimin, di benua India Jumaat Islami dan di Malaysia Parti Islam Setanah Melayu.

Ini terang-terang hendak mengajak orang Islam balik semula kepada Quran, hadis, ulamak dan kias. Parti-parti ini berjuang melalui pilihan raya menentang pemerintahan bangsa masing-masing.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment