Tuesday, January 3, 2017

*GST BERTENTANGAN DENGAN ISLAM*

Firman Allah SWT:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ
 
Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.
[Al-Baqarah:43]

Ayat ini diturunkan berkaitan orang-orang Yahudi Bani Israel. Dua perkara penting disebut adalah solat dan zakat. Keduanya adalah elemen utama ajaran Islam. Solat adalah simbolik ubidiyyah terhadap Allah SWT yang menjadi tujuan utama manusia diciptakan, manakala zakat adalah simbolik konsep ekonomi dalam Islam yang menjaga hubungan manusia sesama mereka.

Selain zakat, ketika Islam sudah berkembang Nabi SAW turut mengenakan jizyah terhadap orang-orang bukan Islam. Ia berbentuk cukai yang dikutip oleh kerajaan Islam sebagai bayaran kepada perlindungan dan keamanan yang diberikan terhadap orang bukan Islam.

Jizyah dibayar mengiku kemampuan. Yang kaya bayar banyak, yang sederhana cara sederhana, yang terlalu miskin tidak perlu bayar. Sami dan pendita yang tidak bekerja, hanya duduk di kuil dan gereja tidak perlu membayar.

Apabila Saidina Umar menghantar Abu Ubaidah al-Jarrah memimpin umat Islam bagi membuka kota Syam, waktu itu umat Islam menghadapi ancaman tentera rom. Jumlah mereka melebihi sejuta orang, sedangkan tentera Islam hanya berjumlah beberapa ribu sahaja. Oleh yang demikian, Abu Ubaidah membatalkan cukai jizyah terhadap bukan Islam kerana tidak mampu menjamin keselamatan mereka waktu itu.

Ini menunjukkan bahawa cukai terhadap bukan Islam boleh dihapuskan, tetapi zakat tidak boleh dihapuskan. Tindakan Abu Ubaidah mengejutkan rakyat Syam yang ditakluk Islam. Lalu mereka berkata lebih rela berada di bawah kerajaan Islam berbanding kerajaan Rom yang sama agama dengan mereka, kerana mereka lebih teruk lagi.

Selepas Rom dan Parsi kalah, banyak ladang-ladang dan tanah milik bangsawan Rom jatuh ke tangan Islam. Umar al-Khattab mengambil sikap membahagikan tanah tersebut kepada rakyat jelata Rom untuk mereka usahakan. Mereka yang masuk Islam diambil zakat pertanian dan tanaman, dan mereka yang tidak diambil cukai mengikut kemampuan.

berlaku perbezaan antara mazhab Hanafi dan Syafie dalam bab zakat tanaman. Bagi Syafie, tanaman hanyalah anggur dan kurma sahaja tetapi bagi Hanafi, semua jenis tanaman dikenakan zakat. Puncanya kerana mazhab Hanafi berkembang ke negara-negara lain yang banyak jenis tanaman sedangkan Syafie di peringkat awal hanya berlegar di Mekah dan sekitar tanah arab. Orang yang hanya baca kitab Fiqh tanpa membaca sejarah tidak akan faham perbezaan ini.

Zaman Saidina Umar juga memperkenakan Kharraj Muqasamah dan Kharrah Wazifah. Muqasamah adalah cukai hasil tanah dan Wazifah pula cukai jenis tanah termasuklah tanah-tanah perumahan yang diperniagakan. Orang Islam dikenakan Kharraj, bukan Islam dikenakan Usyur.

Mazhab Hanafi turut membenarkan cukai diambil dalam perniagaan yang haram dari bukan Islam seperti arak dan babi. Kutipan cukai ini diletakkan dalam akaun khas dan digunakan untuk kepentingan mereka sahaja, tidak boleh digunakan untuk umat Islam.

Di zaman Khalifah yang adil iaitu Umar bin Abdul Aziz, beliau memperkenalkan cukai hasil laut. Oleh kerana perusahaan laut berbeza dengan kosnya dengan tanah, maka cukai diambil sehingga 20%.
semua ini mengikut prinsip percukaian Islam sebagaimana hadis Nabi:

"تؤخذ من أغنيائهم وترد إلى فقراءهم"
 
(Diambi dari mereka yang berada dan dipulangkan kepada yang faqir di kalangan mereka)
Bagi yang tidak berkemampuan, tidak dikenakan zakat atau cukai termasuk bukan Islam. Oleh itu cukai GST bertentangan dengan Islam kerana dikenakan terhadap semua rakyat. Oleh kerana sudah tidak lagi mana sumber kewangan, rakyat jadi mangsa.

Sekiranya mereka balik kepada sistem Islam, pasti tuhan akan beri keberkatan. Berkat ini tidak ada dalam kamus ekonomi teori lain. Ia hanya ada dalam kamus Islam.

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. [Al-A`raff:96]

Masjid Rusila
9 Rabiul Awwal 1437
9 Disember 2016
_(Alang Ibn Shukrimun)_

No comments:

Post a Comment