Firman Allah Ta’ala bermaksud:
“Allah berjanji kepada
orang-orang beriman yang mengerjakan amal soleh di kalangan kamu bahawa Dia
akan jadikan mereka itu golongan memerintah di bumi, sebagaimana Allah
kurniakan kepada umat terdahulu,
dengan mengurniakan ciri-ciri dan
sifat-sifat agama yang diredha berkuasa, bertukar daripada ketakutan kepada
keamanan dan mereka itu mengabdikan diri kepada Allah dalam keadaan tidak
menyengutukan dengan sesuatu yang lain dan sesiapa yang kufur selepas itu
mereka itulah orang-orang yang fasik.”
Kita akan melangsungkan
tanggungjawab sebagai umat yang dipilih oleh Allah Ta’ala tetapi kehilangan
sifat-sifat yang sepatutnya:
“Adalah kamu
sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia yakni untuk menjadi pemimpin
dan model umat lain, dengan sifat-sifat kamu menyuruh kepada yang baik, kamu
mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah.”
Kita berada dalam suasana dan
keadaan umat Islam dalam kesurutan hasil dari kelemahan yang dialami berpunca
daripada meniggalkan kewajipan yang besar dalam agama Islam. Kewajipan
menegakkan hukum Allah yang adil dalam negara dan masyarakat.
Kewajipan yang ditunaikan oleh
generasi awal umat Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW bukan sahaja
berdakwah mengajak manusia kepada Islam dalam masa yang sama menegakkan negara
yang memerintah menunjukkan contoh yang baik kepada seluruh manusia.
Apa yang ditegakkan itu berdiri
dengan megah dalam masa seribu tiga ratus tahun lebih.
Apabila umat Islam merungkai
kewajipan yang diwajibkan oleh Allah menegakkan hukumnya maka umat Islam
menjadi bertaburan. Benar sebagaimana yang diberi amaran oleh Rasulullah SAW:
“Tali yang disimpul
untuk mengikat ajaran dengan kuat dirungkai satu demi satu. Apabila satu
simpulan dirungkai manusia berselerak dan mereka bergantung dengan simpulan
yang masih ada.
Simpulan pertama
dirungkai ialah yang berkait dengan hukum hakam khususnya dalam mendaulatkan
syariat Allah dan yang akhir dirungkai ialah sembahyang.”
Di awal abad yang lalu umat Islam
menyaksikan kejatuhan kerajaan Othmaniah diikuti dengan penjajahan
negeri-negeri Islam oleh kuasa barat. Mereka berjaya memecahkan negeri-negeri
umat Islam berasaskan kepada agenda serangan pemikiran yang melahirkan
sekularisma di dalam masyarakat Islam dan mencetuskan semangat kebangsaan
masing-masing.
Mereka dengan mudah
berjaya melumpuhkan umat Islam, namun mereka tidak berjaya memadamkan cahaya
Islam. Cahaya Islam terus memancar dan bertahan sehingga memaksa penjajah
meninggalkan negeri-negeri umat Islam.
Namun begitu mereka merancang
meninggalkan kesan daripada serangan pemikiran dan budaya yang masih berakar
umbi di dalam masyarakat Islam.
Kita berbangga dengan negeri Terengganu Darul Iman kerana di antara negeri
yang terakhir dijajah oleh barat. Acih di Indonesia tidak dapat dijajah tetapi
dikepung. Afganistan, Arab Saudi dan Yaman tidak dapat dijajah tetapi dikepung.
Terengganu berjaya dijajah dan
diletakkan di bawah negeri bernaung. Sejarah
mencatitkan apabila bermula campur tangan British di Terengganu rakyat
Terengganu memberontak, berjihad menentang penjajah walaupun sejarah ini
dikaburkan tetapi tidak boleh dibohongi apabila mereka mengebarkan bendera Othmaniah di Kuala Berang tahun 1928 walaupun kejatuhan kerajaan Uthmaniah
tahun 1924.
Pengebaran
bendera Othmaniah menunjukkan semangat khilafah masih wujud di sini.
Setelah negara mencapai
kemerdekaan pilihan raya pertama diadakan selepas merdeka tahun 1959, Terengganu merupakan negeri pertama ditawan oleh PAS.
Selepas itu Kelantan.
Kerajaan PAS Terengganu masa itu
dikepung dan digoncang dengan hebat dan dapat bertahan hanya lebih daripada dua
tahun. Tetapi Terengganu menempa sejarah menjadi negeri pertama ditawan oleh
PAS.
Parti PAS ditubuhkan oleh ulamak
tahun 1951, mata rantai penubuhan perjuangan Islam yang tidak putus semenjak
Islam datang ke Tanah Melayu.
Pendakwah-pendakwah datang ke
Tanah Melayu bukan hanya membawa dagangan, barang-barang dagangan hanya bekalan
sementara waktu, tetapi mereka membawa Islam dan Islam yang dibawa ialah Islam
yang berdaulat (Islam yang memerintah) bukan Islam sekadar mengucap dua kalimah
syahadat.
Terengganu meninggalkan
sejarah batu bersurat yang dicatat di atasnya perlaksanaan hukum syariat.
Berbeza dengan Melaka perlaksanaan hukum syariat dan hukum adat. Diberi pilihan sama ada hukum
syariat atau pun adat.
Tetapi Terengganu hanya hukum
syariat yang dilaksanakan. Kedaulatan Islam dipertahankan sehingga datang
penjajah.
Sebelum PAS sudah ada mata rantai
perjuangan Islam. Bermula dengan para ulamak mempertahankan Islam di
pondok-pondok, di masjid-masjid dan surau-surau masing-masing.
Penubuhan parti Syarikat Islam
tahun 1924 di Basrah, Pahang ditaja oleh ulamak dari Terengganu.
Cawangan-cawangannya ditubuh di seluruh negeri Terengganu. Parti ini diharamkan
oleh penjajah dan 1951 ditubuhkan PAS.
PAS masuk ke Terengganu tahun
1956. Bila pilihan raya pertama diadakan tahun 1959 Terengganu negeri pertama
mencapai kemenangan. Malangnya yang mengepung kerajaan
Islam Terengganu bukan penjajah British, British sudah pulang tetapi
orang-orang Melayu yang dididik dan dilatih oleh British yang menjatuhkan
kerajaan PAS di Terengganu tahun 1961.
Kelantan yang PAs menang pilihan raya berikutnya
dapat bertahan kerana kemenangannya besar.
Tahun 1999 PAS berjaya
menawan semula Terengganu dan telah menempa sejarah kerana dengan kejayaan itu
telah berjaya mengambalikan perlembagaan negeri kepada Islam. Berjaya
menjadikan hukum Islam, Quran, hadis, ijmak ulamak dan kias hukum tertinggi
bagi negeri Terengganu, dan mana-mana undang bercanggah dengannya dibatalkan.
Asas kepada perlembagaan negeri
ini ditandatangani oleh DYM Sultan. Ini tidak berlaku di mana-mana. Kejayaan
mengembalikan asas kepada perlembagaan adalah saham yang paling besar kepada
kita dan lebih besar daripada 60,000 lot tanah dibahagi kepada rakyat dan lebih
besar daripada segala-galanya.
Kepada mereka yang mendukung
aqidah, yang mendukung perjuangan mungkin PAS dijatuhkan dengan sebab itu.
Benarlah firman Allah Ta’ala:
“Adakah manusia mengira sudah
cukup bila mereka bercakap kami telah beriman padahal mereka tidak diuji dan
dicuba, sesungguhnya Allah telah menguji orang-orang terdahulu maka termaklum
di sisi Allah orang yang benar-benar beriman dan orang yang bohong.”
Bila Islam yang sebenar
ditegakkan kita akan diuji. Khalifah Umar Abdul Aziz yang mengembalikan pemerintahan kepada
khilafah memerintah hanya dua tahun sahaja. Kematiannya kerana diracun tetapi
pemerintahannya meninggalkan kesan yang sangat baik.
Bilangan tahun memerintah
bukanlah ukuran. Apa yang penting ialah pengisiannya. Tanggungjawab kita ialah
mengembalikan kedaulatan Islam. Tanggungjawab bukan
sahaja di hadapan Allah SWT tetapi yang lebih besar ialah untuk menyelamatkan
manusia yang terkapai-kapai pada hari ini dilanda oleh kegagalan berbagai-bagai
teori dan ideologi.
Manusia juga terkapai-kapai
kerana dilanda oleh masalah yang menimpa dunia yang tiada penyelamat melainkan
syariat Allah SWT.
Kita berada dalam zaman manusia
sedang mencari-cari untuk selamat dan kita telah berjaya menarik perhatian
bukan sahaja orang-orang Islam terpelajar yang mengkaji dan membaca merupakan
saham yang paling penting kepada kita walaupun majoriti orang Islam bengong
kerana mereka masih demam serangan pemikiran.
Apa yang menarik ialah
orang-orang bukan Islam menyokong perjuangan kita bukan sahaja tahaluf syiasi
(persefahaman) dengan golongan bukan Islam yang menerima konsep yang kita
perjuangkan dalam masa yang sama mereka bersedia untuk menjadi ahli bersama
dengan kita dalam perjuangan.
Ini adalah satu perkembangan yang
biasa kepada Islam bukannya luar biasa. Mereka yang tidak membaca sejarah Islam
merasakan ini luar biasa. Di zaman nabi SAW ketika di Mekah ada tokoh-tokoh
bukan Islam seperti Abu Talib, Ibnu Jarnah, Mutain bin Ali dan Abdullah bin
Huraiket memberi sokongan kepada nabi SAW sehingga berhijrah ke Madinah.
Walaupun tahaluf syiasi
diadakan dengan orang-orang bukan Islam kita tidak pernah menggadai perinsip
dan konsep kita. Orang-orang Melayu Islam mempunyai satu tanggungjawab yang
besar untuk menyedarkan umat mereka sendiri.
Firman Allah Ta’ala bermaksud:
“Berikanlah peringatan kepada
kaum keluarga kamu yang hampir.”
Sekiranya kita gagal memberi
kesedaran kepada kaum sendiri maka Allah memberi amaran:
“Jika sekiranya kamu berpaling
daripada menunaikan tanggungjawab untuk menegakkan Islam maka Allah akan
menukarkan kepada kaum yang lain yang akan mengambil alih.”
Sejarah Islam membuktikan bila
kaum Arab tidak lagi memimpin Allah menukar dengan kaum Kuldis yang melahirkan
Solahudin al-Ayubi dan menukarkan dengan kaum Turki yang melahirkan kerajaan
Uthmaniah.
Allah Ta’ala tidak mematikan
agamanya, cahaya Islam tidak boleh dipadamkan tetapi mereka yang meninggal
Islam itu akan padam.
Ucapan khalifah Omar ibni
al-Khattab RA kepada pemimpin-pemimpin Arab Islam di Baitul
Maqdis, yang menyaksikan perayaan menjatuhkan Rome
Bizantine, kuasa besar dunia yang tunggal selepas kejatuhan Farsi:
“Kita adalah umat yang diberi
kemuliaan dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan lain daripada Islam
maka kita akan menerima penghinaan daripada Allah SWT.”
Kita tidak berminat dengan
golongan yang berjuang atas dasar kaum. Tidak salah sayang kepada bangsa, kaum
dan keluarga tetapi ‘sayang’ itu tidak boleh dijadikan aqidah.
Islam menyatakan untuk menyatukan
manusia mesti dengan perasaan, hati dan bukan dengan jasad sahaja. Untuk
menyatukan jasad dan hati mesti dengan satu konsep yang diterima oleh sifat
semula jadi manusia.
Pertama mempersaudarakan manusia dengan iman:
“Sesungguhnya orang-orang beriman
itu bersaudara.”
Kedua menyatukan manusia dengan
kemanusiaan dengan memberi hak yang adil kepada
semua.
Konsep ini berjaya dilaksanakan
oleh nabi Muhamad SAW dan kita tidak boleh memilih acuan lain. Acuan Islam
tidak boleh dipinda dan diubah. Jika dipinda acuan Islam ini, Islam selamat tetapi
orang yang meminda tidak selamat.
Kita berjamaah dan
berpolitik untuk mempertahankan acuan ini yang boleh menyelamatkan manusia
dalam taufan yang melanda mereka. Taufan keruntuhan moral, keruntuhan akhlak dan
taufan berbagai-bagai wabak yang melanda manusia.
Taufan di zaman Nuh AS,
bahtera Nuh yang menyelamatkan. Taufan di zaman ini hanya bahtera Islam yang
menyelamatkan. Hanya mereka yang sanggup bersama di atas bahtera ini dengan
konsep dan prinsip, boleh naik.
Nuh mengajak anaknya naik ke atas
bahteranya tetapi Allah Ta’ala tidak izinkan kerana anaknya tidak beriman.
Prinsip dan konsep yang diajar
oleh al-Quranul Karim yang kita pegang dan kita junjung walaupun memakan masa
lama. Banyak duri terpaksa dihadapi, jalan yang tidak dihampar dengan
permaidani merah tetapi jalan ini sahaja yang selamat.
Kita perlu peka dengan konsep
yang diberi oleh nabi SAW:
“Dihamparkan hamparan
untuk menuju ke syurga dengan perkara yang tidak menyedapkan, dihamparkan hamparan
yang menuju ke neraka dengan perkara yang melazatkan.”
Ini adalah pusaka
wasiat nabi Muhamad SAW.
KULIAH YT
No comments:
Post a Comment