Monday, December 19, 2016

MAKHLUK HALUS



Kita perlu kembali kepada sejarah kejadian iblis dan syaitan yang dikaitkan dengan peristiwa yang berlaku antara Adam dan Iblis.

Setelah Allah SWT sempurnakan kejadian Adam, Allah Ta’ala memerintahkan agar semua sujud kepada Adam kerana menghormati kejadian Allah Ta’ala. Sujud itu dinamakan sujud tahiyyah. Semua sujud kecuali iblis.

Keterangan ini ada disebutkan dalam al-Quranul Karim:

“Semua sujud kecuali iblis.”

Allah Ta’ala tanya Iblis kenapa tidak sujud kepada Adam.

Iblis menjawab:

“Engkau jadikan aku daripada api dan Engkau jadikan Adam daripada tanah.”

Bagi iblis api lebih mulia daripada tanah. Sedangkan api padam bila ditimbus dengan tanah. Allah Ta’ala laknat iblis kerana engkar sujud kepada Adam.

Apabila Allah Ta’ala menghukum iblis sedemikian rupa iblis merasakan bahawa manusia ini adalah punca kemurkaan Allah Ta’ala.

Bermula daripada peristiwa itu iblis bersumpah menjadi musuh kepada manusia. Dalam Quran juga disebut iblis meminta umurnya dipanjangkan hingga hari kiamat kelak.

Allah Ta’ala menjawab:

“Engkau termasuk dalam golongan yang mati lambat hingga hari kiamat.”

Dalam al-Quran disebutkan juga:

“Wahai Tuhanku, oleh kerana Engkau telah menghukumkan aku demikian rupa aku akan jadikan manusia keturunan Adam itu yang buruk itu baik dan yang baik itu buruk.”

Inilah yang menyebabkan manusia menjadi sesat dan sebagainya. Iblis akan menjadikan manusia sesat tanpa mengira sesiapa pun. Tetapi manusia yang kuat iman mungkin tidak mampu dipengaruhinya.

Oleh kerana sumpah dan azam iblis terhadap anak Adam ini Allah Ta’ala memberi amaran kepada anak Adam supaya sentiasa berwaspada.

Iblis telah memesongkan Adam dan Hawa menyebabkan kedua-duanya terkeluar daripada syurga. Dan ini terus menerus akan dilakukan terhadap keturunan Adam.

Allah Ta’ala menjelaskan bahawa tipu helah iblis itu terlalu licik. Allah Ta’ala mendedahkan iblis menjanjikan kefakiran dan menyuruh manusia melakukan kejahatan.

Dalam amalan-amalan kebatinan Melayu, ketika berubat dan sebagainya kadang-kadang mereka berdampingan dengan makhluk halus yang disebut sebagai jin. Makhluk halus ini disebut sebagai jin Islam, shiekh, khadam dan seumpamanya.

Allah menjelaskan memang ada lelaki daripada golongan manusia berlindung dengan golongan lelaki di kalangan jin, maka jin-jin yang dibuat teman atau minta tolong itu akan menambah kesesatan lagi.

Dijelaskan juga bahawa barangsiapa menjadikan syaitan itu sebagai teman tanpa mengira dalam bentuk apa sekali pun maka itu adalah seburuk-buruk teman.

Dalam al-Quran banyak menyebut nama-nama jin, syaitan dan sebagainya. Ini menunjukkan makhluk ini memang wujud dalam dunia di samping kewujudan malaikat dan manusia. Tetapi keupayaan kuasa jin itu menimbulkan masalah khurafat dan bidaah dalam masyarakat termasuklah masyarakat Melayu.

Iblis dan syaitan ini cuba mempengaruhi manusia supaya melakukan dosa-dosa kecil berterusan, dosa-dosa besar dan yang paling besar sekali ialah untuk menjadikan manusia keluar daripada agama Islam iaitu menjadi kufur, syirik dan murtad. 

Pada satu ketika bahawa makhluk ini boleh mengganggu jasad manusia.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya syaitan itu berupaya berjalan dalam tubuh manusia melalui pembuluh darah.”

Jin boleh masuk dalam darah dan boleh menyebabkan histeria, menurun dan sebagainya. Ini perlu diperhatikan oleh masyarakat kita.

Sebagaimana disebut oleh para ulamak bahawa telah sepakat di kalangan ulamak wujudnya makhluk-makhluk lain yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar seperti malaikat, syaitan dan jin.

Bahkan dia telah dinaskan di dalam al-Quran dan juga hadis-hadis nabi SAW dan menjadi ijmak hampir semua umat, khususnya umat Islam kecuali kata Ibni Tarmiyah RA beberapa kumpulan daripada kumpulan umat Islam menafikan hal tersebut.

Berhubung dengan definisi jin, syaitan dan iblis mari kita merujuk kepada tata-bahasa Arab:

1. Maksud jin.

Orang Arab bila menamakan satu-satu perkara ia mengambil kemunasabahan. Contohnya, kalimah jin ini daripada kalimah janna yajinnu, jinna dan sebagainya.

Orang gila dipanggil majnun kerana hijab akalnya tidak nampak. Kanak-kanak dalam rahim ibu dipanggil janin kerana terlindung.

Malam dipanggil jann. Syurga dipanggil Jannah kerana pohon dalam syurga banyak sampai orang duduk di dalam tidak nampak.

Begitu juga jin. Jin tidak nampak kerana terlindung maka dinamakan jin. Sabit dalam dalam al-Quranul Karim jin diciptakan oleh Allah daripada api yang tidak ada asap.

Dalam hadis menyebut bahawa jin diciptakan oleh Allah SWT lebih dahulu daripada manusia dua ribu tahun.

Jin dikatakan duduk di dunia atau di bumi sebagaimana yang masyhur. Jin sebagaimana disebut oleh Ibni Abdi Bad menyatakan ada nama-nama banyak di sisi orang Arab dan pada dialek bahasa Mereka.

a. Dipanggil jinni. Ini semata-mata jin.
b. Dipanggil amil yang dimaksudkan hidup bersama dengan manusia
c. Dipanggil arwah iaitu yang mengacau kanak-kanak kecil
d. Dipanggil syaitan atau jin yang jahat dan menyakitkan
e. Dipanggil ifrik iaitu gagah daripada yang lain.

2. Syaitan.

Syaitan, ada mengatakan diambil daripada kalimah satana yang bermakna jauh kerana syaitan ini jauh daripada rahmat Allah, jauh daripada keredhaan Allah, jauh daripada segala sifat yang baik melainkan semuanya sifat yang jahat.

Kata sesetengah ahli bahasa syaitan diambil daripada kalimah syatah bermakna terbakar kerana dia makhluk daripada api.

Pendapat pertama lebih kuat kerana didasarkan oleh hadis nabi SAW.

3. Iblis.

Al-Imamul Baghawi melalui kitab tafsirnya menyebut Izrail adalah bahasa Syirianiah dan dalam bahasa Arab dipanggil halfs. Bila dia derhaka kepada Allah maka Allah tukar nama dan gambarannya dengan memberi nama iblis kerana dia telah lupus daripada rahmat Allah.

Allah telah khilaf padanya. Ibni Abbas dan sesetengah ulamak tafsir mengatakan iblis daripada malaikat dan al-Hasan kata iblis adalah daripada jin. Ini dibahas panjang lebar dan mengatakan ia bukan daripada malaikat kerana dinaskan daripada api.

Ibni Abbas juga menyatakan iblis yang dikenali sebagai Azazil adalah semulia-mulia di kalangan malaikat yang mempunyai empat sayap, kemudian terputus daripada nikmat Allah, daripada rahmat Allah dengan sebab keengkarannya.

Pendapat Abu Ubaidah dan lainnya mengatakan iblis diambil daripada perkataan iblas yakni jauh daripada kebaikan dan putus asa daripada rahmat Allah.

Kebanyakan ulamak setuju menyebut iblis ini satu sedangkan syaitan banyak. Sebab itu syaitan kadang-kadang dijamakkan iaitu disebut dengan banyak seperti syayatinulins waljin.

Kesan seseorang yang meresapi jin.

Mengikut Hadis bermaksud:

“Sesungguhnya syaitan itu berupaya berjalan dalam tubuh manusia menurut pembuluh darah.”

Wujudnya makhluk ini yang mengganggu kehidupan manusia yang perlu kita fahami ialah untuk berjaga-jaga. Bila kita tahu ada musuh maka hendaklah kita berjaga-jaga.

Kita perlu mengetahui apa tujuan makhluk ini meresapi tubuh manusia.

Dalam amalan pendukunan, makhluk halus akan dipanggil meresap dalam tubuh menyebabkan dukun itu tidak sedarkan diri atau separuh tidak sedarkan diri. Lalu dia berubat.

Pada masa itu segala tindak tanduk dan percakapannya bukan atas kehendak dia tetapi kehendak makhluk halus yang ada dalam tubuhnya.

Dalam keadaan tertentu dukun itu orang muda tetapi bersuara macam orang tua kerana makhluk yang ada dalam tubuhnya makhluk tua.

Si dukun akan bertanya orang yang datang berubat itu cucu hendak apa.

Orang itu mungkin berkata:

“Tok! Cucu sedang belajar, cucu hendak ilmu penerang hati.”

Sebenarnya orang ini bukan minta ilmu penerang hati kepada dukun itu tetapi minta kepada makhluk yang meresap dalam tubuh dukun itu iblis atau syaitan. Apatah lagi sebelum menurun itu dia berasap kemiyan, dia membaca ayat al-Quran dan diikuti dengan jampi.

Kadang-kadang orang datang berubat memberitahu emaknya sakit di rumah. Dukun pun senyap sekejap sambil memejam mata. Lepas itu dia berkata:

“Emak kamu sakit sudah tiga hari dan dia patah kaki.”

Jadi dia boleh tahu kerana diberitahu oleh makhluk halus yang meresapi tubuhnya.

Begitu juga dalam amalan kebatinan mempertahankan diri. Orang ini tidak pernah belajar ilmu persilatan secara fizikal. Tetapi dalam setengah jam sahaja tiba-tiba dia boleh bersilat dengan hebat sedangkan dia tidak pernah belajar bersilat.

Mengapa boleh berlaku demikian?

Itu adalah disebabkan makhluk yang meresap dalam tubuhnya. Bila makhluk itu keluar langsung dia tidak boleh bersilat.

Ada juga seseorang itu boleh mengurut bila makhluk halus meresap dalam tubuhnya sedangkan dia tidak pernah belajar mengurut.

Ada juga amalan yang menyebabkan seseorang itu kebal. Bila kita tumbuknya rasa macam batu.

Kesan lain ialah dalam amalan teater tradisional yang masih lagi berlaku sekarang. Contoh tarian bubu atau kuda kepang. Dia panggil makhluk-makhluk halus selepas membakar kemiyan misalnya, maka makhluk itu meresap dalam tubuh menyebabkan mereka tidak sedar lalu menari.

Jadi mereka berupaya menari dalam keadaan khayal lantaran diresapi oleh makhluk itu.

Makhluk halus ini bila dia meresap dalam badan manusia terutama sekali dia pergi kepada otak. Bila dia masuk dalam otak maka akan hilanglah fungsi otak menyebabkan seseorang itu bertindak tidak normal yang dikenali histeria.

Kita tidak nafikan histeria itu disebabkan oleh desakan hidup, masalah rumah tangga, masalah kewangan dan sebagainya. Bila ini berlaku kepada seseorang itu maka makhluk ini akan mudah masuk dan menyerang otak menyebabkan mereka berkelakuan dalam keadaan luar biasa.

Gangguan yang kedua ialah pada hati yang boleh menyebabkan seseorang itu waswas. Bila sembahyang berasa waswas. Kadang-kadang terasa terkentut padahal tidak. Kadang-kadang terasa membuang air kecil tetapi tidak pun. Kadang-kadang teringat kerja di pejabat belum selesai.

Kadang-kadang waswas lebih teruk daripada itu. Ditimbulkan soalan seperti adakah tuhan itu satu, adakah Islam ini betul dan adakah aku murtad.

Waswas menyebabkan seseorang itu berasa sedih tanpa sebab. Apatah lagi kalau ada masalah seperti kematian, teman lari, biasiswa tidak dapat dan sebagainya.

Bila ada stres makhluk halus mudah masuk dalam tubuh seseorang yang boleh memberi bermacam-macam gangguan dalam hati.

Manusia apabila dikuasai akalnya dia boleh dikawal oleh makhluk halus. Bila seseorang itu dipanggil:

 ‘Assalamualaikum’, mana duit. Kad ada atau tidak. Jum pergi ambil duit.”

Orang terkena pukau itu ikut apa sahaja yang diarah kepadanya. Kadang-kadang dia terfikir kenapa dia memberi duit kepada orang itu. Tetapi kesedarannya hanya sedikit menyebab dia tidak mampu mengawal dirinya. Ini bergantung kepada kekuatan iman seseorang itu dan perlindungan daripada Allah SWT.

Orang yang terkena ilmu pengasih yang menggunakan jin akan terpukau. Contohnya bila tiba pukul empat petang dia rasa rindu kepada orang yang memujanya itu. Kadang-kadang bila pukul empat petang sahaja dia mula berjalan kerana otaknya dikuasai oleh makhluk halus itu. Hati dikuasai dan badannya ditarik menyebabkan dia berjalan.

Jika ruhnya kuat dia tidak akan tertarik dengan izin Allah SWT.

Jadi kesan daripada penglibatan makhluk-makhluk kepada manusia berbeza-beza.
 
Makhluk halus ini kadang-kadang boleh memberi kesan kepada kita.

Allah menyebut dalam Quran:

“Mereka yang makan riba mereka ini tidak bangun melainkan bagaimana bangun orang yang dirasuk syaitan.”

Bayangkan satu misalan yang orang tidak tahu makhluk, syaitan masuk dalam tubuhnya itu yang digambarkan dalam Quran.

Anak kepada Ibni Hambal namanya Abdullah berkata kepada ayahnya:

“Ayah ku ada kaum yang mengatakan jin tidak boleh masuk dalam tubuh manusia.”

Jawab Ibni Hambal:

“Wahai anak aku berdustalah orang yang bercakap di atas lidah seperti ini.”

Ada satu hadis mengatakan ada seorang perempuan membawa anak lelaki kecil kepada nabi SAW:

“Ya Rasulullah anak aku ini terkena gila dan ianya berlaku ketika pagi dan ketika petang.”

Lalu Rasulullah sapu dengan tangannya didada kanak-kanak itu dan berdoa kepadanya. Tiba-tiba kanak-kanak itu termuntah dan keluar daripada mulutnya seperti anak anjing kecil berwarna hitam.

Jadi, ini menunjukkan gangguan jin boleh berlaku kepada seseorang.

Manusia ditugaskan menjadikan khalifah di bumi. Manusia berbeza daripada malaikat dan jin. Manusia mempunyai ruh dan jasad sedangkan malaikat dan jin tidak berjasad. Manusia yang bertaqwa menjadi khalifah yang baik, tetapi jika manusia itu tidak menurut perintah Allah Ta’ala dan banyak membuat kemungkaran maka makhamnya lebih buruk daripada binatang.

Manusia yang banyak membuat maksiat ruhnya lemah. Ketika ruh lemah maka mudahlah makhluk-mahkluk halus meresap ke dalam badannya.

Jin dan syaitan ini sebenarnya lemah dan tipu daya mereka pun lemah. Mereka takut kepada manusia. Iblis dan syaitan lari apabila melihat saidina Umar hendak lalu.

Ini menunjukkan orang yang kuat iman, jujur dan ikhlas dan kuat hubungan dengan Allah digeruni oleh iblis dan syaitan. Jadi iman merupakan banteng kepada setiap inividu.

Apabila manusia banyak melakukan maksiat seperti minum arak, berzina, menipu, rasuah dan tidak sembahyang lebih mudah ruhnya dikuasai oleh makhluk halus ini. Semakin banyak maksiat dilakukan semakin hebatlah penguasaan makhluk halus.

Makhluk halus meresap dalam tubuh manusia dan memberi bisikan pada hati. Kadang-kadang makhluk halus tidak meresap dalam jasad manusia tetapi duduk di sebelah dan memberi maklumat melalui telinga yang hanya dapat didengar oleh manusia berkenaan sahaja.

Dalam banyak kitab disebut tempat yang syaitan suka duduk ialah di bilik air. Oleh itu untuk melindungi daripada gangguannya sebelum melangkah masuk hendak dibaca doa:

A’U ZUBIKA MINAL HUBUSYI WALKHABAAIS
(Aku minta berlindung kepada Mu ya Allah daripada kejahatan syaitan jantan dan betina)

Masuk bilik air dengan kaki kiri dan jika sudah masuk doa itu hendaklah dibaca dalam hati.

Ada orang mencurah air panas dalam bilik air dan mengenainya menyebabkan makhluk halus akan membalas dendam dengan melakukan gangguan terhadap orang berkenaan.

Dalam hadis ada menyebut diantara tempat yang makhlus halus suka duduk ialah tempat-tempat yang jauh daripada manusia. Kadang-kadang bila masuk ke tempat itu dan melanggarnya maka akan timbullah gangguan.

Kadang-kadang ada logiknya orang tua-tua bila masuk hutan berkata:

“Tok-tok cucu hendak lalu.”

Sebenarnya bukan begitu. Sepatutnya bila masuk hutan azanlah kerana bila dibaca azan iblis dan syaitan cabut lari.

Dalam sebuah hadis disebut:

“Bila muazin melaungkan azan syaitan yang berada di Madinah cabut lari sehingga ke Rauhah.”

Syaitan mudah masuk ke dalam jasad ketika seseorang itu marah terutama bagi mereka yang jenis panas baran.

Ada seorang sahabat berjumpa dengan Rasulullah SAW sebelum beliau musafir supaya memberi peringatan bila dalam keadaan musafir.

Rasulullah menjawab: “Jangan marah.”

Dia tidak berpuashati dan meminta Rasulullah memberi pesanan lagi.

Rasulullah menjawab: “Jangan marah.”

Syaitan itu dijadikan daripada api yang tidak ada asap dan api boleh dipadam dengan air. Oleh itu untuk memadam rasa marah ialah dengan mengambil air sembahyang.

Rasulullah juga mengajar jika masa marah itu dalam keadaan berdiri maka orang itu kena duduk dan kalau masa marah dia sedang duduk maka hendak baring.

Dengan menukar keadaan kedudukan ini aliran darah akan berubah dan mengendurkan rasa marah.

Salah satu cara untuk kita minta berlindung dengan Allah daripada gangguan syaitan ialah dengan membaca ta’awwuz:

A’UZUBILLAHI MINASYSYAITANIR RAJIM 

(aku minta berlindung daripada syaitan yang direjam).

Surah al-Falak, surah an-Nas dan ayat Qudsi boleh menjadi banteng kepada gangguan makhluk halus.

Selain dari itu banyakkanlah membaca LAHAULAWALA KHUWWATA ILLABILLA HIL’ALIYIL AZIM serta zikir di samping ilmu dan iman yang mantap.

Kita mengetahui tipu daya syaitan amat lemah dan kita hendaklah bergantung kepada Allah setiap masa.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment