Khusus buat pengundi
beragama Islam, hari ini Allah pilih kalian untuk menjalankan satu lagi
kewajipan. Kalian akan bergerak ke pusat pengundian. Kalian akan dibiarkan
seorang diri, melakukan keputusan untuk masa depan agama dan negara. Tiada
sesiapa yang melihat, tiada sesiapa yang tahu melainkan Allah dan malaikat-Nya.
Sedarlah ia bukan sekadar
menconteng kertas semata-mata, bukan jua sesuatu yang bersifat duniawi sahaja,
tetapi ia berkait dengan perintah tuhan kepada hamba-Nya yang beriman. Ia
kewajipan yang akan disoal hari akhirat kelak.
Saya pasti kalian sedang
berpuasa ketika ini. Kerana kalian tahu puasa itu wajib. Tapi bagaimana kalian
tahu ianya wajib? Kerana Ulama yang menyatakan sedemikian setelah mereka
meneliti nas al-Quran dan Hadis. Ayat menyatakan wajib berpuasa adalah:
Wahai orang-orang yang
beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang
dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." [Al-Baqarah:183]
Kalau ia bukan dari
al-Quran atau Hadis, maka tidaklah wajib kalian berpuasa. Kerana Islam ini
paksinya dua ini sahaja. Tiada siapa boleh katakan ini wajib itu haram, tanpa
bersandar kepada kedua paksi ini.
Walaubagaimanapun,
al-Quran tidak hanya menyatakan kewajipan berpuasa, sebaliknya banyak lagi
kewajipan yang lain yang perlu ditunaikan. Berkenaan pengundian, Allah turut
nyatakan dalam al-Quran yang sama:
Sesungguhnya Allah menyuruh
kamu supaya menyerahkan segala jenis
amanah kepada yang selayakanya."
[Al-Nisa:58]
Dalam ayat ini tuhan perintah
supaya diberikan amanah kepada mereka yang selayaknya. Amanah yang dimaksudkan
bukan amanah dari manusia, tetapi amanah dari Allah. Amanah Allah kepada
pemimpin telah dinyatakan sendiri oleh-Nya, juga dari al-Quran yang sama:
Iaitu mereka (umat Islam)
yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka;
1.mendirikan sembahyang,
2. memberi zakat, dan
3. mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar." [Al-Hajj:41]
Pemimpin yang layak
dimaksudkan oleh ayat adalah mereka yang melakukan tiga perkara;
1. solat,
2. zakat dan
3. amar maaruf mahi mungkar.
Hakikatnya, kewajipan
tidak terhad kepada tiga itu sahaja, tetapi ia adalah simbolik kepada tiga
peranan utama pemimpin iaitu mengambil berat soal:
1. ibadat,
2. ekonomi dan
3. segala ajaran yang terkandung dalam agama Islam.
Justeru hari ini, pilihlah
pemimpin yang menjalankan amanah Allah ini. Jangan sekadar pilih mereka yang
mampu berikan kesenangan kepada kita, tetapi pilih mereka yang mampu selamatkan
kita dari murka Allah. Kerana kesenangan jua datang dari Allah.
Kalau pilih pemimpin kaya
raya sekalipun, hebat manapun idea ekonominya, baik manapun perilakunya, tetapi
jika tidak mencukupi tiga ciri di atas maka tetap tak akan mengundang redha
Allah. Jika Allah tidak meredhai, masakan dia akan berikan kesenangan.
Sejarah sudah lama
membuktikan, jika selama ini kita pernah mengundi mereka yang kita yakini dapat
beri kita kesenangan, apakah benar kita hidup senang sekarang? Apakah kita
tidak menghadapi tekanan hidup sekarang? Apakah kita tidak berhadapan krisis
kewangan sekarang? Apakah negara sudah maju sekarang?
Apa yang nyata, paras
kemiskinan semakin tinggi. Gaji sebesar 1500 pun dikategori miskin tegar.
Negara semakin ketinggalan ke belakang. Nyata kesenangan bukan dari manusia
yang kita pilih, tapi ia mutlak dari kehendak Allah.
Pilihlah mereka yang
dapat mencari perkenan Allah sehingga Dia sudi memberi rahmat-Nya kepada negara
kita. Pilihlah mereka yang mencari berkat dari Allah, bukan yang berlagak
seperti tuhan memiliki segala kesenangan. Pilihlah mereka yang benar-benar
jelas memperjuangkan agama Allah, yang mahu meninggikan syariah Allah kerana
mereka adalah kekasih tuhan.
FirmanNya lagi:
Wahai orang-orang yang
beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad),
maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga
kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang
beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang
dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada
celaan orang yang mencela." [Al-Maidah:54]
Jika Allah kasihkan mereka,
Nescaya Dia pasti akan kurniakan rahmat dan keberkatan kepada kita seandai
kekasihNya itu kita pilih sebagai pemimpin. Berimanlah dengan firman Allah:
Dan (Tuhan berfirman lagi):
Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan
membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, turun
dari langit dan keluar dari bumi." [Al-Aaraf:96]
Inilah intisari al-Quran
yang perlu kita hayati di samping kewajipan puasa yang juga dari sumber sama.
Semoga Ramadhan ini memberikan kita ketaqwaan yang tinggi untuk mengikut segala
perintah-Nya, dan meninggalkan segala larangan-Nya dari kitab ini. Semoga
Ramadhan ini memberi kita lebih keyakinan kepada Allah melebihi kepercayaan
kita kepada manusia.
Dengan al-Quran kita
berpuasa, dengan al-Quran jualah kita mengundi insya-Allah.
(Alang Ibn Shukrimun)
No comments:
Post a Comment