Mata rantai perjuangan Islam yang
tidak putus dengan wafatnya nabi akhir zaman, Muhamad SAW. Selepas kewafatan nabi SAW yang menjadi penyambung ialah kumpulan Islam
dinamakan Hizbullah, parti yang menegakkan ajaran Allah. Dinamakan Jamaatul
Muslimin, dinamakan Thaifah (puak orang-orang Islam) dan dinamakan ummah di
kalangan umat Islam.
Perjuangan ini mestilah memenuhi
ciri-ciri dan acuan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Ianya tidak direka dan
tidak boleh dibuat-buat, maka Allah SWT meletakkan agenda tarbiah kepada
perjuangan ini. Perjuangan ini mempunyai
ciri-ciri sebagaimana yang dilakukan oleh nabi-nabi dan rasul-rasul ASTS. Semua
nabi dan rasul melaksanakan perjuangan mereka mengikut agenda yang ditetapkan
oleh Allah SWT.
Agenda mengapa manusia ditugaskan
di atas muka bumi:
1. Supaya mereka mesti beribadat
kepada Allah
2. Supaya mereka berpolitik (memerintah) di bumi Allah
3. Supaya mereka menunaikan
amanah melaksanakan hukum Allah SWT.
1. Dalam perkara beribadat
dinyatakan oleh Allah SWT:
“Dan tidaklah Aku
ciptakan jin dan manusia di atas muka bumi ini melainkan supaya mereka itu
mengabdikan diri kepada Aku yakni kepada Allah.”
Mengabdikan diri bermakna
melakukan syi’ar ibadat dikenali dengan upacara-upacara
ibadat. Melakukan ibadat sembahyang yang berkait dengan ruh dan jasad,
melakukan ibadat puasa yang berkait membina kekuatan ruhani melalui jasad,
zakat dan haji berkait dengan ibadat harta-benda dan kaitan harta-benda dengan
ruhani manusia.
Mengabdikan diri dengan tunduk
dan patuh kepada peraturan Allah SWT. Sebagaimana makhluk-makhluk lain yang
berada di alam ini patuh kepada peraturan Allah. Malaikat-malaikat di langit,
bintang-bintang cakrawala, awan-awan yang berarak di atas kepala kita,
makhluk-makhluk yang ada di bumi, bumi yang terbentang, lautan yang luas dan segala isi bumi dan lautan semuanya menyerah diri kepada
Allah SWT.
Firman Allah Ta’ala:
“Adakah mereka itu mahu kepada
yang lain daripada ajaran Allah pada Islam, semua yang ada di langit dan yang
ada di bumi menyerah diri kepada Allah secara taat dan secara paksa.”
Ada makhluk
menyerah diri kepada Allah secara paksa mengikut undang-undang tabi’. Matahari,
bintang dan cakrawala beredar secara tabi’, musim-musim yang berada di
sekeliling kita yang merupakan peraturan alam yang mempengaruhi kelahiran
manusia dan perkembangan kelahiran bahan-bahan yang perlu bagi manusia di atas
muka bumi.
Ada kepatuhan secara taat melalui
akal yang diberi kepada makhluk itu iaitu makhluk manusia. Semua makhluk ini
mesti menyerah diri kepada Allah dengan makna tidak ada pilihan dalam perkara
yang ditetapkan oleh Allah SWT kerana Allah menamakan manusia dengan hambanya.
Yaibadi – wahai
hamba-hamba Ku
Kulliibadi – katalah
wahai hamba-hamba Ku
Allah tidak menamakan manusia
dengan rakyat, Allah tidak menamakan manusia dengan warganegara, dengan
pegawai, dengan pekerja atau boroh. Tetapi Allah
menamakan dengan hamba. Ini bermakna kita tidak ada pilihan, tidak boleh
ingkar, wajib ikut segala perintah dan larangan Allah SWT.
Mengabdikan kepada
Allah hanya boleh direalisasikan oleh orang-orang beriman.
Firman Allah Ta’ala:
“Tidak harus bagi
seseorang lelaki yang beriman dan seseorang perempuan yang beriman apabila
Allah membuat suatu keputusan dan rasul yang dipilih oleh Allah membuat
keputusan, tidak harus baginya membuat pilihan yang lain.”
Itulah makna nilai diri kita
kepada Allah SWT. Kita tidak boleh mengadakan undang-undang sendiri, peraturan
sendiri atau ikut kemahuan kita dalam perkara dinaskan oleh Allah SWT.
Sekiranya ktia meminda peraturan ini atau memilih peraturan lain kita akan
menerima kegagalan.
Sebagai contoh, kenderaan yang
memakai minyak disel ditukar kepada minyak petrol maka kenderaan itu akan
rusak. Begitu juga kereta yang memakai minyak petrol jika ditukar kepada minyak
disel kereta itu akan rusak. Ini peraturan yang dibuat oleh manusia, peraturan
Allah SWT jauh lebih hebat.
Kemusnahan yang berlaku dalam
dunia hari ini akibat kemungkaran, gejala-gejala social, jenayah yang menular
dengan hebat, berlaku cuaca dunia yang tidak menentu kerana manusia memilih
peraturan-peraturan yang lain daripada Allah dan tidak mengabdikan diri kepada
Allah.
“Telah zahir keburukan di darat
dan di laut hasil kerja yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia sendiri
supaya dirasakan kepadanya sebahagian daripada akibat perbuatan mereka,
mudah-mudahan mereka kembali kepada Allah”
Kemusnahan yang berlaku
dalam masyarakat kerana tidak mengabdikan diri kepada Allah, tuhan yang
menjadikan manusia itu sendiri. Tanggungjawab mengabdikan diri kepada Allah
mesti ditunai dengan betul.
2. Kewajipan
politik
Allah Ta’ala mengisytiharkan
manusia adalah makhluk politik semenjak Allah mencipta nabi Adam AS. Bahkan
sebelum diciptak nabi Adam AS Allah Ta’ala mengisytiharkan kepada malaikat:
“Dan ingatlah ketika tuhan mu
berfirman kepada malaikat sesungguhnya Aku akan jadikan atas muka bumi itu
khalifah.”
Perkataan
khalifah bermakna menunaikan tanggungjawab yang diperintah oleh Allah untuk
mentadbir muka bumi termasuk diri manusia dan masyarakat mereka, termasuk
bahan-bahan yang digunakan oleh manusia untuk memakmurkan bumi. Inilah makna
khalifah yang dihuraikan oleh ulamak antaranya Ibni Khaldum dalam kitab
al-Mukaddimah, al-Mawardi dalam kitab al-Ahkami Sultaniah dan ulamak-ulamak
lain. Mereka mengatakan menegak agama dan siasah politik dunia dan mentadbir
dunia dengan agama.
Sabda Rasulullah SAW dalam hadis
sahih:
“Adalah Bani Israil
yang menjadi pemimpin siasah politik mereka ialah nabi-nabi ASTW.”
Nabi-nabi ASTW
berdakwah mengajak manusia supaya mengabdikan diri kepada Allah dan mengajak
kerajaan di zaman masing-masing supaya memerintah dengan hukum Allah SWT. Sama ada rasul-rasul itu menang
dan menjadi ketua negara atau rasul-rasul itu tidak sempat dengan kemenangan
dan menjadi pemimpin pembangkang di zaman masing-masing. Nabi Daud, nabi
Sulaiman dan nabi kita Muhamad SAW menjadi ketua negara. Pembangkang ialah
penentang kerajaan di zaman masing-masing.
Rasul-rasul bukan
sekadar menjadi imam sembahyang tetapi dalam masa yang sama menjadi pemimpin
untuk menentang kerajaan di zaman masing-masing. Jadi mereka sama ada pemimpin
kerajaan atau pemimpin pembangkang dalam istilah politik hari ini.
3. Tanggungjawab amanah yang
dinyatakan oleh Allah dalam al-Quranul Karim. “Sesungguhnya kami telah
membentangkan amanah kepada langit bumi bukit-bukau dan gunung-ganang. Semuanya
enggan dan takut memikulnya tetapi manusia sanggup memikulnya, sesungguhnya
manusia itu zalim lagi jahil.”
Hanya manusia yang sanggup
memikul, makhluk lain tidak sanggup kerana manusia Allah jadikan unsur ruhani,
unsur kebendaan dan unsur akal fikiran yang boleh menguasai makhluk-makhluk
yang lain. Hanya manusia yang layak memikulnya dengan
syarat manusia itu menerima peraturan Allah dengan amanah. Maka nabi-nabi dan
rasul-rasul menerima ajaran Allah dengan amanah untuk menunaikan ajaran Allah
atas muka bumi. Amanah yang paling besar ialah amanah memimpin negara.
Disebut dalam hadis riwayat
Bukhari dan Muslim:
“Sedang kami berada dalam majlis
nabi SAW, ketika nabi SAW sedang bercakap bersama dengan sahabatnya datang
seorang ‘Arabi, seorang Arab dari kawasan pendalaman yang jauh dari Madinah
yang tidak ada kesempatan menghadiri majlis ilmu bertanya: “Wahai Rasulullah
bilakah berlakunya kiamat?
Nabi tidak melayan soalan itu,
meneruskan percakapan. Ada kalangan sahabat menganggap Rasulullah tidak senang
dengan orang badwi itu kerana menyoal tidak beradab dan ada yang menyatakan
mungkin Rasulullah tidak dengar soalan itu.
Tiba-tiba nabi SAW bersabda:
“Mana dia orang yang bertanya tentang kiamat?”
Lalu orang badwi itu menjawab:
“Ini saya wahai Rasulullah.”
Jawab Rasulullah SAW: “Apabila dihilangkan amanah.”
Lalu dia bertanya: “Bagaimana
menghilangkan amanah itu.”
Jawab nabi SAW:
“Apabila diletakkan al-amru, urusan kepada orang yang bukan ahlinya.”
Urusan yang besar ialah
urusan politik, urusan memerintah negara. Tidakkah Allah Ta’ala berfirman:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menunaikan amanah kepada orang yang
ahli dan apabila kamu menghukum, memerintah dan mentadbir di kalangan manusia
hendaklah adil. Allah menyuruh kamu dengan ajaran yang sebaik-baiknya
sesungguhnya Allah itu maha mendengar lagi maha melihat.
Wahai orang-orang yang beriman
taatilah Allah, taatilah rasul dan ulil amri yang memimpin dan memerintah
negara selagi ulil amri mentaatilah Allah dan rasul. Jika sekiranya kamu
bertelingkah dengan sesuatu perkara kembalilah kepada Allah dan rasul sekiranya
kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, itulah penyelesaian yang
sebaik-baiknya.”
Nabi kita Muhamad SAW
telah mendirikan sebuah negara yang dibangun di atas asas acuan yang ditetapkan
oleh Allah SWT. Negara yang berjaya memimpin dunia, berjaya mewujudkan kuasa besar
dunia yang adil baik untuk seluruh manusia yang tidak pernah berlaku sebelum
daripadanya dan tidak mampu dilakukan oleh kuasa besar dunia selepas
daripadanya.
Negara yang menegak Islam menjadi
agama yang berdaulat, agama yang memerintah bukan agama yang diperintah.
Apabila Islam ditegakkan bangsa Arab, generasi awal Islam yang dilahir di
tengah padang pasir di bumi Mekah yang kering kontang, bumi yang tidak tamadun
dan kalangan buta huruf, dikurniakan kepadanya al-Quranul Karim, kitab makjizat
dibentuk dan ditarbiah oleh Allah SWT melahirkan satu umat yang telah berjaya
menjatuhkan dua kuasa besar dunia, Farsi dan Rome. Ini menggerunkan dua kuasa
besar yang lain, China dan India.
Allah Ta’ala
menyempurnakan agama-Nya: “Pada hari ini orang-orang kafir telah berputus asa
daripada agama kamu, mereka tidak kalah dengan Islam maka jangan kamu takut
kepada mereka, takutlah kepada Allah. Pada hari ini Aku telah sempurnakan agama
kamu dan Aku telah cukupkan untuk kamu nikmat Aku dan Aku telah redha Islam
menjadi agama kamu.”
Ketika pemimpin-pemimpin Qurais
takut menerima Islam, kalangan bangsawan gerun menerima Islam dan kalangan ahli
kitab yang tahu kitab tidak berani menerima Islam. “Dan mereka berkata jika
sekiranya kami ikut petunjuk Islam yang kamu bawa ini wahai Muhamad nescaya
Mekah akan dijahnamkan.”
Mekah akan diserang dan hancurlah
Mekah ini. Adakah mereka tidak sedar Allah yang meletakkan mereka di bumi Mekah
yang kering kontang dibawa kepada mereka segala buah-buahan yang datang dari
seluruh pelusuk dunia. Allah telah meletakkan satu strategi yang menakjubkan.
Meletakkan bumi Mekah pengembaraan waktu sejuk dan waktu panas.
Mekah menjadi pusat dagangan, pusat
ekonomi, pusat politik dan pusat agama serta merupakan pengkalan dagangan
kepada Eropah dan negeri-negeri sekitarnya dan menghubungkan dengan Yaman dan
negeri-negeri sebelah timor. Mekah menjadi pengkalan diatur oleh Allah Ta’ala
dengan cara yang menakjubkan.
Allah memberi rezeki
yang melimpah, ditegakkan kuasa pemerintahan yang bermula dengan membangun
manusia. Agenda membangunkan Islam dengan membangunkan manusia. Berbeza dengan
ideologi-ideologi yang lain bila hendak membangun negara mesti dengan ekonomi.
Jika tidak ada ekonomi negara tidak boleh dibangunkan.
Kita berbeza dengan
pihak lain. Kita mengatakan untuk menegak dunia mesti membangun manusia itu
sendiri, dengan iman, dengan ilmu, dengan aqidah dan dengan akhlak yang mulia.
Kemudian manusia boleh mentadbir, kelemahan dibena menjadi kekuatan.
Jika manusia tidak ada
iman akhlaknya runtuh, ada duit banyak akan dihabiskan, ada harta dirosakkan
harta, ada hasil bumi tidak memberi apa-apa faedah.
Oleh itu mestilah
dimulakan dengan pembangunan manusia.
KULIAH YT
No comments:
Post a Comment