Monday, December 12, 2016

WALAD



Antara ciri hizbullah ialah walad (kesetiaan) kepada Allah dan rasul. Kesetiaan kepada pemimpin yang memperjuangkan Islam.

Walad sangat penting. Kita kena taat kepada arahan-arahan pemimpin selagi tidak bercanggah dengan Quran dan hadis. Jika arahan bercanggah dengan Quran dan hadis bukan sahaja kita tidak boleh ikut bahkan kena lawan.

Dalam perkara-perkara ijtihad, perkara pandangan, perkara tektik, perkara strategi, perkara cara perjuangan kena patuh kepada arahan pimpinan. Pemimpin yang dipilih dalam mesyuarat, sama ada pemimpin itu kita setuju atau tidak setuju kita kena patuh kepadanya.

Dalam jamaah ada pandangan yang berbeza dan kita tidak dapat hendak bulatkan pandangan itu, tetapi bila sudah menjadi keputusan mesyuarat hendaklah dipatuhi.

Nabi kita Muhamad SAW mengajar kita contohnya dalam peperangan Uhud. Bila diketahui orang kafir hendak menyerang Madinah nabi mengadakan mesyuarat dengan para sahabat. Dua pandangan ditimbulkan:

1. Berlawan di Madinah.

Orang lelaki berperang di lorong-lorong dan orang perempuan boleh memanah melalui jendela rumah masing-masing.

Pandangan ini disokong oleh Abdullah bin Ubai, pemimpin munafik. Baginya kalau Islam tewas beliau senang lari. Nabi pada awalnya bersetuju dengan pandangan ini.

2. Pandangan kaum muda terutama mereka yang tidak sempat hadir dalam peperangan Badar mencadangkan supaya berlawan di luar Madinah.

Jika berlawan di Madinah dan menang Alhamdulillah. Tetapi kalau tewas Madinah di tawan oleh Musuh.

Kalau berlawan di luar Madinah dan menang Alhamdulillah. Jika tewas kita boleh berundur dan mengatur strategi baru untuk menyerang semula. Madinah tidak dapat ditawan oleh musuh.

Akhirnya nabi SAW bersetuju berlawan di luar Madinah. Nabi balik ke rumah untuk memakai baju rantai.

Abdullah bin Ubai, pemimpin munafik yang menipu menjadi orang Islam membisik-bisikan ucapan-ucapan menyebabkan orang Islam menjadi serba salah sehingga pemuda yang mencadang berjuang di luar Madinah mahu menarik balik cadangan mereka.

Mereka menemui Rasulullah SAW untuk menarik balik pandangannya dan mengajak Rasulullah SAW berperang di Madinah.

Nabi SAW berkata:

“Sesungguhnya seorang nabi apabila memakai baju rantai tidak akan berganjak dengan keputusan itu.”

Lalu tentera Islam keluar berperang di Uhud.

Dalam peperangan Uhud yang terkenal itu pada peringkat awalnya tentera Islam menang. Tetapi apabila satu pasukan tidak mengikut arahan nabi menyuruh menjaga bukit, mereka meninggalkan bukit yang dijaga itu.

Akibatnya tentera Islam dikepung, 70 orang syahid dan ramai luka-luka termasuk jasad Rasulullah SAW. Para sahabat berhempas pulas mempertahankan nabi dengan jasad dan tubuh mereka menjadikan perisai.

Mereka berundur ke arah bukit dan dapat menawan balik bukit yang ditinggalkan serta berjaya mengundurkan musuh. Musuh berjaya melarikan diri ke Mekah tetapi tentera Islam sedih dengan peristiwa itu.

Namun begitu itulah keputusan mesyuarat. Mereka menerima keputusan mesyuarat sebagaimana yang diajar oleh Allah dalam Quran:

“Dengan apa sahaja yang engkau lakukan wahai Muhamad, sekiranya engkau keras hati terhadap pengikut-pengikut kamu nescaya orang tidak mengikut kamu wahai Muhamad! Oleh kerana itu maaflah kesalahan mereka dan

beristighfarlah kepada Allah supaya Allah mengampunkan dosa mereka, bermesyuarat dengan mereka dalam mengendalikan urusan. Apabila mendapat keputusan keazaman tawakkallah kepada Allah.”

Ini menunjukkan betapa perlunya ketaatan dalam perjuangan. Perlu ikut arahan pemimpin. Jika tidak mengikut arahan pemimpin maka perjuangan menemui kegagalan.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment