Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail dan beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.
Selepas semua makhluk
mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?”
Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagungan-Nya
“Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan kebesaran
dan keagungan-Nya sebagai Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak
mati.
Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s.
dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali kedua, lantas seluruh
makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang
Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.
Sekelian manusia hidup
melalui benih anak Adam yang disebut “Ajbuz Zanab” yang berada di hujung tulang
belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari
biji benih.
Semua manusia dan jin
dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana
pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib dan masa
depan yang akan mereka hadapi kelak.
Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau
manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak
amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi
yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan
anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
Setelah semua makhluk
dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam
kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.
Tiba-tiba langit yang
tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih
kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut
melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.
Kemudian matahari muncul
semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari
berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik
dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai
menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga
peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada
amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.
Terdapat satu telaga
kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar
yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya.
Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi
empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih
dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang
mengalir dari syurga.
Semua makhluk berada
bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari
Arasy. Mereka ialah:
ⅰ- Pemimpin yang adil.
ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak
dengan berkata “Aku takut pada Allah”.
ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan
bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir
air matanya kerana takutkan Allah.
Oleh kerana tersangat
lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa-apa
melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa dengan para Nabi”.
Maka mereka pun pergi
mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan
beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT.
Maka kumpulan besar itu
kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa
a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka
berjumpa Rasullullah SAW.
Jarak masa
antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.
Lalu berdoalah baginda
Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.
Selepas itu, terdengar
bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana
mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit,
turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 malaikat yang sangat besar (besarnya
sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat
sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.
‘Arasy ialah jisim nurani
yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang
yang sentiasa dipikul oleh 4 malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah
ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat
di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.
Kursi iaitu jisim nurani
yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 malaikat yang sangat besar.
Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin di tengah padang. Dalam bahasa
mudah ia umpama singgahsana yang terletak di hadapan istana.
Seluruh makhluk pun
menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu
berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke
leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil
untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib
dan ‘Atid / Kiraman Katibin.
Manusia beratur dalam saf
mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir dan munafik beratur
bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri
untuk dibezakan.
Umat yang pertama kali
dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab
adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara
pertumpahan darah.
Apabila tiba giliran
seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu
diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan
dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.
Semua makhluk akan
dihisab amalan mereka menggunakan satu
Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk
menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.
Acara ini disaksikan oleh
Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut
masing-masing dihisab.
Perkara pertama yang diminta
ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang
bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.
Ketika dihisab, mulut manusia
akan dipateri, tangan akan berkata-kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada
dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha
Bijaksana.
Setelah amalan ditimbang,
mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing
dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan
dibenarkannya menyeberangi titian sirat.
Syafaat Nabi Muhammad SAW
di akhirat:
ⅰ- Meringankan penderitaan
makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
ⅲ- Mengeluarkan manusia yang
mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
(Semua syafaat ini
tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)
Para nabi dan rasul serta
golongan khawas (golongan terpilih, golongan aulia) juga diberikan izin oleh
Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah
70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.
Setelah berjaya dihisab,
manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul
Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar
jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih
tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan
menyeberanginya.
Fudhail bin Iyadh berkata
perjalanan di Sirat memakan masa 15,000 tahun. 5000 tahun
menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin,
menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya
disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke
dalamnya.
Para malaikat berdiri di
kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang
meniti sirat, hanya seorang sahaja yang berjaya melepasinya. 999 orang akan
terjatuh ke dalam neraka.
Rujukan: Kitab Aqidatun
Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al-Fathani. Pustaka Nasional
Singapura 2004.
No comments:
Post a Comment