Wednesday, January 4, 2017

*SALAH FAHAM KHALIFAH*



Apa yang ramai faham, khalifah adalah ketua kerajaan bagi umat Islam. Ia seumpama raja atau presiden negara.
 
Sebenarnya, khalifah berasal dari bahasa arab (خليفة). Ia bermaksud pemerintah yang menggantikan Nabi pada urusan menjaga agama dan memerintah dunia dengannya. Pemerintahan Islam disebut sebagai khilafah (الخلافة اﻹسلامية).

Apa yang sebenarnya harus difahami, bukan semua pemerintah Islam disebut sebagai khalifah. Khalifah yang sebenar mestilah tidak menaungi satu negeri sahaja tetapi menjadi penaung bagi semua negara-negara Islam. Maksudnya Malaysia, Indonesia, Turki, Palestin dan lain-lain akan berkongsi seorang khalifah sahaja. Tidak boleh wujud di atas dunia ini lebih dari satu khalifah pada satu masa.

Konsep khalifah sangat berbeza dengan konsep pemerintahan negara hari ini. Ini kerana setiap negara hari ini memiliki ketua negara sendiri bergelar raja atau presiden. Mereka memerintah secara bebas dan tiada kaitan dengan negara lain. Tetapi dalam sistem khilafah, ketua negara akan digelar sebagai gabenor dan mereka semua tunduk di bawah khalifah yang satu. Mengikut amalan, khalifah berhak menentukan siapa yang akan menjadi gabenor mana-mana negara, juga berhak untuk memecatnya.

Apabila tertegak khalifah, semua umat Islam wajib berbaiah dengannya dan siapa yang menentang boleh diperangi. Sekiranya tiada khalifah, wajib umat Islam berjuang untuk menegakkannya. Peranan khalifah yang hilang juga perlu digalas setakat kemampuan yang ada oleh setiap komuniti Islam. Ini kerana antara tujuan utama manusia dicipta di bumi adalah untuk menjadi khalifah tuhan (al-Baqarah:30)

No comments:

Post a Comment