Tuesday, January 3, 2017

ISRAILIYYAT



Nabi Ayub AS ditimpa penyakit, anak-anaknya mati, hartanya hilang dengan satu bencana yang diturunkan kepadanya supaya nabi Ayub menjadi contoh orang sabar. Bencana penyakit yang menimpanya tidaklah sampai menjejaskan kedudukannya.

Ada cerita yang disebut dalam kitab Khasyasul Ambia dan disebut dalam setengah kitab tafsir termasuk kitab tafsir besar. Menjadi kelaziman kitab-kitab tafsir memasukkan cerita-cerita Israiliyyat.

Israiliyyat cerita-cerita orang Yahudi. Apabila orang Yahudi masuk Islam terutama golongan ulamak maka mereka membawa cerita-cerita ini di dalam masyarakat Islam. Ada ulamak-ulamak Islam yang belajar dengan ulamak-ulamak ahli kitab ini dan meletak semua cerita dalam kitab-kitab yang mereka tulis tanpa mengambil kira yang sahih dan yang palsu.

Oleh kerana itu kitab-kitab ini hendaklah ditahkib. Quran tidak ada cacat kerana dipelihara oleh Allah. Kitab hadis Sahih Bukhari dan Muslim diriwayatkan dengan sanad-sanad yang sahih dan tidak ada dhaif di dalamnya.

Imam Bukhari meriwayatkan ratusan ribu hadis. Hadis-hadis ini hadis pilihan sahaja yang dimasukkan di dalam kitabnya. Sebelum memasukkan hadis-hadis dia sembahyang istikharah dulu. Diikuti oleh Sahih Muslim.

Yang paling sahih selepas al-Quranul Karim ialah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Kemudian ulamak-ulamak lain yang meriwayat hadis mengikut syarat Bukhari dan Muslim. Hadis-hadis yang diriwayat oleh ulamak lain banyak hadis yang lemah dan ada juga hadis rekaan (dhaif). Paling teruk lagi ialah israiliyyat.

Israiliyyat ialah cerita-cerita yang dibawa oleh ulamak-ulamak Yahudi yang masuk Islam. Mereka membawa cerita-cerita yang ada dalam kitab-kitab mereka ke dalam masyarakat Islam. Ada kalangan ulamak memasukkan cerita-cerita ini dalam kitab mereka. Inilah yang menjadi masalah.

Mengikut kaedah ulumul Quran, ilmu al-Quranul Karim dan ilmu hadis maka israiliyyat ini dibahagi kepada tiga bahagian:

1. Israiliyyat yang wajib kita percaya iaitu israiliyyat yang sama dengan Quran dan ada dalam hadis-hadis yang sahih lagi mutawatir. Ada riwayat israiliyyat yang sama dengan Quran dan sama dengan hadis-hadis nabi SAW. Ini wajib diterima.

2. Israiliyyat yang kita kena tolak iaitu israiliyyat yang bercanggah dengan Quran dan hadis-hadis nabi SAW. Antaranya ialah israiliyyat yang berkait dengan nabi-nabi dan rasul-rasul yang boleh menjatuhkan murtabat mereka.

Contohnya nabi Ayub AS. Kononnya nabi Ayub AS sakit sampai berulat tubuh macam bangkai. Bila jatuh ulat nabi Ayub ambil letak pula pada tubuhnya. Kononnya takut ulat tidak ada rezeki.  Ini pembohongan yang besar. Ini cerita israiliyyat dan ada dalam kitab. Kita perlu faham bukan semua yang ada dalam kitab itu kita kena pakai belaka. Kena rujuk kepada Quran dan hadis-hadis nabi SAW.

Antaranya kisah nabi Lut AS yang melarikan diri dengan anak perempuannya sebelum negeri Sadum dibinasakan. Orang Yahudi masuk dalam kitab mereka kononnya nabi Lut berzina dengan anak-anakanya. Ini menjatuhkan murtabat nabi-nabi. Nabi-nabi dipelihara oleh Allah Ta’ala daripada membuat sebarang dosa.

Satu lagi ialah kisah nabi Daud AS berkahwin dengan isteri penglima perangnya. Dia menyuruh penglima perangnya berperang sebab nabi Daud terpandang isteri penglima perangnya tersangat cantik lalu jatuh hati. Nabi Daud menyuruh penglima berperang lagi supaya mati. Bila penglima mati dia dapat kahwin dengan bekas isteri penglimanya. Ini israiliyyat, cerita orang Yahudi. Ini ada dalam kitab tafsir Quran. Kalangan kita apabila ada dalam kitab maka terima selalu. Ini tidak boleh, kitab-kitab ini kena tahkib kerana ada ulamak-ulamak memasukkan semua israiliyyat.

Antara kitab tafsir yang memasukkan israiliyyat ialah tafsir Ibni Kathir, tetapi dia menyebut ini israiliyyat. Tafsir al-Qutubi juga memasukkan israiliyyat dan dia menyebut kisah itu lemah. Ada juga kisah yang dimasuk dalam kitab tetapi tidak menyebut apa-apa. Ini boleh menimbulkan kekeliruan.

Di zaman awal Islam belum ada lagi kertas. Semuanya di tulis pada kayu, pada belulang dan memakai ingatan begitu sahaja. Bila ada kertas maka banyaklah kitab ditulis dan kita buat perbandingan. Sekarang ini ada pula komputer. Ribu-ribu kitab boleh dimuatkan dalam computer. Ini memboleh kita mengkaji mana yang sahih dan mana yang tidak sahih. Ilmu ini boleh digunakan untuk membuat kajian (tahkib) terhadap kisah-kisah ini, khususnya yang berkait dengan israiliyyat.

3. Israiliyyat yang terserah pada akal kita sama ada hendak menerima atau tidak kisah itu. Antaranya israiliyyat yang masuk dalam hadis israk dan mikraj bukan hadis kerana nabi SAW tidak menyebutnya. Langit pertama daripada besi, langit kedua daripada tembaga, daripada perak dan macam-macam. Ini termasuk dalam israiliyyat dan terpulanglah kepada kajian-kajian baru yang mungkin dibuat.

Antaranya bumi tempat kita duduk ini berada atas tanduk lembu, lembu atas ikan nun dan ikan duduk dalam laut. Ini termasuk dalam israiliyyat.

Ini adalah israiliyyat, cerita orang Yahudi yang dimasukkan dalam kitab-kitab yang ditulis oleh ulamak-ulamak Islam.

Kita dituntut supaya belajar dengan berguru, bukan dengan membaca sendiri. Jika membaca sendiri syaitan boleh masuk jadi tok guru. Guru pula mestilah guru yang mursyid, iaitu guru yang membaca kitab dengan tahkib, dengan mengkaji. Bukan dengan guru yang tidak mursyid yang tidak mampu mengkaji mana yang sahih dan mana yang tidak sahih.

KULIAH YT



No comments:

Post a Comment