Walaupun
penjajah menghentam Islam begitu rupa, dikoyak dan dirabak, Islam tidak boleh
dimatikan. Cahaya Islam berkembang di seluruh pelusuk dunia. Lahirnya
parti-parti Islam menjadi mata rantai yang memperjuangkan Islam. Namun Allah Ta’ala tidak jadikan perjuangan
Islam berlaku dengan begitu sahaja, ia mesti melalui tarbiah.
Allah Ta’ala
berkuasa mengubah alam dengan KUN FAYAKUN. “Sesungguhnya urusan Allah bila
hendak mencipta sesuatu dia cipta jadi, jadi sekelip mata.”
Tetapi Allah
Ta’ala jadikan urusan manusia mesti melalui ilmu dan tarbiah. Ilmu ialah
pengetahuan dan tarbiah ialah mendidik. Ilmu masuk dalam hati dan hati
memerintah manusia supaya melaksanakan perintah Allah Ta’ala dengan ikhlas
kerana Allah Ta’ala.
Nabi-nabi
ASTS diberi ilmu dan tarbiah. Allah Ta’ala memberi ilmu kepada nabi Adam AS.
Setelah Adam dicipta Allah Ta’ala mengisytiharkan Adam akan menjadi khalifah di
bumi. Tidak secara otomatik Adam terus bergolek ke bumi. Tidak secara otomatik
Allah Ta’ala jadikan istana untuk Adam. Allah Ta’ala
membawa Adam ke syurga untuk ditarbiah.
Di
syurga Adam ditarbiah dengan makanan dan minuman yang lazat dalam syurga.
Ditarbiah dengan pakaian yang indah dan bergaul dengan isterinya, Hawa dalam
syurga. Dalam masa yang sama, “Jangan dekat dengan pokok ini.” Dekat pun tidak
diizinkan apatah lagi memakan buahnya.
Pokok yang
ada di dunia bukan semua buahnya boleh dimakan. Ada digunakan untuk racun
serangga dan ada digunakan untuk bahan-bahan yang lain. Bukan semua buahnya
boleh dimakan. Ada pantang dan larang.
Allah
Ta’ala mentarbiahkan Adam dengan kelalaian melakukan kesalahan. Tarbiah lebih
berkesan dengan melakukan kesalahan. Tuhan jadikan manusia jika membuat kesilapan
sukar dilupkan. Allah Ta’ala mentarbiah Adam dengan melakukan kesalahan memakan
buah yang diharamkan. Akibatnya Adam, Hawa dan Iblis dihantar ke bumi. Dihantar ke bumi tanpa pakaian dan tidak ada bekalan apa-apa
pun. Di bumi cari sendiri makanan dan pakaian. Itu tarbiah.
Adam AS
turun ke bumi menjadi khalifah dan Adam menjadi manusia yang insaf dan
bertaubat kepada Allah Ta’ala, berbeza dengan iblis, menjadi makhluk yang
sombong dan takabur yang tidak mahu mengaku salah. Taubat
dan inabah adalah tarbiah.
Di sini
Allah Ta’ala jadikan sebab turun ayat Quran dengan kesilapan yang dibuat oleh
nabi SAW. Nabi SAW cerita dia membuat kesilapan.
“Masam
mukanya kerana datang seorang buta yang menegar nabi.”
Patutnya
ayat ini desembunyikan, tetapi nabi mendedahkan kesilapannya. Ini tarbiah
kepada nabi SAW. Nabi Nuh ditarbiah
selama 950 tahun.
Ceramah nabi Nuh hanya
sepuluh orang dan kadang-kadang lima belas orang datang mendengar. Sudahlah kehadiran
sedikit, mereka yang datang pula menutup kepala dengan pakaiannya dan ada pula
yang menutup telinga. Kehadiran mereka untuk mempersendakan nabi Nuh AS.
Direjam nabi Nuh, teruk daripada gas lagi, tetapi nabi Nuh meneruskan
ceramahnya. Gas dan water ganon ini kecil sahaja, nabi Nuh direjam hingga
pengsan. Akhirnya Allah Ta’ala memberi kemenangan kepada nabi Nuh AS.
Nabi Ibrahim
AS ditarbiah dengan ilmu daripada Allah dan dengan perjuangan untuk menambah
ilmu dan iman.
Firman Allah
Ta’ala:
”Sesungguhnya
orang-orang beriman itu bila disebut Allah dia berasa takut dan banyak
berzikir. Bila dibaca ayat-ayat Allah Ta’ala imannya bertambah.
Allah Ta’ala
berfirman:
“Orang-orang
apabila diberitahu kepadanya musuh ramai berkumpul hendak menyerang lalu iman
mereka bertambah.”
Tarbiah
dengan ilmu dan tarbiah dengan perjuangan menghadapi cabaran termasuklah
kezaliman yang dilakukan oleh musuh.
Nabi
Ibrahim AS dicampak dalam api, dihalau oleh bapanya sendiri dan dihalau oleh
kerajaannya sendiri. Nabi Ibrahim behijrah ke Palastin, ke Mesir, balik ke
Palastin dan hidup dalam buangan di Palastin. Nabi Ibrahim tidak sempat melihat
kejayaan.
Nabi
Musa AS dilahirkan di bawah kerajaan yang paling zalim dalam sejarah manusia.
Rajanya, Firaun mengaku menjadi tuhan. Dia melakukan apa sahaja kezaliman
dengan menggunakan sihir. Nabi Musa dilahir dalam keadaan yang menyedihkan,
disembunyikan dalam dapur yang apinya masih bernyala. Dihanyut dalam sungai
ketika masih bayi. Musa dijadikan anak angkat Firaun. Ini menunjukkan Allah
Ta’ala meletak nabi Musa dalam kawasan musuhnya. Tetapi iman nabi Musa tidak
terjejas. Ini tarbiah oleh Allah Ta’ala kepada nabi Musa.
Apabila
Firaun mengetahui iman nabi Musa, nabi Musa membuang diri ke Madyan beberapa
tahun. Kemudian balik semula ke Mesir, diperintah oleh Allah Ta’ala untuk
bertemu dengan Firaun. Jika hendak berjuang kena berjumpa dengan Firaun.
Sekarang kalau hendak
berjuang kena masuk parlimen. Tidak boleh memakai surat post laju, mesti masuk
parlimen.
Zaman ini perjuangan ada caranya. Ada golongan yang hendak mendirikan khalifah
tetapi aktivitinya hanya menyebar risalah, angkat sepandut dan tidak diketahui
siapa calon khalifahnya. Dia mesti berdepan dengan pemerintah menghadapi
cabaran. Perjuangan yang penuh dengan onak dan duri, bukan dihampar dengan
permaidani merah dan ditabur dengan bunga-bungaan.
Nabi Daud
dan nabi Sulaiman berjaya menegakkan negara. Menang pun
diuji lagi. Untuk mencapai kemenangan nabi Daud terpaksa mengikut Talut yang
menjadi pemimpin. Allah Ta’ala menyebut bagaimana tarbiah nabi Daud dan
kumpulannya:
“Setelah
Talut melangsungkan perjalanan dalam pasukan nabi Daud, Talut berkata kamu akan
diuji dengan sebatang sungai, setelah mereka mengharungi padang pasir yang luas
dan habis segala bekalan minuman dan makanan, Allah Ta’ala mewahyukan kepada
mereka kamu akan diuji dengan sebatang sungai.
Bila
sampai di sungai ini jangan minum banyak, minum hanya secebak sahaja walaupun
dalam keadaan yang terlalu lapar dan dahaga.”
Para ulamak
tafsir mengatakan jumlah mereka 80 ribu. Bila sampai di
sungai 76 ribu minum sebanyak-banyaknya, tidak mengikut arahan. 4 ribu sahaja
yang mengikut arahan. Sepatutnya yang minum banyak kuat, tidak, rupanya
mereka yang minum banyak jadi penakut. Mereka yang minum sedikit yakin bertemu
dengan tuhan mereka, sama ada menang atau mati syahid dan masuk syurga. Lalu
mereka berkata berapa banyak kumpulan kecil boleh mengalahkan pasukan yang
besar dengan izin Allah dan Allah bersama dengan orang yang sabar.
Tuhan
tidak tanya mengapa kamu tidak menang, tetapi tuhan akan tanya kamu membuat
kerja atau tidak, kamu berjihad atau tidak. Kerja sepanjang masa perlu
dilakukan terutama dalam sistem demokrasi ini. Jangan saat-saat akhir baharulah
hendak kerja kuat. Ini tidak betul.
Nabi Musa
berdoa kepada Allah SWT.
“Dan
berkatalah Musa, berdoa kepada Allah dan nabi Harun mengaminkan, wahai Tuhan
kami Engkau memberi kepada Firaun dan penyokong-penyokongnya serta pembesar-pembesarnya
perhiasan dunia dan harta-benda yang banyak, mereka menyesatkan orang dengan
kekayaannya, wahai Tuhan binasalah mereka dan harta-benda mereka, sebenarnya
mereka tidak beriman melainkan mereka diajar dengan melihat azab yang pedih.”
Tuhan menjawab:
“Wahai
Musa dan Harun doa kamu berdua diperkenankan, syaratnya kamu mesti
BERISTIQAMAH, tetap berada dilandasan yang betul, jangan kamu ikut jalan
orang-orang yang tidak mengerti.”
Ada
orang tidak faham perjuangan, hendak menang cepat. Hari ini berjuang besok
menang. Atau pun tidak sabar kerana lambat menang lalu lari daripada
perjuangan.
Para ulamak
mengatakan jarak tempoh di antara Tuhan mengatakan doa kamu diperkenankan
dengan Firaun ditenggelamkan dalam laut ialah 40 tahun.
Bagaimana kita hendak menang kalau buat kerja seminggu sahaja.
Allah
Ta’ala mentarbiahkan nabi kita Muhamad SAW dan generasi awal selamat 23 tahun,
13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah. Ketika di Mekah, sahabat-sahabat
yang diseksa mengadap nabi SAW di bawah bayangan Ka’abah, Khabab berkata:
“Mengapa Rasulullah tidak berdoa kepada Allah Ta’ala, doa seorang rasul
diperkenankan supaya dilaknat mereka yang zalim itu.”
Jawab
Rasulullah SAW:
“Wahai Khabab
sesungguhnya umat di zaman dahulu ada di anatara mereka yang dibelah jasad
dengan gergaji terbelah dua, ada yang ditanam ke dalam bumi dan ada yang
disekat dengan sikat besi pada jasad mereka yang meluruhkan kulit dan urat
hingga sampai ke tulang. Mereka bersabar. Demi sesungguhnya Allah akan
menyempurnakan urusan agama, Islam akan menang. Bila Islam menang berlakulah
keamanan, orang yang musafir dari Kanaat sampai ke Hadaral Maut tidak takut
lagi kepada penjenayah, perompak dan penyamun.”
Bila hukum
Qisas dan Hudud dilaksanakan negara aman, perompak dan penyamun takut melakukan
jenayah. Mereka hanya takut kepada Allah dan serigala yang mengganggu kambing.
Penjenayah sudah tidak ada. Tetapi kamu adalah orang-orang yang gopoh sangat.”
Tidak
boleh gopoh. Allah Ta’ala menghendaki perjuangan Islam satu perjuangan yang
masak dan matang, bukan perjuangan yang mentah yang tidak matang. Tujuan kita
ialah menumbangkan jahiliah dan menegakkan Islam dengan adil selepas jahiliah.
Jika
tidak ditarbiah, kita menumbang jahiliah dan kita naik menjadi jahiliah juga.
Jadi tarbiah diperlukan. Kita telah ditarbiah dengan merasakan kezaliman orang terhadap
kita supaya tidak melakukan kezaliman terhadap orang lain. Jadi bila kita
diberi peluang memerintah kita tidak boleh zalim kerana kita sudah menjadi
orang yang sabar.
Firman Allah
Ta’ala:
“Allah
Ta’ala berjanji kepada orang-orang beriman yang percaya sungguh-sungguh dan
mengerjakan amal yang solih, Allah berjanji akan menjadikan golongan ini
golongan yang memerintah bumi. Dan menjadikan agama Islam agama yang diredha
berkuasa memerintah dan Allah tukarkan keadaan daripada ketakutan kepada
keamanan, mereka mengabdikan diri kepada Aku, tidak menyengutukan Aku dengan
sesuatu yang lain. Sesiapa yang syirik, kufur selepas itu, mereka itulah
orang-orang yang fasik.”
Itu janji
Allah. Suatu perkara yang perlu
difahami, seringkali di kemuncak perjuangan, Allah Ta’ala jadikan kita kemuncak
keimanan dan lawan kita akan melakukan kemuncak kezaliman. Bila kezaliman dan keimanan
sampai ke puncaknya maka Allah Ta’ala akan memberi kemenangan kepada pihak yang
beriman.
KULIAH YT
No comments:
Post a Comment