Ramai yang membuat kenyataan sama
ada berbentuk lisan atau tulisan apabila dikemukakan permohonan kebenaran
daripada Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 49(1), mencadangkan Rang
Undang-undang Persendirian, bernama Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang
Kuasa Jenayah (Pindaan) 2016.
Cadangan
pindaan melibatkan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah Jadual
Kesembilan Undang-Undang dibawah kuasa Kerajaan Negeri dan Raja Raja, supaya
boleh menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh Undang-Undang Syariah yang
sebenar. Cadangan pindaan adalah sekadar kemampuan yang memerlukan suara
majoriti mudah lebih satu undi yang hadir di parlimen sahaja. Pindaan
tidak melibatkan hukuman yang berat seperti hukuman mati yang mewajibkan
pindaan 76(a) daripada Perlembagaan yang berhajat kepada majoriti 2/3 yang
belum dibolehkan.
Sebenarnya
Rang Undang-Undang tersebut bukannya Undang-Undang Hudud, namun ramai yang
melabelkannya "Hukum Hudud" yang menjadi senjata lama untuk menyerang
PAS sejak tahun 1950-an lagi, sehingga gegak gempita dan riuh rendah. Mereka
melabelkan semua undang-undang Jenayah Hukum Syariat Allah, daripada
Qisas, Hudud sehinggalah Takzir dan terkini Mahkamah Syariah, semuanya
dimasukkan ke dalam bakul Hudud yang sangat dibenci sehingga ke dalam lubuk
hati dan masuk ke tulang hitam.
Walaupun
Rang Undang-Undang ini bukan Undang-Undang Hudud, tetapi lebih bersifat
“Prasarana Mahkamah Syariah” yang membuka konsep Islam yang sebenar yang wajib
ditashihkan daripada penafsiran Surahanjaya Reid yang dibentuk oleh penjajah
dahulu menyebabkan salah faham terhadap Islam. Ia sepatutnya dipinda, kerana
kita sudah merdeka mencecah setengah abad.
Tujuan
penjajah ialah untuk menutup keadilan Islam secara umum, serta
menidakkan konsep mendidik masyarakat yang wujud dalam Sistem Kehakiman Islam,
bukannya seperti kehakiman ciptaan penjajah yang lebih bersifat menghukum
dan mendera. Pindaan yang dicadangkan itu, temasuk dalam perkara umum yang
wajib diperjuangkan oleh penganut Islam tanpa mengira fahaman politik dan
kedudukannya dalam kerajaan atau pembangkang, termasuk semua lapisan masyarakat
Islam yang berada di luar Parlimen. Sehingga DYMM Yang di-Pertuan Agong
meletakkan dalam titah perasmian Dewan Rakyat pada bulan Mac yang baru berlalu
supaya menaikkan taraf Mahkamah Syariah.
Sepatutnya
dibincangkan berkenaan Mahkamah Islam yang berkonsepkan iman dan akhlak dalam
perkara kehakiman dan keterangan, seperti syarat-syarat hakim yang adil dari
segi peribadinya, bukan sahaja ilmu perundangannya, bahkan termasuk jasad, roh
dan akalnya, beriman dan tidak fasik. Syarat-syarat saksi juga beriman dan
tidak fasik, bermaksud berakhlak mulia dan bermaruah tinggi. Betapa Islam
meletakkan dosa besar terhadap hakim dan saksi yang zalim sehingga diseksa
dalam kubur dan neraka, walaupun terlepas bebas di alam dunia ini. Elemen
inilah yang tidak ada dalam undang-undang ciptaan manusia yang banyak
kelemahannya.
Tiba-tiba
semuanya menjadi Hukum Hudud pula yang menjadi sasaran, walaupun
termasuk dalam urusan negeri dan raja-raja dan bagi penganut Islam sahaja.
Sepatutnya diketahui perbezaan hukum Islam
secara umum, yang sangat beradab dan rahmat, perbezaan hukuman sebatan yang
sama sebutan perkataannya dalam undang-undang Islam dan undang-undang yang
lain, tetapi Islam berbeza dengannya kerana syarat-syarat yang sangat ketat,
namun ilmu berkaitannya ditutup rapat dan disekat ilmu dan pemahamannya dengan
akal yang waras. Adapun undang-undang bunuh yang tidak ada
kuasa bagi Mahkamah Syariah, seperti hukuman mati dijerut leher
dengan tali gantung yang sangat kuno atau purbakala, begitu juga hukuman
sebatan yang sangat keras dan kejam sehingga cacat dan boleh menyebabkan
kematian, ditutup mulut, disumbat telinga dan dikunci akalnya, kerana
diyakini bahawa kalangan bukan Islam akhirnya lebih memilih undang-undang
Islam, inilah sebenarnya yang dirasa takut tanpa ketahuan dan cemburu buta.
Perlembagaan
telah menetapkan urusan agama di bawah bidang kuasa DYMM Raja-Raja dan Kerajaan
Negeri. Perlembagaan juga menegaskan bahawa bahawa Mahkamah Syariah mempunyai
bidang kuasa terhadap penganut agama Islam sahaja, Mahkamah Syariah tidak
ada kuasa terhadap penganut bukan Islam (Jadual kesembilan II). Mengapa
kalangan bukan Islam menentang? Ada yang Islam juga
gila-gila menentang. Walaupun perkara ini di luar tajuk asas Usul Persendirian,
tetapi dijadikan hujah untuk merendahkan Mahkamah Syariah yang sepatutnya
dimuliakan. Di mana letaknya Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang
menegaskan (1) Islam ialah agama bagi persekutuan, tetapi agama-agama lain
boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
Tiba-tiba Makamah Syariah bagi penganut Islam lebih rendah kuasanya daripada
mahkamah paling rendah. Cukuplah masa setengah abad umat Islam dibodohkan.
Hanya
mereka yang buta Al-Quran melabelkannya Hukum Hudud ciptaan PAS, bahkan tidak
boleh dicipta oleh Nabi Muhammad SAW. Biarkan hanya mereka bersama penjajah
menentang Hukum Allah terus rela tenggelam bersama kejahilan dan kebebalan
mereka.
Walaupun PAS
telah memperkenalkannya melalui proses demokrasi suara majoriti umat Islam di
negeri-negeri Kelantan dan Terengganu sahaja, serta dipamerkan kepada umum
khususnya kalangan bukan Islam, dalam dan luar negara, namun masih ramai
kalangan penganut Islam yang buta Al-Quran mengulas dengan akal jahil agamanya.
Bagi
meraikan mereka yang jahil, khususnya jahil murakkab (tidak sedar dirinya jahil),
sehingga kini Undang-Undang Syariat Allah terpaksa ditangguhkan pelaksanaanya
dengan sebab mereka, walaupun mereka juga mengaku menganut Islam. Walaupun
sudah dilulus dan diwartakan di dua buah negeri Kelantan dan Terengganu, namun
belum berkuasa melaksanakannya kerana terhalang.
Sungguh
malang mereka yang menyerang dan menghalang Undang-Undang Hudud lebih
bersimpati terhadap penjenayah daripada mangsa individu dan mayarakat yang
malang, dalam masa yang sama terus menjadi menjadi khadam kepada penjajah
yang sudah keluar daripada tanah air tercinta ini.Tiba-tiba mereka pula
mengambil kerja penjajah.
Sangat
malang bagi penganut Islam yang tidak bersetuju menaikkan taraf Mahkamah
Syariah kerana menghina agamanya sendiri, maka apa ertinya menjadi
penganut Islam sekadar baka dan keturunan, yang tidak menjadikannya hujah
setelah meninggal dunia dan bertemu Allah, kerana termasuk dalam firman Allah:
وَمَنۡ أَظۡلَمُ مِمَّنِ ٱفۡتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًاۚ أُوْلَٰٓئِكَ يُعۡرَضُونَ عَلَىٰ رَبِّهِمۡ وَيَقُولُ ٱلۡأَشۡهَٰدُ هَٰٓؤُلَآءِ ٱلَّذِينَ كَذَبُواْ عَلَىٰ رَبِّهِمۡۚ أَلَا لَعۡنَةُ ٱللَّهِ عَلَى ٱلظَّٰلِمِين *ٱلَّذِينَ يَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ وَيَبۡغُونَهَا عِوَجٗا وَهُم بِٱلۡأٓخِرَةِ هُمۡ كَٰفِرُونَ
"Dan
tidak ada orang yang lebih zalim daripada orang-orang yang mereka-reka
perkara-perkara dusta terhadap Allah! Orang-orang yang demikian sifatnya akan
dibawa mengadap Tuhan mereka dan pada hari itu akan berkatalah saksi-saksi
(dari malaikat-malaikat, Nabi-Nabi dan anggota-anggota tubuh mereka sendiri):
Inilah orang-orang yang membuat-buat dusta terhadap Tuhan mereka. Ketahuilah
(sesungguhnya) laknat Allah tertimpa kepada orang-orang yang zalim. Orang-orang
yang menghalang dirinya sendiri dan orang lain dari jalan agama Allah dan
berusaha supaya jalan itu menjadi bengkok terpesong, sedang mereka pula
ingkarkan hari akhirat." (Surah Hud, ayat 18-19)
Kepada
kalangan bukan Islam, jagalah lidah dan tangan kamu daripada melampau sempadan
kerana Allah telah memberi peringatan kepada umat Islam:
لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَٰوَةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلَّذِينَ أَشۡرَكُواْۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقۡرَبَهُم مَّوَدَّةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ قَالُوٓاْ إِنَّا نَصَٰرَىٰۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنۡهُمۡ قِسِّيسِينَ وَرُهۡبَانٗا وَأَنَّهُمۡ لَا يَسۡتَكۡبِرُونَ ٨٢ المائدة .
"Demi
sesungguhnya Engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali
permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan
orang-orang musyrikin dan demi sesungguhnya Engkau akan dapati orang-orang yang
dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang
yang berkata: Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani yang demikian itu,
disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan
kerana mereka pula tidak berlaku sombong." (Surah Al-Maidah, ayat 82)
Kepada sesiapa
yang bersilat kata-kata dan tulisan, kononnya hanya menentang Hudud, bukanya
bermusuh terhadap Islam dan umatnya. Allah Tuhan kami yang Maha Esa menetapkan
setiap perkara Islam adalah bersambung tanpa dapat dipisahkan, kerana Allah
berfirman:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ
"Hai
orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya,
dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu
musuh yang nyata bagimu." (Surah Al-Baqarah, ayat 208)
Ketahuilah
bahawa memisahkan mana-mana Hukum Islam daripada ikatan Islamnya adalah
langkah-langkah syaitan.
"BERISTIQAMAH
HINGGA KEMENANGAN"
ABDUL HADI
AWANG
Presiden
PAS
No comments:
Post a Comment